Tuesday 13 September 2016 By: Naemah

PENGORBANAN HATI

11 Zulhijjah 1437H: Raya kedua Aidiladha






Semalam menyambut aidiladha bersama suami dan anak anak di kampungku. Raya yang memenatkan buatku. Tak buat apa apa pun, cuma masak sikit untuk hidangan hari raya. Nasi minyak+ayam masak merah. Itupun masak bersama dengan suamiku. 

Tapi mungkin dalam keadaan aku tengah sarat mengandung (35 minggu) ni menyebabkan aku rasa penat luar biasa. Dari lepas subuh hingga 8.30 pagi, tak sempat duduk berehat kerana nak cepat siapkan juadah. Aku juga tak ikut suami dan anak anak untuk solat hari raya. Duduk di rumah saja. Dari pagi sampai ke malamnya, aku masih kepenatan dan terasa lenguh seluruh badan. Tak kemana mana, cuma ke rumah abangku.

Bangun pagi hari ini, terasa badan lebih segar dan bertenaga. Seawal 6.30 pagi, bertolak ke rumah ibu mertuaku yang hari ini mengadakan kenduri aqiqah (anak abang iparku). Sampai di sana dalam jam   8.30 pagi. 

Balik semula ke rumah ibuku selepas solat zohor, memandangkan suamiku akan balik ke semenyih pada petangnya. Esok dia akan ke Bintulu untuk menyambung tugas. Jam 4.30 petang sampai rumah, jam 6 petang suamiku bertolak meninggalkan kami anak dan isterinya. Sayu melepaskan dia pergi. Semoga Allah menjaganya, dan semoga urusan suamiku dipermudahkan sehingga kembali lagi ke pangkuan kami yang merinduinya. Insya Allah. 

Anas dah mula merindu abinya. Aduhai. Tak tahan bila anak meluahkan rasa rindu pada si ayah. Ummi hanya mampu ajar Anas berdoa agar abi dijaga Allah, dipermudahkan urusan dan selamat balik jumpa Anas semula. Semoga ia menjadi ubat rindu yang paling mujarab. 

Bakal melalui hari hari tanpa suami di sisi. Dalam keadaan sarat begini, pasti ada cabaran tersendiri. Semoga Allah memudahkan segalanya. 

Bisikan buat anak yang sedang ummi kandung ini; jangan keluar lagi ya sayang.  Tunggu abi balik dulu ya. Biar abi sambut kelahiran anaknya ini juga :)

Malam yang sudah sunyi. Anak anak sudah lena dibuai mimpi. Aku masih belum mampu untuk lena. Mendoakan perjalanan suamiku lancar dan selamat sampai. 

Ini juga sebuah 'pengorbanan', meninggalkan yang tersayang demi tugas dan tanggungjawab, melepaskan yang tersayang, walau dalam keadaan memerlukannya di sisi.

Semoga Allah menjagamu sayang :')

0 comments:

Post a Comment