Tuesday 8 November 2016 By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ILHAM MIQDAD


Catatan pengalaman melahirkan anak ketiga kami, Ilham Miqdad b. Mohd Suzainizam.

Catatan pengalaman yang lepas: ANAS ZAYDAN dan ABDULLAH MUSSAAB



13/10/16

Hari ini aku perlu ke Klinik Kesihatan Kg. Kijang untuk mengambil surat daripada doktor, sekiranya aku masih belum bersalin memandangkan tarikh jangka bersalinku ialah pada 14/10/16. Aku tidak boleh melebihi tarikh jangka tersebut memandangkan aku mempunyai masalah GDM (kencing manis) ketika mengandung. 

Namun dengan takdir Allah, pagi itu sekitar jam 5 pagi aku terjaga dari tidur kerana terganggu dengan kontraksi yang kerap hadir sejak semalam. Saat bangun dari tidur, terasa air turun laju membasahi kain yang kupakai. Agak terkejut juga, kerana tiada pengalaman pecah ketuban di rumah sebelum ini. Namun sudah bersedia, memandangkan dari semalam lagi sudah merasakan kontraksi (seperti senggugut). Aku segera mengejutkan suami dari tidur. Aku ceritakan keadaanku, dan dia bergegas mandi dan bersiap untuk membawaku ke hospital. Aku juga sempat mandi dan menukar pakaian memandangkan aku masih belum merasakan sakit kontraksi yang sebenar. Malah, rasa seperti senggugut juga dah tiada. Kami bertolak ke Hospital Raja Perempuan Zainab, KB. Anak-anak ditinggalkan bersama ibu mertuaku. 

Sampai di hospital, azan subuh berkumandang. Kami menunaikan solat subuh terlebih dahulu di surau hospital. Aku masih tidak rasa sakit. Namun terasa air ketuban yang masih turun sedikit demi sedikit. Mujur juga aku pakai pad. Selepas solat aku ke tandas untuk membuang air besar dan kecil. Kalau boleh nak kosongkan perut sebelum bersalin. Agak terkejut melihat pad yang berwarna kekuningan. Aku jadi takut dan berdebar. Mungkinkah anakku dah berak di dalam perut? Rasa nak menangis, namun cuba bertenang. Lepaskan segala hajat di tandas. Kemudian ke tempat letak kereta, menunggu suami yang belum selesai solat berjemaah. Sempat google 'warna ketuban' untuk kepastian. Hati masih tak sedap dan rasa nak menangis. Sebaik suamiku datang, aku ceritakan padanya hal air ketuban tadi. Dia segera bawa aku ke bilik bersalin yang letaknya tidak jauh dari situ. 

Pendaftaran dibuat sekitar jam 6.15 pagi. Aku masuk ke labor room, sementara suami menunggu di luar. Aku diminta berbaring di atas katil dan dipasang alat ctg untuk memantau denyutan jantung baby dan kontraksi. Hampir satu jam berbaring di situ tanpa ada kontraksi, malah anakku pula releks je tidur pagi-pagi macam ni. Misi suruh aku tepuk-tepuk manja di perut agar anakku bangun dari tidur. Suamiku di luar bertanyakan keadaanku yang sudah lama berada di dalam. Sempat juga dia kirimkan artikel 'teknik meneran ketik bersalin'. Aku baca dan senyum sendiri. Dah dua kali dia menemani aku di bilik bersalin. Dia tahu, 'masalah' aku di mana. Ye, selalunya bab meneran aku selalu gagal :)

Lebih kurang pukul 7.30 pagi, bukaan serviks diperiksa. Hanya 2cm saja. Agak kecewa mendengarnya. Tapi yelah, aku masih belum merasakan sakit kontraksi. Doktor juga menyatakan baby dah terberak di dalam perut. Sangkaan aku benar. Aku risau, namun cuba bertenang. Aku ceritakan pada suami hal keadaanku melalui whatsapp. Dia juga risau dapat tahu baby dah terberak. Dia nasihatkan aku untuk bersabar dan berdoa. Aku juga sedaya upaya untuk bersabar, bertenang dan sepenuhnya bertawakkal pada Allah. 

Jam 8.30 pagi, aku ditolak masuk ke labor room (tadi di bahagian luar saja). Walaupun bukaan hanya 2cm, aku perlu dipantau memandangkan anakku dah berak di dalam perut. Ketika ini, masih belum rasa sakit kontraksi. Hanya sakit ringan seperti semalam saja. Di dalam labor room juga, keadaanku masih sama. Degupan jantung baby ok, cuma kontraksi masih tiada. Agak jemu menanti. Mata juga mengantuk. Perut kosong, tadi hanya sempat makan dua biji kurma di atas kereta dan minum air kosong. Aku harapkan agar cepat bersalin, takut tiada tenaga nanti jika perlu menunggu lebih lama. Nak makan minum dah tak dibenarkan. Hanya air dimasukkan ke badanku. 

Dalam tempoh penantian ini, pengalaman ngeri ialah saat 'diseluk' untuk cek bukaan serviks. Entah kenapa, rasa sakit sangattt.. berbeza dengan pengalaman lepas. Tahan air mata saja, tak mampu nak jelaskan kesakitan macam mana. Tawakkal dan doa saja. Betul-betul berserah pada yang Maha Kuasa. 

Jam 10.30 pagi, suamiku masuk menemaniku di labor room. Ketika ini juga, sakit kontraksi masih belum kuat terasa. Ia datang dalam 5 minit sekali, namun tak terlalu sakit. Masih boleh berbual dengan suamiku. Mata mengantuk, tapi tak boleh nak lelapkan mata. Suamiku membaca al quran di sisi.

Sekitar jam 11.30 pagi, aku diinduce (kaedah drip/pitocin) untuk cepatkan bukaan serviks. Dalam tempoh ini, terasa sakit makin kuat, namun masih dalam sela masa 5 minit sekali dan sakit juga tak lama. Doktor sekali lagi cek bukaan, hanya 4cm. Namun lepas tu sakit makin kuat terasa, semakin lama, dan semakin dekat jarak antara kontraksi. 

Lebih kurang jam 1.30 petang, aku dah rasa gesaan untuk meneran. Bukaan serviks diperiksa, baru 7cm. Aku diminta untuk tidak meneran lagi. Allah.. makin lama makin kuat rasa nak meneran. Seksa sangat bila ditahan-tahan. Masa ni dah start mengalir air mata. Sakit tak tertahan bila datang kontraksi dan gesaan untuk meneran. Aku menarik tangan suami, mencengkam dengan kuat saat kontraksi datang. Rasa  nak gigit pun ada. 

Doktor cek bukaan sekali lagi. Masih 7cm. Namun kali ini doktor minta aku teran bila datang rasa nak meneran. Di sini bermula cabaran seterusnya. Kalau tak silap, tiga kali aku cuba meneran, ketiganya gagal. Aku tak sempat nak tahan nafas. Jadi blurr, tak ingat teknik pernafasan yang sebenar. Padahal inilah yang sering diingatkan suamiku. Aku diberi rehat seketika. Tapi nak rehat macamanalah, kontraksi datang dan pergi. Aku disuruh mengiring ke kiri. Bila datang gesaan untuk meneran, aku diminta meneran, tak perlu tahan lagi. Aku buat seperti yang disuruh, bersama air mata menahan sakit :'( dalam kesakitan itu, aku mendengar suamiku panjang lebar mengajar aku teknik pernafasan yang betul. Aku pasang telinga mendengar sepenuh hati. 

Akhirnya, sekali lagi bila kontraksi datang hingga kemuncak, bertemankan suami, doktor dan jururawat (lupa berapa orang semuanya) aku cuba mengambil nafas sedalamnya dan cuba meneran dengan satu nafas, dan berkali-kali mencuri nafas (seperti yang suamiku ajar). Suami di sisi tak lepas memberi kata semangat dan terus mengajar. Akhirnya... berjaya juga lahirkan anakku tepat jam 1.58 petang. Lega, sebak, bahagia, semua ada saat dia meluncur keluar, dan sebaik mendengar tangisannya. Aku lepaskan tangisan sendu.. tak tergambar rasa itu. Dalam kepayahan berjuang, menanggung sakit tak terperi, akhirnya anakku selamat dilahirkan ke dunia. Anak diletakkan ke dadaku, suamiku mengalunkan azan dan iqamah di telinganya. Hatiku dibuai tenang dan bahagia. Rasa sakit seperti tak terasa lagi. Badan anakku diselaput najisnya, namun dia sangat comel dipandangan mataku. 

Selesai urusan menjahit di tempat bersalin (koyakan agak banyak), anakku yang sudah bersih dimandikan dan diperiksa kesihatannya diberikan kepadaku untuk disusukan. Agak terkejut bila dapat tahu aku melahirkan anak seberat 3.85kg. Wah, tak terjangka. Ingatkan lebih kurang sama je dengan abang abangnya (3.1kg). Patutlah koyakan pun banyak :) namun syukur, segalanya dah berakhir. Anakku selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. 

Itulah catatan pengalaman melahirkan anak ketigaku, Ilham Miqdad bin Mohd Suzainizam. Agak panjang coretan ini. Yang pasti pengalaman kali ini agak berbeza dengan dua pengalaman lepas. Sudah pasti, setiap anak ada cerita tersendiri :)

Bersalin kali ini, bukaan serviks agak lambat, kerana kontraksi yang tak terlalu kuat (walaupun ketuban dah pecah) . Selepas diinduce, barulah sakit kontraksi semakin kuat dan kerap. 7cm dah tak tahan nak meneran. Menanggung rasa sakit kontraksi (yang kuat) lebih kurang 4jam, sehingga akhirnya melahirkan anakku. 

Alhamdulillah. Hanya pada Allah kupanjatkan rasa syukurku. Rasa sakit yang kutanggung hakikatnya dalam kemampuanku, dan pertolongan dariNya membuatkan aku dapat melaluinya meski dalam kepayahan. Allah sebaik-baik penolong. Aku bersyukur di atas nikmat dan anugerah ini. Aku tak serik untuk melahirkan anak lagi. Insya Allah.

Terima kasih juga buat suamiku yang tak putus berdoa dan memberi sokongan. Anak ini, hadiah istimewa untukku dan untuk dia. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad. Dari dua menjadi tiga. Anugerah dan amanah dari yang Esa. Semoga aku dan suami dapat memikul amanah ini dengan sebaiknya. Semoga anak-anak kami membesar menjadi hamba Allah yang soleh. 

Aameen




0 comments:

Post a Comment