Thursday 8 October 2015 By: Naemah

MENJADI SEORANG ISTERI

Picture: here


Saat sah bergelar seorang isteri adalah satu saat yang sangat membahagiakan. Apatah lagi menjadi isteri kepada insan yang kita cintai..

Isteri... Satu gelaran yang sangat indah dan diimpikan hampir setiap wanita. Isteri pendamping sang suami yang sangat dicintai.

Namun indahnya isteri bukan pada gelarannya, tetapi bagaimana dia berperanan dalam memainkan watak seorang isteri.

watak seorang isteri sinonim dengan kelembutan dan keibuan. Isteri yang baik bisa mendamaikan perasaan seorang suami dan mampu menguruskan hal ehwal rumahtangga dan anak anak dengan sebaiknya.

Namun..ia tidak semudah itu. Seorang isteri perlu menanam sifat cekal dan tabah serta mampu bersabar di atas segala ujian di alam rumahtangga.

Di awal perkahwinan, pasti segalanya manis dan indah kerana kita belum benar benar berhadapan dengan tanggungjawab sepenuhnya. Masih dalam usaha mengenal suami dan keluarga mertua, dan masih belum dikurniakan anak anak, amanah yang perlu dijaga. Saat berbulan madu ini memanglah segalanya manis dan indah. Begitulah bahagianya saat bergelar pengantin baru :)

Hakikatnya, perkahwinan itu bukan hanya untuk kita bersukaria bersama pasangan tanpa memikirkan hal yang lain. Ia sebuah medan mencari sakinah/bahagia berpakejkan tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul bersama.

Menjadi seorang isteri... bermakna kita perlu taat dan akur pada perintah suami (yang tidak menyalahi syariat) meskipun dalam keadaan kita sukar untuk terima. Perintah suami wajib ditaati, malah berdosa diingkari. Boleh jadi kita tidak suka atau tidak bersetuju, tetapi kita perlu bijak seandainya ingin menolak. Agar kita tidak diihat sebagai isteri yang ingkar, apatah lagi sehingga mengguris perasaan suami.

Menjadi seorang isteri, kita perlu sedar bahawa kita bukan sekadar menikahi suami, tetapi dalam masa yang sama perlu menerima seluruh ahli keluarga suami sebagai sebahagian dari hidup kita. Dari mertua, ipar duai dan sanak saudara. Cuba santuni mereka dan sayangi mereka seadanya. Usah berkata yang buruk tentang mereka meskipun terlihat. Perlunya menjaga hati suami dengan menghormati keluarganya, dan menerima seluruh ahli keluarganya yang menjadi sebahagian dari hidupnya.

Menjadi seorang isteri... Bermakna kita bersedia melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Bekerja atau tidak bekerja, tetap tanggungjawab utama kita adalah di rumah. Melayan suami dan anak anak, menyiapkan makan pakai, dan mendidik anak anak dengan sebaiknya. Bersabar dengan segala karenah suami dan anak anak yang ada ketikanya di luar batas kesabaran kita.

Menjadi seorang isteri... Kita perlu bersedia untuk susah dan senang bersama suami. Ada ketikanya kehidupan rumahtangga akan teruji. Saat diuji dengan kesempitan dan kepayahan, tetaplah teguh dan setia bersama suami yang tercinta. Usah menyalahkan dan menambahkan beban yang ditanggung suami. Sama sama lalui saat getir dan pahit, sama sama mencari jalan penyelesaian.

Menjadi seorang isteri... Kita bersedia membataskan masa dan segala aktiviti di luar rumah. Kerana tempat kita adalah di rumah, di sisi suami dan anak anak yang memerlukan kita. Kita tak mungkin dapat menghabiskan masa dengan kawan kawan seperti dulu lagi. Tak boleh selalu keluar, lepak bersama dan berbual panjang seperti dulu lagi. Namun boleh saja mencari ruang untuk bertemu kawan dengan izin suami, dan teknologi yang ada boleh digunakan untuk memastikan hubungan dengan kawan kawan tidak terputus begitu saja. Ya, kerana kita kini adalah seorang isteri di mana tempatnya adalah di sisi suami, bukan dengan yang lain. 

Menjadi seorang isteri... Kita perlu menerima hakikat suami adalah seorang insan, yang mungkin berbeza dengan kita dalam banyak perkara. Cara pemikiran mungkin berbeza, cara penyampaian mungkin berbeza, cara menunjukkan kasih sayang mungkin berbeza, malah banyak perkara lagi mungkin berbeza. Perbezaan mungkin membuatkan kita sering tersalah faham dan tersalah anggap. Malah boleh mencetus kemarahan dan rajuk. Oleh itu, kita perlu cuba memahami pasangan, dan memahami perbezaan yang ada. Perlu juga untuk sentiasa bertenang, sangka baik dan saling berbincang, agar ketegangan dapat dirungkai dan difahami dengan jelas maksud yang sebenar. Yakinlah perbezaan itu manambahkan warna dalam kehidupan rumahtangga dan perbezaan itu ada agar kita dapat saling melengkapi. 

Menjadi seorang isteri... Kita perlu sedar bahawa antara kita dan suami, wujudnya anak anak. Kita tahu kita wajib memberi layanan yang terbaik buat suami. Namun dalam masa yang sama, anak anak memerlukan perhatian kita hampir sepanjang masa. Masa untuk suami menjadi agak terhad. Nak tidur bersama pun, anak anak menyelit di tengah, nak berhias dan berdandan rapi pun, agak sukar, nak dating berdua apatah lagi. Begitulah situasi dan realiti ketika kita mempunyai anak kecil. Ya, perlu pandai dan cekap mengurus masa, dan mencuri masa, agar suami tak rasa diabaikan, agar suami tak tawar hati, dek kerana layanan yang kurang, dan isteri tidak lagi mementingkan kecantikan diri untuk tatapan suami.

Begitulah hakikatnya menjadi seorang isteri. Malah banyak perkara lagi sebenarnya... Bakal isteri perlu banyak membaca, banyak memerhati dan banyak meminta nasihat dari mereka yang berpengalaman agar kita bersedia menjadi seorang isteri yang kental memikul tanggungjawab dan amanah. Serta kental menghadapi segala ujian di alam rumahtangga.

Nukilan ini terhasil bukan bermakna aku lulus segala ujian rumahtangga. Malah sering tersadung dan terjatuh. Saat diri gagal menjadi isteri yang terbaik, terasa sakit dan kecewanya hati. Rupanya bukan mudah..

Namun ruang sentiasa ada untuk memperbaiki diri. Semoga Allah memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan dalam melayari bahtera rumahtangga bersama yang tercinta. Malah, semua isteri termasuk aku, sangat mengharapkan pengertian seorang suami serta tunjuk ajar dan doa darinya.

0 comments:

Post a Comment