Masa terus berlalu pantas. Yang berlalu takkan kembali. Hari esok belum tentu masih ada untuk kita... Harapan semoga hari ini dapat menjadi hamba yang lebih baik di sisiNya
Tinggal 10 malam dan 10 hari terakhir Ramadhan. 10 yang terakhir yang ada padanya malam al qadar di salah satu malamnya. Malam yang lebih baik dari 1000 malam. Malah Semua diberi peluang untuk mendapatkan malam itu.
Hati hamba ini teruji lagi di 10 malam terakhir ini. Teruji di saat suami tiada di sisi, dengan keadaan anak anak yang tidak sihat. Allah... Berhadapan dengan anak yang tidak sihat memang sangat meruntun jiwa.
Lebih kurang pukul 6 petang, Mussaab dan Anas tiba tiba muntah muntah. Habis segala isi perut dikeluarkan. Agak hairan juga, kenapa sampai muntah muntah. Tadi elok je bermain. Salah makan ke... Risau jangan cakaplah. Dah macam tu, masing masing mula merengek dan melekat dengan ummi. Dah tak bermaya nak bermain lagi.
Dekat dekat nak berbuka puasa, hati bertambahlah sayunya. Tengok anak anak diam terkulai. Badan Mussaab dah panas, demam... Anas juga diam dan lentok ke badan ummi yang meriba Mussaab. Nak bangun berbuka puasa jadi serba salah.
Akhirnya berbuka puasa dalam keadaan memangku si kecil, dan si abang dibiarkan di sofa. Malam itu, Anas dan Mussaab muntah berkali kali. Hati ibu mana tak sedih melihat keadaan anak yang lemah tak berdaya.
Masa nak solat maghrib, Anas minta nak masuk bilik, katanya mengantuk nak tidur. Sesuatu yang jarang terjadi. Selalunya puas dipujuk untuk tidur....Mussaab pula masih merengek minta didukung. Selesai solat, bawa Mussaab masuk bilik untuk disusukan. Sayu melihat Anas yang sudah terlena. Mussab juga akhirnya lena. Masih di awal malam... Barangkali keduanya kepenatan, berhabis tenaga setelah muntah beberapa kali. Dan badan keduanya panas.... Deman :'(
Alhamdulillah selesai solat isyak dan terawih. Bersama hati yang sedih dan sayu melaksanakan ibadah. Hati menangis... Ya Allah... Sihatkan anak anakku, kerana tak daya aku melihat mereka begitu. Terkenang juga pada suamiku yang sudah 2 hari tidak dapat berhubung. Semoga dia juga di dalam lindungan dan rahmat Allah. Dan kerana dia juga sebelum itu menanggung sakit... Aku mengharapkan Allah memberikan kesembuhan padanya. Tak lupa mendoakan kesihatan dan kekuatan buat diriku agar dapat terus menjaga anak anakku dan rumahtanggaku.
Malam itu juga, anak anak bergilir gilir bangun.mussab bangun untuk menyusu, Anas pula meminta air, dan muntah juga. Sedih :'(
Pagi ini bersahur dengan Anas... Suapkan dia makan. Agak berselera kerana petang semalam tak menjamah makanan. Badan masih panas, namun harapanku agar dia tak muntah muntah lagi. Mussaab juga bangun setelah azan subuh. Terpaksa susukan dia dulu sebelum melaksanakan solat. Selepas itu sambung lagi susukan dia, kerana itu saja yang dia mahu. Tapi akhirnya muntah lagi... Muntah susu :'(
Anas sambung tidur. Mussaab sambung menyusu.....
Allahu akbar... Entah bagaimana mahu menggambarkan perasaan ini. Perasaan seorang ibu menjaga anak anak yang sakit/tidak sihat. Pertama, cuba menyelami hati ibu ibu yang terpaksa menjaga anak kecil yang sedang sakit terlantar. Anak anak yang tiada harapan sembuh... Ya Allah, bagaimana perasaan ibu itu. Cekalkan hatinya ya Alllah.
Kedua, sudah pasti hadir perasaan bersalah dan berdosa di atas layanan buat anak anak ketika sihat mereka. Adakalanya marah, adakalanya masam muka. Yalah, saat mereka sihat mereka sangat lincah dan lasak. Rumah pun boleh jadi tunggang langgang. Tapi... Hakikatnya begitulah rentak si kecil yang sedang membesar. Tengoklah bila mereka sakit... Disuruh bermain pun mereka tidak mahu. Segala barang di rumah tidak terusik. Saat ini, sangat mengharapkan mereka sihat kembali. Bermainlah apa saja semahunya...
Ketika ini juga kita menyedari bahawa kita cuba memberikan mereka layanan yang terbaik dan penuh kelembutan yang selayaknya seorang ibu. Walau banyak masa terpaksa dihabiskan melayan mereka, dan walaupun banyak kerja yang terpaksa ditangguhkan, kita tetap tak marah. Biar rumah tak terurus, yang penting kita sentiasa ada untuk mereka. Sedaya upaya kita cuba tunaikan segala permintaan mereka, meskipun di jam 2-3 pagi.
Ya Allah.. Seandainya memang beginilah sikap seorang ibu yang terbaik, maka aku mendoakan agar aku terus bersikap begini walau di kala sihat dan lasak mereka. Berikan sepenuhnya kesabaran padaku dalam melayani karenah anak anakku ya Allah...
Hari semalam sudah berlalu bersama ujiannya... Hari ini perlu diteruskan. Semoga hari ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Semoga anak anakku beransur sihat, semoga suamiku juga baik baik di sana. Semoga diriku dapat menyempurnakan amanah seorang isteri dan ibu dengan sebaiknya... Insya Allah:)
0 comments:
Post a Comment