Saturday 10 November 2018 By: Naemah

MIQDAD: LUKA JARINYA, LUKA LAGI HATI INI

Cerita Miqdad lagi. Miqdad yang seringkali berdepan dengan ‘tragedi’, sering ‘mendapat sakit’ sering teruji dengan ‘kecederaan fizikal’. Allah. 

Bab demam selesema itu perkara biasa (tapi Alhamdulillah dah lama Miqdad tak demam). Yang luar biasa; Miqdad pernah jalani pembedahan mata kerana tercucuk pencangkuk besi, Miqdad pernah dijahit di dahi kerana terjatuh di dalam kereta, Miqdad pernah luka dan dijangkiti kuman pada hidungnya, hingga memakan minggu untuk sembuh sempurna. Cerita jatuh bangun yang lain juga ada, yang biasa-biasa ditempuh anak-anak kecil lain, Miqdad juga tak terkecuali.

Kali ini cerita Miqdad yang dijahit jarinya akibat terkena pisau. Bukan luka biasa, hingga terkeluar isinya, terpancut darah tak henti, meskipun sampai saat perlu dijahit. Satu jari berjahit, dan satu lagi digam untuk tutup lukanya.

Tragedi 8/11/18, tersimpan sebagai satu lagi kenangan dan juga peringatan. Tak ingin kitar kisah luka, cukup ia sebagai peringatan untuk ummi lebih berhenti-hati dan tak hanyut alpa dalam hal berkaitan anak-anak. Yang terjadi, sudahpun terjadi. Menuding jari dan menyalahkan diri atau sesiapa tak memberi apa makna. Tetapi untuk dijadikan peringatan dan pengajaran, ya, itu sangat perlu! Terutama, perlu sentiasa peka apa ‘permainan’ anak-anak, apa yang di tangannya, apa yang hampir dengannya. Pastikan selamat. Jauh dari bahaya dan yang boleh membawa mudarat. 

Sudah hari ke-3 jari Miqdad berbalut. Hari ketiga, ‘bergelut’ dengan Miqdad untuk suapkan ubat. Allah. Ummi tak mahu laluinya lagi. Kesian Miqdad. Miqdad yang masih belum mengerti, tetapi perlu menanggung semua :,(

Namun bersyukur. Pada hari kejadian abi ada di rumah. Darah menitik di serata tempat, bau hanyir darah menusuk hidung, abi pangku dan tenangkan Miqdad, dalam keadaan kagetnya ummi. Bergegas ke klinik, abi panik! Ummi faham keadaan abi yang akan sentiasa bereaksi seperti itu bila melibatkan anak-anak. Abi boleh tenang dalam segala hal, tetapi bila berkaitan anak-anak, apatah lagi bila sakit begini terus abi bertukar watak, cemas yang sangat jelas terlihat! Namun di klinik, abi lah yang temankan Miqdad sepanjang proses rawatan. Ummi hanya menanti di luar bersama Anas dan Mussaab.

Dan bersyukur juga, kecedaraan yang bukan lebih dari itu. Bukan pada anggota badan yang lain, hanya jari. Ya, hanya jari! Tetap ummi syukuri atas ujiannya. Semoga Miqdad juga terus kental menahan sakit.

Ya Allah, jadikan segala ujian yang menimpa ke atas Miqdad, bahkan juga Anas dan Mussaab memberikan hikmah yang banyak buat mereka. Jadikan mereka kuat dan kental. Jadikan mereka tabah, sabar dan redha dalam menempuh segala ujian dalam kehidupan ini. Tetap tunjuk kan mereka arah dan jalan, agar bersama setiap ujianMu, akan beriringan dengannya kemudahan, kesenangan, dan kejayaan. 

آمين .




Menerima rawatan di sini



Hari pertama jari ‘berbungkus’




Hari kedua



Hari ke-3 

 Miqdad ok je :)

0 comments:

Post a Comment