Malam ini suamiku menaiki bas menuju ke KL buat kesekian kalinya. Ingatkan boleh berada di kampung lebih lama, rupanya tak juga. Ada urusan penting yang perlu diselesaikam di sana. Berpisah lagi buat sementara. Semoga Allah menjaganya, dan semoga segala urusan dipermudahkan. Insya Allah.
Malam ini, di saat anak anak sudah lena tidur, aku menonton video sendirian. Dah lama tak menonton. Lagipun tak best layan cerita seorang diri. Kalau suami menonton sekali, best la juga :)
Cerita yang bertajuk 'Maafkan saya cikgu' menjadi pilihan. Cerita sedih lakonan Zamarul Hisyam, Sherli Merlis, dll (tak kenal sangat pelakonnya). Cerita berkisarkan dua beradik yang hanya tinggal bersama ibu mereka yang tidak sihat, hidup dalam kemiskinan, dan ibu hanya meniaga nasi lemak untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Anak anak pula bergilir pakaian sekolah (abang sekolah sesi pagi, adiknya sesi petang). Kerap pula si adik dirotan guru disiplin kerana lewat sampai ke sekolah gara gara menunggu abang balik dari sekolah untuk menukar pakaian sekolah.
Sedih, melihat kepayahan si ibu membesarkan dua anak sendirian tanpa suami. Menanggung segala derita sendirian. Berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada. Dalam masa yang sama, cuba mendidik anak anak menjadi manusia yang mengerti tentang kepayahan dan ujian hidup. Aku meletakkan diri di tempat si ibu. Terasa lemahnya diri mengharungi ujian seperti itu. Tak sedar air mata mengalir :'(
Terkenang kehidupanku hari ini bersama suami dan anak anak. Alhamdulillah, satu nikmat yang tidak terungkap dengan tulisan atau kata kata. Aku sedar betapa besarnya nikmat Allah padaku. Nikmat yang jarang disyukuri, nikmat yang jarang disedari. Melihat kepayahan dari cerita itu, hatiku bagai dijentik sayu. Realiti hari ini, masih ada yang bersusah payah dan hidup dalam kesempitan seperti itu.
Aku menginsafi diri. Nikmat yang aku kecapi hari ini, bukan semua orang dapat mengecapinya. Terima kasih atas kehidupan hari ini ya Allah. Ada suami dan anak anak, teman sepanjang masa. Ada harta, meski bukan terlalu mewah. Dikurniakan kesihatan, meski ada ketikanya diuji dengan sakit demam, pening yang biasa. Banyak masa yang dipenuhi dengan kegembiraan, hanya sesekali teruji dengan kesedihan.
Allah.. Jarangnya hamba nak berfikir tentang nikmatMu yang luar biasa. Apalagi nak bersyukur saban masa. Ampunkan hamba ya Allah. Sesekali Engkau menjentik hatiku, membuat aku tersentak dan sedar akan kealpaan diri.
Terima kasih ya Allah. Bagaimana ingin aku lafazkan syukur, dan buktikan syukur.. Semoga hidupku dan keluargaku terarah kepada petunjukMu. Semoga di hati kami sentiasa merasakan cinta padaMu ya Allah. Aameen.
0 comments:
Post a Comment