picture: here |
Usia perkahwinanku kini dah masuk 5 tahun 8 bulan. Dah melepasi 5 tahun pertama. Alhamdulillah :) Bahagia menjadi isteri pada suami yang sangat kucintai. Meskipun dalam tempoh ini juga la kami mula berkenalan dan bercinta. Dan dalam tempoh ini juga lah aku bergelar seorang suri rumahtangga, walaupun aku ada kelulusan yang 'mungkin' melayakkan aku untuk mendapat kerjaya yang baik di luar sana.
Menjadi suri rumahtangga.. Pertamanya atas pilihan sendiri. Suamiku tidak memaksa, namun aku tahu dia lebih suka isterinya tidak bekerja.
Hari ini, ramai isteri yang berkerjaya. Mereka bekerja di atas sebab tersendiri. Namun wanita bekerja bukan lagi dipandang pelik pada hari ini. Mereka ada pendapatan sendiri, sedikit sebanyak membantu suami dalam perbelanjaan isi rumah yang kian meningkat. Alhamdulillah, itu pilihan mereka dan rezeki yang Allah takdirkan buat mereka.
Aku sebagai suri rumahtangga, bahagia dengan pilihanku. Dari tak tahu apa apa bab menguruskan rumahtangga, aku belajar dan terus belajar, meski masih banyak kekurangan dan masih kurang cekap lagi. Bab masak memasak, mengemas rumah, menjaga anak anak, dulunya sangat aku jahil, dan pandang mudah saja. Kini dah bergelut dalam dunia rumahtangga ini, baru tahu segalanya tak mudah, malah sangat mencabar :)
Menjadi suri rumah juga boleh dikatakan kita tak bergaji. Tak pegang duit sendiri, kecuali jika suami yang berikan. Sikit atau banyak, terima saja dengan pasrah dan syukur. Bagiku, cukup sudah suami sediakan makan pakai dan segala keperluan. Tak pegang duit pun tak apalah. Aku belajar melupakan semua kehendak yang kurang penting.
Alhamdulillah suamiku telah menyediakan kecukupan buatku. Malah, sudah lebih dari cukup hingga aku rasa tak ada apa yang nak diminta lagi. Apa yang dirasakan perlu, suarakan saja. Dia tak lokek untuk cuba memenuhi permintaan isterinya.
Mungkin ada hikmahnya bila aku ditakdirkan untuk tidak bekerja. Pertama, anak anak sudah semestinya dijaga dan diasuh oleh ibu mereka sendiri. Buat anak anakku, dijaga ibu sendiri adalah yang terbaik buat mereka. Untuk anak orang lain (jika ibu mereka bekerja), mungkin ada takdir lain yang lebih baik buat mereka.
Kedua, bila tidak 'berduit', aku belajar menahan nafsu dan kemahuan yang tidak terbatas. Tak dinafikan, kita ada kemahuan yang tersendiri. Bila sedar diri tak berduit, kita akan lebih berfikir panjang apakah ia keperluan atau sekadar kehendak. Jika rasa perlu, boleh saja minta pada suami. Jika sebaliknya, lupakan saja :)
Mungkin ramai yang di luar sana yang sedang berkira kira untuk berhenti bekerja dan menjadi suri rumah. Namun pastinya sukar untuk memilih dan membuat keputusan kan? Istikharah adalah yang terbaik, semoga Allah tunjukkan jalan keluar dari dilema yang sedang dihadapi.
Pesanku, untuk menjadi suri rumahtangga kita tetap perlukan persediaan mental dan fizikal. Pertama, jadikan anak anak sebagai motivasi utama kita. Ingat pada anak anak yang perlukan perhatian kita sebagai ibu. Jika sebelum ini kita sudah berikan yang terbaik buat mereka, mungkin kita boleh beri lebih baik lagi buat mereka sekiranya kita tidak bekerja, Insya Allah. Kedua, jika sebelum ini kita sudah biasa 'mewah' kerana ada pendapatan sendiri, dan boleh beli apa saja tanpa halangan sesiapa, lepas ni bila dah tak kerja kita perlu belajar melupakan segala kehendak yang tidak penting. Pada mulanya mungkin sukar, lama kelamaan insya Allah akan jadi biasa.
Yang penting, memilih menjadi suri rumahtangga tetap perlukan keikhlasan dan kesabaran yang kuat. Orang kata kita tak bekerja, sebenarnya kita penat di gelanggang yang kecil ini. Malahan kita juga perlu berhadapan dengan karenah anak anak kecil yang belum sepenuhnya mengerti, setiap hari, 24 jam. Mereka perlukan perhatian, layanan, pantauan, dan bantuan kita hampir setiap masa. Dalam situasi mencabar, kita perlu bijak menjaga emosi dan mengatasi rasa marah.
Sampai di sini saja, tentang 'aku suri rumahtangga'. Bukanlah bermaksud suri rumahtangga lebih baik dan lebih mulia dari mereka yang bekerja. Siapa pun boleh jadi lebih baik, asalkan tahu di mana tempat diri dan tanggungjawab. Hidup ini tetap diberi pilihan. Hanya diri kita yang tahu mana lebih baik buat kita, dan yang mana akan buat kita lebih happy dalam menjalani hidup. Ya, suri rumah adalah pilihanku, dan aku bahagia dengan pilihan ini.
Isteri, berkerjaya atau tidak, tetap seorang isteri dan ibu yang perlu sedar bahawa rumahtangga adalah yang utama buat mereka. Semoga kita mampu menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan anak anak. insya Allah.
0 comments:
Post a Comment