Friday 7 August 2020 By: Naemah

TRAGEDI DI TASIK DAYANG BUNTING



Mengimbas kembali kisah percutian singkat di Pulau Langkawi baru-baru ini, baru berkesempatan (dan baru diberi kekuatan) untuk menulis tentang satu pengalaman pahit di sana. Ya, di dalam gembira terselit kisah yang penuh mendebarkan, seterusnya tersimpan menjadi kenangan, iktibar dan pengajaran buat diri.


Bermula kisahnya, pada hari ke-2 di Pulau Langkawi kami mengambil pakej island hopping. Kami dibawa menuju ke 2 buah pulau iaitu Pulau Dayang Bunting dan Pulau Beras Basah. Sebenarnya ini sudah kali ke-3 kami naik bot dan menuju ke tempat yang tersebut. Tetapi kali ini kami ‘dihadiahkan’ pengalaman berbeza.


Kami tiba di destinasi pertama, iaitu Pulau Dayang Bunting. Sebelum ini aku hanya duduk menunggu di bawah, tak menyertai yang lain naik ke atas, di mana terdapat satu tasik yang dinamakan tasik dayang bunting di atas sana. Aku langsung tak berminat untuk ke sana oleh kerana tak mahu ‘bertembung’ dengan monyet-monyet hutan yang berkeliaran di sana. Aku lebih rela duduk di satu tempat dan menunggu sehingga sampai masanya untuk menaiki bot dan menuju ke destinasi seterusnya.


Tapi kali ini berbeza, bila aku mengambil keputusan untuk naik ke atas. Nak dijadikan cerita, sesampainya di sana, Anas mengadu lapar dan minta belikan makanan yang dijual di cafe. Aku membelinya jagung rebus dan menunggu sehingga dia selesai makan. Sementara itu suamiku naik ke atas bersama Mussaab dan Miqdad. Pada mulanya aku hanya mahu tunggu di bawah, tapi oleh kerana Anas pun mengajak untuk naik ke atas, aku turutkan juga. Lagipun pengunjung tak ramai (tak ada pengunjung lain yang menunggu di bawah). Padaku, ok juga naik ke atas sebab tak pernah naik, kan. Boleh tengok macam mana pemandangan di sana. Suami pun dah call dari sana dan mengajak aku dan Anas naik menyertai aktiviti di Tasik Dayang Bunting- perlu membayar tiket lain untuk masuk ke kawasan Tasik Dayang Bunting.


Untuk sampai ke Tasik dayang Bunting, kami perlu menaiki anak tangga yang agak tinggi juga. Di sepanjang perjalanan itu Tuhan saja yang tahu ‘takut’nya aku saat bertembung dengan kumpulan monyet yang lalu lalang di situ. Tak mampu nak berlagak ‘biasa’, sebab aku memang takut pada monyet. Dalam hati ni berdebar sakan takut kena serang dek monyet. Dah la suasana agak sunyi, sebab pengunjung lain semua dah sampai ke tasik. 


Nak dijadikan cerita lagi, dah dekat nak sampai tasik (kena turun tangga yang agak cerun), dan dah nampak pun tasiknya. Tiba-tiba ada monyet datang dekat. Dia nampak tali beg yang terjuntai, dan nak mengambilnya. Apalagi, dalam berdebar sakan aku menjerit sekuatnya. Aku cuba halau dengan mengibar beg sandang yang aku pegang, tapi dia makin agresif. Anas cuba halau juga, tapi makin juga dia mendekat dan menyeringai. Kerana takut, aku baling beg tu dan jatuh ke bawah tebing. Monyet tersebut terus melompat untuk dapatkan beg dan cuba larikan beg. Mungkin beg berat, tak dapat dibawa lari. Digigitnya pula. Dalam takut, risau juga sebab dalam beg tu ada Hp dan purse. 


Alhamdulillah kebetulan masa tu ada seorang pengunjung (lelaki) yang tengah duduk di bawah tangga yang aku nak turun tadi. Dia datang dekat, cuba tenangkan aku yang dah berpeluh satu badan menahan takut. Dia suruh aku jalan, dia cuba nak ambilkan beg dan halau monyet tu. Dalam masa yang sama suamiku muncul dari arah tasik tadi. Dia yang ambilkan beg dan kami menuju sama-sama ke tasik. Debaran beransur pergi. Alhamdulillah beg selamat. Tapi aku memang rasa ‘menyesal’ tak tunggu je kat bawah tadi. Terus hilang mood nak menikmati keseronokan di Tasik Dayang Bunting. 


Tapi sebenarnya itu belum lagi tragedi yang sebenar yang aku nak tulis di sini. Hmm. Oklah, sambung kisah seterusnya. 


Di tasik dayang bunting ini, suamiku mandi dan berenang bersama Anas, Mussaab dan Miqdad. Seronok semuanya dapat berenang di tasik yang agak luas (dan dalam) ni. Aku hanya mendukung Suri, menikmati pemandangan sekitar tasik dan mengambil gambar. 


Tiba masanya  untuk balik ke jeti dan menaiki bot. Suamiku dan anak-anak sudah selesai bermain air. Aku yang sedang mengambil gambar memberi arahan pada suami dan anak- anak untuk berdiri di satu sudut, untuk tangkap gambar mereka berlatarkan pemandangan bukit di belakang (sambil memangku Suri). Aku cuba nak dapatkan gambar yang paling cantik. Aku mengundur ke belakang selangkah demi selangkah. Suami pula masa tu tengah sibuk dengan anak-anak, tak melayan sangat aku yang tengah excited nak tangkap gambar. Saat mengundur tu akhirnya aku sampai ke hujung platform dan sebab tak dapat nak balance badan (sebelah kiri memangku suri, sebelah kanan pegang Hp), aku terjatuh ke dalam tasik- jatuh dalam keadaan badan terpelanting ke belakang. Ya, masa tu aku tak pakai life jacket. Aku dan Suri sekelip mata terjatuh. 


Saat terjatuh, aku pun tak tahu apa yang aku rasa sebab rasa macam mode slow motion gitu (macam dalam drama tu). Tika itu terdetik  di hati ‘Ya Allah, apa lagi ujian hari ini’ kali ini bukan debaran yang aku rasa, tapi sebuah ‘kesayuan’ dan ‘pengharapan’. 


Dalam masa yang sama aku pegang erat Suri, Hp juga memang tak terlepas dari tangan aku.  Dalam kepayahan itu juga aku berusaha untuk berenang naik ke atas dengan penuh pasrah. 


Dan kala itu juga ‘hero’ aku, iaitu suamiku sepantasnya terjun ke tasik (dia memang dah pakai life jacket) dan menarikku dan Suri. Dalam masa yang sama ada beberapa pekerja dan pengunjung yang lain yang datang berkerumun dan cuba membantu. Suamiku sepantasnya menyerahkan Suri (yang terkejut dan menangis masa tu) kepada mereka yang berada di atas, dan dia memegang kuat aku yang dah tak keruan di dalam air. Pekerja di situ (yang sememangnya sudah terlatih) meminta aku terlebih dahulu bertenang sebelum kemudiannya aku ditarik naik ke atas.


Alhamdulillah, akhirnya aku ‘selamat’ ditarik naik ke atas. Aku tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan aku masa tu. Seperti bermimpi dan semuanya bagaikan sekelip mata. Dalam hati ni rasa sedih, sayu, dan seperti berkecai hati ni rasanya. Tapi aku tak mampu nak menangis (masa tu). Terkejut barangkali. Tak percaya barangkali. Suri dipangku seorang kakak yang dari tadi memujuknya. Alhamdulillah tangis Suri tak lama. Aku ditenangkan oleh mereka yang ada di situ, dan mereka memberiku minum untuk kembali bertenaga. Aku tak mampu untuk berkata apa. Senyum dalam kepahitan. Selepas berehat dan bertenang seketika, kami beransur meninggalkan tempat itu. Meninggalkan ia dengan kenangan ‘pahit’ sangat rasanya ketika itu. 


Menaiki bot merentas lautan yang luas mata memandang, hati aku ketika itu kosong. Berkaca mata, Maha Baiknya Allah pada aku. Masih memberiku peluang untuk ‘hidup’. Kata suamiku, kedalaman tasik itu ialah sekitar 15 meter, boleh muatkan sebiji kapal. Saat itu juga terngiang suara seorang kakak di tempat kejadian tadi, katanya kedalaman tasik ini seperti sebuah bangunan 5 tingkat. Hati gerun saat mendengar. Ya Allah... Kerana kasihMu, aku masih lagi di sini. Di dunia ini. Di samping suami dan anak-anakku. Aku tak dapat menahan sebak.


Memandang wajah suri, aku kesayuan. Alhamdulillah Suri masih bersama ummi, bersama Abi dan abang-abang. Teringat tangan ummi yang memangku Suri erat di ketika itu. Tak akan melepaskan! 


Handphone yang aku pakai masa tu sebenarnya Hp suami yang baru lebih kurang sebulan dia pakai. Hp baru. Sedikit sebanyak aku serba salah menyebabkan Hp dia rosak. Tapi katanya, ‘Abi tak kisah Hp ni rosak. Yang penting ummi dan Suri selamat. Itu yang paling Abi bersyukur. Dan dari apa yang dah terjadi, Abi yang paling rasa trauma sebenarnya....’ mahu gugur juga air mataku bila mendengarnya. Aku faham... dalam diam dan terkelu lidahnya nak berkata-kata, aku dapat rasakan keresahan hatinya yang Tuhan saja yang tahu. Seperti aku, dia juga bagai tak percaya dengan apa yang telah terjadi. Cemas dalam sekelip mata. 


Dan kisah itu tinggal sebagai kenangan. Kenangan yang sangat memberi kesan di hati. Bila diingat kembali, berbagai rasa hadir. Akhirnya tetap kupanjatkan syukur. Syukur masih diberi ‘peluang’ olehNya untuk meneruskan kehidupan di dunia ini bersama yang tercinta. 


Dan bersama peluang yang masih diberikan Tuhan ini, moga aku mampu untuk ‘sedar diri’ dan mampu untuk berubah menjadi yang lebih. Walau hakikatnya hingga ke saat ini.. aku tetap mengulangi kekhilafan demi kekhilafan yang sama. Sampai bila... 


Ya Allah ampunkan dosa-dosaku. Ingatkan aku selalu! Jentikkan hatiku dengan kisah ini biar aku sentiasa ingat! Ingat akan rahmat-Mu, ingat akan cinta suami dan anak-anak yang tulus suci. Aku perlu jadi yang lebih baik!


Dan kata suami, setiap kali kita ‘selamat’ dari tiap musibah yang menimpa, itu sebenarnya datang dari doa ‘ibu’ kita yang tak pernah jemu mendoakan kita. Asbab doa mereka, Allah sentiasa lindungi kita :, dan aku akui segala katanya. Tak sekali menafikan. Kerana itu juga yang terdetik dalam hatiku. 


Betapa doa ibu itu satu keramat.

Betapa rahmat dan kasih Allah terlalu luas.

Betapa berharga anugerah kurniaan Allah terhadapku- suami, anak-anak, dan ahli keluarga yang lain.

Moga aku lebih tahu untuk menghargai dan mencintai setulusnya. 



Pulau Dayang Bunting di sana

(Kelihatan seperti perempuan mengandung yang sedang berbaring)



Teman Anas makan di sini sebelum naik ke tasik






Antara aktiviti di tasik dayang bunting








Suami dan anak-anak berenang di tasik

Lihatlah airnya yang berwarna hijau kegelapan



Dalam bulatan-tempat aku dan suri terjatuh 

(Gambar dari Google)



Baca link ni untuk tambahkan rasa seram

.

.

.

Tasik Dayang Bunting


Dan bila Google, banyak kisah yang bersangkut paut dengan kes mati lemas di Tasik Dayang Bunting. Boleh dikatakan setiap tahun ada ‘korban’ di sana. Allah. Masih seram sejuk rasanya. Dan sekali lagi ALHAMDULILLAH ... Allah masih anugerahkan aku kehidupan di dunia ini.



Catatan perjalanan ke Pulau Langkawi yang lepas 

Pulau Langkawi: Percutian PKPP







0 comments:

Post a Comment