Menjadi ibu yang penyabar..
Ternyata mudah disebut, tapi sukar untuk membawa wataknya.
Terutama ibu yang masanya 24jam di rumah bersama anak anak sepertiku. 24 jam berhadapan dengan karenah dan ragam mereka. Hampir setiap masa pula perlu memberikan perhatian dan layanan pada mereka.
Ternyata, menjadi seorang ibu yang penyabar itu umpama sebuah mimpi yang belum mampu digapai. Dalam satu hari, ada saja sikap dan tindakan mereka yang menguji sabar. Benar benar sedang diuji..
Aku tahu aku boleh memilih untuk memberi respon yang bagaimana. Bertenang atau meradang, pilihan tetap ada. Namun, sering saja memilih untuk tidak bersabar. Walau sering menyesali, sering pula mengulangi.
Hakikatnya anak anak ini bukan sengaja membuat salah atau sengaja ingin menguji sejauh mana sabarnya si ibu. Dia bertindak mengikut hatinya, yang masih mentah untuk mengenal baik dan buruk. Asal boleh lakukan apa yang dia suka, maka satu kepuasan hadir dalam dirinya.
Ummi marah? Ummi tak suka? Ummi penat? Dan apa saja rasa ummi... tak pernah ada dalam fikiran seorang anak kecil. Sungguh, kerana dia masih terlalu kecil untuk berfikir dan meletakkan dirinya di tempat seorang ibu. Dia masih belum memahami.
Saat ibu bertindak tidak sabar dengan marah marah, mendengus kasar, mengeluh kecewa, mungkin dia hanya diam tanpa suara, mungkin juga sedang cuba mentafsir bahawa ummi tidak suka.
Tanpa sedar, bahasa marah dan kasar itu barangkali telah mencederakan hati seorang anak kecil. Tak mungkin dia akan memberitahu apa rasanya. Namun tanpa sedar juga, dari situ sikap dan peribadinya terbentuk. Mungkin... dari bagaimana cara ibu bertindakbalas pada sikapnya.
Menjadi seorang ibu yang penyabar, ternyata memerlukan lebih usaha dan doa. Bukan mudah, kerana ibu juga manusia biasa. Ada cuaca emosi, ada masa bertenaga dan penat, dan segalanya menentukan mood seorang ibu dalam aktiviti harian menguruskan anak anak yang bijak dan banyak akal.
Semua ibu ingin menjadi dan memberi yang terbaik buat anak anaknya. Namun sering pula diuji dengan situasi yang menduga sabarnya. Ibu boleh memilih untuk bersabar atau sebaliknya, namun ibu tetap manusia lemah yang tak lepas dari membuat kesilapan. Semoga para ibu termasuk diriku mampu menjadi ibu yang lebih baik untuk anak anak. Bijak mengawal perasaan dan emosi. Tenang menghadapi segala kekusutan, dan sabar melayan karenah anak anak syurga yang tidak berdosa.
Hakikatnya ujian itu untuk menjadikan kita ibu yang berfikir dalam bertindak. Untuk menjadikan kita ibu yang lebih kuat dalam melaksanakan tanggungjawab. Kita kuat sebenarnya, dari mengandung hingga melahirkan. Kita mampu lakukannya dengan izin Allah. Kini masa untuk menjaga dan membesarkan mereka pula. Kita akan berdepan dengan ragam yang bermacam. Terus bertahan dan bersabarlah. Belajar menjadi ibu yang ikhlas setiap masa. Masa kecil mereka tidak lama. Sudah besar belum tentu mereka akan sentiasa dekat dengan kita. Masa tu pasti hadir berbagai rasa. Rindu yang tiada penghujung. Pada si anak yang dulu pernah membuat kecoh dan membuat hidup ibu tak pernah sunyi dan sepi.
Allah... berilah kekuatan
Jadikan kami ibu ibu yang penyabar :')
0 comments:
Post a Comment