Genap sudah seminggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Alhamdulillah, dalam tempoh ini aku dan anak-anak patuh menurut perintah. 7 hari kami, hanya di rumah semata.
Suamiku pula, hari ini masuk hari ke-4 dia di Terengganu. Masih belum tahu, bila akan balik. Sepanjang tempoh PKP ini, selagi khidmatnya diperlukan, selagi itu dia menurut perintah. Ya, suamiku tak menyertai frontliners yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan melindungi negara dan rakyat, tapi dari sudut yang lain, suamiku juga sedang berjuang untuk negara tercinta.
Covid-19 masih belum menunjukkan tanda mahu reda. Kes meningkat saban hari. Kematian juga bertambah. Bukan hanya di Malaysia, malahan seluruh dunia. Hanya beberapa negara yang terkecuali.
Bimbang dan gusar, sudah tentu. Hanya yang mampu dilakukan sekarang, ikut arahan kerajaan untuk ‘stay at home’, di samping berdoa agar Allah melindungi setiap masa. Aku, anak-anak, suami dan keluarga tercinta. Tak lupa buat semuanya, moga tragedi covid-19 ini akan berakhir.
Aku percaya, jika semua dengan rela hati menurut perintah untuk duduk di rumah dalam tempoh yang telah ditetapkan, virus ini akan sendirinya akan berhenti merebak. Tapi itulah, perlukan kerjasama SEMUA orang. Jangan ada yang degil. Benar, kita semua kena bersatu hati, berganding bahu, untuk hapuskan wabak ini.
Aku tahu tak semua mampu untuk duduk diam di rumah. Ada pelbagai kesukaran yang berbeza pada setiap orang, yang menjadikan arahan ‘stay at home’ itu satu kesusahan buat mereka. Namun bertahanlah dengan sabar. Inilah sekecil-kecil jihad kita dalam membantu menyelesaikan masalah yang rumit ini. Pasti Allah ganjari.
Entah bila akan berakhir, tapi aku pasti ia akan berakhir. Sedih mendengar berita kematian, tangisan dan rayuan pemimpin dan petugas barisan depan, tapi tetap yakin dan percaya, tiap musibah dan ujian yang Allah turunkan sudah pasti terkandung hikmah yang sangat banyak.
Teruskan berdoa, moga Allah sentiasa melindungi dan semua ini akan berakhir.
Insya Allah
Stay at home; seadanya kita
Hari pertama (18/3/20)
Hari kedua (19/3/20)
Hari ketiga (20/3/20)
Hari keempat (21/3/20)
Hari kelima (22/3/20)
Hari keenam (23/3/.20)
Hari ketujuh (24/3/20)
0 comments:
Post a Comment