Thursday 29 September 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: TRIMESTER KETIGA





Alhamdulillah kini berada di trimester ketiga dan terakhir kehamilan. Sambungan catatan kehamilan: Trimester Pertama dan Trimester Kedua

Usia kehamilan kini 38 minggu. Masih berbaki 2 minggu lagi, hingga sampai ke tarikh jangkaan bersalin anak ketigaku (14/10/16). Insya Allah.

Namun begitu, aku perlu sentiasa bersedia kerana bila bila masa saja aku akan melahirkan si kecil yang dirindui ini :) 

Di sini ingin aku catatkan sedikit pengalaman sepanjang menempuh trimester ketiga kehamilan ini. 

Tidak terlalu banyak beza dengan keadaan di trimester kedua, melainkan berat badan yang semakin bertambah tambah, perut semakin sarat membesar, juga langkah dan pergerakan yang dirasakan semakin sukar dan perlahan.

Masih berhadapan dengan masalah biasa, seperti kerap sakit kepala (hingga minggu ke-33), lenguh-lenguh badan dan kaki, dan juga masalah keputihan yang sering mengganggu.

Di trimester ini, aku perlu memenuhi temujanji klinik setiap 2 minggu, juga melakukan bsp dan temujanji doktor. Bacaan bsp boleh dikatakan baik, dan masalah gdm masih di tahap terkawal. Minggu ke-37 merupakan bsp terakhirku, dan tidak perlu lagi melakukannya sehingga menanti hari melahirkan anakku. Tetapi tetap tidak boleh melebihi tarikh jangka bersalin. 

Masalah biasa juga ialah, bacaan hb yang selalu rendah (9-10). Pernah juga sekali dikesan kencing kotor, tapi tak serius sangat. Doktor memberikan ubat antibiotik, dan nasihatkan untuk lebih banyak minum air kosong. Insya Allah tiada lagi masalah itu. 

Ditakdirkan minggu ke 31-33, aku diserang batuk dan selesema. Lama juga tempohnya untuk kembali sihat. dah sihat, datang lagi selesema pada minggu ke-36. Seminggu lepas tu dah ok. 

Lagi satu ujian, ialah pada minggu ke-34, ditakdirkan terjatuh di lantai yang licin. Alhamdulillah kandunganku baik baik saja, hanya jari kakiku yang sakit dan bengkak. Masih terasa sakitnya hingga ke hari ini. Sabarlah, sikit saja ujiannya. 

Sesekali diuji dengan kepenatan melampau, hingga tak daya nak lakukan kerja yang biasa, nak melayan anak pun terasa malas, hanya fikir nak baring dan rehat saja. Adakala juga datang rasa kontraksi yang kadang kadang menyakitkan, juga rasa cramp di bahagian rahim dan perit di laluan bersalin. Sama seperti pengalaman lepas :). 

Pada trimester ini sudah mula mengira pergerakan baby. Alhamdulillah anak ummi aktif dan sihat, insya Allah. 

Dua kali melakukan scan, dan mungkin yang terakhir. Keduanya dibuat di Klinik Kesihatan Ayer Lanas. Pertama di minggu ke-29, dan kedua, di minggu ke-37. Teruja melihat anakku yang sihat dan aktif bergerak. Alhamdulillah, tiada masalah dengan pembesarannya, uri juga dah naik ke atas. Keduanya doktor menyatakan anakku kemungkinan 'lelaki'. Alhamdulillah.. mana mana sajalah. Lelaki atau perempuan, tetap anugerah dari Allah yang sangat ummi syukuri :)

Jika sebelum ini dah memang kerap balik kampung, di akhir akhir trimester ini pula banyak berada di kampung ketika suami bertugas di Bintulu atau Labuan. Malah, sepanjang Sepetember hingga kini sudah lebih sebulan berada di kampung, menyambut Aidiladha dan seterusnya menanti kelahiran anakku. Rindu pula rasanya pada rumah sewa kami :)

Sampai di sini saja catatan kehamilan di trimester ketiga ini. Masih berbaki kurang 2 minggu, saat penantian kami suami isteri. Tak sabar menatap wajah suci yang sangat dirindui. 

SEMOGA DIPERMUDAHKAN

0 comments:

Post a Comment