Thursday 3 September 2015 By: Naemah

MEMIKAT HATI MERTUA

Terkenang ibu dan mertua yang keduanya sudah sangat tua dan uzur. Semoga Allah merahmati keduanya.

Bila berkahwin automatik kita mempunyai ibu mertua (yang masih hidup atau telah meninggal). Di dalam islam, walaupun suami sudah menikahi seorang isteri, ibunya tetap menjadi yang utama berbanding isterinya. Perlu disayangi, dihormati dan diutamakan ketaatannya. Syurga kita ada pada suami, syurga suami pula ada pada ibunya :)

Cemburu?? Semoga tidak wujud perasaan cemburu pada ibu mertua. Dia wanita pertama dalam hidup suami kita. Dia yang melahirkan dan membesarkan suami kita. Dia juga yang sering mendoakan kebahagiaan suami kita. Kita yang hadir kemudian. Maka tak perlu nak menandingi ibu mertua untuk meraih cinta dan perhatian suami. 

Mungkin yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah bagaimana nak menawan hati ibu mertua kita :) 

Aku pun juga sedang belajar dan mencuba yang terbaik. Meskipun bukan disayangi, sekurang kurangnya tidak dibenci :) maklum saja, aku bukan satu satunya menantu mak. Mak ada 5 menantu perempuan dan 3 menantu lelaki. Ramai kan?? Akan datang 2 lagi menantu. Insya Allah.

Pastinya, untuk menyatakan aku menantu yang terbaik dan paling disayangi tu... Taklah kot :D namun satu perkara yang aku percaya, mak sayang semua menantunya :)

Pelbagai tips yang sering dibaca bagaimana untuk menawan hati ibu mertua. Nampak mudah, praktikalnya belum pasti. Aku juga sedang mencuba, walau adakalanya terlupa. 


Jom kongsikan tipsnya :)

hormati anaknya
anaknya yang dimaksudkan ialah suami kita :) selayaknya seorang suami itu ditaati oleh seorang isteri, maka begitu juga yang mahu dilihat ibu mertua kita. dia mahu anaknya dihormati dan dilayan selayaknya seorang suami. sekurang kurangnya, dia rasa lega anak yang dikasihinya dijaga dengan baik oleh isterinya, dan tidak menyakiti hati anak lelakinya itu. setiap ibu pastinya mengharapkan anaknya hidup dengan baik meskipun bukan di dalam jagaannya lagi. aku juga :')

muliakan kedudukannya
selayaknya dia seorang ibu, maka mulialah tempatnya. tambahan pula dia ibu kepada suami kita, maka wajarlah kita memuliakan dirinya tanpa sedikit merendahkan kedudukannya. antara kita dan dia mungkin berbeza cara dan pemikiran, namun tak bererti kita boleh membuat hatinya terluka dengan kata kata yang menyakitkan, atau menolak pandangannya tanpa adab. sedaya upaya menjaga hatinya, berbincang dengan baik atas segala perkara yang berbeza, dan usah sesekali membuatkan dia rasa terhina. 

berbicara dengannya
sebolehnya, cuba mencari ruang untuk bercakap dan berbual bual dengan ibu mertua. janganlah pula menjauhinya, saat dia datang ke rumah atau kita balik ke rumahnya. kalau nampak ibu mertua sedang keseorangan apa salahnya kita mendekatinya dan bercakap dengannya. tak perlu nak mencari topik yang susah sangat, tanyalah saja apa yang berkaitan dengan dirinya dan apa yang dia suka. dia pasti suka kita bertanya tentang kesihatan dirinya, tentang suami dan anak anaknya,tentang kisah silamnya... pasti dia akan membawa cerita cerita lama yang menjadi nostalgia dalam hidupnya. pasang telinga dan dengarlah penuh hormat :)

hadiah untuknya
sekalipun kita tahu dia tidak mengharapkan hadiah dari kita, namun apa salahnya sesekali balik ke rumahnya kita membeli sesuatu untuknya sebagai buah tangan. kalau boleh, belikan sesuatu yang kita tahu dia sukakannya. boleh jadi pokok bunga, pinggan mangkuk, pakaian, atau apa saja yang boleh dia guna dan pakai. pasti dia sangat menghargainya.

minta nasihat perihal anaknya 
ibunya pasti lebih mengenali anaknya (suami kita). maka, apa salahnya kita bertanya dan meminta nasihat tentang hal yang berkaitan anaknya itu. ibunya lebih tahu apa yang anaknya suka makan, apa yang anaknya suka lakukan, bagaimana nak pujuk, jika begini bagaimana, jika begitu pula bagaimana... pasti ada jawapan dari ibunya. dia sudah masak dengan sikap anaknya dan lebih tahu perangai dan kesukaan anaknya, kita pula baru nak mengenali pasangan kita. pertanyaan seumpama itu membuatkan ibu mertua merasakan dia tetap insan yang penting dan lebih dekat dengan anak lelakinya itu.

berikan masa untuk dia dan anaknya
ada ketikanya kita tak perlu hadir di antara mereka (suami dan ibu mertua). barangkali ibu mertua sangat merindui anaknya itu dan inginkan masa berdua bersama anaknya. mungkin ada sesuatu yang dia ingin luahkan, dan tak mungkin terluah ketika kita ada bersama. biarkan mereka berduaan, berbicara hati ke hati, bermesra dan berjenaka. ketika itu, rindu ibu mertua pasti terubat pada anak yang dilahirkan dan ditatangnya suatu ketika dulu. usahlah cemburu melihat saat akrab dan mesra mereka berdua...itukan ibunya :)

itu sedikit tips yang dapat dikongsikan di sini. pastinya masih banyak lagi yang tak tertulis. sama sama kita usahakan untuk memikat hati mertua. tiada istilah cemburu, tiada istilah bersaing, kerana kita mahukan cinta ibu mertua dan suami. andai hati mertua dapat kita pikat, hati suami insya Allah lebih terpikat pada kita ;)

sama samalah... 



0 comments:

Post a Comment