Hampir 2 minggu suamiku berada di rumah. Hal yang sangat jarang terjadi. Biasa paling lama pun seminggu, itupun bila cuti lama macam tu mesti kami sekeluarga akan balik ke kampung sebab itulah peluangnya yang ada.
Berbezanya kali ini, walaupun dia bercuti lama, kami tak berpeluang nak ke mana-mana. Balik kampung tidak, berjalan ke tempat lain pun tidak. Hanya di sekitar Semenyih dan KL saja.
Nak balik kampung, takut tergesa-gesa pula sebab sekolah Anas dan Mussaab akan mengadakan majlis graduasi, dan lagi satu pada hari majlis tersebut suamiku sepatutnya sudah terbang ke Bintulu, tetapi dibatalkan di saat-saat akhir. Itulah yang jadi cutinya lebih lama. Pun begitu, suamiku perlu stand by di rumah (tak boleh pergi jauh) sebab anytime akan dipanggil bertugas. Hmm.. itulah jadi ‘terikat’ kami sekeluarga tak ke mana-mana sepanjang tempoh ‘percutian’ suamiku :)
Akhirnya bila dah confirm tarikh yang dia akan pergi, barulah kami mengambil berpeluang untuk ‘berjalan’ keluar dari Semenyih sekejap. Ya, sekejap saja. Tak sampai satu hari pun.
Penerbangan suamiku ialah pada 17/11/18, kami memilih untuk ke Melaka pada 15/11/18. Kami bertolak meninggalkan rumah pada jam 2 petang. Sebelum sampai Melaka, sempat singgah di kedai Polymall Bundle di Port Dickson untuk membeli kasut untuk anak-anak. Tapi untuk Anas tak ada saiz, Mussaab dan Miqdad sajalah yang dapat kasut ‘baru’ hari ni :)
Bergaya dengan ‘kasut baru’
Perjalanan diteruskan. Kami menuju ke Pantai Pengkalan Balak yang sudah biasa kami kunjungi. Sebelum itu solat asar di masjid berdekatan, dan terus ke pantai, tempat yang sentiasa memberikan keseronokan buat anak-anak. Berada di sini jam 5 petang hingga 6 petang. Satu jam saja, hari pun dah hampir gelap. Walaupun anak-anak masih belum puas mandi pantai, terpaksa pujuk juga untuk bersiap dan menukar pakaian. Miqdad sempat main air sekejap dengan jari yang masih berbalut (hari ke-7), tengah asyik main air tertanggal balutan jarinya, apalagi menangis, sakit katanya. Dah balut balik dengan tisu dan kain barulah tak menangis. Trauma agaknya. Lepas tu dah tak main air lagi. Dari jauh hanya memerhati abi dan abang-abang yang belum puas mandi laut.
Jam 6 petang kami meninggalkan pantai, menuju pula ke Bandaraya Melaka. Tempat pertama yang dituju ialah restoren asam pedas claypot Kota Laksamana yang agak terkenal di Melaka. Rasanya ini adalah kali ke-3 kami ke sini. Pertama kali untuk Miqdad. Kami membeli set nasi berlaukkan asam pedas pari dan tetel, nasi ayam untuk Mussaab dan nasi lemak ayam untuk Anas. Semuanya makan dengan sangat berselera, penat dan lapar lepas mandi laut :) Alhamdulillah, hidangan makan malam yang menyelerakan.
Sudah jam 8 malam, kami kemudiannya ke Dataran 1Malaysia, Klebang. Di sini anak-anak berpeluang menaiki kereta dan motor mainan dengan bayaran sebanyak rm10 untuk 15 minit seorang. Tak cukup 15 minit, tambah lagi. Lebih kurang 1 jam juga kami di sini. Pengunjung masih tidak ramai, mungkin masih awal, dan mungkin juga kerana weekday, orang tak habiskan malam mereka di sini. Di sini juga kami menunaikan solat jamak maghrib-isyak dan membeli minuman. Agak banyak juga orang berniaga di kawasan ini. Food truck berderetan di tepi jalan menjual aneka jenis makanan. Mujurlah kami semua sudah kekenyangan, tak adalah rasa nak membeli semua makanan yang dijual :)
Jam 9 lebih, kami beransur meninggalkan Dataran 1Malaysia ini dan meluncur terus menuju ke rumah. Cukuplah dulu untuk hari ini. Fikir banyak kali juga nak bermalam di hotel, tapi fikirkan esok harinya Anas dan Mussaab bersekolah, dan ada kelas piano lagi, maka kami pilih untuk terus balik. Berdepan dengan sedikit kesesakan di highway, akhirnya kami sampai di rumah pada jam 11(lebih) malam. Anas, Mussaab dan Miqdad ketiganya sudah lena dibuai mimpi di awal perjalanan lagi.
Alhamdulillah di atas peluang yang Allah berikan ini. Masih dapat ‘mencuri’ masa untuk spend masa bersama dan dapat berikan keseronokan pada anak-anak. Suamiku sudah tentu dapat kembali bekerja dengan lebih tenang, dan lega hati. Kalau tidak pasti dia teringat-ingat, kesian anak-anak terkurung di rumah saja dan tak ke mana-mana sepanjang tempoh dia bercuti.
Alhamdulillah walau sekejap tetap bermakna. Anak-anak dapat keseronokan, dan suamiku juga sudah selamat kembali bertugas. Kali ini destinasi kerjanya adalah di Labuan, tak lama perginya. Tapi macam biasa, pergi, kembali, dan akan pergi lagi. Sudah begitu lumrah kerjanya. Semoga akan baik-baik saja. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan olehNya. Kini kembali menjalani rutin tanpa dia. Anak-anak habiskan hari minggu tanpa abi, tak ke mana-mana, di rumah lakukan aktiviti seperti biasa.
Cuti sekolah bakal tiba. Insya Allah akan balik ke kampung untuk spend masa bersama keluarga di kampung pula :) semoga Allah permudahkan
0 comments:
Post a Comment