Sekadar catatan; sedikit cebisan kenangan sepanjang mengenali arwah abang iparku Mohd Fazarudin b. Abdullah.
Dia yang aku kenal, bukan jenis yang banyak cakap. Apatah lagi denganku yang sememangnya pendiam ini :) Namun aku tahu dia seorang anak dan abang yang baik, dan dia memang seorang yang baik. Insya Allah.
Abang Din, aku mengenalinya di hari yang sama aku mengenali suamiku (di hari merisik/mei 2010). Dia abang yang sulung, dia abang yang banyak menolong urusan adik-adik, termasuk suamiku. Semoga setiap pertolongannya dikira kebajikan di sisi Allah.
Buat anak-anakku, abang Din dikenal sebagai pak ngah. Pak ngah yang sering menegur dan bergurau di kala berjumpa, meski hakikatnya jarang bersua. Dialah pak ngah, gelaran yang sudah mendapat tempat di hati Anas dan Mussaab.
Miqdad pula, hanya sekali bersua dengan pak ngah, iaitu pada hari kedua Miqdad dilahirkan. Di usia Miqdad 40 hari, pak ngah akhirnya pergi menemui Pencipta. Lahirnya Miqdad ke dunia, mengiringi pemergian pak ngah.
Hanya sedikit saja kenangan aku bersama abang Din, tapi tiada yang buruk dan tiada juga yang menyakitkan hati. Maka padaku, dia tak pernah berhutang apa-apa, insya Allah.
Yang pasti dirindui, ialah lemang hasil tangan abang Din yang dinikmati saban tahun, di hari terakhir puasa dan di pagi Aidilfitri. Sangat sedap. Namun kini ia hanya sekadar kenangan.
Semoga arwah tenang di sana, bersama cinta Ilahi. Cepat atau lambat, kita semua juga akan menyusul.
Anas, Mussaab, Miqdad, Umar, Uwais dan Urwah di hari pemergian pak ngah
0 comments:
Post a Comment