Monday, 25 December 2023 0 comments By: Naemah

2023: AKU BANGGA KERANA..

2023 dah hampir kepada penutupnya. 2023 ini, apa pencapaian kalian? Apa yang boleh dibanggakan pada diri kalian untuk tahun ini?


Tahun 2023. Aku bangga kerana…

Nah! Isi tempat kosong :)


Ada yang berjaya menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

Ada yang berjaya menjadi seorang yang lebih penyabar.

Ada yang berjaya meninggalkan tabiat buruk.

Ada yang berjaya konsisten berjemaah di masjid.

Ada yang berjaya sampai ke tanah suci.

Ada yang berbangga menambah zuriat.

Ada yang berbangga dapat membeli dan mengumpul aset.

Ada yang berbangga kembalikan berat badan ideal.

Dan bermacam lagi bentuk pencapaian, kebanggaan dan kepuasan diri untuk tahun 2023 ni.


Buat diriku sendiri bagaimana? Termenung panjang juga nak fikirkan apa pencapaianku. Dan Apa kebanggaanku untuk keseluruhan tahun 2023 ini? Jadi ibu yang lebih baik dan lebih penyabarkah? Rasanya kurang lagi bab tu. Masih perlu bawa azam menjadi ibu yang lebih baik ni ke tahun depan. 


Sambung pelajaran? Tentulah tidak. Membeli aset? Tidak juga. Amalan dan gaya hidup sihat? Hmm.. tak konsisten juga.


Untuk satu tahun ini, apa yang aku dapat ialah level ujian yang Allah ‘up’ lagi berbanding tahun-tahun sebelumnya. 


Bab berjauhan dengan suami dan sendirian menguruskan anak-anak, itu adalah ujian yang memang sudah aku hadap sekian lama. Aku dah biasa. Malahan paling teruk adalah ketika tempoh PKP yang lalu di mana suami sering menjalani kuarantin di hotel setiap kali perlu memulakan kerja. 2 minggu berkuarantin, campur tolak tempoh kerja dan perjalanan balik, hampir sebulan jugalah berpisah setiap kalinya. Sehinggalah syarat kuarantin ditamatkan. 


Dan ujian perpisahan itu tetap berulang pada setiap bulan dan tahunnya. Tak henti. Kerana dari jalan begitulah Allah mengurniakan rezeki buat kami sekeluarga. 


Untuk tahun 2023 ini, begitulah jua ia berterusan. Cuma boleh aku katakan, level ujian itu sedikit bertambah, di mana tahun ini suami dijemput menunaikan haji dan perpisahan kali ini lebih lama iaitu selama 40 hari. 40 hari aku dan anak-anak jalani kehidupan tanpanya, dan jauh juga dari ahli keluarga. Dan kalau boleh dikatakan ia satu kebanggaan, ya aku bangga kerana aku dapat melalui tempoh itu dengan baik (dengan izin Allah).


Ditakdirkan juga tahun 2023 aku hamil lagi. Kali ini, melalui tempoh kehamilan yang lebih mencabar berbanding sebelumnya. Bertemu dan berpisah dengan suami, itu sudah tak dapat dielakkan. Dalam masa yang sama perlu uruskan 4 anak yang sudah bersekolah semuanya. Di sekolah yang berbeza, yang waktu masuk dan balik sekolahnya juga berbeza.  Memang agak padat jadual harian, hanya dapat sedikit masa rehat (ketika semua anak sedang berada di sekolah), dan itulah juga masa untuk ‘siapkan’ rumah dan memasak. Bertambah mencabar, bila bertembung dengan hari temujanji di klinik atau hospital. Benar, tempoh kehamilan ini lebih mencabar. Namun satu kebanggaan buatku, kerana aku mampu mengharunginya (juga dengan izin Allah) sampai ke penghujung tahun ini. Alhamdulillah, kandungan dah mencecah 30 minggu. Lebih kurang 2 bulan saja lagi penantian, insya Allah. 


Tak banyak, tapi itulah yang boleh aku banggakan untuk diriku sendiri sepanjang tahun 2023 ini. Setahun yang berlalu, dengan rutin yang hampir sama setiap hari, aku pilih untuk tidak give up dan terus berjuang demi keluarga tercintaku. Kedatangan anak-anak ke sekolah cukup, kecuali tak sihat. Makan minum mereka cukup, walaupun bukan masak setiap hari. Pakaian sekolah dan harian juga terurus. Semua ok saja, biarpun perlu bergerak sendirian. Biarpun ada ketikanya rasa ‘berat’ tak tertahan. 


Dalam masa yang sama, aku akui ianya juga tak sempurna. Aku seorang, tak mampu nak lakukan semua perkara dengan sempurna. Sekadar yang boleh saja. Emosi diri yang turun naik, juga perlu lebih latihan untuk bertenang dan sabar menguruskan anak-anak yang pelbagai ragam dan perangai. 


Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur dengan apa yang telah dilalui sepanjang tahun ini. Dikurniakan kudrat dan kesihatan yang baik, rezeki yang mencukupi, juga suami dan anak-anak yang masih di sisi, itu adalah nikmat termahal yang tak mampu diganti dengan apapun. 


Alhamdulillah untuk segalanya. Untuk tahun yang mendatang, mengharapkan diri ini mampu menjadi yang lebih baik lagi. Semoga ada pencapaian yang boleh dibanggakan diri. Semoga terus semangat untuk ke depan!





Friday, 22 December 2023 0 comments By: Naemah

BALIK KAMPUNG DI HUJUNG TAHUN



Alhamdulillah cuti sekolah dah pun bermula (16/12/23-1/1/24). Belum cuti panjang lagi, masih berbaki sebulan setengah lagi untuk tamatkan sessi pengajian 2023/2024 ini. Cuti 2 minggu ini pun tak boleh nak santai sangat, sebab buka sekolah nanti masing-masing akan berhadapan dengan exam.


Seminggu pertama cuti sekolah,  Anas ada kelas tambahan. So, tak dapat nak balik kampung lagi. Dan sempat juga hantar Anas dan Mussaab masuk Kem Bistari Solat dan Jati Diri yang diadakan di  Lenggeng, Negeri Sembilan selama

3 hari 2 malam. First time Anas dan Mussaab join kem, Alhamdulillah dapat timba ilmu dan pengalaman baru.


Hari Khamis (21/12/23), adalah hari terakhir kelas tambahan Anas. Selepas ambik Anas di sekolah, terus bergerak balik ke kampung. Cuti masih berbaki lebih kurang 10 hari. 


Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 10 jam, selepas perhentian demi perhentian untuk solat, makan, dan ke tandas. Makan tengahari di Restoren Go’ Bang Maju, menikmati ikan patin tempoyak dan lauk pauk yang ada di sini. Selesaikan juga urusan solat dan ke toilet, dan menyambung perjalanan yang masih berbaki (kali ni melalui jalan yang tak biasa lalu). 


Akhirnya tiba di Jeli jam 9 malam. Makan malam dan tidur. Mengantuk amat setelah menempuh perjalanan yang panjang. 


Hari pertama di rumah mek, main monopoli dan buat latihan dalam buku. Petang nanti nak ke rumah nenek di Kota Bharu pula, kat sana ramai sepupu dah menanti. Kat sana nanti dah tak sempat dah nak buka buku. Main semata.


Jam 4.30 petang sampai KB. Kita yang terakhir tiba, rumah nenek dah dipenuhi anak cucu nenek yang ramai (9 adik beradik abi cukup semua). Hari ni ber’bbq di luar rumah nenek. Yang dewasa sibuk membakar dan memasak, manakala yang remaja dan kanak-kanak beraktiviti sesama sendiri. Yang pasti, kemeriahan terasa. Selepas raya puasa hari tu, inilah pula peluang yang ada untuk berkumpul semua.


Hari ke-2 di rumah nenek, masih meriah. Masih ada jamuan istimewa untuk semua. Anak-anak masih seronok dapat berkumpul dan bermain dengan sepupu mereka. Cuti sekolah yang bermakna buat mereka semua. Entah bila pula akan berkumpul ramai macam ni lagi kan?


Masih berbaki seminggu lagi cuti sekolah. Nanti akan balik semula ke rumah mek. Cadangnya nak buat jamuan juga kat rumah mek, berkumpul dengan ahli keluarga mek pula. Ya, pastinya tak semua ada. Masing-masing ada komitmen, yang dah bekerja dan berkeluarga, lagi susah nak berkumpul.


Apapun Alhamdulillah untuk penghujung tahun yang mana kita berada dalam situasi yang jauh lebih baik berbanding hujung tahun yang lalu (diuji dengan ahli keluarga yang sakit). Kali ni dapat berkumpul dalam suasana yang meriah dan bersama berkatNya jua, hendaknya. Ameen.



Balik kampung;

















Wednesday, 13 December 2023 0 comments By: Naemah

LUMRAH BERTEMU DAN BERPISAH



Episod bertemu dan berpisah bersambung lagi. Selepas 10 hari kembali dari laut, hari ini suami kembali semula untuk menyambung tugasnya di laut. 


Alhamdulillah dia ada bersama di hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-13. Tiada sambutan istimewa, cukup dia ada di sisi menemani hari. Dalam 10 hari ini, dia mengambil tugasan dan tanggungjawab yang sepatutnya. Ringan sikitlah bahu ni. Tak keseorangan memikul semua.


Sempat juga bawa anak-anak berjalan di Melaka. Hiburkan mereka sekadar masa dan kesempatan yang ada. Alhamdulillah. Dapat sekali lagi mencipta kenangan bersama di hari ulangtahun perkahwinan. Terima kasih ya Allah. 


Hari ini pula genap usia kandunganku 28 minggu. Sudah tamat trimester ke-2, melangkah pula ke trimester ke-3. Hari ni memenuhi temujanji dengan doktor pakar di Hospital Kajang. Alhamdulillah sempat dihantar dan diambil suami sebelum dia bertolak ke airport. Rumah juga siap dikemas rapi, dengan pinggan mangkuk di sinki juga clear semua. Terima kasih suamiku.


10 hari berlalu terasa cepat dan singkat. Tapi inilah aturanNya. Tugas dan tanggungjawab sebagai pejuang nafkah sudah memanggilnya. Alhamdulillah, masih ada kerja, masih ada sumber rezeki. Maka reda lepaskan dia pergi, seperti setiap kalinya juga. Semoga selamat pergi dan selamat kembali ke pangkuan keluarga yang menanti. 


13 tahun hidup bersama. Bertemu dan berpisah itu sudah lumrah. Anak-anak pun semuanya faham. Setiap kalinya juga, mengharapkan pada perpisahan itu akan disusuli dengan pertemuan. Alhamdulillah, Allah sentiasa menghadiahkan pertemuan yang diharapkan. Maha Baiknya Allah pada kita semua. 


Tiada apa yang nak dikeluhkan. Bukan aku seorang mendepani ujian perpisahan. Ini bahagian kita dan yang serupa nasib dengan kita. Tentulah ada hikmahnya. Tak ada suami di sisi, masih dapat meneruskan hari dengan baik. Dia tiada, tapi Allah tetap ada. Lagipun, aku percaya doa suami sentiasa ada buatku dan anak-anak di sini. Jadi, tenang-tenang sajalah. 



Kenangan di Melaka;












11-12-2023
Happy birthday abi!


Monday, 11 December 2023 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: SETAHUN DI LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN




Alhamdulillah setahun berlalu. 2023 semakin hampir menutup tirainya.


Bermakna juga setahun pertama Suri di kindergarten hampir tamat. Walaupun Suri masuk sekolah lambat sikit (bulan April) berbanding kawan-kawan Suri, tapi tak ada apa yang tertinggal, insya-Allah. Suri dapat seperti apa yang kawan-kawan Suri juga dapat. Setahun pertama di kindergarten, memberi kenangan tersendiri buat Suri. Tiada perbandingan dengan sesiapa. 


Lebih kurang 9 bulan Suri di Little Diamond Kindergarten, Suri juga dah semakin serasi dengan dunia baru. Jika sebelum ini dunia Suri hanya ummi, abi dan abang-abang, lepas dah masuk sekolah, teachers and friends menjadi teman harian Suri, selain ahli keluarga.


Kini dah berada di penghujung tahun.  Suri baru saja meraikan hari graduasi Little Diamond Kindergarten dan membuat persembahan bersama kawan-kawan. Teruja ummi nak menonton persembahan pertama Suri di pentas. Tapi sayangnya, pada hari tersebut (9/12/2023), hanya ummi dan Miqdad saja yang dapat hadir menonton persembahan Suri. Abi bawa Mussaab lawan bola di Bangi, Anas pula ada kelas tambahan. Takpelah, kalau ada rezeki next year abi boleh hadir support Suri pula.


Tiba harinya, dapatlah ummi menonton persembahan Suri. Masya Allah, seronok tengok Suri dan kawan-kawan beraksi di pentas. Suri kelihatan sangat yakin membuat pergerakan. Menari mengikut rentak muzik yang dimainkan. Suri dan kawan-kawan dah buat yang terbaik. Ibubapa yang hadir terhibur melihat persembahan anak masing-masing. 


Majlis bermula jam 8.45 dan berakhir sekitar jam 11 pagi. Semua murid dari kelas 4 tahun hingga 6 tahun terlibat membuat persembahan. Secara ringkasnya, ia bermula dengan perasmian majlis oleh murid 6 tahun yang akan tamat pembelajaran mereka tahun ini, diikuti persembahan demi persembahan, dan berakhir dengan penyampaian hadiah dan sijil. Selepas itu majlis bersurai. Oh ya, tema majlis tahun ni ialah ‘LD Museum Comes Alive’. Sedar tak sedar, saban tahun ummi menghadiri majlis graduasi LD sejak zaman Anas lagi (2018). Dan akan hadir lagi untuk 2 tahun mendatang, sehingga tamat pembelajaran Suri nanti. 


Alhamdulillah, sudah sampai ke penghujungnya. Mungkin seminggu saja lagi Suri akan hadir ke sekolah, lepas tu akan bercuti bersama abang-abang. Selepas bercuti panjang, Suri akan masuk untuk sessi baru (2024). Suri akan melangkah ke kelas 5 tahun pula. Masuk chapter baru, cipta pengalaman baru, dan terus belajar perkara yang baru, insya Allah.


Tahniah untuk setahun pertama yang telah Suri berjaya lepasi dengan baik. Good girl!



LD ANNUAL CONCERT & GRADUATION