13 Oktober 2026
Happy Birthday Acik!
Alhamdulillah genap usia Miqdad 10 tahun. Miqdad yang kini sudah pun berada di tahun 4 di SRAIPB. Dah di penghujung sessi persekolahan tahun 2026. Masya Allah!
Di hari lahir Miqdad ini, sepatutnya Miqdad berdepan dengan UASA-hari ke7. Namun takdirNya sekarang kita semua diuji dengan masalah jerebu, dan sekolah ditutup sehingga tarikh yang akan diberitahu kemudian. Maka tertangguh dulu la UASA Miqdad. Alhamdulillah dah lalui 4 hari exam minggu lepas, termasuk exam Matriks. Paper seterusnya terpaksa tangguh dulu sehingga kembali ke sekolah.
Maka hari ini Miqdad bersama adik beradik yang lain, belajar secara pdpr di rumah. Waktu pagi siapkan tugasan yang diberikan oleh guru, di samping aktiviti yang lain.
Walaupun hari ini hari lahir Miqdad, rutin harian tetap berjalan seperti biasa. Cuma, tentulah ada sedikit kelainan untuk meraikan hari istimewa ini.
Seperti biasa, Abi akan belanja makan mengikut apa yang anak-anak mahu sempena hari lahir mereka. Syukurlah Abi ada bersama kita kali ini untuk melayan permintaan Miqdad yang satu itu- nak makan McD!
Itulah yang diulang-ulang minta. Itulah makanan kegemarannya. Dan agaknya, itulah juga antara perkara yang paling seronok ditunggu-tunggu setiap kali hari lahirnya semakin dekat. Sederhana sahaja permintaannya, tetapi cukup membuatkan dia teruja.
Alhamdulillah, hari ini kita dapat makan tengah hari bersama-sama di restoran McD. Terima kasih, Abi, kerana sentiasa berusaha meraikan anak-anak, meskipun dengan cara yang sederhana. Semoga Allah membalas setiap usaha dan kasih sayang Abi dengan sebaik-baik ganjaran.
Sesungguhnya, bukan soal ke mana kita pergi atau apa yang dapat kita makan. Tetapi tentang nikmat dapat berkumpul, berkongsi rezeki dan mencipta kenangan bersama keluarga. Semoga anak-anak membesar dengan ingatan bahawa mereka sentiasa diraikan dan disayangi.
Dan hari ini, jerebu masih belum berakhir. Esok, PdPR bersambung lagi. Kehidupan akan terus berjalan seperti biasa, dengan rutin dan tanggungjawab yang perlu diteruskan. Semoga Allah melindungi kita semua dan mengurniakan kesihatan yang baik.
Buat anakku, Ilham Miqdad.
Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-10, Acik!
Alhamdulillah, Miqdad sudah semakin besar. Semakin bijak, semakin banyak yang dipelajari dan semakin banyak juga yang perlu diperbaiki, insya-Allah.
Miqdad masih lagi anak ummi yang manja. Ada kalanya, dengan kerenah dan ragam Miqdad, menguji juga kesabaran ummi. Ada masanya ummi perlu banyak menarik nafas dan belajar memahami Miqdad dengan lebih baik. Namun, di sebalik segala ragam itu, kasih sayang ummi terhadap Miqdad tidak pernah berkurang.
Ummi sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu, anakku.
Semoga Miqdad membesar dengan sihat, cerdas dan ceria. Semoga Miqdad menjadi anak yang rajin belajar, gembira bersama keluarga, pandai berkawan dan tahu membawa diri walau di mana pun berada.
Semoga Miqdad sentiasa menjaga akhlak, tidak jemu memperbaiki diri ke arah kebaikan, serta menjadi anak yang taat kepada Allah dan Rasul. Hormatilah abang-abang, sayangilah adik-adik dan belajarlah menjadi insan yang membawa kebaikan kepada orang di sekelilingmu.
Ummi juga mendoakan semoga Miqdad membesar sebagai anak yang kuat hatinya, baik budi pekertinya dan lembut jiwanya. Semoga Miqdad tahu bahawa menjadi anak yang baik bukan bermakna tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi sentiasa bersedia belajar, mengakui kesalahan dan berusaha menjadi lebih baik daripada semalam.
Semoga hidupmu sentiasa dipenuhi kebahagiaan, disenangi oleh orang sekeliling dan, yang paling utama, dicintai serta diredai Allah.
Moga Allah sentiasa memeliharamu, membimbing setiap langkahmu dan meluruskan perjalanan hidupmu menuju reda dan syurga-Nya. Ameen
Happy birthday Acik.
Ummi love you.
0 comments:
Post a Comment