4 Ogos 2016, tarikh bermulanya Anas makan sendiri, tak bersuap lagi sehingga hari ini. Sudah boleh dikatakan satu kejayaan, kerana sebelum ini juga pernah mencuba, tapi hanya bertahan untuk beberapa hari saja. Selepas itu dah tak nak makan sendiri. Mahu ummi suapkan juga. Nak dengan ummi saja, dengan abi pun selalu menolak untuk disuapkan. Maka dah menjadi tugas ummi suapkan Anas dan Mussaab, setiap hari dan setiap kali waktu makan.
Dah berkali pujuk untuk dia makan sendiri. Namun tak berjaya juga meskipun dah berumur 4 tahun. Sering juga motivasikan dia dengan menyebut nama sepupu sebayanya yang dah cekap makan sendiri. Umar, Uwais, Eiman, Muhammad... Mereka semua dah lama makan tak perlu disuap. Tapi, macam tu juga la. Nak ummi suapkan juga.
Kadang ummi pernah marah membentak, kerana penat nak melayan setiap kali waktu makan. Bukan sekejap masa diambil di meja makan, tambahan banyak kerja lagi nak dibuat. Tapi Ummi tahu ummi silap. Maafkan ummi ya. Ummi sepatutnya lebih bersabar.
Baru baru ini ummi ditegur. Ditegur melalui pembacaan ummi. Kenapa nak merungut marah jika anak masih nak makan bersuap. Tak kira berapa umurnya sekarang, percayalah anak anak takkan selamanya mahu makan disuap. Sampai masanya, anak anak dah tak mahu disuap lagi. Ya, begitulah antara tegurannya. Malah dihuraikan lagi kebaikan kebaikan menyuapkan anak makan. Tak kira seorang, dua orang atau lebih, sangat banyak manfaatnya. Seperti merapatkan hubungan ibu dan anak,antara adik beradik, dan banyak lagi. Hati ummi disentap sayu. Benar, inilah yang ummi sedang lalui dan rasai. Bukan semua orang dapat pengalaman sebegini kan??
Selepas itu ummi lapangkan hati, biarlah sampai bila pun Anas nak ummi suapkan makan, ummi takkan paksa Anas makan sendiri lagi. Hingga sampai saatnya Anas rela hati mahu makan sendiri.
Ya, tak lama lepas tu Anas sendiri yang minta nak makan sendiri. Ummi terpana, dalam gembira ada rasa terharu. Rupanya dah tiba masanya Anas bersedia untuk makan sendiri. Ummi sedih, sebenarnya ummi patut lebih bersabar dari dulu. Tapi tak mengapa, kini masa untuk Anas belajar kemahiran baru, kemahiran untuk makan sendiri. Jika kanak kanak sebaya Anas dah cekap makan sendiri, Anas baru nak mula belajar. Cara pegang sudu masih perlu dibetulkan. Cara kaut nasi dan suapkan nasi juga sama. Masih tertumpah sana sini.
Namun tak sangka sampai hari ini Anas dah tak minta ummi suapkan makan lagi. Anas mencuba, dan semakin pandai menyuap makan sendiri. Ummi gembira dan bangga. Anak ummi dah besar kan :,)
Mussaab lain pula ceritanya. Dari dulu sering minta nak makan sendiri. Tapi faham faham saja, tertumpah sana dan sini. Dia rela disuap, melihat abangnya makan bersuap. Tapi kini bila Anas dah makan sendiri, dia juga asyik minta nak makan sendiri. Sesekali biarkan saja dia menyuap makan sendiri. Masih banyak yang tertumpah. Tapi lebih cekap berbanding sebelum ini. Alahai... Ummi dah tak perlu suap anak makan lagi ke? Ummi rasa terlepas satu tanggungjawab, tapi ummi rindu sebenarnya :,) Mussaab nampaknya tak lama nanti, memang dah tak mahu ummi suapkan lagi. Tak mengapalah, mana yang terbaik. Tak lama lagi ummi juga akan lahirkan adik, tak boleh juga nak suapkan makan lagi. Harapkan abi saja lepas ni.
Begitulah sedikit catatan tentang anak sulungku yang akhirnya dah tak makan bersuap lagi. Di umurnya 4 tahun 7 bulan, dia tak mahu lagi ummi suapkan makan. Lama juga tempoh menyuap dia makan. Benarlah, menyuapkan anak makan merupakan satu momen yang indah dan mengeratkan hubungan ibu dan anak. Masa makan dia dekat dengan kita. Saling berbual dan menatap mata, alangkah bahagianya. Bila dia tak makan bersuap lagi, seolah dia selangkah jauh dari kita. Sedih juga rasa. Tapi terima saja, kerana dah tiba masanya...
Pengajaran buat diriku, agar pada anak anak yang akan datang, aku akan lebih ikhlas melayan. Suapkan mereka makan selagi mereka mahu disuapkan. Ye, takkan selamanya dia mahu makan bersuap. Sampai masanya dia takkan mahu disuap lagi. Kita pula yang akan merindu saat menyuap makan anak anak :,)
0 comments:
Post a Comment