Friday 10 June 2016 By: Naemah

MASA BERDUA

Masa berdua suami dan isteri.

Di awal perkahwinan, sememangnya kita berdua. Sentiasa berdua. di samping menikmati keindahan dan kemanisan berumahtangga, yang pasti di ketika itu hanya wujud kita berdua. Semua pasangan melalui saat manis berdua :)

Bezanya, setengah pasangan singkat saja masa berduanya, kerana cepat dikurniakan cahaya mata. Setengah pasangan pula lebih lama masa berduanya, kerana lambat dikurniakan cahaya mata. Tak kurang, ada yang sehingga sekian lama masih berdua, kerana belum direzekikan zuriat. Itu semua urusan Allah,bukan kita yang berhak menentukan.

Padaku, syukur Alhamdulillah atas kurniaNya di atas kehidupan hari ini setelah 5 tahun setengah mendirikan rumahtangga bersama suami tercinta.

Pengalamanku sendiri, menikmati masa berdua selama lebih kurang setahun sebelum hadirnya cahaya mata pertama kami, Anas Zaydan. Disember 2010 bernikah, Januari 2012 meminang cahaya mata. Alhamdulillah.

Tak dinafikan, waktu berdua itu sangat manis dan indah. Tambahan pula pengantin baru :) 

Kemudian selepas mempunyai anak, dari seorang anak kemudian dua anak, dan insya Allah tak lama lagi tambah seorang lagi :) masa berdua boleh dikatakan hampir tiada. 

Masa berdua maksudnya masa untuk keluar berdua, berpimpin tangan, menikmati makan di luar, dan seumpamanya :) terus terang, sejak lahirkan Anas hingga hari ini semua itu sudah tak berlaku. Kerana dalam berdua, merekalah yang ketiga dan keempat.

Bukan tak gembira, bukan juga tak bahagia... meskipun bukan lagi berdua, tetap indah dan membahagiakan.

Kadang kadang cemburu melihat pasangan yang boleh 'mencuri' masa keluar berduaan, atau dating. Ye, mereka ada tempat dan ada orang yang boleh dipercayai untuk menjaga anak anak. Ramai juga pasangan yang cuba mengambil kesempatan seperti itu, tapi bukan kami :)

Teringin memang teringin, tapi entah mengapa, tak mampu untuk berbuat demikian. Kerana belum pernah berpisah dengan anak anak, terasa sukar untuk meninggalkan mereka walau seketika. Boleh jadi, perasaan serba salah dan rasa bersalah lebih kuat saat keluar berdua, sedang mereka ditinggalkan tanpa sebab. Hanya kerana ummi dan abi ingin berdating :) ya, itulah apa yang aku rasa, dan apa yang aku fikir. Sudahnya nanti hati hanya teringatkan anak anak di rumah.

Tapi bagi orang lain, berbeza pula fikirannya. Jika memang anak anak boleh ditinggalkan dan memang ada yang menjaga mereka dengan baik, apa salahnya ibu dan ayah nak spend masa bersama sekejap. Terserah pada situasi masing masing. 

Mungkin buat masa sekarang keluar dan berkumpul bersama lebih membahagiakan buat kami. Kerana jika tak cukup seorang pun, dah rasa tak lengkap dan tak sempurna. 

Namun tak semestinya langsung tak punya masa berdua. Nak keluar berdua mungkin sukar, namun masih boleh mencari masa berdua ketika di rumah. Especially ketika anak anak dah tidur, itulah masa berdua kami. Dating kat rumah pun indah juga. Makan berdua, bercerita, menonton video, dll... walau tak selalu juga boleh berdua. Tapi insya Allah masih diberi peluang untuk bercinta dan mengukuhkan kasih sayang.

Hakikatnya masa berdua dah berlalu. Anak anak wujud antara kami suami dan isteri. Namun itu bukan alasan untuk menjarakkan hubungan suami dan isteri. Kehadiran anak anak sepatutnya menjadi pengikat dan pengukuh hubungan suami isteri. Mereka bukan alasan untuk kita menjadi lebih jauh. Malahan, mereka penyebab hubungan kita menjadi lebih dekat. Ya, meski kita tiada masa untuk berdua lagi :)


0 comments:

Post a Comment