Tuesday 8 December 2015 By: Naemah

KEHILANGAN YANG DIGANTI



081215: berakhir penantian dan tanda tanya. Kandungan yang berusia 7 minggu berakhir dengan keguguran. Keguguran kedua yang perlu aku terima dengan hati yang redha. Keguguran pertama pada bulan Mac 2011, dan yang kedua ini pada Disember 2015.

Yang pertama, lebih menyakitkan dan lebih menghibakan. Tika itu, usia kandunganku 11 minggu, dan tika itu juga suami tiada di sisi kerana jauh di lautan.  Belayar hingga ke Jepun. Emel saja penghubung ketika itu. Tambahan pula itu kandungan pertama. Bayangkan kesedihanku. Benar benar merasakan kehilangan dan kesunyian.

Hari ini berhadapan dengan situasi yang sama. Cuma dugaan ini lebih ringan aku rasakan. Tidak sesakit dulu, tidak sehiba dulu. Suami juga tiada di sisi, tapi tidak terpisah jauh, malah boleh kerap berhubung melalui telefon atau whatsapp. Namun tetap merasakan kehilangan. Pun begitu, hati redha dan pasrah, mungkin belum rezeki untuk kami. 

Mengenangkan kesedihan yang lalu, sebenarnya sudah hampir melupakannya. Malah Allah sudah gantikan apa yang telah aku kehilangan. Anas dan Mussaab, pengubat luka yang lalu. Luka yang sudah sembuh sepenuhnya. Luka yang sudah dilupakan. Masya Allah... Perancangan Allah itu yang terbaik, takdirNya yang terbaik, meski dalam keadaan sukar untuk kita menerimanya.

Kesedihan hari ini, hakikatnya adalah sebuah kelegaan. Beberapa hari lepas dalam mood kecewa, sedih dan penuh tanda tanya. Tika itu juga hati sudah bersedia untuk menerima takdir Allah. Kerana Anas dan Mussaab juga yang menjadi ubatnya. Allah telah kurniakan aku anak anak yang sihat dan cerdas ini. Jika takdirnya ini bukan rezeki buat kami, aku redha sepenuh hati, dan aku yakin akan ada rezeki yang lain di masa yang akan datang. Insya Allah.

Kesedihan itu biarkan ia berlalu. Kehilangan itu, pasti akan diganti dengan yang lebih baik. Kerana kita hakikatnya tak punya apa, dan tak punya kuasa. Allah memberi pinjam, dan berhak mengambil semula. Allah menduga, kerana Dia tahu kita kuat untuk menghadapinya. 

Redhalah wahai hati yang sedang bersedih..



0 comments:

Post a Comment