Bila usia makin bertambah, mula nak terkenang masa tua yang bakal menjengah. Sekejap je masa berlalu. Kita tak selamanya muda belia. Umur meningkat tiap detik. Kulit yang tegang lama kelamaan mengecut dimamah usia. Tua akan tiba. Tak siapa mampu menolak. Kecuali jika ajal terlebih dahulu datang menjemput.
Aku terfikir bagaimana masa tuaku. Tak tergambar dan tak boleh nak bayangkan. Apakah ketika itu masih ada suami yang setia menemani? Anak anakku dimana? Jauh atau dekat? Kesihatanku bagaimana? Masih cergas beramal ibadat atau terlantar sakit mengharapkan ubat ubatan? Bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadapku? Apakah aku layak untuk hidup mulia atau sebaliknya?
Entah.. Tak terjangkau dek fikiran. Allah saja yang tahu bagaimana masa depan kita. Namun satu yang aku percaya, bagaimana sikap dan gaya hidup kita hari ini, mencerminkan bagaimana kelak masa tua kita.
Mungkin, menjadi ibu yang sabar dan sering menekankan agama pada anak anak, menjadikan kita 'orang tua' yang akan terus disayangi, dihormati dan dimuliakan anak cucu.
Mungkin, dengan memuliakan orang tua kita,menjadikan kita 'orang tua' yang layak dimuliakan. Dengan menjalinkan hubungan baik dengan jiran tetangga dan rakan rakan, menjadikan kita 'orang tua' yang sentiasa diingati.
Mungkin juga, dengan menjaga pemakanan dan kesihatan kita di masa muda ini menjadikan kita 'orang tua' yang tak mempunyai masalah kesihatan yang kronik sehingga membuat kita lemah dan terlantar.
Sesungguhnya kita takkan mampu menduga masa depan kita bagaimana. Segalanya terserah pada takdir Allah. Namun mungkin kita boleh persiapkan diri kita sebaiknya untuk menghadapi masa tua yang tak memilih siapa. Di samping doa kita padaNya agar masa tua kita tetap baik, dan tak menyusahkan sesiapa.
Melalui masa tua itu satu kemungkinan. Namun yang pasti, mati itu pasti datang menjemput. Tak kira tua atau muda. Dalam memikirkan bagaimana masa tua, jangan dilupa, bagaimana pula dengan kehidupan selepas kematian. Gentar memikirkan diri yang penuh dengan dosa. Persediaan tiada, malah sering lalai dan alpa pula.
Renungan buat diriku...
0 comments:
Post a Comment