Genap seminggu, hari ini suamiku pulang ke pangkuan keIuarga (untuk seketika). Tapi kali ini lain, situasi dan suasana pertemuan. Agak syahdu..
Petang tadi baru aku khabarkan pada anak-anak yang abi mereka akan balik hari ni. Siap pesan berulangkali, kali ni tak boleh peluk dan cium abi. Tak boleh sentuh dan dekat-dekat dengan abi. Dan beritahu sebabnya sekali. Mereka seakan faham semuanya.
Suamiku sampai di rumah hampir jam 9 malam, ketika anak-anak sedang bersedia untuk tidur. Sengaja aku diamkan dari pengetahuan anak-anak yang abi mereka dah sampai. Buat pertama kali aku tak mahu mereka dipertemukan. Walau semalam, Miqdad sudah banyak kali bertanya bila abi akan balik. Maafkan ummi. Selepas semuanya tidur barulah aku keluar mencari suamiku. Dia di luar rumah, membersihkan diri dan semua barangan yang dibawa balik. Tak terus masuk ke rumah.
Malam ini walaupun bertemu, tetapi kami perlu berjarak. Dia di bilik lain, aku dan anak-anak di bilik lain. Senyum dalam kepahitan. Tak sangka sampai begini. Tapi inilah yang terbaik. Kerana dia sendiri tidak tahu apa yang ‘dibawa balik’. Perlu begitu, demi melindungi keluarga. Dalam hati terus berdoa, semoga suamiku terlindung, dan keluarga kami ini juga terpelihara dari wabak yang menakutkan itu.
Esok, anak-anak akan ‘bertemu’ abi. Entah bagaimana reaksi. Allah, ini cubaan. Anak-anak terhalang dari mendapat sentuhan abi hingga suatu tempoh yang diyakini selamat. Tapi, abi pulang ini juga tak lama. Mungkin sehari saja. Akan kerja lagi, akan berdepan situasi seperti ini lagi. Sehingga covid-19 tak lagi menjadi hal yang menghantui kita semua.
Sesungguhnya aku cemburu. Stay at home, tak bermakna untuk pekerjaan suamiku. Jika sebelum ini kami kerap berpisah, sekarang juga situasi tak berubah. Tapi dulu pertemuan paling dinanti, dapat salam peluk cium anak-anak, terubat segala rindu. Tapi sekarang, perlu lupakan dulu semua itu.
Namun aku percaya pada hikmah yang Allah sediakan untuk mereka yang redha, sabar dan bersangka baik padaNya. Dalam ujian yang berat ini, pasti ada bersamanya kebaikan yang akan terlihat nanti.
Untuk anda yang dapat stay at home dengan semua ahli keluarga, hargailah masa bersama. Bukan senang nak dapat, dan inilah antara hikmah di sebalik ujian ini. Bila nanti situasi kembali pulih, mungkin saat bersama seluruh ahli keluarga inilah yang akan dirindui :)
Untuk kami sekeluarga. Aku tetap bersyukur. Suamiku pergi dan masih kembali. Anak-anak setiap masa bersama. Kediaman kami selesa, makan minum kami cukup, dan yang penting kami sihat. Semoga akan terus sihat. Insya Allah
Untuk suatu tempoh, suamiku perlu kuarantinkan dirinya demi langkah berjaga-jaga. Anak-anak perlu kami fahamkan bahawa abi tak boleh ‘dekat’ dengan mereka untuk sementara waktu. Ya, sementara waktu saja, insya Allah.
Semoga covid-19 akan berakhir. Tiada lagi yang dijangkiti. Tiada lagi yang kesakitan. Tiada lagi yang menangis kerana kehilangan. Dan frontliners semua akan dapat menarik nafas lega, bersyukur dan berehat dengan penuh ketenangan. Ummat manusia kembali ke kehidupan normal, bekerja, bersekolah, bermain, berkawan, dll.
Aameen ya Allah
Suami tercinta
Siap sucikan diri kat bawah terus ke bilik ‘pengasingan’. Sempat berbual sekejap sebelum dia berehat. Dah penat kerja dan travel. Ya Allah, betul, pertemuan kali ini sangat lain! Pasti ada hikmahnya kan?
Terima kasih suamiku, ku tahu kau juga keluar kerana berjuang.
:,)
0 comments:
Post a Comment