11/12/10
Masihkah kau ingat Sayang... Detik indah dan bersejarah ini. Detik penuh bermakna buat diriku dan dirimu.
Hari ini kita disatukan, hari ini kita berkenalan dan memulakan cinta.
Tahukah kamu Sayang.. Hari ini hatiku sudah terpikat dan jatuh cinta padamu.
Manis senyumanmu, lembut tutur katamu, menawan peribadimu, mana mungkin kulupa.
Hari ini kamulah insan yang paling tampan di mataku. Kamu mencuri seluruh hatiku.
Hari ini, apa yang kita kecapi adalah sebuah kemanisan di atas ikatan suci pernikahan, juga kemanisan sebuah cinta yang baru mula berputik.
11/12/11
Setahun sudah kita membina ikatan cinta dan kasih berlandaskan syariat. Saat ini kita masih mengenal hati dan budi. Bahagia bercinta dan bahagia berdua.
Saat ini, sedang menantikan kelahiran cahaya mata kita yang pertama, selepas berhadapan dengan keguguran dan rezeki yang belum menjadi milik.
Melalui saat perpisahan yang panjang, diiringi dengan pertemuan yang manis. Ada cerita sedih, banyak cerita bahagia.
Saat ini dirimu sudah tidak bersama MISC lagi. Berhenti belayar, menanti kehadiran cahaya mata, mengintai peluang dan rezeki di tempat lain pula.
Masihkah kamu ingat Sayang... Di hari ulangtahun yang pertama ini Sayang tiada di sisi. Berhadapan dengan interview nun di bumi Singapura. Diriku bersama kandungan, menanti penuh rindu.
11/12/12
2 tahun sudah kita melayari bahtera rumahtangga bersama. Dulu berdua, kini sudah bertiga. Anak soleh Anas, menghampiri usia 1 tahun. Comel, cerdik dan membahagiakan hati ummi dan abi.
Di ketika ini, kita sudah berhijrah ke bumi Melaka. Mula hidup sendiri, jauh dari keluarga dan orang tua.
Sayang kini bersama petronas maritim. Meninggalkan MISC dan Bourbon. Meninggalkan dunia pelayaran demi untuk keluarga. Terima kasih Sayang, walau ku tahu cita citamu dalam dunia pelayaran belum kamu gapai sepenuhnya.
Kita lebih mengenal hati budi, melihat baik buruk, belajar menerima segala kelemahan dan kekurangan. Pahit manis lalui bersama. Ada saat tenang dan tegang, kerana begitu lumrah dan realiti di alam rumahtangga.
Namun Alhamdulillah 2 tahun kita tetap bahagia bersama. Tetap bertahan bersama cinta.
Ketahuilah Sayang, dirimu sentiasa kucintai. Kerana kamu suami yang sangat baik dan bertanggungjawab, bapa yang penuh kelembutan dan penyayang.
11/12/13
3 tahun sudah kita hidup bersama. Saat ini sedang menanti kelahiran cahaya mata yang kedua.
Kita masih di bumi Melaka. Berpindah dari Taman Bidara Palma ke Taman Bertam Setia yang lebih selesa. Alhamdulillah, rezeki kita masih di sini. Bahagia menanti kelahiran yang kedua.
Anas sudah hampir 2 tahun, sudah pandai banyak perkara. Setiap masa menghiburkan dan membahagiakan.
Dirimu tetap seorang bapa dan suami yang baik dan bertanggungjawab. Sering memdamaikan dan membahagiakan. Banyak bersabar dengan karenahku.
Kita lalui saat suka duka bersama. Debaran demi debaran, dugaan demi dugaan. Walau tak semuanya manis, aku sentiasa bahagia bersamamu.
Hari ini berusaha order kek untuk sambut birthday Sayang dan anniversary. 1st time nak celebrate... Konon kononnya :)
Percayalah Sayang... Tika ini aku tetap mencintaimu. Mencintaimu sepenuh hati.
11/12/14
4 tahun membina kehidupan bersama. Melalui lebih banyak pengalaman pahit getir, manis dan indah bersama.
Dulu bertiga, kini sudah berempat. Anak soleh Mussaab menjadi ahli baru dalam keluarga kita. Menghampiri usia 1 tahun, Anas pula menghampiri usia 3 tahun. Anak anak yang comel, sihat, baik, cerdik dan menceriakan.
Kini Sayang sudah bertukar tempat kerja. Dari petronas maritim ke xilog pula. Masih di Melaka, dan sedang sibuk urusan berpindah rumah ke kajang.
Hari ini kita berjauhan... Sayang memenuhi tuntutan kerja nun jauh di Labuan. Kerja baru membuat kita sering terpisah, namun aku redha mungkin ini takdir yang terbaik. Perpisahan membuahkan rindu, menyuburkan cinta. Saat berjauhan juga saat untuk bermuhasabah diri. Kerana aku bukan isteri yang sempurna, sering tindakanku mengguris hati lelakimu. Maafkan aku Sayang..
Percayalah Sayang...hingga saat ini, cintaku teguh dan setia untukmu. Kerana bagiku, dirimu tiada pengganti.
11/12/15
5 tahun sudah, kita bergelar suami dan isteri, jalani hidup bahagia bersama. Ditemani anak soleh Anas dan Mussaab yang semakin membesar. Aku keguguran buat kali kedua. Belum rezeki.
Masih di Kajang, menyewa di apartment ria prima. Pertama kali buatku, tinggal di rumah apartment seperti itu.
Sayang masih bersama xilog, berulang ke Labuan dan Bintulu. Adakala singkat waktu bersama, adakalanya pula lama, hingga sempat bercuti ke sana sini.
Sudah biasa berjauhan denganmu. Namun tetap rindu, tetap risau memikirkan dirimu yang jauh. Doa sebagai penawar. Dirimu tetap seorang suami yang baik dan bertanggungjawab seperti dulu.
Banyak sudah tersingkap segala kelemahan dan kekurangan, namun kita tetap masih saling mencintai. Banyak tingkahku yang menduga sabarmu, namun dirimu tetap bertahan dengan sabar.
Meskipun yang kita kecapi tak semuanya manis, namun kehidupan bersamamu adalah yang terindah dan membahagiakan.
Hari ini juga Sayang tidak di sisi. Untuk kesekian kali kita berjauhan di atas tuntutan kerjamu.
Sayang.. Walau jauh, dirimu tetap kurindu dan kucinta.
11/12/16
Genap 6 tahun kita jalani hidup bersama. Kini sudah hadir yang ke-5 dalam keluarga kita. Anak soleh Ilham Miqdad, anak ketiga kita sudah pun berusia 2 bulan. Kelahirannya sebagai hadiah istimewa di hari ulangtahun ke-6 perkahwinan kita.
11/12/16
Genap 6 tahun kita jalani hidup bersama. Kini sudah hadir yang ke-5 dalam keluarga kita. Anak soleh Ilham Miqdad, anak ketiga kita sudah pun berusia 2 bulan. Kelahirannya sebagai hadiah istimewa di hari ulangtahun ke-6 perkahwinan kita.
Hari ini juga sayang tiada bersama. Nun, jauh di Bintulu. Genap 2 tahun sayang bersama xilog. Juga sudah hampir setahun kita sekeluarga menetap di Semenyih. Dari berdua, kini kita sudah berlima. Alhamdulillah, di atas anugerah keluarga yang suatu ketika dulu hanya sebuah impian. Aku bahagia bersamamu dan anak-anak.
Terima kasih sayang, dirimu masih seorang suami yang membahagiakan. Yang sentiasa memberikan yang terbaik buat anak dan isteri. Terima kasih di atas cinta dan kelembutanmu. Terima kasih di atas keringatmu mencari rezeki. Terima kasih kerana sering memaafkan diriku. Terima kasih menerima dan mencintaiku seadanya. Terima kasih membuatkan hariku berlalu indah dengan kehadiranmu.
Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-6. Dan selamat hari lahir sayang. Semoga Allah sentiasa merahmatimu. Semoga dikurniakan kesihatan dan iman. Semoga dapat memimpin keluarga kita ke jalan yang diredhaiNya. Aameen
0 comments:
Post a Comment