Hari minggu. Hari kedua abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi seperti biasa (lewat sikit), mandi dan berpakaian. Miqdad ikut ummi beli nasi lemak di luar. Anas dan Mussaab tinggal di rumah menonton tv dan melukis. Mussaab pagi ni dah start dengan aktiviti menggunting.
Lepas sarapan bersama, sambung membuat aktiviti masing-masing. Mussaab asyik menulis nama ahli keluarga di kertas. Tak cukup satu kertas, tambah kertas lagi. Miqdad jadi teman memerhati Mussaab yang tekun menulis. Anas melayan video Minecraft di tv.
Jam 9.45, ummi sempat ajar Anas bab solat, diambil dari buku hadis yang dah lama dibeli, tapi baru berkesempatan untuk menekuninya. Kemudian Anas melukis, dan belajar tentang evolusi ‘rumah’ dì Malaysia. Kemudian sambung buat latihan mental Arithmetic, revision lagi, dah masuk buku 4 (kawan 5). Mussaab tekun lagi di meja kecilnya membuat aktiviti melukis pula. Miqdad pula sekejap ke sana, sekejap ke sini, memerhati dan ‘mengacau’ abang-abang buat kerja. Saja, minta perhatian.
Jam 11, ummi masuk dapur untuk memasak. Anas, Mussaab dan Miqdad kembali menonton tv. Anas kini obses dengan video ‘zombi’, adik-adik terpaksa ikut tengok sekali. Sesekali buka video dinosaur yang menjadi kesukaan Miqdad. Mussaab banyak mengalah bab menonton, dia banyak membuat aktiviti mengikut ‘kreativiti’. Rumah dah bersepah, segala macam barang ada di lantai ,:/
Siap memasak, makan bersama. Mussaab makan pulut, Anas makan nasi lemak pagi tadi yang masih berbaki, Miqdad pula tak ada selera nak makan. Berjalan ke sana ke mari. Dah mula menangis dan merengek, ada saja yang tak kena. Selesai makan, kembali menghadap tv. Miqdad tenang seketika, dapat ummi siapkan kerja mengemas dan menyiram tanaman di luar.
Jam 1, naik ke atas. Bersedia untuk tidurkan Miqdad. Mussaab juga naik sekejap, turun semula ke bawah. Anas pun sama. Masing-masing membuat aktiviti sendiri di bawah. Miqdad lena di pangkuan ummi. Ummi juga mengantuk dan tidur bersama Miqdad. Tengah tidur, terdengar pintu dibuka dan ditutup beberapa kali. Mussaab keluar masuk bilik dan buat aktivitinya keseorangan. Beberapa kali dia panggil ummi dan bertanya ejaan nama ahli keluarga yang dia tengah obses nak menulis dari semalam, dan bertanyakan umur. Sampai ummi minta dia stop kejutkan ummi dan tunggu ummi bangun.
Jam 3.30 Miqdad bangun dari tidur. Mussaab yang tadinya asyik dengan ‘kerja’nya, dah tidur di sebelah Miqdad. Alahai kesian Mussaab. Entah dah siap ke belum kerja dia yang dia semangat sangat buat tadi. Ummi rasa bersalah, tak layan ‘kerajinan’ Mussaab tadi. Ummi masih baring di tilam, tunggu sehingga Mussaab bangun. Bila Mussaab dah bangun, semua turun ke bawah. Anas sedang melayan video. Entahlah apa yang dibuat di bawah sejak tadi. Nak ajak tidur, memang takkan lah Anas.
Anas request nak roti Nutella, dan habiskan 2 keping roti. Miqdad juga makan sekeping. Mussaab pula sambung makan pulut kuning kesukaannya. Lepas tu lepak depan tv lagi, dancing dan gelak ketawa sama-sama 3 beradik.
Jam 5 petang, keluar bermain di luar pula. Setengah jam kemudian masuk semula. Layan tv lagi. Ummi goreng nasi dan suapkan Mussaab dan Miqdad. Anas tak nak makan, sudah kenyang katanya. Lepas makan, sessi kerahan tenaga, kemas rumah bersama-sama. Sambil mengemas, sambil bermain. Aduh, geram yang amat! sabar jelah.
Hampir jam 7, naik mandi dan berpakaian malam. Sementara menunggu waktu untuk baca al-Quran, Anas, Mussaab dan Miqdad buat aktiviti di buku sama-sama. Riuh rendah lagi dengan suara seperti kebiasaannya. Kemudian baca Al-Quran, Iqra dan hafazan. Turun ke bawah sekejap minum madu dan air. Naik semula ke atas. Ummi susukan Miqdad, Anas dan Mussaab buat hal sendiri di luar. Miqdad terlena sudah.
Sekejap kemudian Anas dan Mussaab masuk ke bilik. Dah bosan, tak tahu nak buat apa. Mussaab tadinya mengadu sakit tekak, mungkin faktor cuaca, ada kebarangkalian untuk selesema. Semoga akan baik, insya Allah. Anas dan Mussaab baring di tilam. Bergolek ke kanan dan ke kiri, akhirnya terlena juga. Jam 9.30, sudah lena semuanya. Alhamdulillah.
Semoga bermimpi indah anak-anak ummi semua. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Insya Allah. Semoga Allah menjaga kita, dan menjaga abi yang jauh di lautan sana. Semoga akan kembali bertemu dan bersatu. Semoga Allah panjangkan usia kita, dan kurniakan kesihatan yang baik buat kita. Semoga bahagia selamanya kita, bersatu di dunia dan akhirat. Aameen.
0 comments:
Post a Comment