Wednesday 24 August 2016 By: Naemah

SERONOK MEMBACA AL QURAN


Antara pelajaran penting yang perlu diterapkan pada anak anak ialah pelajaran al Quran. Siapa yang tak nak anak pandai membaca al Quran kan?? Kalau boleh, biarlah pelajaran al Quran didahulukan dan ditekankan berbanding pelajaran akademik yang lain. 

Namun bukan mudah juga nak tarik minat anak kecil pada al quran, melainkan kita dah 'terapkan' al quran seawal yang mungkin dalam kehidupan mereka. Mungkin ketika mereka di alam rahim lagi :) dan berterusan hingga lahirnya si anak. 

Aku sendiri, berbagai cara sudah dicuba agar anak anak minat dan pandai membaca al Quran. Dalam situasi anak anak yang semakin membesar, kita tak boleh hanya menggunakan satu cara saja. Anak anak boleh jadi bosan, boleh jadi juga kita yang jemu dan tak mampu nak konsisten mengajar.

Fokus mengajar al Quran banyak diberikan pada anak sulungku Anas Zaydan yang kini berusia 4 tahun 7 bulan. Setelah mencuba berbagai cara dan teknik mengajar, dia kini boleh dikatakan masih di peringkat awal dalam kebolehan membaca al Quran. 
Sedang fokus pada satu surah, dan mengulang baca surah tersebut sehingga lancar (betul sebutan dan betul ayat yang ditunjuk)

Fokus mengajar al Quran pada Anas bermula ketika usianya 3 tahun lebih (2015). Mula dengan hafazan, bukan membaca. Boleh tengok di entri ini: CETUSAN IDEA DAN TEKNIK HAFAZAN.

Selepas 8 bulan, dia berjaya menghafaz 27 surah dan hafazan terhenti di situ atas pelbagai sebab (pernah cerita juga dlm entri lepas). Hafazan dah lama tak diperdengar semula, mungkin banyak yang dah ingat ingat lupa, dan tertukar ayatnya. Takpe, kita cuba cover balik. Insya Allah :)

Selepas tak fokus pada hafazan, cuba mengajar Anas membaca al Quran menggunakan buku iqra'. Mula dengan iqra' 3 kerana iqra' 1 dan 2 dia sudah boleh dikatakan lulus. Hingga beberapa muka surat, dia dah mula tak minat nak teruskan (mungkin atas faktor ummi yang kadang kadang garang ketika mengajar (:) juga cuba gunakan buku iqra' at taisir, dan buku yang lain. Tapi fokusnya tak lama. Malah susah nak pujuk dia duduk membaca.

Bermula tahun ini (2016) mula mengajar Anas dengan menggunakan mashaf al Quran (Al Quran pertamaku, juzuk amma). Mulakan mengajar membaca surah terakhir (an Naba'), mengeja dan membaca, satu ayat demi satu ayat. Oklah, dia boleh ikut. Tapi masih kurang berminat dan cepat bosan juga. Puas juga nak memaksa/ memujuk untuk membaca bersama. Tambahan ummi juga kurang konsisten dalam mengajar.

Bermula ramadhan lepas (Jun 2016), cuba cara baru pula. Aku cuba tulis ayat  perkata di atas kertas A4 untuk dia senang nampak, senang eja dan baca. Mula dengan surah 'Abasa. Alhamdulillah, nampaknya dia  suka cara begini. Senang ikut, mudah tangkap, dan tak perlu paksa membaca. Satu hari satu ayat dah cukup. Kini dah habis satu surah 'Abasa (42 ayat). Walaupun tak konsisten juga mengajar, dek banyak travel dan masalah kesihatan :) tetapi Anas dah berjaya baca dengan sebutan yang betul, dan tepat ditunjukkan pada ayat yang dibaca, satu persatu. Alhamdulillah, satu pencapaian dan peningkatan. Amazingly, sambil membaca, dia menghafaz. Kalau disuruh baca tanpa menatap al Quran juga dia boleh. Alhamdulillah.. Bermakna jumlah surah hafazan Anas juga bertambah.

Kini Anas lebih seronok membaca al Quran. Tak perlu paksa, mudah diajak, walau ada ketika dia perlu dipujuk berkali kali. Maklumlah budak budak, ada ketika dia leka bermain, tiba tiba nak ajak dia belajar, memang panjang sikitlah ceritanya :) tapi yang pasti, kini Anas makin rajin dan seronok membaca al Quran.


Sehingga setakat ini, inilah cara yang terbaik buat Anas. Di masa akan datang tak tahu bagaimana pula teknik yang paling sesuai :) Sedang proses melancarkan lagi bacaan surah 'Abasa sebelum beralih ke surah baru (Anas pilih surah an Naazi'at). Insya Allah bukan September nanti akan mula surah baru. Sempat fokus pada Anas sebelum lahirkan adik bulan Oktober, Insya Allah :)


Itulah sedikit perkongsian. Nak mengajar anak, tetap perlukan usaha dan idea, agar anak suka dan seronok belajar, terutamanya al Quran. Setiap anak, cara belajar mereka berbeza. Dan setiap ibu, ada cara mereka tersendiri dalam menarik minat anak. Yang penting, para ibu jangan berputus asa. Kalau cara yang begini tak sesuai, boleh cuba cara lain. Usaha dan usaha. Walau kadang kita rasa macam susah, tapi Allah pasti akan tunjukkan jalan jika kita mahu dan terus berusaha.

Kini fokus masih pada Anas. Pada Mussaab boleh jadi berbeza pula caranya. Nak usahakan mengajar al quran pada Mussaab juga, biar anak anak celik al quran. Insya Allah. Semoga diberi kekuatan dan ditunjukkan jalan. Tak terhenti sehingga dia pandai membaca sahaja. Tak lupa pada pengisian al Quran, dan cara hidup berpandukan al Quran. Tak lain, ibubapa sendiri perlu menunjukkan contoh buat anak anak. 

Semoga diterangkan hati, ditunjukkan jalan, agar hidup terang bersuluhkan cahayaNya. 

Aameen













0 comments:

Post a Comment