Tuesday 9 August 2016 By: Naemah

TAKDIR BUAT ANAKKU

Adakalanya kesian melihat anak anakku yang sering berjauhan dengan abinya. Berpisah berhari hari, selepas bertemu kemudian akan berpisah lagi. Dari tak biasa, kini anak anak dah jadi biasa.

Namun aku percaya pasti ini juga satu bentuk tarbiyyah dari Allah dalam membentuk peribadi anak anakku kelak. Pasti ada hikmah, pasti ada nilai yang baik di sisi Tuhan.

Malah, jika direnung kembali, bukan hanya anak anakku yang ada pada situasi seperti ini. Bagaimana dengan anak anak yang kematian bapa, bagaimana anak anak yang menjadi mangsa perceraian ibu ayah, bagaimana anak anak yang ditinggalkan hingga berbulan bulan lantaran si ayah perlu pergi jauh kerana tanggungjawab, dan berbagai situasi lain yang mungkin...

Anak anakku, takdir buat kalian adalah yang terbaik. Perpisahan tidaklah terlalu lama, malah perpisahan sering diiringi dengan pertemuan. Alhamdulillah. 

Kerana itu, bila abi ada di sisi manjanya lain macam. Abi pula melayan sepenuh hati, memenuhi hampir segala permintaan. Begini ragam ayah dan anak yang sering berjauhan, hanya yang merasa akan mengerti.

Bila abi tiada, hatiku bagai tercarik lagi melihat anak anak yang setia menanti kepulangan abinya. Mereka semakin mengerti, mereka lebih sabar menanti. Mereka yakin, perginya abi pasti akan kembali lagi. Insya Allah.

Di rumah, watak ibu memainkan peranan yang sangat penting. Agar anak anak merasakan, abi sentiasa ada. Setiap hari bercerita dan menyebut tentang abi, tak lupa mengajak anak anak berdoa untuk abi. Biar abi sentiasa dekat di hati mereka. 

Ya, takdir Allah adalah yang terbaik dan terindah. Anak anakku bakal menjadi besar dan dewasa. Akan lebih mengerti dan memahami erti perpisahan ini. Akan lebih menghargai abi yang berkorban demi sesuap rezeki. Bukan abi sengaja ingin pergi, tapi kerana di sana adalah tempat abi mencari rezeki.

Semoga setiap perpisahan akan menjanjikan pertemuan. Aameen






0 comments:

Post a Comment