Thursday, 18 October 2018 0 comments By: Naemah

K.KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 1

Sambungan entri lepas:


K. KINABALU HARI KEDUA: DESTINASI PILIHAN



Hari ketiga (8/10/18)


Kami meninggalkan homestay di Kota Kinabalu dan menuju ke Kundasang yang mengambil masa 2 jam perjalanan. Kami melalui jambatan Tamparuli yang terkenal di Kota Kinabalu dan seterusnya menyusur jalan ke Kundasang yang agak berbukit dan  berliku.


Namun yang lebih menarik adalah  pemandangan di sepanjang perjalanannya yang cantik berlatar bukit bukau dan gunung Kinabalu. Tak jemu mata memandang ke luar tingkap :)

   




Jambatan Tamparuli




Pemandangan di sepanjang perjalanan


Perhentian pertama kami ialah Pekan Nabalu 



Pekan Nabalu 


Pekan Nabalu ini juga agak terkenal di sini, dan menjadi perhentian pengunjung yang menghala ke Kundasang. Ia merupakan pekan kecil yang terdapat deretan kedai yang menjual berbagai hasil tempatan seperti hasil tanaman buah-buahan dan sayuran, makanan ringan seperti keropok dan snek, hasil tenunan dan hasil kreativiti Sabah yang boleh dijadikan souvenir, dan pelbagai barangan yang lain. 


Terdapat banyak kedai di sini, yang menjual barangan yang hampir serupa, dan kita boleh meninjau setiap satunya untuk memilih dan mendapatkan barangan dengan harga yang paling murah dan paling memuaskan hati.


Pekan Nabalu ini juga berlatarkan gunung Kinabalu yang menambahkan lagi seri pada pemandangan di sini. Jika tidak mahu membeli-belah pun, cukup jika sekadar untuk mengambil gambar kenang-kenangan  di sini :) Di sini sudah dapat dinikmati kesejukan dan kenyamanan pada cuacanya.


Kami tidak berhenti lama di sini. Suami dan anak-anak ke toilet untuk melepaskan hajat, dan kami membeli buah potong dan sedikit buah-buahan untuk dinikmati di dalam perjalanan yang masih berbaki. Selepas itu kami meninggalkan Pekan Nabalu dan menuju ke Kinabalu Park, yang jaraknya sekitar 15km dari Pekan Nabalu.




Pemandangan di belakang kedai






(2 keping sahaja gambar di sini. Terlupa nak snap gambar kedai dan barang jualan sebab tergesa-gesa nak teruskan perjalanan)


Kinabalu Park


Kinabalu Park merupakan tapak warisan dunia pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO. Ia memainkan peranan sebagai tapak biologi terpenting di dunia. Kawasan di sini sangat luas, tak sempat nak jelajah semua. Di sini juga merupakan tempat para pendaki gunung Kinabalu berkumpul dan memulakan pendakian. Pemandangan di sini menghijau dengan aneka jenis pokok dan tumbuhan, dan ia sememangnya kaya dengan hasil flora dan fauna. Di sini juga terdapat chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan mencari ketenangan di sini :)


Di sini, kami memilih untuk meninjau satu tempat menarik yang terdapat di Kinabalu Park iaitu Botanical Garden. Kami berada di sini sekitar 20 minit, menyusur hutan yang dijaga rapi dengan aneka tumbuhan yang kebisaannya hanya boleh didapati di dalam hutan. Kami ‘berkenalan’ dengan segala tumbuhan yang terdapat di sini. Di sini juga terdapat anak sungai yang jernih dan sejuk airnya. Pendek kata, tempat ini mampu memberikan kenyamanan dan kerehatan pada minda, melihat cantiknya khazanah ciptaan Allah yang masih terjaga, terasa damai dan tenteram hati, lupa pada segala masalah. Itulah pesona dan keajaiban alam semulajadi hadiah dari Pencipta.


Hampir satu jam berada di Kinabalu Park, kami meninggalkan tempat itu dan menuju ke Kundasang. Kami chek in homestay D’Permai view dan meninggalkan segala beg pakaian di sini sebelum keluar menuju ke destinasi yang seterusnya iaitu Poring Hot Spring, Tagal Sg. Moroli dan Sabah Tea Plantation.

























Info penginapan kami di Kundasang 


Homestay: D’View Permai Homestay (search je di FB)

Jenis rumah: rumah berkembar satu tingkat-3 bilik dan 2 bilik air (ada juga yang mempunyai 4 bilik)

Lokasi: berdekatan dengan Pekan Kundasang 

dan hanya 5km dari Desa Dairy Farm

Rate sewa: rm300 (1 malam)


Komen: Homestay yang selesa buat kami sekeluarga. Jatuh cinta pada pemandangan Gunung Kinabalu yang terbentang betul-betul di depan mata. Boleh memasak, dan seterusnya menikmati hidangan panas-panas di halaman rumah, sambil disajikan dengan pemandangan yang indah, dan cuaca yang nyaman. Best sangat! :)



Destinasi seterusnya:


K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 2




Sunday, 14 October 2018 0 comments By: Naemah

K.KINABALU HARI KEDUA: DESTINASI PILIHAN

Sambungan dari entri: K.KINABALU HARI PERTAMA: DESTINASI PILIHAN


Hari kedua (7/10/18)


Pada hari kedua kami menyertai Island Hopping ke Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Kami memilih 2 buah pulau sebagai destinasi pilihan kami iaitu Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. 


Sedikit info tentang Taman Laut Tunku Abdul Rahman/Tunku Abdul Rahman Marine Park di mana ia melibatkan beberapa buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi, Pulau Gaya, dan Pulau Sulug. Setiap pulau berbeza dari segi saiznya, dan mempunyai keistimewaan dan tarikan yang tersendiri. Terdapat juga chalet yang disediakan untuk para pelancong bermalam di sana.


Oleh kerana kami hanya berkunjung ke dua buah pulau sahaja, fokus cerita ini hanya untuk 2 buah pulau ini sahaja;




Pulau Manukan


Kami berada di jeti Jesselton Point jam 7.30 pagi dan menaiki private boat ke pulau pilihan dengan bayaran sebanyak rm300. Kami bergerak jam 8 pagi, dan menempuh perjalanan sekitar 20 minit untuk tiba di Pulau Manukan, destinasi pertama kami. Kami berada di sini dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi.


Sebenarnya ini kali ke-3 kami menjejakkan kaki ke Pulau Manukan ini :) Pulau Manukan merupakan pulau ke-2 terbesar di Taman Laut Tunku Abdul Rahman ini. Pulaunya masih cantik, tak berubah. Air jernih menghijau dan pasirnya memutih bersih. Di sini kami asyik bermain pasir, berenang, dan bersnokeling. Jernih airnya, hingga boleh nampak hingga ke dasar laut dan seronok pula melihat ikan yang bebas berenang di dalamnya. Apatah lagi jika bersnokeling, tambah asyik jadinya menikmati pemandangan cantik di dasar laut. Anak-anak begitu seronok seperti kebiasaannya. Pantang jumpa pantai, seronok tak ingat benda lain dah!


Di sini juga kami menikmati bekalan makanan yang dibawa dari homestay iaitu nasi goreng, mi goreng, nugget, sosej, roti dan minuman. 


Jam 11 pagi, kami menunggu bot yang disewa tadi dan menuju ke pulau yang seterusnya iaitu Pulau Mamutik. Ia mengambil masa hanya sekitar 5 minit sahaja untuk sampai ke Pulau Mamutik 



Bekalan yang dimasak










Jesselton point 




Siap untuk ke Pulau 























Menunggu bot untuk ke Pulau Mamutik 






(Banyak lagi gambar sebenarnya, tapi cukuplah ni)




Pulau Mamutik 


Ini juga kali-3 kami ke pulau ini :) Pulau Mamutik pula merupakan pulau terkecil di antara 5 buah pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Kami berada di sini jam 11.15 dan meninggalkan pulau ini jam 2 petang. 


Pada waktu ini, cuaca di sini sudah panas terik, namun suami dan anak-anak (termasuk anak saudara) tetap excited bermain air dan bersnokeling. Namun di sini airnya agak cetek, dan kurang sesuai untuk aktiviti snorkeling. Anak-anak bermain pantai sepuasnya, dari mula sampai hingga hampir waktu untuk bertolak balik. Di sini juga kami menghabiskan bekalan makanan yang masih berbaki. Aku yang sudah kepenatan, terasa pedih mata dan pening kepala dibuatnya. Selepas menekan sebiji panadol actifast, terlelap seketika di bawah pohon kayu sambil menunggu yang lain puas bermain. 


Jam 2 lebih, kami meninggalkan Pulau Mamutik. Ketika ini jeti pulau agak padat dengan pelancong lain yang juga sedang menunggu bot untuk balik atau untuk ke pulau yang lain. Kami beransur balik meninggalkan Pulau Manukan dan kembali ke Jesselton Point, dan seterusnya menaiki kereta dan balik ke homestay penginapan kami. Masa untuk berehat selepas penat berpanas terik bermain di pantai.


Jam 5 petang, kami keluar menuju pula ke pasar kraftangan yang juga dikenali sebagai pasar Filipina 












(Tak banyak gambar di Pulau Mamutik sebab kepala pun dah pening, tak larat nak bergambar)




Sesak. Bot mengambil penumpang masing-masing 



Pasar Kraftangan


Pasar kraftangan adalah antara tempat yang wajib dikunjungi oleh para pelancong yang datang ke Kota Kinabalu. Pasar ini terletak di pusat bandar Kota Kinabalu dan di sini terdapat pelbagai hasil kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk setempat. Bagi sesiapa yang ingin mencari cenderamata atau ole-ole untuk dibawa pulang, di sinilah tempatnya :) antara yang dijual di sini ialah seperti Keychain, fridge magnet, hasil mutiara seperti kerongsang, gelang dan rantai, t-shirt, kain batik, dan banyak lagi.


Berderetan dengan pasar ini juga, kita boleh mendapatkan hasil makanan laut seperti ikan kering, ikan bilis, sotong kering, abalone, seaweed dan banyak lagi untuk dibawa pulang ke rumah.


Di sekitar pasar ini juga ada Pasar Malam yang beroperasi setiap malam bermula jam 5 petang. Ia juga dikenali sebagai Pasar Malam  Sinsuran dan sangat terkenal di Bandar Kota Kinabalu ini. Di sini boleh kita dapati makanan laut yang dimasak dan dibakar siap untuk dinikmati. Tapi oleh kerana kami semua sudah kekenyangan makan di rumah sebelum bertolak keluar tadi, makanan di sini tidak menjadi pilihan kami pada malam ini :)


Selesai membeli belah di pasar kraftangan, dan sebaik azan Maghrib sudah pun berkumandandang, kami segera meninggalkan tempat ini dan menuju balik ke homestay kami. Malam ini tidak ke mana-mana, hanya berehat di homestay. Suamiku pula, dengan 2 anak kami dan anak saudara keluar mencuci pakaian di kedai dobi yang berhampiran. Di rumah, kami siap berkemas dan bersedia untuk check out homestay ini dan akan bertolak ke Kundasang pula.



Di sekitar pasar kraftangan











Info homestay penginapan dan kereta sewa kami di Kota Kinabalu;


Homestay: Azah dan Afif Urbanstays 

Jenis rumah: teres 2 tingkat- 3 bilik dan 3 bilik air

Lokasi: Friendship Garden (5 minit dari KKIA)

Rate sewa: rm 450 (2 malam)

Komen: homestay yang agak selesa buat 2 buah keluarga kecil kami (4 dewasa dan 4 kanak-kanak), cukup alatan memasak dan boleh ber’bbq di luar rumah. Kedai runcit, kedai makan, dobi dan speedmart juga sangat dekat dengan rumah. Boleh berjalan kaki saja.


Kereta: proton exora

Rate sewa: rm150 sehari (total rm480 untuk 3 hari setengah)

Komen: tiada sebarang masalah pada kereta, dari Kota Kinabalu hingga ke Kundasang, namun pada hari terakhir ada sedikit masalah dengan aircond, yang mana aircond tiba-tiba tak berfungsi pada ketika kereta tak bergerak dalam tempoh yang lama (walaupun tak tutup enjin). Namun syukur perjalanan lancar dan baik saja sepanjang menyewa proton exora ini. 


Bersambung:


K. KINABALU HARI KETIGA: DESTINASI PILIHAN 1

Saturday, 13 October 2018 0 comments By: Naemah

K. KINABALU HARI PERTAMA: DESTINASI PILIHAN

Hari pertama di Kota Kinabalu (06/10/18)

Kami tiba di Kota Kinabalu International Airport pada pukul 11 pagi. Di sini kereta sewa diserahkan kepada kami. Kami dibawa ke homestay yang terletak di ‘Friendship Garden’ kira-kira 5 minit sahaja perjalanan dari Airport. Di homestay, kami berehat seketika dan bersiap untuk keluar. Destinasi pertama kami ialah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, kemudian ke Pasar Besar Kota Kinabalu dan yang terakhir ialah Perdana Park, Tanjung Aru.


Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Kami menuju ke masjid ini untuk menunaikan solat jamak-qasar Zuhur dan Asar. Masjid ini sangat terkenal di sini, bukan saja kepada penduduk setempat, bahkan juga kepada pelancong luar negara. Pada hari ini kami dapat saksikan begitu ramai pelancong Muslim dan non-Muslim dari luar negara yang datang berkunjung ke masjid yang sangat besar, luas dan selesa ini. 

Masjid ini juga dikenali sebagai masjid terapung, kerana kedudukan masjid ini yang mana 70% kawasannya dikelilingi oleh air. 

Masjid ini sangat luas, dan aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kelas-kelas agama, seminar, kursus, kelas-kelas tuisyen dan sebagainya. Terdapat juga beberapa buah sekolah yang beroperasi di sini dengan jumlah pelajarnya yang agak ramai. Di sini juga diwujudkan pusat komuniti yang menjaga kebajikan OKU. Di samping, masjid ini aktif menganjurkan aktiviti kebajikan dan khidmat sosial di seluruh tempat, khususnya di sekitar Kota Kinabalu. Pendek kata, masjid ini sangat aktif dan ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kebajikan sosial.

Di perkarangan masjid ini terdapat deretan kedai makan, dan juga kedai runcit dan gerai yang menjual air dan buah. Di sini kami menjamu selera, untuk makan tengahari pertama kami di Kota Kinabalu. Selepas menjamu selera, kami ke Pasar Besar Kota Kinabalu untuk membeli lauk segar untuk dimasak di homestay kami nanti.












Pasar Besar Kota Kinabalu 

Aku tak dapat sertai suamiku untuk membeli hasil laut di sini, oleh kerana tiada tempat untuk parking kereta. Aku dan anak-anak hanya menunggu di dalam kereta, sementara suamiku, kak za dan Faiz (anak saudara) keluar membeli lauk mentah.

Pasar Besar ini berderetan dengan pasar Filipina/Pasar Kraftangan yang juga terkenal di Kota Kinabalu. Di pasar ini terdapat aneka hasil laut yang dijual dengan harga yang agak murah, berbanding di tempat kita. Sama seperti pasar basah di tempat kita, di sini juga dijual buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan kering, ikan bilis dan keperluan yang lain juga.

Di sini kami membeli ketam, sotong, ikan, etak, kerang, udang, dll. Selepas membeli belah di sini, kami balik ke homestay dan berehat sehingga masuk waktu Maghrib. Selepas itu keluar menuju ke Perdana Park pula.











Perdana Park Tanjung Aru

Perdana Park merupakan sebuah Taman rekreasi yang agak luas dan selesa untuk para pengunjung beraktiviit di sini. Ia menjadi tumpuan untuk melakukan aktiviti jogging dan bersenam di siang hari, atau sekadar untuk bersantai. Di sini terdapat track untuk berlari, kolam ikan, restoren, dan juga taman permainan. 

Pada malam hari, tempat ini menjadi tarikan pengunjung yang ingin menyaksikan air pancut menari yang diiringi lagu dan muzik. Ia bermula jam 7 malam, dan berakhir jam 9 malam. Untuk setiap sessi, ia mengambil masa selama 20 minit, dan kemudian berhenti untuk tempoh 10 minit sebelum sessi yang seterusnya. Anak-anak agak terhibur di sini, melihat pancutan air menari, dengan cahaya lampu yang menarik, dan diiringi lagi dan muzik yang menghiburkan.

Kami berada di sini selama lebih kurang 1 jam, anak-anak bermain di playground dan menikmati ais krim yang dijual. Tak lupa, membeli makanan untuk diberi kepada ikan yang terdapat di dalam kolam. Selepas itu kami terus balik ke homestay. Malam ini memasak dan ber’bbq’ untuk makan malam bersama. Alhamdulillah, nikmat dapat menjamu selera dengan hasil laut yang segar dan enak. Malam ini tidur dengan sangat lena :) Alhamdulillah untuk perjalanan hari ini.














Catatan bersambung: 


KOTA KINABALU-KUNDASANG WITH LOVE





Baru berkesempatan untuk mencatat perjalanan ke Kota Kinabalu baru-baru ini. Sebenarnya sudah ada catatan perjalanan ke sana pada tahun lepas, siap lengkap dengan budget dan total spending di sana :)


Ini merupakan kali ke-3 kami suami isteri dan juga Anas ke Kota Kinabalu. Dan kali ke-2 untuk Mussaab dan Miqdad. Kali pertama dulu, September 2013 pergi bersama mak mertua dan adik beradik suamiku, jadi lebih meriah ‘rombongan’ kami pada ketika itu :) kali kedua pula ialah pada tahun lepas Mac 2017, hanya kami berlima anak beranak saja. Dan kali ini kami sekeluarga pergi bersama Kak Za, kakak ipar suamiku (birasku) bersama 2 anaknya. 


Catatan kali ini mungkin berbeza berbanding catatan tahun lepas, mungkin perlukan penulisan yang lebih panjang, kerana nak fokus pada penceritaan tempat-tempat menarik yang telah kami kunjungi. Dari segi perbelanjaan pula, tak dapat nak tulis detail sebab keluar dari banyak ‘poket’, tak sempat nak catat satu persatu :)


Secara ringkas dululah ya :)


Percutian kami ke Kota Kinabalu adalah selama 4 hari 3 malam iaitu pada 6/10/18 hingga 9/10/18. Kami bertolak pada hari sabtu, dan balik semula pada hari Selasa. Bermakna Anas dan Mussaab terpaksa ‘bercuti’ dari sekolah selama 2 hari :)


Kami ke Kota Kinabalu menaiki pesawat Malindo Air. Flight kami jam 8.20 pagi dari KLIA dan tiba di KKIA JAM 11 pagi. Lebih kurang 2 jam setengah perjalanan. Tiket pergi-balik kami rm400 (tak sampai pun) seorang.


Pada hari pertama, sebaik tiba di KKIA kami mengambil kereta sewa dan terus menuju ke homestay yang letaknya di ‘Friendship Garden’ hanya 5 minit perjalanan dari Airport.


Hari ini, destinasi yang sempat kami tuju ialah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Pasar Besar KK, dan Perdana Park. Malam ini juga sempat kami ber’bbq menikmati hidangan lauk pauk segar yang dibeli di pasar tadi.


Pada hari kedua, kami menyertai Island hopping, mengunjungi 2 buah pulau iaitu Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. Pada petang hari kami ke pasar kraftangan untuk membeli cenderahati dan ole-ole untuk dibawa pulang.


Pada hari ketiga, kami ke Kundasang pula. Di sini kami sempat singgah di Pekan Nabalu, Kinabalu Park, Poring Hot Spring, Tagal Sg. Moroli, dan Sabah tea plantation. Hari ini juga kami check in homestay di Kundasang untuk satu malam.


Hari terakhir, sebelum balik ke Kota Kinabalu kami singgah di Desa Dairy Farm, Kundasang War Memorial dan Rumah Terbalik Tamparuli. Seterusnya ke airport untuk penerbangan balik ke KLIA.


Jadual percutian kami agak padat, demi untuk pastikan banyak tempat yang dapat kami jejakkan kaki, dan untuk pastikan ianya sebuah percutian yang berbaloi untuk semua, terutamanya anak-anak kami. 


Alhamdulillah, secara keseluruhannya kami sangat berpuas hati dengan percutian dan kembara kami ke Kota Kinabalu kali ini. Segalanya dipermudahkan oleh Allah, walaupun ada sedikit ujian yang perlu kami hadapi, namun ia tetap sebuah perjalanan yang sangat memberi makna yang tersendiri. Bahkan, pada kali ini kami berpeluang untuk jejakkan kaki ke tempat yang sebelum ini tidak pernah kami sampai. Alhamdulillah :)


Di entri seterusnya, insya Allah akan berkongsi serba sedikit tentang tempat-tempat menarik di Kota Kinabalu dan Kundasang yang telah kami kunjungi. 


Sampai di sini dulu :)





Meninggalkan rumah jam 4.30 pagi





Di stesen Salak Tinggi menunggu tren ke KLIA






Di KLIA- check in, solat dan breakfast 






Masa untuk ‘terbang’




Flight pertama ummi, Anas, Mussaab dan Miqdad untuk tahun ini :)



Tiba di KKIA- urusan imigresen










Catatan perjalanan akan bersambung.