Sunday 6 December 2015 By: Naemah

KITA SEMUA AKAN MATI

Dalam menjalani hidup ini, sering kita terlupa bahawa kematian pasti datang menjemput. Kita menjalani hidup, seolah kita akan hidup untuk selamanya. Hingga  berlaku kematian demi kematian di depan mata, baru kita tersentap dan berfikir. 

Namun ada juga, saat menerima berita kematian orang lain, kita jadi lupa yang kita juga akan mati. Alangkah malangnya..

Sedang kita diingatkan agar banyak mengingati mati, dan banyak berbekal untuk sebuah kematian. Kerana janji Allah itu benar, setiap yang hidup pasti akan mati. 

Kita tak tahu bila kita akan mati, di mana dan bagaimana bentuk kematian kita. Kita mengharapkan kematian yang baik, namun terlalu sedikit amal baik yang kita lakukan. Malah, kematian itu sering menggerunkan hati, kerana sedar betapa diri tidak bersedia untuk menghadapinya. 

Kadang sedih memikirkan diri yang hanyut dengan dunia. Mahukan kesenangan hidup, hingga lupa hidup hanya untuk sementara. Mahukan keselesaan, kemewahan, kecantikan, dan segala yang kononnya dapat memberi kepuasan pada diri. Hakikatnya, semua itu hanya untuk sementara, jika ianya hanya untuk dunia semata.

Betapa hati ini perlu sentiasa dibersihkan. Agar sentiasa ingat pada kematian yang pasti.

Ya, mati itu pasti. Aku dan kamu... Akan pasti menghadapinya di suatu masa yang  kita sendiri tidak tahu..

0 comments:

Post a Comment