Thursday 18 August 2016 By: Naemah

SEJENAK DI KLINIK


Sepanjang mengandung 9 bulan, sepanjang tempoh itu jugalah aku perlu berulang alik mengunjungi klinik desa dan klinik kesihatan untuk check up kandungan dan temujanji doktor. Dah makin sarat ni, makin keraplah ke klinik :)

Dalam tempoh ini, ada sekali dua aku ditemani anak anak. Selebihnya hanya sendiri saja di klinik tanpa ada yang menemani. Suami hanya menghantar dan mengambilku dari klinik. Ketika aku di klinik, tugasnya menjaga dan melayan anak anak di rumah. Itu sudah lebih dari cukup. Kerana tanpa dia, agak sukar bagiku kerana perlu membawa anak anak sekali ke klinik. Kalau sekejap tak mengapa, ini makan masa berjam jam di klinik. 

Di klinik, aku banyak melihat ibu ibu yang sepertiku, seorang diri tanpa ditemani, dan tak kurang juga yang datang ditemani suami atau saudara. Bertuahlah, bagi mereka yang sering ditemani suami. Mungkin suaminya tak bekerja waktu tu, atau ambil cuti semata nak teman isteri. Mungkin juga, pasangan baru yang menanti kelahiran anak pertama. Dan segala yang mungkin. Mereka beruntung dikurnia suami yang penyayang dan mengambil berat, insya Allah. 

Namun yang datang sendiri tanpa ditemani suami (termasuk aku), adakah kerana suami tak sayang dan tak ambil berat? Eh, tak juga. Jangan terus nak menghukum. Ada isteri yang lebih selesa datang sendiri tanpa ditemani suami. Ada isteri yang suaminya perlu bekerja, pada masa dan ketika itu. Makan gaji pulak tu. Tak boleh ambil cuti sesuka hati. Ada isteri, yang suaminya perlu menjaga anak anak yang lain di rumah semasa isteri tiada, seperti aku :) kalau bawa sekali ke klinik, takut sukar nak kawal pula. Dan berbagai alasan lagi yang membuatkan suami tak mampu menemani isteri. 

Kalau bertanya padaku, aku juga suka jika suami datang menemaniku.Seperti  mengandungkan anak sulung dulu, hampir setiap temujanji dia datang bersama. Bila mengandung anak kedua, ada juga sesekali dia teman sambil jaga yang sulung. Kini yang ketiga, dah tak mampu nak teman sebab anak anak tengah lasak, tak boleh bawa bersama dan berada di klinik lebih lama. Takut menganggu staf dan pesakit lain juga :) maka aku sangat faham.. Bukan suami tak mahu teman, cuma suami perlu pilih yang lebih baik, iaitu menjaga anak anak di rumah. 

Namun suami, hal menemani isteri di klinik adalah hal yang sangat kecil. Isteri boleh faham jika suami tak mampu nak teman. Lebih dari itu, isteri nak suami ambil berat tentang isteri yang sedang mengandung. Keadaan mengandung dan tidak mengandung sangat berbeza. Kalau tak teman pun, apa salahnya mendengar apa yang isteri nak luahkan. Kadang dia rasa lemah tak berdaya, adakalanya sakit kepala, tak berselera makan, datang rasa risau macam macam, di klinik pula diingatkan dengan berbagai pesanan... Nak juga suami ambil tahu dan cuba faham keadaan diri. Jika suami tak sudi nak bertanya, nak mendengar pun jauh sekali... Itulah yang buat isteri jauh hati dan sedih sebenarnya.

Isteri, demi kesihatan diri dan anak yang dikandung, teruskan memenuhi temujanji yang telah ditetapkan. Siapa lagi yang akan lebih mengambil berat pada kesihatan diri kita dan anak yang dikandung, jika bukan kita sendiri. Tak mengapa tidak berteman, dan tak perlu jealous tengok orang lain ditemani suami. Soal berteman atau tidak, itu hanya soal kecil. Yang penting suami ambil berat tentang diri kita yang sedang mengandung :)

Senang melihat situasi isteri yang ditemani suami di klinik, namun meski tanpa dia menemani, tetap dia yang terbaik untukku. Bersyukur sepanjang mengandungkan anak yang pertama, kedua, dan ketiga ini, dia tetap suami yang baik, yang menjaga dan mengambil berat dengan cara yang tersendiri. My husband is the best! Dan untuk anda, sudah pasti suami andalah yang terbaik :)

Belajar bersyukur dan menghargai

0 comments:

Post a Comment