Sunday, 30 September 2018 By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : LAWATAN SEKOLAH/FIELD TRIP


Foto: dari FB Little Diamond Kindergarten 



(Mungkin) ini entri yang terakhir untuk bulan September ini. Kali ini update tentang lawatan sekolah Anas dan Mussaab. Sepatutnya lawatan ini diadakan pada bulan lepas (Ogos), tapi ditangguhkan oleh sebab pada ketika itu sedang menularnya virus HFMD. 


Tarikh lawatan akhirnya ditetapkan pada 28/9/18 iaitu hari Jumaat. Lokasi lawatan mereka ialah Rabbit Fun Land Lenggeng dan Aisha Kidz Planet, Beranang. Kalau ikutkan makluman terdahulu, mereka sepatutnya ke Putrajaya, namun mengikut kata teacher Zeeda, lawatan ke sana dibatalkan atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Maka, muktamadnya mereka ke Rabbit Fun Land Lenggeng dan Aisha Kidz Planet dan makan tengahari di restoren KFC.


Hari ini anak-anak Little Diamond menaiki bas ke destinasi lawatan mereka. Kalau tak silap, mereka meninggalkan sekolah sekitar jam 9 pagi. Bukan kali pertama Anas dan Mussaab menaiki bas, namun sudah agak lama mereka tak naik bas. Pernah sekali dulu naik bas balik ke kampung, KL-Kota Bharu tahun 2015 dan itulah yang pertama kali. Pernah juga naik bas hop on hop off meninjau sekitar Bandar Kuala Lumpur pada tahun 2016. Anas pula, pernah dua kali menaiki bas ketika mengikuti rombongan sekolah Genius Aulad pada tahun lepas 2017. Makanya, mereka sudah ‘biasa’ menaiki bas, namun kali ni mungkin mereka menikmati pengalaman berbeza pula bersama guru dan kawan-kawan di Little Diamond Kindergarten.


Destinasi pertama mereka ialah Rabbit Fun Land Lenggeng. Di sini anak-anak kami ‘berinteraksi’ dengan haiwan peliharaan yang pelbagai jenis seperti arnab, lembu, ostrich, ayam, itik, kambing, unta pun ada (eh ye ke ada) Bukan sekadar tengok, anak-anak diberi peluang untuk belajar ‘menjaga’ haiwan tersebut seperti memberi makan, memerah susu, dan mereka juga diajar cara membuat sabun menggunakan susu lembu. Mereka juga diberi kesempatan untuk menangkap ikan, (dan bermacam aktiviti lain lagi agaknya) sudah tentu, mereka juga diberi penerangan dan ilmu baru tentang haiwan peliharaan di sana dan ilmu yang berkaitan dengannya. 


Selesai di Rabbit Fun Land anak-anak Little Diamond dibawa ke restoren KFC untuk menikmati makan tengahari mereka (menurut laporan anak-anak, mereka tak makan di restoren KFC, tapi makan di Aisha Kidz Planet) oklah, Seterusnya mereka dibawa ke Aisha Kidz Planet yang letaknya di Beranang, tak jauh dari rumah dan sekolah. Untuk Anas dan Mussaab, ini adalah kali ke-3 mereka ke Aisha Kidz Planet. Mereka pernah dibawa ke sana dua kali pada tahun lepas. Kiranya untuk tahun ini, inilah yang pertama kali :) dah tentu di sini anak-anak seronok bermain dengan segala permainan yang ada. Anas dah lama teringin nak main trampoline. Bersungguh melompat agaknya di Aisha Kidz Planet tu :D 


Mereka sampai balik ke sekolah sekitar jam 3.40 petang. Ummi dah ready dengan Miqdad menyambut kepulangan Anas dan Mussaab. Tak sabar nak dengar cerita ‘rombongan sekolah’ mereka. Alhamdulillah, keduanya seronok melalui pengalaman hari ini bersama guru dan kawan-kawan Little Diamond Kindergarten. Mereka bercerita apa yang mereka buat di Taman Rabbit, apa yang mereka makan dan main hari ni. Setiap seorang bawa balik sabun yang dibuat di Taman Rabbit tadi, seketul masuk ke mulut Miqdad yang disangkanya gula-gula. Ummi pun tak perasan, sudahnya Miqdad keluarkan balik apa yang dimakannya dengan mulut pun dah berbuih sabun.  Hampir nak termuntah dibuatnya. Alhamdulillah, Miqdad ok saja. Rasanya tak sampai tertelan tadi ,:/


Tamat sudah cerita perjalanan Anas dan Mussaab bersama guru dan rakan-rakan hari ini. Sudah tentu, dapat pengalaman baru lagi hari ini. Dapat naik bas, dapat tengok banyak animal, dapat makan kfc dan main-main sepuasnya, ia pasti menjadi kenangan yang menggembirakan di zaman kanak-kanak mereka ini. 


Alhamdulillah, terima kasih kepada guru-guru Little Diamond Kindergarten yang mengaturkan semua ini untuk anak-anak kami. Terima kasih kerana menjaga dan mengawasi mereka dengan baik di luar sana. Sebagai ibu, tak kurang rasa risau bila anak dibawa keluar ‘jauh’ dari kebiasaan. Selain doa, seluruh kepercayaan diletakkan pada guru yang menggalas amanah menjaga anak-anak. Terima kasih atas segalanya.




Lagi foto hari ini yang diambil dari Fb Little Diamond Kindergarten;















































0 comments:

Post a Comment