Sunday 19 June 2016 By: Naemah

ANALOGI SEBUAH TAMAN BUNGA YANG INDAH

Di dalam satu taman bunga. Taman yang masih baru disemai dan ditanam dengan pepohon bunga. Pembesarannya juga tidak sama. Ada yang masih muda dan ada yang sudah berbunga indah.

Taman yang dipenuhi dengan pepohon hijau. Sejuk mata memandang. Pandangan padanya sama dan sekata. Tiada yang berbeza, kecuali sedikit saja.

Di antara pepohon hijau itu, wujud bebunga yang cantik dan indah. Bunga yang masih baru, dan hanya beberapa kuntum saja. Ada yang besar, dan ada yang masih kecil dan belum kembang. Namun semuanya cantik dan indah.

Di antara pepohon hijau dan bunga yang cantik ini, sudah pasti sang bunga yang mendapat lebih perhatian. Pastinya kerana ia cantik, tambahan pula ia tak banyak. Setiap mata pasti tertarik pada cantik dan uniknya.

Meskipun pepohon itu banyak dan sekata saja pandangan terhadapnya, namun ia tetap indah di pandangan mata. Lebih istimewa di pandangan insan yang menyemai benihnya. Benih yang disemai dengan penuh cinta dan kasih. Harapannya juga, bersama pohonan ini akan terbit pula bunga yang cantik di masa yang akan datang.

Pepohon hijau ini, dan bunga yang indah ini, hakikatnya saling melengkapi. Tumbuh bersama, untuk menambahkan seri mata yang memandang. Taman itu cantik dan mempesona kerana wujudnya pepohon hijau dan bunga yang cantik itu. Tak kira pepohon hijau atau bunga yang cantik, setiapnya punya keistimewaan dan keunikan yang tersendiri.

-------------------------------------------------------------------

Sebuah analogi:

Taman yang indah: sekumpulan anak kecil, Anas, Mussaab, dan sepupu yang riang membesar bersama.

Pepohon hijau: anak anak lelaki
Bunga cantik: anak anak perempuan


Di kalangan mereka, anak anak lelaki menjadi juara dari jumlah bilangannya. Anak anak perempuan wujud di antara mereka, namun dalam jumlah yang lebih  sedikit.

Aku dan suami, antara yang dikurniakan anak lelaki. Antara kami (adik beradik) ada yang masih menanti dan mengharap kehadiran anak perempuan. Yang sudah ada pun, seorang cuma, tak lebih. Kerana itu anak perempuan lebih mendapat perhatian (mungkin). Yang lelaki pula sama saja pandangan terhadap mereka. Namun tetap ada unik dan istimewanya yang tersendiri. Hanya ibu dan bapanya sendiri yang tahu betapa anak anak itu, tak kira lelaki atau perempuan sangat istimewa di hati mereka.

Hakikatnya mereka sedang membesar bersama penuh mesra dan keriangan. Lelaki atau perempuan, mereka tetap saling melengkapi. Syukur, jika hanya dikurniakan anak lelaki. Bertambah syukur, andai suatu hari ditambah dengan anak perempuan. Tetap bersyukur, meski hanya yang lelaki hadiah buat kami. Pasti ada hikmahnya.

Anak anak anugerah Allah yang sangat indah dan teristimewa. Hidup kami (ibu dan bapa) indah dan bahagia kerana kehadiran mereka.

Semoga Anas, Mussaab, dan sepupu mereka membesar menjadi anak soleh dan membahagiakan hati ibubapa. Bahagia melihat mereka bersama, membesar penuh riang dan saling mesra.



0 comments:

Post a Comment