Bila aku banyak berkongsi tentang anak-anak dan keluarga, janganlah anggap aku nak menunjuk dan berbangga dengan apa yang Allah anugerahkan pada aku. Hakikatnya, aku tak punya banyak cerita lain selain kisah mereka, kerana inilah duniaku setiap hari.
Jika daripada tulisan-tulisanku, aku terlihat seperti seorang ibu yang baik dan penuh keibuan, percayalah, aku masih sedang belajar menjadi lebih baik. Aku juga seorang ibu yang punya kisah jatuh bangunnya sendiri, dengan kekurangan, kesilapan dan perjuangan yang tidak semuanya terlihat. Allah sajalah yang tahu.
Jika perkongsianku memperlihatkan sebuah keluarga yang penuh kebahagiaan dan senyuman, percayalah bahawa kehidupan kami juga tidak terlepas daripada suka dan duka. Anak-anak bergaduh, suami isteri kadangkala tidak sekepala, rumah yang ada kalanya riuh dan ada masanya sepi. Semuanya ada. Namun, aku memilih untuk menyimpan dan berkongsi yang baik-baik sebagai kenangan untuk hari mendatang.
Sesungguhnya, ada kerisauan yang aku simpan. Aku suka berkongsi dengan caraku sendiri. Aku suka apabila ada yang sudi membaca dan mendengar cerita-ceritaku. Namun, dalam masa yang sama, aku risau akan penerimaan dan tafsiran orang. Risau jika aku terlihat terlalu baik, risau jika ada yang cemburu, atau tanpa sedar membuatkan orang lain membandingkan kehidupan mereka dengan kehidupanku.
Aku cuma ingin merakam sedikit kisah tentang duniaku, bukan untuk menunjukkan bahawa hidupku sempurna, tetapi kerana aku tahu, suatu hari nanti, semua ini akan menjadi kenangan yang paling berharga.
Tahu tak kenapa aku risau? Sebab sejak kebelakangan ni, blog aku seperti sedang dikunjungi ramai orang. Entahlah, mungkin sekadar bot, mungkin juga manusia yang singgah membaca. Aku pun tak pasti. Yang pasti setiap yang singgah tu ada meninggalkan jejak (page views).
Aku suka tulis, suka kongsi cerita, tapi bila fikirkan siapa yang baca dan bagaimana mereka mentafsir setiap tulisan, tiba-tiba timbul pula rasa bimbang.
Kelakar kan? Nak bercerita, tapi takut orang baca dan tafsir bukan-bukan.
0 comments:
Post a Comment