Alhamdulillah di atas kurniaan cahayamata dan kerukunan di dalam rumahtangga
Kami bukan pasangan bercinta, malah tidak saling mengenali :)
Pertama kali bersua di hari merisik
Kedua kali di hari pertunangan, dan seterusnya bernikah...
Merisik, bertunang dan bernikah di tahun yang sama. Alhamdulillah Allah permudahkan. Meskipun tanpa mengenali hati budi, aku dan dia redha untuk saling menerima dan untuk melayari bahtera rumahtangga bersama. Tentunya berbekalkan doa dan istikharah yang panjang, Insya Allah...
Dari bergelar pengantin baru, seterusnya bergelar ummi dan abi, banyak perkara dilalui bersama. Dari tidak mengenali kini semakin kenal meskipun bukan seluruhnya. Perkenalan yang manis, didoakan agar sentiasa dilimpahkan keberkatan bersama rahmah wa mawaddah.
Namun pelayaran bahtera rumahtangga tidak selalunya tenang tanpa gelora. Adakala datang gelora, menguji kasih sayang dan cinta. Kerana aku dan dia pasti berbeza. Adakala tak sependapat, adakala tersalah faham dan tafsir, hubungan menjadi sedikit tegang dan keruh.
Namun salah faham dan tidak sependapat bukanlah alasan untuk memanjangkan pertelingkahan dan terus bermasam muka. Pasti ada jalan keluarnya, pasti ada jalan penyesaiannya. Suami dan isteri..perlu sentiasa memaafkan, perlu banyak bersabar dan memberi peluang pada pasangan. Dan tak lupa untuk saling mendoakan...
Aku dan dia.. Hanya pasangan biasa yang belum layak menjadi pasangan contoh. Kami belajar dari kesilapan demi kesilapan. Dan dalam usaha memperbaiki diri untuk menjadikan hubungan lebih baik dan diredhai Allah.
Namun tetap bersyukur kerana Allah mentakdirkan dia sebagai jodohku. Insan yang tidak kukenal rupa dan akhlaknya, menjadi insan yang paling kucintai serta tenang dan selamat berada di sampingnya. Alhamdulillah...takdir Allah tetap yang terbaik.
Sedikit coretan tentang aku dan dia.. Aku percaya setiap orang punya kisah manis bersama pasangan. Kita mengharapkan manis yang berpanjangan, diiringi keberkatan dan keredhaan Allah. Semoga bahagia selamanya bersama pasangan hingga ke syurga. Ameen...
0 comments:
Post a Comment