Sunday 13 November 2016 By: Naemah

AKU INGIN LAHIRKAN ZURIAT LAGI

Hari ke-32 berpantang selepas melahirkan anak ketigaku. Masih belum sihat sepenuhnya. Masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa lagi. Masih seperti 'bermimpi' dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga ini.

Namun Alhamdulillah, syukur kupanjatkan pada Dia yang Maha Memberi. Aku bersyukur atas kehadiran zuriatku ini.

Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan yang sudah hampir 6 tahun, kami dikurniakan 3 cahaya mata yang memang diharapkan dan dinantikan. Tak ku lupa bagaimana sakit dan peritnya saat berjuang melahirkan setiap anakku. Namun sakit itu bagai tak terasa, dek kemanisan yang mengatasi rasa sakit itu saat melihat anak-anak membesar di depan mata. 

Di kala ini, kerana masih baru melepasi saat getir itu, hati masih gerun untuk mengingati kembali kesakitan ketika berjuang melahirkan anak. Namun jika ditanya apakah aku masih mahu mengandung dan melahirkan anak lagi, jawapanku ialah YA, aku masih mahu melahirkan zuriat lagi. 

Aku sedar perjalanan sepanjang mengandung dan sehingga saat melahirkan tak semudah yang difikir. Aku pernah dua kali keguguran. Ditambah pula dengan masalah kencing manis yang dihadapi setiap kali mengandung, kesakitan bersalin, kesukaran sepanjang tempoh berpantang, dan macam-macam lagi. Setiap orang pasti ada cabaran tersendiri. Malah ada insan yang lebih hebat menerima ujian. 

Namun aku, sedari awal, mengimpikan untuk mempunyai ramai zuriat. Tapi memikirkan umur pun dah banyak, tak pastilah berapa ramai yang aku mampu. Sampai masanya mungkin mengandung menjadi perkara yang 'berisiko' buatku. Maka tawakkalku hanya pada Dia.

Merancang tu merancang juga. Cuma buat masa ini hanya merancang sendiri (tidak mengambil ubatan atau suntikan). Kalau boleh, tak nak terlalu rapat umur anak-anak. 2 tahun tu rasanya dah ok. Tapi selepas yang ketiga ni suami kata nak jarakkan sampai selesai ibadah haji (insya Allah tahun 2022). Alasannya, kesian nak tinggal anak masih kecil waktu tu. (atau mungkin kesian pada isterinya, selepas berpengalaman tiga kali menemani isteri di labour room?? Tak pastilah tu :))

Apapun, jika bertanya serik atau tidak melahirkan anak, jawapanku adalah tidak. Aku percaya walau sukar dan payah sekalipun Allah pasti membantu. Aku juga percaya, dosa-dosaku turut gugur bersama kasakitan yang kutanggung itu. Malah, melihat anak-anak yang kian hari membesar di depan mata, langsung kesakitan itu lenyap dari ingatanku. Aku bahagia dengan kehadiran zuriatku. Alhamdulillah :)



0 comments:

Post a Comment