Sunday 19 June 2016 By: Naemah

PEMERIKSAAN PRANATAL DI KLINIK KERAJAAN

Bakal menyambut kelahiran anak ketigaku. Insya Allah..

Seperti ibu mengandung yang lain, aku juga perlu membuka buku pink di klinik berdekatan dan membuat pemeriksaan diri mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Semasa mengandung anak pertama, aku membuka buku di Klinik Desa Kampung Legeh, anak kedua di Klinik Desa Bertam Hulu dan yang ketiga ini di Klinik Desa Rinching Tengah.

Hanya ingin berkongsi pengalaman berurusan dengan staff di klinik desa dan para doktor di Klinik Kesihatan yang berdekatan. Pengalaman yang tak jauh beza di setiap tempat, meskipun berbeza negeri (Kelantan, Melaka, dan Selangor)

Bermula dari membuka buku, hingga seterusnya memenuhi setiap temujanji, aku sangat berpuas hati dengan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh setiap nurse dan doktor yang bertanggungjawab memantau keadaan ibu mengandung sepertiku.

Tak dinafikan, setiap temujanji yang perlu dipenuhi di klinik kerajaan mengambil masa yang agak lama. Paling cepat pun sejam juga. Kalau tak, makan berjam untuk sampai giliran kita dilayan dan diperiksa. Memang jemu menunggu. Tapi nak buat macamana, bukan kita seorang yang mengandung :)

Namun aku tetap memilih untuk mendaftar di klinik kerajaan dan memenuhi setiap temujanji di klinik tersebut meskipun ada pilihan untuk ke klinik swasta yang mungkin tak memerlukan kita menunggu lebih lama untuk dilayan.

Aku sejujurnya lebih berpuas hati membuat pemeriksaan di klinik kerajaan, kerana padaku pemeriksaan yang dibuat sangat detail dan menyeluruh. Ada masalah sikit, terus akan dirujuk pada doktor untuk nasihat dan rawatan susulan. Malah, semuanya free of charge. Cuma... tahan sikitlah menunggu.

Setakat ini aku selesa kerana staff yang berurusan denganku kebanyakannya adalah wanita. Nurse, of course. Doktor juga selalunya wanita. Maka lebih selesa dan tidak malu untuk menceritakan keadaan diri. Nurse, kebanyakannya peramah, professional dan baik layanannya. Mereka berpengalaman, dan dilatih untuk memberi yang terbaik untuk pesakit. Doktor juga begitu. Insya Allah mereka ikhlas memberi perkhidmatan.

Aku seorang isteri dan ibu yang tidak bekerja. Ada 'suara' yang menegaskan bahawa wanita tempatnya lebih baik di rumah dan tidak bekerja. Namun padaku, aku berterima kasih pada mereka (doktor dan jururawat wanita) kerana dengan kehadiran mereka di dalam bidang pekerjaan ini banyak memberi keselesaan kepada wanita sepertiku ini. Mereka juga ada keluarga dan tanggungjawab besar di rumah, namun aku hargai pengorbanan mereka untuk berada di lapangan ini. Kerana kehadiran mereka ini juga maruah kita para wanita lebih terjaga. Semoga Allah merahmati..

Syukur kehamilan ini dipantau dengan baik. Kesihatan diri diambil berat dan dipandang serius oleh mereka yang merasakan diri mereka bertanggungjawab. Tapi masih.... ada suara yang merungut tidak puas hati. Mungkin pada masa yang banyak dihabiskan di hari temujanji, perlu pula buat itu ini seperti minum air gula, bsp dan sebagainya, dan mungkin juga tak tahan mendengar misi membebel itu ini.

Aku pula... dah harung segala benda tu sejak dulu. Dulu mungkin agak bosan dan rasa menyusahkan, namun kini boleh berfikir bahawa semua itu tak lain hanya untuk kebaikan diri kita yang sedang mengandung. Tanpa pantauan yang teliti dari mereka yang bertanggungjawab, kita sendiri tidak mampu nak berdepan dengan segala risiko yang bakal kita hadapi. Memang tak siapa dapat menduga apa yang bakal terjadi di masa yang akan datang, tapi sekurang kurangnya kita diberi maklumat yang cukup dari yang perpengalaman, dan menjadikan kita lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan.  Iyalah, hal mengandung dan bersalin ini bukan main main...

Nasihatku pada ibu mengandung, especially yang baru pertama kali dan ibu yang berisiko ketika mengandung (contoh gdm sepertiku), perlu cepat membuka buku di klinik untuk pantauan awal. Penuhi setiap temujanji yang telah ditetapkan, ikut nasihat yang disarankan, dan jangan menipu dalam memberi maklumat. Insya Allah kita boleh meletak kepercayaan kepada mereka, dan percayalah mereka sangat mengambil berat dalam memastikan kita dalam keadaan yang baik sepanjang kehamilan ini. Satu lagi, sabarlah sikit kerana perlu menunggu lama :)

Akhir kalam, semoga kita diberi kesihatan yang baik sepanjang menjalani kehidupan sebagai ibu hamil. Semoga Allah melindungi kita dan anak yang bakal lahir. Doakan yang terbaik, usahakan yang terbaik... insya Allah.



0 comments:

Post a Comment