Monday, 14 November 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 151116





Anas, Mussaab dan Miqdad masih di kampung. Sudah 2 bulan setengah di kampung. Miqdad pula masuk hari ke-34 hari ini. Semalam dah pergi klinik untuk check up dan suntikan 1 bulan :) Alhamdulillah.

Mussaab seperti biasa semalam tidur di rumah cik. Jam 8 pagi, ayah cik hantar balik rumah mek. Anas pula dah bangun lebih awal. Ummi uruskan Miqdad yang menangis minta ditukarkan pampers. Abi di Bintulu, akan menaiki penerbangan jam 11.15 pagi, ke Klia. Insya Allah esok akan jumpa abi.

Pagi ni breakfast dengan burger saja. Itu yang paling cepat yang ummi dapat buat, memandangkan Miqdad tak boleh ditinggal lama. Lepas brekfast, Anas dan Mussaab bermain mainan aeroplane dan ipad. Kemudian buka laptop dan menonton video chuggington dan aeroplanes. Sambil menonton, sambil main juga. Ummi selesaikan sedikit kerja rumah dan mandikan Miqdad. Miqdad tidur sekejap. Dapat ummi menjemur kain. Anas ajak ummi baca buku umizoomi. Dapat jugalah baca sekejap, sementara Miqdad tidur. 

Jam 11 pagi, masih menonton video aeroplane. Masing-masing macam dah boring sangat. Selalunya masa ni pergi ke rumah cik. Tapi hari ni tak dapat pergi kerana cik menoreh. Miqdad pula hanya mahu dipangku ummi. 

Bila Miqdad dah tidur, ummi masuk ke dapur dan masak untuk makan tengahari Anas dan Mussaab. Goreng ayam je, makan dengan gulai daging yang mek dah masak. Berselera Anas makan. Mussaab hanya makan ayam. Ummi layan Anas dan Mussaab makan sambil menyusukan Miqdad yang dah bangun dari tidur. Lepas tu ummi tinggalkan miqdad pada mek. Anas dan Mussaab buat bising pula dekat adik. Miqdad perhatikan saja abang-abang yang riang bergurau senda.

Pukul 1 petang, cik datang ke rumah. Lepas tu Anas dan Mussaab ikut cik balik. Tinggal ummi dan Miqdad. Abi juga dah selamat sampai di klia. Alhamdulillah. Ummi cuba untuk tidur dengan Miqdad. Teringatkan Anas, yang tadi ada berkelakuan yang membuatkan ummi marah. Tapi ummi sepatutnya lebih sabar, dari bertindak tidak matang. Im sorry Anas. Ummi rasa bersalah dan berdosa. Hati ummi merindu tika jauh dengan anak-anak.

Pukul 4, cik hantar gambar whatsapp Anas dan Mussaab tengah tidur. Hai, sempat lagi tidur. Anas yang jarang tidur petang pun tidur jugak. Mungkin sebab pagi tadi bangun awal. Hujan pun turun dengan lebatnya. Lagi best tidur :) 

Pukul 5 petang, ummi bawa Miqdad masuk ke dapur. Mek jaga Miqdad, ummi makan roti dan minum air. Anas dan Mussaab masih di rumah cik. Tengah menonton tv, kata cik. Hujan pun masih turun. Tak dapat balik rumah mek lagi. Abi pula di low yatt, insya Allah akan naik bas malam ni ke kampung. 

Anas dan Mussaab balik jam 5.30 petang menaiki motor cik. Cik masak donat dan nasi goreng. Anas dan Mussaab kenyang makan donat. Lepas makan, main dan menonton video. Cik kat rumah mek sehingga isyak. Lepas isyak, Mussaab ikut cik balik. Malam ni tidur di rumah cik lagi nampaknya. Miqdad sudah lena tidur. Anas sambung menonton video dan melukis. 

Pukul 10 malam, Anas dah lena. Ummi yang mengantuk juga ikut lena bersama Anas dan Miqdad. Entah Mussaab pukul berapa tidurnya di rumah cik. Semoga baik-baik Mussaab di sana. Semoga Allah menjaga anak-anak ummi. Semoga perjalanan abi malam ini selamat. Semoga Allah menyatukan kita sekeluarga pada esok hari. Insya Allah

MUSSAAB SAYANG UMMI KAN??

Sejak suamiku kembali bekerja (selepas bercuti panjang), aku kini tinggal bersama anak-anak di kampung. Selepas sebulan bersalin, masih di kampung.

Mussaab, anak keduaku kini setiap malam tidur di rumah ciknya (kakakku). Pada malam pertama dia tidak bermalam bersamaku, hati ini terasa sayu sangat. Dan berbagai persoalan datang. Mungkin dia rasa aku tak sayang dia, lepas lahir adiknya. Mungkin dia rasa layananku tak seperti dulu, dan segalanya mungkin.. hati sedih tak terkata. Tak pernah dia berjauhan denganku.

Namun kini bila setiap malam dia tiada, perasaan sedih semakin kurang. Aku lepaskan dengan rela, setiap kali dia ingin pergi. Mungkin ada baiknya juga, kerana cik melayannya dengan baik. 

Bila dia balik ke rumah, aku cuba melayaninya dengan baik. Cuba menjadi yang lebih baik, untuk anakku yang seorang ini. Biar dia tahu aku sayangkan dia. Biar dia tahu, aku tetap adalah umminya.

Pada kakakku, aku juga sangat terhutang budi kerana banyak membantu, terutama dalam menjaga Mussaab dan melayan karenahnya yang adakala tak terlayan olehku. Oleh itu aku mengerti, kenapa Mussaab selesa bersama cik. 

Namun Mussaab, ummi tetap sayang Mussaab. Sayang dan rindu sangat. Semoga hati Mussaab juga tidak semakin jauh dengan ummi. Mussaab sayang ummi kan?? :')
Sunday, 13 November 2016 0 comments By: Naemah

AKU INGIN LAHIRKAN ZURIAT LAGI

Hari ke-32 berpantang selepas melahirkan anak ketigaku. Masih belum sihat sepenuhnya. Masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa lagi. Masih seperti 'bermimpi' dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga ini.

Namun Alhamdulillah, syukur kupanjatkan pada Dia yang Maha Memberi. Aku bersyukur atas kehadiran zuriatku ini.

Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan yang sudah hampir 6 tahun, kami dikurniakan 3 cahaya mata yang memang diharapkan dan dinantikan. Tak ku lupa bagaimana sakit dan peritnya saat berjuang melahirkan setiap anakku. Namun sakit itu bagai tak terasa, dek kemanisan yang mengatasi rasa sakit itu saat melihat anak-anak membesar di depan mata. 

Di kala ini, kerana masih baru melepasi saat getir itu, hati masih gerun untuk mengingati kembali kesakitan ketika berjuang melahirkan anak. Namun jika ditanya apakah aku masih mahu mengandung dan melahirkan anak lagi, jawapanku ialah YA, aku masih mahu melahirkan zuriat lagi. 

Aku sedar perjalanan sepanjang mengandung dan sehingga saat melahirkan tak semudah yang difikir. Aku pernah dua kali keguguran. Ditambah pula dengan masalah kencing manis yang dihadapi setiap kali mengandung, kesakitan bersalin, kesukaran sepanjang tempoh berpantang, dan macam-macam lagi. Setiap orang pasti ada cabaran tersendiri. Malah ada insan yang lebih hebat menerima ujian. 

Namun aku, sedari awal, mengimpikan untuk mempunyai ramai zuriat. Tapi memikirkan umur pun dah banyak, tak pastilah berapa ramai yang aku mampu. Sampai masanya mungkin mengandung menjadi perkara yang 'berisiko' buatku. Maka tawakkalku hanya pada Dia.

Merancang tu merancang juga. Cuma buat masa ini hanya merancang sendiri (tidak mengambil ubatan atau suntikan). Kalau boleh, tak nak terlalu rapat umur anak-anak. 2 tahun tu rasanya dah ok. Tapi selepas yang ketiga ni suami kata nak jarakkan sampai selesai ibadah haji (insya Allah tahun 2022). Alasannya, kesian nak tinggal anak masih kecil waktu tu. (atau mungkin kesian pada isterinya, selepas berpengalaman tiga kali menemani isteri di labour room?? Tak pastilah tu :))

Apapun, jika bertanya serik atau tidak melahirkan anak, jawapanku adalah tidak. Aku percaya walau sukar dan payah sekalipun Allah pasti membantu. Aku juga percaya, dosa-dosaku turut gugur bersama kasakitan yang kutanggung itu. Malah, melihat anak-anak yang kian hari membesar di depan mata, langsung kesakitan itu lenyap dari ingatanku. Aku bahagia dengan kehadiran zuriatku. Alhamdulillah :)



Saturday, 12 November 2016 0 comments By: Naemah

MIQDAD: 1 MONTH OLD

13/10/16-13/11/16

Genap sebulan usia Ilham Miqdad. Hari ke-32 Miqdad di dunia ini. Alhamdulillah.

Sepatutnya hari ni nak ke klinik untuk cucuk Miqdad. Tapi rupanya hari ni cuti sempena hari keputeraan sultan kelantan, so klinik pun tutup. Insya Allah esok lah ummi bawa Miqdad ke klinik :)

Hari ini abi di laut, bertugas. Miqdad masih di kampung bersama ummi dan abang-abang.

Alhamdulillah Miqdad sihat dan baik-baik saja sepanjang sebulan ini. Tidur malam juga tiada masalah, hanya berjaga untuk menyusu saja. Tak kuat menangis sangat, kecuali bila lapar, sakit perut atau tak selesa dan minta ditukar pampers. Insya Allah, mudah saja ummi menjaga dan menguruskan Miqdad, sama seperti abang-abang.

Semoga Miqdad, membesar bersama Anas dan Mussaab dengan kasih sayang Allah. Semoga anak anak ummi menjadi manusia yang berjasa pada agama, dan dijauhi dari fitnah akhir zaman ini. 

Aameen.
Wednesday, 9 November 2016 0 comments By: Naemah

BERSALIN INDUCE LEBIH SAKIT KE??

Coretan ini hanya sekadar catatan pengalaman sendiri yang sudah melalui detik bersalin secara sakit semulajadi dan juga diinduce.

Apapun, pengalaman setiap orang pasti tak sama. Memang selalu dengar orang cakap induce lagi sakit dari sakit bersalin yang biasa. Betul ke?

Tak pastilah nak kata betul ke tak. Aku rasa lebih kurang sama je kot. Dua-dua sakit :D dah nama bersalin tu, memang tak dapat tidak, kita akan berhadapan dengan sakit kontraksi. Yang beza mungkin berapa lama kita menanggung kesakitan tu.

Anak yang sulung, aku diinduce dengan ubat tablet dan juga drip. Kerana anak sulung, so tak boleh nak beza yang mana lagi sakit. Yang tahu memang sakit sangat-sangat masa tu. 8jam menanggung sakit kontraksi sehingga selamat melahirkan.

Anak kedua pula, tak sempat induce (sepatutnya kena induce juga) sebab jalan dah buka 3cm, tanpa rasa sakit. Sampai 5cm pun tak sakit lagi. Start sakit bila doktor pecahkan ketuban, makin sakit dan akhirnya bersalin. Masa sakit tu memang rasa sakit sangat. Cuma, tempoh sakit tak lama macam anak 1st. Tapi nak compare pun macam tak sesuai, sebab anak sulung kita tak ada pengalaman bersalin, agak mengambil masa juga untuk laluan mencapai bukaan yang sepatutnya. 

Anak ketiga tak sempat induce juga kerana ketuban dah pecah. Tetapi oleh kerana bukaan serviks lambat dan sakit kontraksi tak kuat, kena induce juga pakai drip. Sakit mula datang, makin kuat dan lebih kuat. Sakit sangat, sama macam sakit bersalin dulu juga. 

So, kalau nak diingat balik, sakit bersalin tu, macam tu jugalah sakitnya. Induce atau tidak, sama je rasa sakitnya (ikut pengalaman sendirilah, orang lain mungkin berbeza). Jadi lepas ni aku tak perlu takutlah kot kalau kena induce lagi. Dan aku nak nasihatkan ibu-ibu lain juga jangan takut sangat kalau kena induce. Induce tak induce, bersalin tu memang sakit. Cuma banyak-banyak berdoa sajalah, agar dipermudahkan urusan bersalin, dan tidak berlaku segala yang tak diingini. Di saat ini, hanya Allah saja tempat kita bergantung.

Akhir kata, kenyataan bahawa induce lebih sakit dari sakit bersalin normal, tak boleh dipegang sepenuhnya. Tak perlu terlalu takut, hanya berserah pada Allah di samping berdoa padaNya agar segalanya akan dipermudahkan. Setiap individu akan melalui pengalaman berbeza, namun yakinlah kita akan mampu mengharungi kesakitan bersalin. Insya Allah.

Tuesday, 8 November 2016 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ILHAM MIQDAD


Catatan pengalaman melahirkan anak ketiga kami, Ilham Miqdad b. Mohd Suzainizam.

Catatan pengalaman yang lepas: ANAS ZAYDAN dan ABDULLAH MUSSAAB



13/10/16

Hari ini aku perlu ke Klinik Kesihatan Kg. Kijang untuk mengambil surat daripada doktor, sekiranya aku masih belum bersalin memandangkan tarikh jangka bersalinku ialah pada 14/10/16. Aku tidak boleh melebihi tarikh jangka tersebut memandangkan aku mempunyai masalah GDM (kencing manis) ketika mengandung. 

Namun dengan takdir Allah, pagi itu sekitar jam 5 pagi aku terjaga dari tidur kerana terganggu dengan kontraksi yang kerap hadir sejak semalam. Saat bangun dari tidur, terasa air turun laju membasahi kain yang kupakai. Agak terkejut juga, kerana tiada pengalaman pecah ketuban di rumah sebelum ini. Namun sudah bersedia, memandangkan dari semalam lagi sudah merasakan kontraksi (seperti senggugut). Aku segera mengejutkan suami dari tidur. Aku ceritakan keadaanku, dan dia bergegas mandi dan bersiap untuk membawaku ke hospital. Aku juga sempat mandi dan menukar pakaian memandangkan aku masih belum merasakan sakit kontraksi yang sebenar. Malah, rasa seperti senggugut juga dah tiada. Kami bertolak ke Hospital Raja Perempuan Zainab, KB. Anak-anak ditinggalkan bersama ibu mertuaku. 

Sampai di hospital, azan subuh berkumandang. Kami menunaikan solat subuh terlebih dahulu di surau hospital. Aku masih tidak rasa sakit. Namun terasa air ketuban yang masih turun sedikit demi sedikit. Mujur juga aku pakai pad. Selepas solat aku ke tandas untuk membuang air besar dan kecil. Kalau boleh nak kosongkan perut sebelum bersalin. Agak terkejut melihat pad yang berwarna kekuningan. Aku jadi takut dan berdebar. Mungkinkah anakku dah berak di dalam perut? Rasa nak menangis, namun cuba bertenang. Lepaskan segala hajat di tandas. Kemudian ke tempat letak kereta, menunggu suami yang belum selesai solat berjemaah. Sempat google 'warna ketuban' untuk kepastian. Hati masih tak sedap dan rasa nak menangis. Sebaik suamiku datang, aku ceritakan padanya hal air ketuban tadi. Dia segera bawa aku ke bilik bersalin yang letaknya tidak jauh dari situ. 

Pendaftaran dibuat sekitar jam 6.15 pagi. Aku masuk ke labor room, sementara suami menunggu di luar. Aku diminta berbaring di atas katil dan dipasang alat ctg untuk memantau denyutan jantung baby dan kontraksi. Hampir satu jam berbaring di situ tanpa ada kontraksi, malah anakku pula releks je tidur pagi-pagi macam ni. Misi suruh aku tepuk-tepuk manja di perut agar anakku bangun dari tidur. Suamiku di luar bertanyakan keadaanku yang sudah lama berada di dalam. Sempat juga dia kirimkan artikel 'teknik meneran ketik bersalin'. Aku baca dan senyum sendiri. Dah dua kali dia menemani aku di bilik bersalin. Dia tahu, 'masalah' aku di mana. Ye, selalunya bab meneran aku selalu gagal :)

Lebih kurang pukul 7.30 pagi, bukaan serviks diperiksa. Hanya 2cm saja. Agak kecewa mendengarnya. Tapi yelah, aku masih belum merasakan sakit kontraksi. Doktor juga menyatakan baby dah terberak di dalam perut. Sangkaan aku benar. Aku risau, namun cuba bertenang. Aku ceritakan pada suami hal keadaanku melalui whatsapp. Dia juga risau dapat tahu baby dah terberak. Dia nasihatkan aku untuk bersabar dan berdoa. Aku juga sedaya upaya untuk bersabar, bertenang dan sepenuhnya bertawakkal pada Allah. 

Jam 8.30 pagi, aku ditolak masuk ke labor room (tadi di bahagian luar saja). Walaupun bukaan hanya 2cm, aku perlu dipantau memandangkan anakku dah berak di dalam perut. Ketika ini, masih belum rasa sakit kontraksi. Hanya sakit ringan seperti semalam saja. Di dalam labor room juga, keadaanku masih sama. Degupan jantung baby ok, cuma kontraksi masih tiada. Agak jemu menanti. Mata juga mengantuk. Perut kosong, tadi hanya sempat makan dua biji kurma di atas kereta dan minum air kosong. Aku harapkan agar cepat bersalin, takut tiada tenaga nanti jika perlu menunggu lebih lama. Nak makan minum dah tak dibenarkan. Hanya air dimasukkan ke badanku. 

Dalam tempoh penantian ini, pengalaman ngeri ialah saat 'diseluk' untuk cek bukaan serviks. Entah kenapa, rasa sakit sangattt.. berbeza dengan pengalaman lepas. Tahan air mata saja, tak mampu nak jelaskan kesakitan macam mana. Tawakkal dan doa saja. Betul-betul berserah pada yang Maha Kuasa. 

Jam 10.30 pagi, suamiku masuk menemaniku di labor room. Ketika ini juga, sakit kontraksi masih belum kuat terasa. Ia datang dalam 5 minit sekali, namun tak terlalu sakit. Masih boleh berbual dengan suamiku. Mata mengantuk, tapi tak boleh nak lelapkan mata. Suamiku membaca al quran di sisi.

Sekitar jam 11.30 pagi, aku diinduce (kaedah drip/pitocin) untuk cepatkan bukaan serviks. Dalam tempoh ini, terasa sakit makin kuat, namun masih dalam sela masa 5 minit sekali dan sakit juga tak lama. Doktor sekali lagi cek bukaan, hanya 4cm. Namun lepas tu sakit makin kuat terasa, semakin lama, dan semakin dekat jarak antara kontraksi. 

Lebih kurang jam 1.30 petang, aku dah rasa gesaan untuk meneran. Bukaan serviks diperiksa, baru 7cm. Aku diminta untuk tidak meneran lagi. Allah.. makin lama makin kuat rasa nak meneran. Seksa sangat bila ditahan-tahan. Masa ni dah start mengalir air mata. Sakit tak tertahan bila datang kontraksi dan gesaan untuk meneran. Aku menarik tangan suami, mencengkam dengan kuat saat kontraksi datang. Rasa  nak gigit pun ada. 

Doktor cek bukaan sekali lagi. Masih 7cm. Namun kali ini doktor minta aku teran bila datang rasa nak meneran. Di sini bermula cabaran seterusnya. Kalau tak silap, tiga kali aku cuba meneran, ketiganya gagal. Aku tak sempat nak tahan nafas. Jadi blurr, tak ingat teknik pernafasan yang sebenar. Padahal inilah yang sering diingatkan suamiku. Aku diberi rehat seketika. Tapi nak rehat macamanalah, kontraksi datang dan pergi. Aku disuruh mengiring ke kiri. Bila datang gesaan untuk meneran, aku diminta meneran, tak perlu tahan lagi. Aku buat seperti yang disuruh, bersama air mata menahan sakit :'( dalam kesakitan itu, aku mendengar suamiku panjang lebar mengajar aku teknik pernafasan yang betul. Aku pasang telinga mendengar sepenuh hati. 

Akhirnya, sekali lagi bila kontraksi datang hingga kemuncak, bertemankan suami, doktor dan jururawat (lupa berapa orang semuanya) aku cuba mengambil nafas sedalamnya dan cuba meneran dengan satu nafas, dan berkali-kali mencuri nafas (seperti yang suamiku ajar). Suami di sisi tak lepas memberi kata semangat dan terus mengajar. Akhirnya... berjaya juga lahirkan anakku tepat jam 1.58 petang. Lega, sebak, bahagia, semua ada saat dia meluncur keluar, dan sebaik mendengar tangisannya. Aku lepaskan tangisan sendu.. tak tergambar rasa itu. Dalam kepayahan berjuang, menanggung sakit tak terperi, akhirnya anakku selamat dilahirkan ke dunia. Anak diletakkan ke dadaku, suamiku mengalunkan azan dan iqamah di telinganya. Hatiku dibuai tenang dan bahagia. Rasa sakit seperti tak terasa lagi. Badan anakku diselaput najisnya, namun dia sangat comel dipandangan mataku. 

Selesai urusan menjahit di tempat bersalin (koyakan agak banyak), anakku yang sudah bersih dimandikan dan diperiksa kesihatannya diberikan kepadaku untuk disusukan. Agak terkejut bila dapat tahu aku melahirkan anak seberat 3.85kg. Wah, tak terjangka. Ingatkan lebih kurang sama je dengan abang abangnya (3.1kg). Patutlah koyakan pun banyak :) namun syukur, segalanya dah berakhir. Anakku selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. 

Itulah catatan pengalaman melahirkan anak ketigaku, Ilham Miqdad bin Mohd Suzainizam. Agak panjang coretan ini. Yang pasti pengalaman kali ini agak berbeza dengan dua pengalaman lepas. Sudah pasti, setiap anak ada cerita tersendiri :)

Bersalin kali ini, bukaan serviks agak lambat, kerana kontraksi yang tak terlalu kuat (walaupun ketuban dah pecah) . Selepas diinduce, barulah sakit kontraksi semakin kuat dan kerap. 7cm dah tak tahan nak meneran. Menanggung rasa sakit kontraksi (yang kuat) lebih kurang 4jam, sehingga akhirnya melahirkan anakku. 

Alhamdulillah. Hanya pada Allah kupanjatkan rasa syukurku. Rasa sakit yang kutanggung hakikatnya dalam kemampuanku, dan pertolongan dariNya membuatkan aku dapat melaluinya meski dalam kepayahan. Allah sebaik-baik penolong. Aku bersyukur di atas nikmat dan anugerah ini. Aku tak serik untuk melahirkan anak lagi. Insya Allah.

Terima kasih juga buat suamiku yang tak putus berdoa dan memberi sokongan. Anak ini, hadiah istimewa untukku dan untuk dia. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad. Dari dua menjadi tiga. Anugerah dan amanah dari yang Esa. Semoga aku dan suami dapat memikul amanah ini dengan sebaiknya. Semoga anak-anak kami membesar menjadi hamba Allah yang soleh. 

Aameen




Monday, 7 November 2016 0 comments By: Naemah

ALLAH IZINKAN AKU BERSALIN NORMAL

Pertamanya, ingin aku tekankan bahawa bersalin normal atau melalui pembedahan, tiada bezanya. Tidak menggambarkan yang mana lebih baik. Tetap ianya sebuah perjuangan yang dinilai mulia di sisi Allah. Insya Allah.

Namun pada kebanyakan wanita (mungkin), pasti mengharapkan dapat bersalin secara normal. Bagi yang belum ada pengalaman, bersalin c-zer terasa begitu menggerunkan. Namun mungkin tidak pada mereka yang ada pengalaman melaluinya.

Aku juga secara peribadinya 'takut' kalau-kalau berhadapan dengan situasi di mana aku terpaksa dibedah ketika melahirkan anak. Alhamdulillah, belum sampai ke tahap itu. 

Sewaktu melahirkan anak pertama, bukaan serviks sangat lambat. Menanggung sakit hingga 8 jam selepas diinduce. Kemudian, tak pandai nak teran pula ,:) sampai sekali tu dengar 'ugutan' dari doktor pakar yang bertugas: kalau tak berjaya teran lagi, kita c-zer sajalah. Makin takut rasanya. Lepas tu berjaya melahirkan dengan jayanya. Fuh.. Alhamdulillah. 

Anak kedua pula, memang tiada masalah. Sakit tak lama, dan tak berulang kali meneran. Sekejap saja. Alhamdulillah.

Anak ketiga ni pula, ditakdirkan sudah terberak di dalam perut. Cemas juga, sebab selalu dengar pengalaman orang yang sama kes macam ni, end up dengan c-zer. Hati cuba menidakkan, namun perlahan memujuk hati, kalau terpaksa dibedah juga, aku redha dan terima demi keselamatan anakku. Tapi Allah takdirkan aku dapat bersalin dengan normal juga akhirnya, walaupun baby besar (3.85kg). Alhamdulillah :)

Takdir Allah mengatasi segalanya. Allah datangkan kesakitan bersalin yang di dalam kemampuan kita. Allah juga takdirkan kita bersalin normal atau pembedahan, sesuai dengan keupayaan kita juga. Yang pasti, bersalin normal atau c-zer, tiada beza di sisi Allah. Seorang ibu tetap dikurniakan kemuliaan di atas apa yang ditanggungnya, sejak mula mengandung hingga detik menanggung kesakitan ketika melahirkan. 

Moga bersama kesakitan yang ditanggung, akan gugur juga dosa yang bertimbun. Insya Allah