Alhamdulillah kini sudah di tahun ke-10 perkahwinan aku dan suami. Alhamdulillah kami sudah dikurniakan 4 cahaya mata penyejuk hati.
Bicara tentang cahaya mata, 4 orang rasanya dah cukup ramai dah untuk zaman sekarang ni (walaupun ada je yang lebih sampai 10 orang kan). Pada aku personally, kalau boleh nak tambah lagi sebab memang teringin nak ada ramai anak :)
Baiklah, berbalik kepada realiti, setelah aku kini mempunyai 4 orang anak, adakah aku masih nak tambah anak lagi dalam masa yang terdekat ni? Takdir tetaplah takdir, namun aku menulis ini sebagai panduan dan perancangan yang terbaik untuk kehidupan aku, suami dan anak-anak.
Jawapan untuk persoalan tadi ialah YA, aku masih ingin menambah zuriat lagi jika Allah izinkan. Tetapi, bukanlah dalam masa yang terdekat ini (walaupun sebenarnya usia pun dah makin meningkat). Sebagaimana sebelum ini aku cuba jarakkan at least 2 tahun untuk setiap anak, untuk yang seterusnya juga aku plan macam tu juga.
Cuma kini, bila dah ber-anak 4, dan yang kecil masih belum masuk setahun lagi umurnya, aku rasa ‘penat’ untuk fikir pasal ‘tambah anak’ lagi. Penat.. itulah realitinya. Mungkin kerana suami yang selalu jauh dalam tempoh yang lama (di musim wabak ini normal kerja dah jadi lain), aku seorang uruskan anak-anak di samping urusan yang lain, memang aku rasa penat sangat. Bukan aku nak mengeluh, aku dah ajarkan hati untuk redha atas ketentuan ni, cuma aku tetap perlu akui yang aku memang penat bila perlu lakukan semua sendirian.
Tambahan pula, bila sekarang sibuk dengan yang kecil (yang agak clingy), anak-anak yang lain seakan terabai, masing-masing bermain sesama sendiri dan buat hal sendiri. Kesian Miqdad, dulu dia yang dimanja-manja kini bila dah ada adik, tak boleh nak manja seperti dulu lagi. Kadang-kadang terpaksa buat ‘perangai’ semata-mata nak raih perhatian. Biarpun perhatian yang diberi bukan dalam bentuk yang dia mahukan. Sungguh kesian :,(
Hanya bila suami ada kat rumah, barulah rasa boleh ‘bernafas’ lega sikit. Sekurang-kurangnya kerja-kerja di rumah dah boleh dibahagi dua. Atau sekadar beri perhatian pada anak yang kecil, sementara anak-anak yang besar dia yang uruskan.
Hakikatnya menguruskan anak-anak bukan hal yang remeh. Bukan sekadar cukupkan keperluan makan minum dan sekolah saja. Banyak hal yang perlu diberi perhatian termasuk untuk ‘mendengar suara hati’ masing-masing. Kerana mereka juga mahu didengar dan difahami.
Itu belum masuk bab nak handle karenah dan ragam masing-masing. Memang hari-hari rasa ‘penat’ sangat mental, lebih dari penat fizikal. Kalau ada pula yang tak sihat badan, resah hati bawa ke tidur.
Itulah, fikirkan nak tambah anak lagi, memang teringin. Tapi untuk masa terdekat ini mungkin belum lagi. Namun tetap berserah pada takdir. Allah lebih tahu setakat mana kekuatan hamba.
Sering tidur malamku diiring rasa bersalah pada anak-anak. Apa yang aku dah beri pada mereka sepanjang hari ini? Apa manfaat yang mereka dapat dalam kehidupan seharian mereka di rumah ini? Apa mereka redha, punya ibu yang tak sempurna memberi dan mendidik?
Allah, Kau lebih tahu tahap kekuatanku. Aku redha dengan kehidupanku hari ini. Aku faham, tiap orang ada ujian tersendiri, ada struggle masing-masing dalam hidup ni. Aku tak terkecuali...
Moga aku tetap teguh di sini, berusaha lagi untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak. Jatuh dan bangun itu memang sudah biasa. Biar berkali, aku tetap mencuba untuk bangkit. Dan bangkit lagi. Demi amanah Allah ini.
Jadi untuk sekarang. Syukur untuk yang ‘empat’ ini. Perlu upgrade diri lagi, siap fizikal dan mental sebelum nanti Allah hadiahkan yang ke’lima’. Insya Allah :)
Suami? Dia pernah luahkan rasa ‘kesian’ pada aku yang penat mengandung, melahirkan dan jaga anak-anak semua. Dia ok saja, masih teringin nak tambah anak, tapi katanya biarlah pada masa aku sendiri dah ‘ready’ nak mengandung lagi.
Insya Allah jika masih ada rezeki untuk kami :)
0 comments:
Post a Comment