Wednesday 19 September 2018 By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190918







Hari ini kembali ke sekolah setelah 5 hari bercuti di kampung. Anas, Mussaab dan Miqdad bangun awal, mandi, makan dan bersiap dengan pakaian sekolah. Ummi beli nasi lemak saja hari ni, tak sempat nak masak. Abi masih berada di rumah, esok akan kembali ke Bintulu.


Anas dan Mussaab ke sekolah seperti biasa dihantar ummi dan Miqdad. Berjalan dan berlarian di sepanjang perjalanan ke sekolah. Selepas itu ummi balik bersama Miqdad. Miqdad bermain sendiri dan menonton video sendirian. Kemudian temankan ummi menjemur kain dan menyiram pokok di luar. Lepas tu makan 2 biji pisang dan menonton video lagi. Ummi siapkan kerja memasak. Abi tidur di atas. Tiada yang melayan Miqdad. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja :)


Jam 12, abi bersama Miqdad ke Tadika Little Diamond untuk ambil Anas dan Mussaab. Selepas itu abi ke ofis, tinggalkan Anas, Mussaab dan Miqdad di rumah bersama ummi. Masing-masing melayan video lagi. Mussaab makan sedikit nasi dan ayam goreng. Miqdad juga makan sedikit. Dah kenyang agaknya makan pisang tadi. Anas pula katanya dah kenyang, tak nak makan nasi. Hanya menonton video dan melukis. Mussaab buat ‘aktiviti’ menggunakan kertas. Berpakat dengan Miqdad hasilkan kapal terbang dan bot. 


Selepas zohor, ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab di bawah, dengan hal masing-masing. Ummi tidur bersama Miqdad. Belum sempat lelapkan mata, Mussaab naik ke bilik. Sudah kebosanan di bawah, minta Hp ummi dan kacau adik tidur. Miqdad bangun dan bermain bersama Mussaab. Keduanya turun ke bawah. Dapat ummi lelapkan mata sekejap.


Jam 3, abi balik. Mussaab dan Miqdad ikut abi naik ke atas. Ummi tak dapat lelapkan mata lagi. Mussaab dan Miqdad bermain dengan riang rianya di dalam bilik. Anas masih di bawah. Masih dengan video dan lukisannya. Ummi turun ke bawah bersama Mussaab dan Miqdad. Ummi goreng pisang dan keropok lekor, makan sama-sama. 


Cuaca gelap nak hujan, Anas keluar angkat kain di jemuran. Mussaab dan Miqdad juga keluar bermain di halaman rumah. Abi turun ke bawah, keluar sertai Anas, Mussaab dan Miqdad. Hujan sudah turun dengan lebatnya. Riuh rendah di luar. Rupanya semua tengah main hujan, termasuk abi sekali. Patutlah...


Guruh mula berbunyi. Semua masuk ke dalam rumah, mandi dan tukar pakaian. Selepas solat asar, Anas buat latihan Mental Arithmetic, hafal sifir 2 dan menjawab soalan tambah dan tolak secara ‘mental’. Mussaab dan Miqdad ikut abi ke kedai dobi untuk keringkan kain. 


Pukul 6 petang, asyik menonton movie ‘into the storm’ tapi tak tengok sampai akhir juga. Tukar movie ‘cars’ pula. Abi order McD untuk makan malam. Lama menunggu, lebih sejam baru sampai pesanan. Katanya ramai yang order hari ni, ditambah pula dengan cuaca hujan, itulah punca pesanan lambat sampai. Dah dapat makanan yang diorder, terus makan bersama-sama.


Masuk waktu isyak, abi ke surau solat berjemaah. Ummi solat sendiri. Anas, Mussaab dan Miqdad yang sudah mengantuk sambung melayan tv. Selepas itu ummi ajak naik tidur. Mussaab dan Miqdad ikut naik ke atas. Tinggal Anas yang masih setia di bawah. Sekejap saja susukan Miqdad dan temankan Mussaab, keduanya tidur dengan lena. Anas pula naik ke atas. Siap untuk tidur. Ummi temankan Anas tidur. Abi yang baru siap kemas pakaian untuk bermusafir esok, juga masuk temankan Anas hingga Anas tertidur. Jam 9.30 malam, sudah lena semuanya. Alhamdulillah.


Semoga bermimpi indah semuanya. Semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga segala urusan kita dipermudahkan. Esok abi akan keluar bermusafir dan mencari rezeki. Semoga akan dipertemukan lagi dan disatukan lagi keluarga kita bersama keredhaanNya. Aameen.

0 comments:

Post a Comment