Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Segala peralatan dapur siap dikemas, dan makanan yang bersisa sudah dibahagikan kepada jiran berdekatan. Begitulah selalunya, dia akan memasak bersama kak Ani untuk dijamu kepada para tetamu yang hadir untuk mendengar ceramah.
Syifa', gadis berusia 34 tahun yang masih solo. Selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, dia mengambil keputusan untuk tinggal di kampung saja, membuat kebajikan yang nyata memberi kepuasan pada dirinya. Ayahnya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil. Ibunya pula meninggal ketika dia baru menamatkan pengajian satu ketika dulu. Abang dan kakaknya yang sudah berkeluarga tinggal di bandar yang berhampiran. Dia memilih untuk tinggal di rumah pusaka peninggalan ibubapanya, di samping menjaga tanah pusaka yang banyak, hasil titik peluh ibubapanya. Dia ada ladang getah yang berekar, juga dusun buah buahan yang banyak, yang semuanya diupah orang untuk menguruskannya. Hasilnya akan sampai ke tangan Syifa' hampir setiap minggu. Maka, hal kewangan tidak pernah menjadi masalah kepadanya.
Selepas kerja mengemas sudah selesai, dan jirannya sudah balik, Syifa' terus membersihkan diri dan bersiap untuk solat zohor. Selepas solat, dia akan membaca al quran seperti kebiasaan. Ayat suci al quran menjadi penghibur hatinya, penghapus sunyinya. Petang ini dia tidak ke mana mana, hanya berehat di rumah. Membaca, atau menulis.
..........
Rumah Syifa' didatangi anak anak kecil seperti kebiasaan selepas jam 2 petang. Rumahnya menjadi tempat kanak kanak yang berusia 5-9 tahun berkumpul, bermain dan belajar.
Sudah hampir 10 tahun rumahnya menjadi tempat persinggahan kanak kanak tersebut selepas waktu belajar mereka di sekolah. Dia sendiri yang mengundang dan membuka luas pintu rumahnya untuk kanak kanak tersebut hadir melakukan aktiviti yang berfaedah. Jika dulu, kanak kanak hanya merayau tanpa arah, bermain sesuka hati. Tapi sejak Syifa' menjadikan rumahnya sebagai tempat persinggahan mereka, masa kanak kanak tersebut lebih terisi.
Kini kanak kanak tersebut ada yang sudah menjadi remaja dan bergelar mahasiswa. Mereka tak melupakan Syifa' yang banyak berjasa. Malah sering berkunjung melawat Syifa' dan menghulurkan bantuan. Syifa' bangga dan gembira melihat mereka yang sudah berjaya.
Perkhidmatannya hanya percuma, dia melakukan atas minatnya sendiri. Dia sukakan kanak kanak, juga suka melihat mereka belajar dan bermain. Setiap hari juga dia akan memasak untuk dihidangkan kepada kanak kanak yang datang ke rumahnya. Kanak kanak tersebut juga sangat suka berada di rumahnya. Syifa' tak kisah, walau sekadar datang untuk bermain.
syifa', penampilannya sentiasa berjubah, bertudung labuh malah berniqab bila di luar rumah. Ramai yang bertanyakannya tentang jodoh, termasuk abang, kakak dan anak anak saudaranya yang makin dewasa. Namun dia sendiri tiada jawapan. Belum ada jodoh, mungkin itu jawapan terbaik.
..........
Syifa' memandu perlahan menuju ke bandar berdekatan. Dia mahu ke kedai alat tulis untuk membeli keperluan untuk melakukan aktiviti dengan anak didiknya. Dia juga mahu membelikan hadiah buat mereka yang menang dalam kuiz yang diadakan semalam. Dia yakin mereka akan gembira dan seronok.
Saat melalui sekolah lamanya, hatinya diundang sayu. Sekolah yang menyimpan terlalu banyak kenangan. Rindu pada guru dan teman teman. Ada di antara mereka yang kerap dia temui, dan ada juga yang dah lama menyepi tanpa berita. Yang pasti, boleh dikatakan kesemua mereka sudah berumahtangga. Ada juga di antara mereka berkahwin sesama teman sekelas. Syifa' tersenyum sendiri. Kisah lama terbayang di ingatan.
Dia teringat pada Umar. Jejaka yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu. Seorang yang pemalu tetapi tegas. Agak pendiam, tapi disenangi ramai kawan. Bijak dalam pelajaran, malah antara saingan Syifa' semasa di bangku sekolah.
Entah di mana dia sekarang. Kali terakhir bersua ketika sama sama melanjutkan pelajaran di universiti yang sama. Itupun jarang terserempak, kerana mereka berbeza kursus pengajian. Mungkin sekarang dia sudah bahagia bersama isteri dan anak anak. Hati Syifa' diusik cemburu. Cepat cepat dia mematikan lamunan dan bersegera ke tempat yang ingin dituju. Dia sudah berjanji pada diri untuk tidak memikirkan tentang Umar lagi.
..........
Syifa' memerhatikan setiap kanak kanak yang sedang asyik mewarna gambar yang diberinya. Aktiviti mewarna antara yang menjadi kegemaran mereka. Syifa' bahagia melihat mereka asyik mewarna. Suasana sepi seketika, kerana masing masing sedang fokus mewarna.
Tengah asyik memerhati, Syifa' didatangi seseorang ke rumahnya. Dia sangat mengenali wajah tetamu yang hadir itu. Senyuman dihulurkan sambil salam dibalas. Rupa rupanya Faiz, anak Kak Ani jiran sebelah rumahnya. Dah lama tak bersua dengan Faiz yang kini sudah di tahun akhir pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan. Faiz memang rapat dengannya sejak kecil lagi. Faiz dah dianggap seperti adiknya sendiri. Dulu memang dia yang menjaga Faiz dan bermain dengan Faiz ketika Kak Ani sibuk bekerja. Kini Faiz dah besar, dan bergelar mahasiswa. Namun Faiz tak pernah melupakannya.
"Bagaimana pengajian Faiz sekarang? Dah di tahun akhir kan?"
Syifa' berminat untuk tahu. Faiz senyum.
"Ye kak.. Insya Allah bulan depan exam final. Doakan saya lulus cemerlang. Agak susah juga la kak.."
Balas Faiz.
"Akak dengar Faiz bakal jadi hafiz juga ya. Alhamdulillah... Dah habis ke hafazan Faiz?"
"Oh... Insya Allah kak. Saya dalam usaha nak sempurnakan hafazan saya juga. Akak doakanlah saya mampu."
Faiz menjawab dengan senyuman. Sambil belajar, dia turut mengikuti kelas hafazan dan sangat rapat dengan guru bimbingan yang juga pensyarahnya.
"Akak doakan Faiz berjaya dan cemerlang dalam keduanya. Akak yakin Faiz boleh pergi jauh lagi. Yang penting, usaha ya..."
Syifa' memberi semangat dan dorongan.
Memang dia juga antara yang sering menjadi tempat Faiz meminta nasihat dan dorongan. Sejak kecil lagi dia memang mengkagumi Syifa' yang pandai dan baik. Namun dia juga hairan, mengapa Syifa' masih sendirian. Tapi dia tak berani nak bertanya. Mungkin belum jodoh..
..........
Syifa' dikunjungi anak saudaranya, Hafiz dan Hana yang juga sedang bercuti. Mereka berdua juga sudah meningkat usia remaja dan bergelar mahasiswa seperti Faiz. Malah mereka juga rapat dengan Syifa' sejak kecil. Kedatangan mereka disambut Syifa' dengan gembira. Rindu juga pada mereka. Mereka rancak berbual di beranda selepas menikmati makan tengahari. Sementara menunggu kedatangan anak anak kecil, Syifa' melayan Hafiz dan Hana berbual. Banyak perkara yang mereka bualkan. Hingga bab jodoh, seperti biasa akan menjadi topik penting juga. Syifa' hanya berlagak biasa, kerana dia juga sudah agak bosan dengan persoalan tentang jodoh. Entahlah.. Selepas Umar, tiada sesiapa lagi yang mengisi hati. Kosong...
Tengah asyik berbual, posmen datang menghantar sekeping surat yang dialamatkan kepada Syifa'. Syifa' lantas membukanya untuk mengetahui isi surat tersebut. Dah lama rasanya tak menerima surat seperti ini. Maklumlah, zaman moden dan serba canggih. Amalan surat menyurat dah tak menjadi trend lagi.
"Surat dari siapa su?"
Hana bertanya ingin tahu. Mata Syifa' masih tertatap pada isi surat itu.
"Pakwe lama ke?"
Sempat Hafiz mengusik. Namun tak dilayan Syifa'.
"Surat dari ex classmate..."
Balas Syifa' ringkas.
" siapa su? Ada apa?"
Hana berminat untuk tahu.
"Erk.. Ketua kelas masa form 5 dulu. Diorang nak buat reunion"
Syifa' membalas teragak agak. Tak tahu apa perasaannya. Gembira? Segan? Berdebar? Yang pasti dia tak pernah menyangka akan mendapat surat seperti ini. Satu wajah terbayang di fikirannya, Umar!!
Lamunan Syifa' terhenti apabila anak anak kecilnya mula datang menghuni rumahnya seperti biasa. Dia menyimpan surat itu, dan menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Hana turut serta melayan kanak kanak tersebut, sedang Hafiz pula masuk ke bilik untuk tidur. Mengantuk katanya...
..........
Malam itu Syifa' bersendirian di rumahnya. Hana dan Hafiz sudah pulang ke rumah mereka petang tadi. Selepas solat isyak dan mentadabbur al Quran, Syifa' berehat di ruang tamu rumahnya. Hari itu terasa agak kepenatan, dan mata juga sudah mengantuk.
Handphonenya menerima isyarat panggilan. Syifa' menatap nama yang muncul di skrin. Haliza... Sahabat baiknya sejak di bangku sekolah. Apa mimpi call malam malam ni. Segera dia menjawab panggilan.
"Assalamualaikum"
Syifa' memulakan bicara
"Waalaikumussalam... Syifa', sihat ke?"
Haliza menjawab salam dan bertanyakan khabar sahabatnya.
" Alhamdulillah.. Aku sihat. Kau macamana? Anak anak ok?"
" aku pun, Alhamdulillah.. Sihat semuanya."
" apa mimpi call aku malam malam ni? Anak anak kau dah tidur ke?"
"Belum.. Tengah main dengan ayahnya. Hai, takkan tak boleh nak call kawan aku ni. Aku ganggu kau eh.."
"Eh takdelah... Tak ganggu pun. Kebetulan aku pun tengah releks tak buat apa.."
"Hmmm.. Kau dapat tak surat jemputan reunion sekolah kita?"
Syifa' dapat mengagak itu antara topik perbualan yang akan mereka bicarakan pada malam itu. Haliza beria mahu memastikan dia hadir ke majlis tersebut. Sepertinya dia sangat excited untuk bertemu kawan kawan lama.
Mereka berbual panjang malam itu. Dari topik reunion, hingga ke topik yang lain. Haliza merupakan antara sahabat baiknya di sekolah dulu. Haliza menikahi Ikmal yang juga rakan sekelas mereka dulu. Tiada siapa menyangka jodoh mereka berdua. Di sekolah, tak pernah bercinta dan tiada gosip pun. Rupa rupanya Ikmal memang sudah lama menyimpan perasaan pada Haliza. Hanya terluah ketika mereka menyambung pelajaran di universiti. Kini mereka sudah dikurniakan 3 orang cahaya mata. Yang kecil baru berusia beberapa bulan. Sempat Syifa' melawat Haliza tempoh hari selepas dia melahirkan anaknya yang ketiga ini.
Perbualan mereka berakhir. Hati Syifa' riang dan terhibur dapat berbual panjang dengan Haliza. Rupanya, idea reunion ini datang dari Ikmal and the geng, termasuk ketua kelas mereka, Arif. Jadi, Haliza sudah lama mengetahuinya. Haliza juga banyak bercerita tentang kawan kawan sekelas mereka dalam perbualan tadi. Sedikit sebanyak, Syifa' tahu tentang mereka setelah agak lama tak berjumpa dan mendengar khabar berita.
Namun Syifa' masih ragu ragu. Adakah dia akan menghadiri majlis tersebut? Hati mahu, tetapi hati juga terasa malu dan segan.
Dia mengambil album yang telah lama tersimpan di dalam almari, dan sudah lama juga dia tidak membeleknya. Sekeping gambar kelas tingkatan 5 terselit rapi. Dia menatap lama wajah teman sekelasnya. Ada rasa rindu dan syahdu mengingatkan zaman yang telah lama ditinggalkan.
"Pasti mereka dah banyak berubah"
Bisik hatinya lantas tersenyum.
Sekilas dia melihat wajah Umar. Ada getaran di hati. Cepat dia mematikan lamunan agar tidak terlalu asyik dengan khayalan. Album gambar juga ditutup perlahan. Dia kembali ke alam nyata.
..........
Hari ini Syifa' sibuk menolong jirannya, Kak Ani memasak di rumahnya. Kak Ani meminta tolongnya untuk menyediakan hidangan istimewa kerana mereka akan menerima tetamu pada hari tersebut. Syifa' tidak bertanya lanjut, mungkin tetamu istimewa. Atau mungkin yang istimewa untuk anaknya, Faiz. Siapa tahu... Faiz kan sudah tamat pengajiannya.
Lebih kurang jam 10 pagi, tetamu yang dinanti tiba. Hajatnya Syifa' mahu saja pulang ke rumahnya selepas selesai memasak, tetapi Kak Ani minta dia tunggu. Faiz juga beria memintanya untuk menanti kedatangan tetamu istimewanya. Dia akur, mungkin hari ini dapat kenal calon isteri Faiz. Dia senyum sendiri. Beruntung siapa menjadi pilihan Faiz. Ada rupa, bijak dan pandai, akhlak baik, dan seorang hafiz pula.
Syifa' hanya diam di dapur saat tetamu sudah naik ke rumah. Faiz dan kedua ibubapanya menyambut mesra kedatangan tetamu istimewa itu. Syifa' sudah semestinya rasa segan untuk keluar bersama mereka. Lagipun tak tahu siapa mereka. Dia biarkan mereka berbual di luar.
Kak Ani kemudian masuk ke dapur. Masa untuk hidangkan air pada tetamu. Kali ini Kak Ani minta tolong Syifa' untuk keluar bersamanya membawa hidangan. Dalam segan, rasanya seperti tak patut pula untuk menolak. Kak Ani dah minta tolongkan.. Hai.. Faiz mana Faiz?? Hanya mampu bertanya di dalam hati.
Syifa' menyusun langkah sopan ke ruang tamu. Dia hanya menunduk memandang lantai. Sekilas dia memandang ke arah tetamu yang hadir. Oh.. Hanya tiga orang sahaja. 2 lelaki dan seorang perempuan. Syifa' menghadiahkan senyuman kepada tetamu wanita yang seorang itu. Wanita yang sudah agak berumur, mungkin tua sedikit dari Kak Ani. Dia meletakkan air di atas meja di ruang tamu itu. Terasa segan dan janggal. Kerana dia merasakan setiap orang sedang memandang ke arahnya. Kemudian dia duduk di samping Kak Ani yang juga di sebelah wanita tadi. Dia menghulurkan tangan dan bersalam dengan tetamu itu. Wajahnya masih dimaniskan dengan senyuman.
Syifa' memberanikan diri memandang pula ke arah tetamu lelaki yang kini berhadapan dengannya. Seorang lelaki berusia, mungkin suami mak cik tadi, dan.. Allah.. Terasa mahu gugur jantungnya saat terpandang wajah lelaki yang seorang lagi. Malah, mata lelaki itu juga seperti terpaku memandangnya. Syifa' lantas tertunduk, bersama getaran yang bukan sedikit.
Semua orang seperti kehairanan melihatkan reaksi Syifa' dan Umar yang agak spontan itu. Seperti ada sesuatu..
"Erk.. Kenapa abang, kak Syifa'?"
Faiz cuba bertanya. Syifa' dan Umar masing masing terkelu dan memandang Faiz.
"Oh.. ya, Syifa' kan? Tak.. Abang cuma terkejut. Syifa' is my ex classmate masa kat sekolah dulu"
Umar cuba tenangkan diri dan menjawab persoalan Faiz. Syifa' yang masih dalam keadaan malu, mengangguk kepalanya perlahan.
" yeke bang.. Akak.. Masya Allah.. Tak sangkanya saya. Abang saya ni rupanya kenal dengan kakak saya ni."
Faiz menjawab dengan suara yang ceria meskipun tidak menyangka sama sekali.
"Akak, abang Umar ni lecturer Faiz, merangkap ustaz yang membimbing Faiz dalam hafazan al Quran, dan merangkap kawan baik dan abang Faiz."
"Abang, Kak Syifa ni jiran Faiz sejak kecil, merangkap kakak Faiz yang jaga Faiz dan ajar Faiz dalam pelbagai perkara"
" dan yang pasti, kak Syifa dan abang Umar ni dua-dua merupakan idola Faiz yang banyak mendorong Faiz untuk berjaya.."
"Allahu akbar... Faiz rasa happy sangat. Tak tahu nak luahkan macamana.."
Faiz bersuara lagi. Mereka menyambung bicara lagi. Lebih meriah, namun Syifa' dan Umar menjadi lebih berhati hati untuk berbicara. Syifa' pastinya tersangat malu dan segan. Ada debaran di hati, apatah lagi dia merasakan ada kerlingan dari mata Umar yang kembali mengganggu emosinya.
Ya Allah.. Apakah cinta itu masih ada di hati??
..........
Seminggu selepas pertemuan itu, Syifa' menerima risikan yang pada mulanya datang dari Kak Ani. Kak Ani mewakili keluarga Umar, bertanyakan kesediaan Syifa' untuk menjadi isteri Umar yang masih solo. Dan rupa rupanya, memang Faiz sudah merancang untuk temukan mereka berdua pada hari tersebut, tanpa mengetahui Umar dan Syifa' sebenarnya saling mengenali. Dia hanya melihatkan banyak persamaan antara Syifa' dan Umar, dan dapat melihat keserasian mereka.
Syifa' malu untuk mengatakan ya, walau hatinya seperti terbuka luas untuk menerima Umar yang dulu pernah dicintainya. Langkah pertama, dia minta berbincang dengan keluarganya dan beristikharah. Keluarganya sudah pasti menyambut baik risikan itu, kerana mereka sendiri sudah lama menanti saat itu. Dalam istikharahnya juga dia tenang dan hatinya kuat untuk menerima Umar sebagai teman hidupnya. Malah taman hatinya kini seperti sedang berbunga indah. Seperti sedang melayang di alam mimpi yang tersangat indah.
"Ya Allah.. Semoga ini pilihan yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhiratku."
Syifa' menadah tangan, memohon dan bermunajat pada Allah yang Maha Berkuasa dan lebih mengetahui yang terbaik untuknya.
..........
Umar senang hati menerima jawapan positif dari Syifa'. Hatinya juga turut berbunga. Alangkah indah perasaan ini. Bukan dia tidak memikirkan jodoh, namun kesibukannya hampir membuatkan dia tiada masa untuk fokus pada jodoh. Segalanya diserahkan pada Allah yang pastinya sudah menentukan yang terbaik untuknya. Ibunya antara orang yang paling risau memikirkan tentang dirinya yang masih belum berkahwin di usia sebegini. Tambahan pula dia anak sulung, dan memiliki seorang adik yang sedang menuntut di Mesir dalam bidang perubatan. Adiknya Hani akan pulang tak lama lagi. Adiknya juga asyik bertanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya. Kali ini insya Allah dah boleh bagi jawapan buat Hani.
Ibunya, pertama kali memandang Syifa' sudah berkenan. Katanya Syifa' lemah lembut dan beradab. Malah, punya seraut wajah yang tenang dan mendamaikan. Ibunya jugalah insan pertama yang menyuarakan hasrat untuk melamar Syifa'. Agak terkejut juga Umar, tetapi sebenarnya dia juga ingin menyatakan hasrat yang sama.
Suatu ketika dulu, dia juga pernah menyimpan perasaan pada Syifa'. Tetapi ketika itu masih terlalu muda untuk menyatakan cinta. Setelah masuk ke universiti, dia turut gembira apabila mendapat tahu Syifa' juga menyambung pelajaran di tempat yang sama. Sesekali bertembung juga dengan Syifa' yang berlainan kursus. Hati lelakinya masih tertaut pada Syifa' yang mempunyai perwatakan yang berbeza. Sentiasa sopan dengan pakaian yang menutup aurat. Namun kerana kesibukannya juga sejak di alam kampus, belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti, dia seperti dapat melupakan Syifa' dan tidak menyimpan apa-apa harapan pada gadis itu. Sehingga kemudian bertemu kembali di rumah Faiz, pelajar kesayangan yang sudah dianggap sebagai adiknya. Malah, sudah merancang untuk temukan Faiz dengan Hani. Manalah tahu, jodoh mereka...
..........
Hari pertunangan Syifa' agak meriah dengan kehadiran abang, kakak, ipar, dan anak anak saudaranya. Pastinya semua orang menantikan saat ini. Masing masing juga tertanya tanya siapakah jejaka yang berjaya mencuri hati Syifa', sehingga akhirnya Syifa' terbuka hati untuk menerima lamaran ini.
Majlis pertunangan berjalan lancar. Dalam debaran, Syifa' tersenyum manis saat ibu Umar menyarungkan cincin ke jarinya. Anak-anak saudaranya sibuk mengintai Umar di luar yang juga kelihatan malu-malu.
" Mak su, orangnya boleh tahan hensem."
Hana berbisik di telinganya. Syifa' hanya senyum tanpa kata. Sekilas dia memandang ke arah Umar yang duduk di sebelah Faiz. Umar hanya menundukkan kepalanya. Mungkin malu...
Syifa' menghela nafas kelegaan sebaik majlis berakhir. Rasa tenang dan bahagia. Dia kini sah sebagai tunangan Umar. Bagaikan mimpi, insan yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu kini bakal menjadi suaminya. Semuanya dengan Kuasa Allah. Benarlah, jodoh itu rahsia Allah. Dan Allah sebaik baik yang mengaturkan.
..........
Tinggal beberapa hari lagi majlis reunion akan tiba. Syifa' menanti kehadiran hari itu. Yang pasti, tak siapa tahu tentang pertunangannya dengan Umar. Kad undangan perkahwinan juga akan diedarkan pada hari tersebut kepada rakan-rakan. Tak pasti apa reaksi mereka nanti. Terkejut, mungkin. Dalam hati Syifa' ada juga rasa malu dan segan. Tetapi, kawan-kawan semua perlu dijemput. Mungkin juga akan jadi majlis reunion kedua mereka. Majlis perkahwinan akan dilangsungkan seminggu selepas tarikh reunion mereka. Ada debaran di hati Syifa'. Debaran menanti kedua majlis penting itu.
Benarlah, jodoh itu rahsia Allah. Segalanya sudah ditentukan sejak azali. Jauh atau dekat, sampai masanya akan bersatu juga. Syifa' sendiri hampir melupakan Umar dan tidak menyimpan apa-apa harapan pada cintanya yang dulu. Tapi takdir Allah menentukan Umar untuknya. Maka, hati tenang dan redha menerima ketentuan ini walaupun bukan pada suatu ketika dulu, ketika dia sedang mengharap.
"Alhamdulillah.. Terima kasih Allah di atas takdirMu yang terindah"
Syifa' melafazkan syukur bersama titisan air mata.
0 comments:
Post a Comment