Tuesday 14 March 2023 By: Naemah

CERPEN: SEKILAS KU TERKENANG





Sudah 2 hari Ilman dan keluarganya berada di kampung, bermalam di rumah ibu saudaranya. Sejak arwah datuk dan neneknya meninggal dunia, mereka sekeluarga jarang-jarang pulang ke kampung. Kalau pulang, rumah mak longnya inilah yang menjadi tempat mereka berkumpul.
Mereka pulang kerana ada hajat yang besar. Ilman dan kedua ibubapanya serta adiknya Anas pulang untuk urusan merisik dan meminang calon isteri buat Ilman. Calon yang langsung tidak dikenalinya. Malah ibubapanya juga tidak kenal. Semua ini atas cadangan mak longnya yang sangat berkenan dengan si gadis ini. Katanya baik, cantik dan berpelajaran tinggi.

Ilman yang sangat berat hati untuk pulang ke kampung, balik juga atas pujukan mamanya. Dia sebenarnya masih belum bersedia untuk berkahwin meskipun mamanya sering bertanya dan mendesak. Baginya umur 27 tahun masih sangat muda untuk bernikah. Dia masih mahu hidup sendiri dan fokus pada kerjayanya sebagai seorang jurutera. Dia mahu pergi lebih jauh lagi dalam bidang kerjayanya.

Dia faham mengapa mamanya sangat risaukan dirinya. Maklum saja, dia anak sulung dan mereka hanya ada 2 beradik iaitu dia dan adiknya Anas.

Ilman menurut kemahuan mamanya setelah berkali-kali dipujuk. Dia akur untuk ikut pulang ke kampung bersama ibubapanya. Mak longnya juga tak jemu menelefonnya dan memujuk dia pulang ke kampung. Tiada alasan lagi untuk dia menolak.

"Kau ni Man, apa yang payah sangat nak balik kampung. Orang dah carikan kau calon isteri, kau terima jelah.."

Suara mak longnya masih kedengaran meneruskan bebelan padanya. Siapa tak kenal mak longnya, juara membebel persis mamanya juga. Cuma mamanya tak sekuat mak longnya. Dia dah agak, balik kampung memang akan 'kena'. Dah biasa dah..

Tapi dia tak nafikan, mak longnya seorang yang sangat baik. Sangat mengambil berat akan anak-anak saudaranya. Cuma kena tahan sikitlah, mendengar setiap isi ceramahnya. Semua orang pun dah faham.

" mak long dah cuba cari yang terbaik untuk kau Man. Mak long kenal sangat ibubapa budak ni. Tengok dia membesar depan mata. Baik sangat budaknya. Dia pun lulusan oversea macam Man juga. Sesuai sangat.."

Ilman memasang telinga lagi. Mama, Papa dan adiknya Anas turut membatu mendengar syarahan mak longnya dari tadi.

"Jangan risaulah.. Mak long rasa Man mesti berkenan lepas tengok dia.."

Mak longnya menyambung lagi, penuh konfiden.

"Pandai je mak long ni. Mana tahu aku berkenan. Cantik sangat ke budak tu.."

Ilman membalas dalam hati. Dia hanya diam seribu bahasa. Dia sudah serahkan pada mama dan papanya untuk membuat keputusan. Baik bagi mereka, baiklah baginya. Balik kampung ni pun, sekadar ikut syarat saja. Buat masa ini tiada apa apa perasaan yang hadir. Malas nak fikir sangat.

    ………………………………………………..


Harinya tiba juga.  Ilman bakal bersua dengan gadis yang menjadi calon isterinya. Dia berpakaian kemas, memakai baju yang dipilih oleh mamanya. Warna biru laut menjadi pilihan mamanya. Dia juga kelihatan agak segak pada hari itu. Bersiap dan berkemas sebaiknya, atas permintaan mama dan mak longnya.

Tiada sebarang debaran yang dirasa. Dia hanya patuh atas kehendak mamanya. Setuju atau tidak nanti, dia hanya berserah pada penilaian mama dan papanya.

Mereka bergerak ke rumah gadis itu jam 10 pagi. Jarak antara rumah mereka bukanlah jauh sangat, cuma perlu melalui banyak rumah orang kampung. Kalau ikutkan, berjalan kaki pun boleh. Namun mereka memilih untuk berkereta untuk tujuan yang sangat penting ini.

Sampai di rumah yang dituju, mereka memberi salam dan bersalaman dengan tuan rumah yang sedia menanti kehadiran mereka. Ilman tetap berlagak biasa, bersalaman dengan semua orang serta tetap tersenyum pada semua meskipun dia tidak mengenali mereka. Yang mana satu bakal bapa mertua dan ibu mertua juga, dia tidak tahu. Mereka dijemput masuk dan duduk di ruang yang telah disediakan.

Pak longnya sebagai orang yang paling tua, mengetuai majlis tersebut. Menyatakan hajat dan hasrat yang hakikatnya sudah diketahui tuan rumah. Mereka menyatakan hajat yang penting ini dengan penuh beradab dan tertib. Ilman hanya diam membatu. Sedikit sebanyak hatinya dah mula terdetik rasa cemas. Bagaikan tak percaya, majlis ini adalah untuknya.

Setengah jam berlalu, si gadis masih belum munculkan diri. Hingga sampai saatnya, keluarga meminta calon isterinya untuk keluar. Ilman tak tahu apa perasaannya. Dia hanya berlagak biasa dan seadanya. Tiada degupan kencang di dada, perasaan gementar juga tiada. Dia hanya berserah. Bukanlah terlalu ingin menatap wajah si gadis itu.

Perlahan,  Nina Syuhada muncul dari bilik bersama ibunya. Hanya tertunduk, dan berjalan penuh sopan. Tak terlepas dari rasa malu, kerana dia tahu setiap mata pasti tertumpu padanya. 

Berbeza dengan Ilman, hati Nina Syuhada penuh dengan debaran. Ini juga bukan pilihannya. Malah, dia tidak pernah mengenali diri Ilman.
Ilman memerhati dari jauh. Dari awal Nina muncul, hingga dia duduk bersimpuh di antara hadirin yang ada. Gadis itu kelihatan pemalu, berjubah hijau muda dan bertudung agak labuh menutupi dada. Berkulit cerah, berwajah lembut. Menyejukkan hati setiap yang memandang. Dan begitu juga yang dirasakan oleh Ilman. Namun, renungannya lebih lama.

" man.." 

Pahanya ditepuk lembut oleh mamanya. Dia agak terkejut dan tersentak. Bagai tersedar dari lamunan.

" apa yang renung lama sangat tu. Malu la orang tengok. "

Mamanya berbisik melihatkan reaksi anaknya yang tidak disangka. Ilman tersengih ditegur mamanya. Ah, ada persoalan yang kini muncul di benaknya.

Nina Syuhada masih tertunduk malu. Tidak tahu yang mana satu Ilman. Dia tidak berani untuk mengangkat muka dan mencari. Nanti apa difikir orang. Namun hatinya tertanya juga, bagaimana jejaka pilihan ibu dan ayahnya.

Ibunya membisikkan sesuatu di telinga. Menjelaskan di mana duduk Ilman dan menjelaskan ciri ciri Ilman agar anaknya tidak tersalah orang. Nina Syuhada perlahan mengangkat kepalanya dan mencari insan yang dimaksudkan. Mata bertentang mata. Hatinya kian berdegup kencang. Sekilas pandang, dia kembali tertunduk memandangkan Ilman turut memandang ke arahnya. Hati Ilman juga... 

Berdebar seketika saat mata mereka bertentang.
Selepas ditemukan kedua gadis dan teruna, mereka menjamu selera, menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Nina Syuhada sudah masuk ke dalam dan tidak muncul muncul lagi. Ilman menjamah hidangan yang ada. Sesekali matanya meliar mencari kelibat Nina Syuhada. Agak pelik tingkahnya selepas melihat bakal isterinya itu.

"Abang... Kakak tu dah tak ada. Makanlah. Tak baik mata tu meliar mencari anak gadis orang"

Anas adiknya tiba-tiba berbisik di telinganya. Sekali lagi Ilman tersentak dan terkejut dengan teguran spontan adiknya.

"Erk..ye.. Abang memang nak makan"

Dia membalas kaget. Terus fokus semula pada hidangan yang sudah di depan mata.

       …………………………………………….


Ilman dan keluarganya kini kembali ke rumah mak longnya. Tidak lama lagi mereka sekeluarga akan kembali ke rumah sendiri. Ilman masih termenung berfikir, membayangkan wajah Nina Syuhada bakal isterinya. Ada sesuatu yang perlu dia pastikan.

" Abang ni kenapa? Kejap bangun, kejap duduk, kejap berguling... apa masalahnya bang?"

Anas menegur melihat gelagat abangnya yang luar biasa.

" Takde apalah dik. Abang tengah berfikir ni.."

Ilman membalas ringkas.

" Jangan kata...abang tengah angau. Tak baik bang..."

Tak lupa Anas memberi peringatan buatnya. Ilman sangat kenal adiknya itu. Boleh dikatakan setiap masa memberi nasihat padanya. Macam dia pulak abang. Tapi hakikatnya begitulah... berbeza dengan Ilman, Anas sejak kecil bersekolah di sekolah agama. Di sekolah menengah juga, mengambil aliran agama dan giat menghafaz al Quran. Ilman pula mendapat pendidikan dari sekolah biasa. Dia sangat menyayangi dan menghormati ilmu dan ketokohan Anas yang kadangkala dilihat lebih matang darinya.

" Eh..taklah dik. Abang memang sedang fikir tentang dia. Abang rasa macam pernah jumpa dia."

" Betul ke bang? Kat mana? Mungkin kat kampung ni juga kot... kan dulu kita kerap je balik kampung."

" Entah..."

" Abang..Anas tahu Kak Nina tu cantik sangat. Tapi, sekiranya abang memang suka dia dan setuju nak kawin dengan dia, Anas harap bukanlah semata kerana dia cantik."

Anas masih cuba mengingatkan abang yang dikasihinya. Ungkapan itu turut membuatkan Ilman berfikir. Ya, dia akui ada pesona pada wajah gadis itu. Malah, hatinya turut merasakan debaran saat menatap wajahnya semalam. Dia juga kurang mengerti pada perasaannya. Cuma hatinya masih tertanya tanya tentang gadis itu. Dia masih di dalam lamunan.

Lama berfikir dan mundar mandir di bilik yang dikongsi bersama adiknya, dia lantas teringatkan sesuatu.

" Yes.."

Kalimah itu keluar dari bibirnya penuh teruja. Anas yang sedang membaca terus berpaling memandangnya. Masih pelik dengan kelakuan abangnya. Tak sempat dia nak buka mulut untuk bertanya, abangnya sudah bangkit dari katil dan meluru keluar. Anas perlahan bangun dari kerusi dan mengikut ke mana arah abangnya pergi.

Di ruang tamu, mama, papa dan mak longnya sedang berbual santai. Ilman mendekati mereka, diikuti Anas.

" Mak long... Nina Syuhada belajar kat mana dulu?"

Ilman terus bertanya. Hatinya penuh tanda tanya. Mak longnya memandang wajahnya kehairanan. Sebelum ini tidak pernah pula Ilman bertanya tentang Nina.

" Entahlah kat mana.. yang mak long tahu, dia belajar luar negara macam Man juga."

Jawapan mak longnya agak tidak memuaskan hatinya.

" Kenapa Man?"

Mamanya bertanya. Kehairanan juga. Mungkinkah Ilman sudah mula suka pada gadis pilihan mak longnya? Sejak balik dari merisik Nina Syuhada, dia masih belum bertanya hati ke hati, apakah Ilman menerima gadis itu sebagai isteri.

" Erk..takde apa ma.. cuma.. Man seperti pernah melihat dia suatu masa dulu. Tapi.. takut Man silap."

Ilman memberi jawapan yang merungkaikan persoalan semua orang. Masing masing diam.

" Mak long..boleh tak Man nak jumpa Nina petang ni??"

Ilman menyambung kata tanpa disangka. Permintaannya mengejutkan semua orang. Mama dan papanya saling berpandangan.

" Untuk apa bang? Penting sangat ke sehingga perlu berjumpa?"

Anas seperti kurang bersetuju. Dia bimbang tindakan abangnya itu melampau dan menyimpang.

"Maksud abang.. abang nak jumpa dia di rumahnya, ditemani mama dan mak long."

Ilman menjawab, bimbang disalah sangka.

" Ya...abang rasa penting..penting untuk menjawab persoalan hati abang. Jika sangkaan abang benar, abang tak ragu untuk terima dia sebagai isteri abang."

Jawapan Ilman sekali lagi memberi kejutan pada semua orang. Sehingga begitu sekali? Apakah sebenarnya yang berada di fikiran Ilman? Tak siapa dapat menduga.

Mak long dan mamanya bersetuju untuk ke rumah Nina Syuhada. Jika memang ia penting buat Ilman, mengapa tidak? Lagipun mereka selama ini sudah berusaha mencarikan calon buat Ilman dan susah payah memujuknya.

……………………………………..


Petang itu mereka bertiga menuju ke rumah ibubapa Nina Syuhada. Kedatangan mereka sudah dimaklumkan kepada tuan rumah. Ilman tidak pasti apa perasaannya pada gadis itu. Hatinya mendesak untuk bertanyakan khabar dan merisik cerita.

Kedatangan mereka disambut baik. Ibubapa Nina Syuhada memberi layanan mesra. Mereka duduk di ruang tamu, bersama hidangan kuih dan minuman. Nina Syuhada juga diminta keluar bertemu tetamu. Meski dalam keberatan, dia memenuhi permintaan ibu dan ayahnya. Hatinya tertanya tanya. Untuk apa Ilman datang lagi. Kalau mahukan jawapannya, sudah dia jelaskan. Terserah pada ibu dan ayahnya.

Nina Syuhada duduk di samping ibunya selepas bersalaman dengan mama dan mak long Ilman. Perasaan malu masih menguasai diri. Apatah lagi Ilman juga ada bersama. Dia sendiri tidak dapat mengingati wajah sebenar Ilman. Wajah itu hanya dipandang sekilas lalu lantaran dia tersangat malu. Hari ini juga, langsung wajah Ilman tidak dipandangnya meski Ilman dari tadi memerhati ke arahnya.

Mereka membuka bicara. Mak longnya meminta maaf kerana datang ke rumah dengan agak tiba tiba. Pastinya mengundang tanda tanya tuan rumah.

" Ya.. saya yang patut minta maaf pada pak cik, mak cik dan...Nina.."

Ilman memberanikan diri bersuara. Dia juga segan, tetapi dia tahu dia perlu berani.

" Anggap saja ini sebagai taaruf saya dengan..bakal isteri saya"

" Saya yang minta mama dan mak long datang ke sini. Rasanya tidak manis jika hanya saya berdua dengan Nina untuk memulakan perkenalan."

Ilman terus melafazkan kata. Nina sekilas menjeling ke arahnya. Dia juga tak menyangka Ilman orangnya berani berbicara seperti ini. Sekurang kurangnya Nina tahu, dia pemuda beradab. Dan.. boleh tahan juga rupanya. Lantas Nina tertunduk. Rasa malu sendiri. Sempat pula dia membuat penilaian.

" Boleh saya tahu, Nina graduan dari universiti mana?"

Tanpa berlengah Ilman bertanyakan soalan yang berlegar di di fikirannya. Matanya tepat memandang Nina. Nina membalas pandangan itu. Masih segan dan malu.

" University of Cambridge"

Nina menjawab persoalan Ilman. Ilman seperti kelegaan mendengar jawapan itu, lantas terukir senyuman di bibirnya.

" Kalau macam tu, mungkin saya tak silap. Nina junior saya semasa di universiti dulu..."

Semua orang seakan terkejut mendengar penjelasan itu, termasuk Nina Syuhada. Dia juga tidak tahu Ilman lulusan dari universiti yang sama.

" Ya. Mungkin Nina tak kenal saya. Tapi.. saya pernah sambut Nina dan kawan kawan satu batch Nina di airport, semasa hari pertama Nina menjejakkan kaki ke UK."

Sekali lagi Nina terkejut dengan penjelasan itu. Fikirannya berputar mengingati kenangan di hari pertamanya menjejakkan kaki ke UK. Dia masih ingat, dia dan kawan kawannya yang lain disambut oleh sekumpulan pelajar senior dari Malaysia. Namun dia tak kenal setiap seorang dari mereka. Dia juga tidak pernah tahu, salah seorangnya adalah Ilman, bakal suaminya ini. 

Nina perlahan lahan mengangguk. Terasa takjub sekali. Kenangan itu sudah lebih 4 tahun berlalu. Dia kini fresh graduate dari universiti tersebut. Menanti hari konvokesyennya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

" Masa tu saya sudah di semester terakhir. Jadi, mungkin Nina tak pernah kenal saya...lagipun di sana saya dikenali sebagai Syah, bukan Ilman..."

Ilman melanjutkan bicaranya lagi. Lantas senyuman terukir lagi di bibirnya.

" Syah..."

Suara hati Nina berbisik. Seperti biasa mendengar nama itu suatu ketika dulu.

" Kalau ikutkan dah lama sangat tu Man. Tak sangka Man boleh ingat lagi pada wajah Nina ya.."

Mak longnya bertanya pula tiba tiba. Ilman senyum lagi. Ya, mungkin agak menghairankan. Itulah pertemuan mereka yang pertama dan terakhir. Lagipun bukan Nina seorang pelajar baru yang disambutnya pada hari itu.

" Sebabnya mak long... mama..."

Ilman berhenti seketika. Tak tahu dia perlu jujur menjawab atau sebaliknya.

" Hari itu Man sudah jatuh cinta pandang pertama pada seorang gadis... gadis yang sopan berjubah hijau muda dan bertudung labuh. Dia satu satunya yang kelihatan berbeza dari yang lain.."

Ilman menjawab jujur akhirnya, sambil matanya melirik ke arah Nina. Muka Nina merona kemerahan menahan malu. Dia tidak menyangka jawapan itu yang keluar dari mulut Ilman.

Dia tahu dialah gadis yang dimaksudkan Ilman. Jubah hijau muda itu jarang dipakainya, hanya untuk hari-hari tertentu yang dirasakan penting seperti hari pertamanya di UK dulu, dan di hari keluarga Ilman datang merisik. Dia tertunduk menahan malu yang amat. Ada senyuman di wajah ibubapanya, mama Ilman dan mak longnya. Mereka seakan mengerti.

Kini sudah jelas, segala persoalan di hati Ilman terjawab. Dia tidak ragu untuk menikahi Nina Syuhada, gadis yang pernah menarik perhatiannya suatu ketika dulu. Walau dia hampir terlupa, namun pada pengamatannya,Nina yang dulu dan hari ini tidak berubah sedikit pun.

Mereka menyambung bicara dan perkenalan lagi. Nina banyak berdiam diri dan mengunci kata. Dia masih agak segan dan malu. Apatah lagi dia tahu Ilman menyukainya. Dia sendiri, dalam diam turut terpikat dengan sikap berani, jujur, dan penuh beradab yang ditampilkan Ilman pada hari ini. Hatinya lebih tenang untuk menerima lamaran dari keluarga Ilman.

Tarikh pertunangan ditetapkan dengan persetujuan kedua belah pihak. Majlis akan diadakan pada bulan depan, selepas Nina selesai konvokesyennya. Ilman pulang dengan hati yang berbunga. Tak sangka, dia yang pada mulanya ambik endah tak endah saja akan hal penting ini, akhirnya menjadi yang paling gembira dan bersedia untuk berkahwin.

……………………………………


Nina Syuhada masuk ke biliknya selepas tetamunya mengundurkan diri. Dia mengambil kotak buku yang dibawa pulang dari kampusnya. Masih belum selesai dia mengemas semuanya. Majalah-majalah terbitan kampus edisi lama dibukanya satu persatu. Dia mencari wajah Ilman kalau-kalau ada terselit.

Jarinya berhenti membelek helaian majalah saat melihat deretan gambar beserta nama pelajar seniornya yang cemerlang dalam pelajaran. Salah seorangnya adalah Ilman.

" Ilman Syahran"

Dia menyebut nama yang tertera. Wajah itu segera dikenalinya. Tidak banyak yang berubah. Mungkin yang di dalam gambar  ini kelihatan lebih muda belia. Nina tersenyum sendiri. Tidak menyangka...

Kalau tidak silap, nama 'Syah' sering disebut teman serumahnya suatu ketika dulu, terutamanya oleh kakak senior. Sering disebut kerana cemerlang dalam pelajaran, tambahan pula punya rupa yang boleh memikat ramai gadis. Selain itu, tidak pula dia mendengar hal yang bukan bukan tentang Ilman.Tak hairanlah... cuma Nina Syuhada yang tidak begitu mengambil perhatian. Dia hanya mahu fokus pada pengajiannya. Masa itu masa untuk tumpukan pada pelajaran, bukan mencari cinta atau memilih calon suami. Itu prinsip yang sentiasa dipegangnya.

Kini hati Nina dipandu rasa tenang dengan pilihan orang tuanya ini. Hatinya mantap menerima Ilman sebagai suaminya. Sedikit sebanyak, hati dah mula terpaut pada perwatakan Ilman. Dia tersenyum lagi.

…………………………………………..


Kisah di suatu hari, di suatu ketika yang dulu..
Di semester terakhirku,
Saat aku ditugaskan untuk menyambut kedatangan pelajar baru dari Malaysia,
Kebanyakan teman sukakan tugasan ini, kerana kata mereka saat inilah boleh berkenal-kenalan dengan student baru, especially yang perempuan.

Aku?? Biasa biasa saja. Belum terlintas nak mengintai calon isteri..

Namun di hari tersebut, mataku tertatap pada seorang gadis yang berbeza penampilannya,
Ya... tak sama dengan teman temannya yang lain. Berjubah hijau muda, bertudung labuh menutup aurat sepenuhnya.

Sangat berbeza... dan memang berbeza.

Penampilan yang begini jarang ditemui di tanah air sendiri, apalagi di sini.
Hati berdetak dan bergetar memandang wajah lembutnya. Tak pernah aku rasa perasaan seperti ini.

Namun itulah pertemuan pertama dan terakhir kami.

Setelah itu, dia tidak kutemui lagi sehingga akhirnya aku tamat pengajian.

Tentang dirinya juga, langsung aku lupakan, dan tidak pernah memikirkannya lagi.

Sehingga hari itu.. hari yang baru berlalu,
Aku melihatnya buat kali kedua di rumah orang tuanya.

Berpenampilan yang sama. Masih sopan, masih ayu.

Sekali lagi hatiku bergetar dan berdebar,
Dia yang pernah aku jumpa, seterusnya aku lupakan, kini muncul kembali di depanku.

Apa yang ingin aku nyatakan atau tafsirkan..
Jelas ini cinta, jelas ini aturan Tuhan yang Maha Indah...

Nukilannya di atas sekeping kertas diserahkan pada adiknya Anas. Anas membaca, namun hairan, untuk apa luahan hati ini diserahkan kepadanya.

" Adik...berikan abang nasihat"

Ilman bersuara. Tepat menatap wajah adiknya. Anas faham maksud Ilman. Abangnya mahukan kata nasihat darinya, agar cinta yang sedang ditanggungnya ini tidak tersasar dari landasan agama yang benar. Betapa dia tahu, abangnya benar benar serius.

" Abang Ilman yang Anas kenal, memang seorang abang dan anak yang sangat baik. Itu sangat jelas..."

Anas memulakan sessi tazkirahnya. Ilman tersenyum mendengar ungkapan ikhlas itu. Dia diam, membiarkan Anas menyambung kata.

" Selama ini abang tak pernah bercinta, tak pernah sibuk keluar dengan teman wanita, tak pernah bercerita hal wanita, pendek kata abang sangat suci dalam hal itu...itu yang Anas tahu.."

" Namun kali ini Anas tengok abang betul betul sudah jatuh cinta. Mungkin buat pertama kali..."

" Hakikatnya cinta itu tidak salah. Tanpa kita paksa, dia sendiri datang. Namun pesona cinta itu adakala terlalu memukau hingga membawa kita jauh keawang-awangan. Kita berada di dunia fantasi. Kita hanya nampak yang indah indah.."

" Cinta boleh membuatkan sang pencinta menjadi angau, terbayang-bayang wajah orang yang dicintainya.. setiap masa, setiap detik. Hingga boleh jadi, lupa pada yang lain termasuk Tuhan."

Kata kata Anas membuatkan Ilman jadi takut. Sedikit sebanyak rasa itu sudah merasuk jiwanya. Bukan sekali dua wajah itu muncul di ingatannya. Memang indah dan mempesonakan.

" Oleh itu... cinta perlu didasari dengan Iman dan taqwa. Cinta orang beriman akan mengawal hati dan tingkahnya. Jika teringat, tidak sehingga hanyut. Jika rindu, tidak sehingga membawa kepada pertemuan demi pertemuan, atau sering berbalas masej. Cukuplah Iman menjadi benteng..gadis itu masih tiada ikatan halal buat kita. Hanya perkahwinan yang menghalalkan segala perhubungan yang lebih intim dan mesra."

" Buat masa sekarang, dia masih asing buat abang, dan abang masih asing buat dia, meski sudah diikat dengan ikatan pertunangan. Jadi, masa ini adalah masa untuk terus bertahan dan bersabar. Jangan melebihi batasan. Jika terbayang dan sering teringat pun sudah membawa kepada zina hati, apatah lagi jika disusuli dengan pertemuan dan seumpamanya.."

" Tiada jalan lain bang.. bernikahlah.. bawa cinta abang pada saluran yang betul dan diredhai Allah.."

Tekun Ilman mendengar kata nasihat adiknya. Terus terang, dia memang menjaga dirinya selama ini dari dunia yang penuh cubaan dan godaan. Namun dia bukanlah seorang yang sangat faham tentang agama, mujur saja Anas sentiasa ada untuk memberi peringatan pada dirinya yang adakala alpa.

" Terima kasih adik.. tak sia sia abang ada adik macam ni. Sejuk perut mama.."

"Erk... adik pernah jatuh cinta? Maklumlah kat sekolah adik tu abang tengok ramai sangat gadis solehah... ayu dan sejuk mata memandang.."

Ilman cuba menduga adiknya pula. Anas diam tak menjawab. Kenapalah abangnya tiba tiba tanya tentang cinta pulak. Malu juga dia untuk menjawab.

" Apalah abang ni. Anas baru nak ambik SPM. Jangan tanya soalan tu lagi boleh?"

Anas menepis soalan itu. Ilman tersengih. Dia tahu adiknya ini agak pemalu juga.

" Oklah...abang nak nasihatkan adik juga. Waktu belajar ni belajar la betul betul. Tak perlu sibuk nak bercinta. Nanti pelajaran entah ke mana, cinta entah ke mana..."

Giliran Ilman memberi nasihat pada adiknya dengan penuh kematangan. Dulu, itulah juga nasihat dari mama dan papa buat dirinya hingga dia tidak asyik mencari cinta. Dia hanya mahu berjaya dalam pelajarannya. Dulu, bukan kefahaman agama yang mendorongnya untuk menjaga diri dari dunia khayalan cinta itu, tetapi kerana mama dan papanya yang banyak memberi nasihat. Kini dia syukur, kerana mendengar nasihat mereka, batasan agama turut dijaga bersama.

Anas antara yang sering menegur dan menasihatinya. Adiknya itu banyak menyedarkannya dan memberi kefahaman padanya dalam hidup beragama.

Tidak lama lagi dia dan Nina Syuhada akan diijabkabulkan. Dalam bahagia dan tidak sabar menanti, hatinya tidak lepas dari debaran. Dia banyak membaca buku berkaitan dalam persediaan dirinya menjadi seorang suami dan ketua keluarga. Dia sendiri tidak menyangka akan menamatkan zaman bujang. Namun dia sudah bersedia. Mungkin ini jodoh yang telah tertulis untuknya. Senyuman terukir lagi di bibirnya buat kesekian kali..


0 comments:

Post a Comment