Sunday, 24 July 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 240716

Hari ini Anas dan Mussaab berada di rumah mek. Hari ini juga abi kembali ke Semenyih dengan menaiki bas, sekali lagi  tinggalkan Anas dan Mussaab di kampung. Esok abi akan terbang ke Bintulu dan Insya Allah akan kembali selepas seminggu.

Abi turun dari rumah jam 7.45 pagi. Mussaab sempat bangun dan bersalam dengan abi. Anas pula masih lena tidur. Tak lupa abi kucup Anas seperti kebiasaan, sebelum meninggalkan anak anak. Lepas abi pergi, Mussaab sambung tidur semula. Anas pula bangun selepas itu. 

Anas bermain sendirian, sementara Mussaab masih tidur. Ummi mandikan Anas, kemudian Mussaab pula bangun. Mandikan Mussaab pula. Anas minta hp ummi untuk baca buku di aplikasi 'read me'. 

Jam 9 pagi, ummi suapkan Anas makan nasi dagang dan goreng nugget. Mussaab hanya makan nugget, tak nak nasi. Lepas makan, keluar main di luar rumah. Ummi jemur kain. Anas minta nak panjat pokok rambutan mek. Mussaab juga turut serta. Ummi memerhati sambil jemur kain. 

Lepas jemur kain ummi bersihkan kereta abi yang penuh dengan sampah. Anas bermain dengan permainan kereta sementara Mussaab berjalan ke sana sini. Lepas tu Anas turun ke halaman rumah dan siram pokok dalam pasu mek. Lepas tu naik ke rumah, dan minta ummi ambilkan permainan blok. Anas dan Mussaab leka sekejap bermain.  Sambil main, sambil bergaduh juga. Hai anak. Banyak kali ummi cuba leraikan.  Sempat juga berwhatsapp dengan abi yang masih dalam perjalanan. Semoga Allah lindungi abi dan permudahkan urusan abi.

Kemudian main ipad pula. Berebut juga sekejap. Akhirnya Anas ambil hp ummi dan biarkan Mussaab dengan ipad. Dah bosan dengan gadjet, Anas minta nak buat aktiviti. Ummi pun tak tahu nak buat aktiviti apa. Rasa dah tak bertenaga lepas buat kerja tadi. Maklumlah kandungan ummi pun dah masuk 7 bulan. Pergerakan dah makin terbatas. 

Anas mengambil pensel warna dan kertas. Anas dan Mussaab mula melukis dan menconteng. Mainan blok tadi dah bertaburan, kini pensel warna pula. Ummi  kemas sekadar yang ummi larat. Anas juga kemas lepas diminta ummi. Lepas tu Anas ke dapur, minta keropok dengan mek. Tinggal Mussaab yang masih setia dengan pensel dan kertas.

Pukul 11 pagi. Mata ummi dah terasa berat mengantuk. Ummi bawa keluar buku buku Anas dan Mussaab. Mula mula Anas baca ayat perkata surah 'abasa. Lepas tu color gambar dan buat buku hidden things. Mussaab masih bersama color dan menconteng di sana sini hingga ke badan dan mukanya. 

Lepas tu Anas minta nak mandi. Mussaab juga join sekali. Agak lama bermain di bilik air, ummi tak terdaya nak tarik keluar. Hinggalah cik datang dalam pukul 12, masing masing berlari keluar bila terdengar motor cik. Cik tolong lapkan badan Anas dan Mussaab, dan pakaikan pampers Mussaab. 

Anas dan Mussaab kemudian ke dapur sertai ummi dan cik yang tengah makan. Anas dan Mussaab tak nak makan nasi. Mussaab makan bubur jagung, Anas makan roti nutella. Lepas tu Mussaab makan mangga cicah kicap pula. Masam pun selamba je telan. Banyak pulak tu makan. Anas tak berminat pada asam.Lepas makan roti Anas main basikal. 

Azan zohor, cik balik ke rumahnya. Anas, Mussaab dan ummi masuk ke bilik. Ummi mandi dan solat Zohor. Anas dan Mussaab main hp dan ipad lagi. Ummi ajak Mussaab tidur, tapi Mussaab cakap tak nak tidur dengan ummi, nak tidur dengan abi. Hai.. sayu pulak hati ummi. Maklumlah, sepanjang abi ada, abilah yang menjadi teman tidur Mussaab :') Ummi yang mengantuk tertidur dulu, dan terjaga jam 3 petang. Anas dan Mussaab juga sedang lena tidur di kiri dan kanan ummi. Dapat masej abi yang dihantar jam 2.40 tadi. Abi dah sampai Merapoh. Semoga lancar perjalanan abi :)

Dua kali Mussaab menangis ketika tidur. Entah mengigau apa. Setelah hampir masuk waktu asar, Anas dan Mussaab bangun dari tidur. Cuaca gelap seperti nak hujan. Ummi segera angkat kain sebelum menunaikan solat asar. Anas memerhati awan hitam di langit dan describe pada ummi keadaan awan :) Mussaab mencapai ipad dan masih berbaring. Ummi solat asar, sementara Anas masih di luar rumah.

Lepas solat ummi baca al quran, Anas juga baca surah 'abasa. Mussaab masih dengan ipad. Lepas tu ummi bacakan buku umizoomi untuk Anas dan Mussaab. Kemudian keluar bilik dan kemas mainan, pensel warna dan buku yang bertaburan di lantai. Anas dan Mussaab tolong ummi kemas. Tapi lepas tu Anas menghilang, tinggal Mussaab selesaikan kerja mengemas bersama ummi. Anas kat dapur membodek mek untuk makan keropok. 

Jam 6 petang, ummi suapkan nasi lauk gulai ayam. Lepas tu makan nugget pula. Lepas makan, Anas mengambil al quran dan baca dengan mek. Mussaab bermain barang dalam kedai mek. Kemudian ipad pula jadi pilihan Anas, dan Mussaab masih bebas bermain di kedai mek. Ummi whatsapp abi. Alhamdulillah abi dah sampai kl. Sangat lama perjalanan abi hari ini. Kesian abi. Semoga dipermudahkan segala urusan abi. 

Jam 7 petang, ummi bersihkan bilik air, mandi dan bersiap untuk solat maghrib. Anas cuba buka laptop sendiri. Mussaab main barang di atas meja. Dibuang ke lantai, bersepah lagi. Anas pula sibuk minta ummi sambungkan charger laptop yang kehabisan bateri. Azan maghrib berkumandang. Ummi ajak Anas dan Mussaab solat dulu. Anas ikut ummi solat. Lepas solat ummi buka video Tayo yang Anas minta. Anas dan Mussaab menonton bersama.

Selesai menonton Anas ambil hp ummi dan buka buku 'read me' lagi. Baca bersama Mussaab. Lepas tu mewarna gambar pula. Mussaab juga join Sekali. Abi call untuk bercakap dengan Anas dan Mussaab. Alhamdulillah abi sudah sampai di rumah, Semenyih. Esok akan ke Bintulu atas urusan kerja selama seminggu. Masih lama penantian Anas dan Mussaab. Tapi tak mengapalah, Insya Allah abi akan pulang.

Berbagai aktiviti dilakukan sementara menunggu masa untuk tidur. Dari mewarna, berbasikal, bercerita, dll. Hujan tiba tiba turun dengan lebat. Anas dan Mussaab keluar ke beranda dan melihat hujan yang turun. Anas seperti biasa, memerhati langit dan menceritakan keadaan langit pada ummi. Kata Anas, malam ni tiada bintang di langit disebabkan oleh awan yang banyak memenuhi ruang langit. Malam ini juga tidak nampak bulan, sebab angin kuat tiup bulan...ehhh..yeke?? *_*

Jam 10 malam, ummi siapkan tempat tidur dan tutup lampu meskipun Anas dan Mussaab masih belum mengantuk. Ummi dah mengantuk, dan tak mahu biarkan Anas dan Mussaab tidur lewat sangat. Masing masing berbaring di tempat tidur. Masih ada suara yang bercakap, dan berguling kiri dan kanan. Mussaab sempat lagi minta nak minum air. Dalam kepayahan, ummi bangun juga ambilkan air untuk Mussaab. Hmm.. yelah.. memang ummi rasakan semakin terbatas pergerakan ummi sekarang. Baby dalam perut dah semakin membesar. Semoga sihat sihat sayang.. anak ummi yang seorang lagi ni :)

jam 10.30 malam, Mussaab terlena. Diikuti ummi dan Anas yang terakhir. Tak pastilah pukul berapa :)

Alhamdulillah... hari pertama tanpa abi telah berlalu. Tanpa abi, bermakna segala urusan Anas dan Mussaab terpikul di bahu ummi. Ummi perlu kuat, dan tak terlalu bergantung pada orang lain selagi ummi terdaya. Ummi akan cuba yang terbaik demi anak anak ummi. Maafkan ummi, yang sering dan selalu terkhilaf. Ummi juga seorang ibu yang sedang berusaha dan belajar dari kesilapan demi kesilapan. Semoga Anas, Mussaab dan baby yang bakal lahir menjadi anak ummi yang soleh dan sentiasa dirahmati Allah. Ummi dan abi love u all... 



bermain dan melukis


pantang pegang pen/marker, mesti diconteng badan dan muka 


aktiviti di buku 'hidden things' dan reading al quran dengan mek


2 brothers at beranda melihat hujan yang turun :)

Saturday, 23 July 2016 0 comments By: Naemah

MENJADI IBU YANG HEBAT

Padaku, tugas dan tanggungjawab seorang ibu memang agak mencabar. Anak anak ini adalah amanah Allah buat kita. Tugas menjaga dan mendidik mereka terletak di bahu kita. Tak boleh dipandang remeh, malah bukan sedikit usaha yang perlu kita lakukan demi memastikan anak anak terjaga dan terdidik sempurna dan baik pada penilaian Allah.

Aku bukanlah insan yang layak untuk dijadikan contoh dalam dunia pendidikan anak anak. Aku masih kurang pengalaman, masih banyak buat silap, malah masih teraba raba mencari jalan dan cara yang terbaik dalam mendidik anak anak. 

Yelah, berbanding dengan orang yang anak ramai, siapalah aku yang baru ada dua anak ni. Berbanding dengan ibu yang ada anak yang dah besar panjang, siapalah aku yang anak anak masih kecil lagi ni. Berbanding dengan yang sudah bertahun bergelar ibu, apa sangatlah pengalaman aku yang baru 4 tahun setengah menjadi ibu. Masih panjang proses yang perlu aku lalui dalam dunia keibubapaan ini.

Aku sering menjadikan mereka yang hebat di luar sana sebagai mentor dalam aku bertatih menjadi ibu yang lebih baik buat anak anakku. Dari ibu dan ibu mertua yang tak boleh aku nafikan kehebatan dan kecekalan mereka dalam mendidik dan membesarkan anak anak, hingga keluarga terdekat, juga ibu ibu hebat di luar sana, mereka menjadi sumber dan tempat rujukanku dalam dunia pendidikan anak anak. 

Antara nama ibu hebat yang kukenal dan pernah mengambil ilmu dari perkongsian mereka di blog/fb/ig adalah seperti pn. Lina Karim, pn. Ummu Ilham, pn. Maznah Ibrahim, pn. Adlil Rajiah, ibu Rozita, dan ramai lagi. Perkongsian mereka merangkum pelbagai aspek dalam pendidikan anak anak, dan aku banyak meneguk ilmu dari perkongsian mereka. Malah bukan sedikit buku dan artikel yang berkaitan yang pernah aku baca, boleh dikatakan banyak ilmu parenting yang sudah ada dalam kepala.

Namun cabarannya.. Adalah dalam praktis dan pelaksanaannya. Banyak ilmu, namun jika tiada usaha tetap tak kemana. Banyak ilmu, namun kurang sabar, tak jadi juga. Ada ilmu, tapi sekadar tahu dan tak buat apa apa, pendidikan anak anak takkan berjaya. YES.. peringatan buat diri yang sering gagal dan sering kecewa dengan diri sendiri.

Sesungguhnya, pendidikan anak anak merangkumi berbagai aspek kehidupan mereka. Jika kita berjaya didik mereka mengenal huruf, membaca, mengaji dan mengira, jangan fikir kita sudah sepenuhnya berjaya mendidik mereka. Itu hanya satu juzuk dalam dunia pendidikan anak anak. Malahan hanya juzuk yang kecil dan bukan satu keutamaan.

Banyak perkara yang perlu kita renungkan, senaraikan, dan usahakan dalam menjadikan kita seorang ibu yang berjaya dalam mendidik anak anak. Yang terutama pastilah pendidikan dalam mengenalkan anak anak pada Pencipta, iaitu berkenaan dengan Tauhid dan pembentukan akidah anak anak. Ia menjadi yang paling penting dan asas, kerana ia akan menjadi panduan dan penyuluh pada anak anak dalam proses pendidikan yang lebih panjang. 

Pelajaran akhlaq juga tak kurang penting. Malah lebih penting dari pelajaran akademik dan skill yang lain. Kita boleh bangga jika punya anak yang pandai dan serba boleh, namun masihkah berbangga jika perlakuan mereka langsung tak menggambarkan seorang anak yang berakhlak?? Pelajaran akhlaq yang perlu dibentuk sejak kecil, yang perlu ditegur dari awal, yang perlu dicontohi oleh kita setiap masa.. 

Sebagai ibu, aku memandang semua itu sebagai tugas dan amanah yang sangat berat. Betapa aku perlu sentiasa menyimpan azam dan terus melangkah bersama azam itu. Aku tak boleh sekadar duduk diam dan membiarkan proses pendidikan itu berjalan sendiri tanpa ilmu dan usahaku sendiri. Ya, aku perlu lebih perkasa dalam menjalankan tugas seorang ibu. Tidak hanya memberi mereka makan dan minum, menyediakan pakaian dan bahan belajar, namun lebih dari itu aku perlu sertai mereka dalam proses pembelajaran mereka. Aku perlu perbaiki diriku menjadi yang lebih baik, berilmu dan beradab. Aku tak boleh duduk diam saja, sekadar mengarah dan meletak harapan setinggi yang boleh pada anak anak. Tak mungkin!!

Aku.. Seorang ibu yang sentiasa perlu sedar diri di mana kemampuan dan keupayaan diri. Memperbaiki mana yang kurang. Mendidik dengan penuh hikmah dan bersandarkan ilmu. 

Ya, bukan mudah menjadi ibu yang benar benar berjaya mendidik anak anak. Kita tak lepas dari membuat kesilapan. Namun kita tetap diberi peluang untuk berubah dan membetulkan kesilapan. Jika kita benar benar ikhlas, insya Allah akan ada petunjuk dan pertolongan dariNya.

Bersama kita doakan... Semoga kita mampu mendidik anak anak dengan cara yang terbaik. Insya Allah



Thursday, 21 July 2016 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: TRIMESTER KEDUA



Sambungan catatan kehamilan: Trimester Pertama


Alhamdulillah melepasi fasa seterusnya. Berakhir sudah trimester kedua kehamilan ku (minggu 13-minggu 28).

Sedikit catatan pengalaman sepanjang menempuh trimester kedua, bermula April sehingga Julai 2016.

Masuk minggu ke 13, simpton morning sickness perlahan beransur pergi. Tidak seteruk minggu minggu sebelumnya. Namun masih ada juga rasa mual dan muntah sesekali. Selera makan sudah kembali, dan sudah boleh memasak.

Kebetulan juga suamiku yang sebelum ini agak lama bercuti, kini kembali ke tempat kerjanya. Bermusafir jauh mencari rezeki, meninggalkanku dan anak anak di rumah. Perginya sehingga 3-7 hari. Namun kali ini aku sudah kembali bertenaga, dan ketiadaannya tidak begitu merisaukan. Aku sudah mampu menguruskan anak anak sendiri tanpanya walau masih tidak begitu kuat. Buat kerja sekadar kemampuan saja.

Minggu minggu seterusnya badan lebih bertenaga. Morning sickness hampir tiada. Namun aku masih tidak boleh menerima vitamin (zincofer) yang diambil dari klinik kerana ia menyebabkan loya dan muntah. Sering aku skip makan vitamin kerana tak sanggup nak menahan loya dan sering termuntah selepas menelannya. Akhirnya aku membeli sendiri vitamin (iberet) di farmasi untuk menggantikan vitamin yang dibekalkan oleh klinik.

Di trimester kedua ini, meskipun morning sickness sudah tiada, aku kerap pula diserang sakit kepala dan sakit pinggang. Seminggu sekali atau dua kali, pasti akan diserang sakit kepala. Terutamanya bila berjalan jauh atau kurang minum air. Panadol dan minyak angin wajib ada bersama untuk melegakan sakit kepala. Sakit pinggang/belakang pula sudah menjadi perkara biasa sejak mengandung anak pertama dan kedua lagi. Sakit, terutamanya ketika bangun dari tidur dan duduk yang lama. Namun setakat ini masih boleh bertahan.

Satu lagi masalah ialah keputihan yang agak mengganggu. Sangat tidak selesa, dan kadangkala menyebabkan kegatalan. Keputihan memerlukan aku memakai pantiliner hampir setiap masa. Hadir juga kegusaran memikirkan kemungkinan berlaku leaking/atau ketuban bocor. Aku mengadukan masalah ini kepada doktor, dan ubat (insert) diberikan untuk rawatan keputihan. Namun masalah keputihan masih mengganggu juga. 

Minggu ke 15, ke klinik asyifa untuk scan buat kali ketiga. Sekadar untuk memastikan anakku membesar dengan baik, dan untuk melihat degupan jantungnya. Kerana kegusaran masih ada, meski sudah melepasi trimester pertama. Alhamdulillah jelas dan bahagia melihat anakku membesar sihat di skrin. Suamiku dan anak anak turut serta melihat ahli baru dalam keluarga kami. Jantina...masih belum pasti. Girl mungkin??

Pada minggu ke 17 membuat ujian MOGTT yang sememangnya wajib ke atas setiap ibu mengandung. Minggu ke 19 mendapat keputusannya. Sangat kecewa, kerana di trimester kedua ini aku sudah berhadapan dengan masalah kencing manis ketika mengandung. Perlu buat bsp, perlu sering berjumpa doktor dan memantau keadaan diri dan kandungan.
Di trimester kedua ini juga temujanji klinik menjadi lebih kerap. 2 minggu sekali perlu ke klinik untuk check up. Setakat ini segalanya ok dan baik. Cuma hb agak rendah, sama seperti pengalaman mengandung yang lepas.

Mula merasakan gerakan lembut anakku ketika usia kandunganku 17 minggu. Pada mulanya tidak pasti apakah itu gerakan si kecil atau sekadar angin di perut. Bila saban hari merasainya, aku pasti ia adalah gerakan anakku. Perasaanku gembira dan bahagia. Akhirnya menikmati detik manis ini sekali lagi. Gerakan semakin kuat pada minggu minggu seterusnya. Malah menjadi risau jika lama tak menikmati rasa gerakan di dalam perutku.

Sesekali datang rasa nyeri/cramp di rahim dan peha. Cramp kaki juga dah mula menyerang. Namun setakat ini segalanya dapat diharungi dengan baik.

Minggu ke-23, scan sekali lagi di KK Beranang. Anakku membesar dengan baik, tapi kedudukan uri masih di bawah. Kata doktor, anakku kemungkinan boy :) entah, aku sendiri tak melihat imej scan di skrin. Alhamdulillah, boy atau girl tetap ummi menanti dengan penuh harapan. Minggu ni juga perlu jumpa dietitian untuk nasihat pemakanan ibu gdm sepertiku.

Pada trimester ini juga aku menyambut Ramadhan ketika usia kandunganku 22 minggu. Alhamdulillah dapat menyempurnakan puasa 30 hari tanpa sebarang masalah. Ada juga diuji dengan sakit kepala dan kepenatan pada hari pertama puasa dan juga hari terakhir. Alhamdulillah puasa dapat diteruskan.

Menyambut hari raya pada minggu ke-26 kehamilanku. Hari raya pertama, masih sakit sakit kepala, telan sehingga 3 biji panadol, tapi dapat berhari raya macam orang lain juga, ziarah sanak saudara. Makan pun berselera :) raya pada hari seterusnya dah ok, sihat dan tak ada masalah sangat.

Kalau nak dikirakan, pada trimester kedua ini aku sering berjalan jauh, entah dah berapa kali balik kampung. Perjalanan memakan masa 7-8 jam, memang kerap dan tak terkira sudah berapa kali berulang alik. Namun syukur, tidak menghadapi masalah, cuma sesekali diserang sakit kepala bila berjalan jauh.

Sehingga minggu ke-28, sudah buat 4x bsp (gdm kan). Yang kali ketiga tu agak tinggi bacaan gula (5.5/8.2/5.1/8.7), mungkin kerana raya, makan macam macam dan tak ikut masa. Hingga doktor minta buat bsp yang ke-4, seminggu kemudian. Risau jugak, tak pasal pasal kena insulin pula. Due bersalin masih lambat lagi ':)

Bacaan bsp yang ke-4 lebih baik (4.4/6.1/5.1/6.6). Oleh kerana berada di kampung ketika ini, perlu refer bsp dengan doktor di sini. Aku membuat temujanji dengan birasku Dr Nasibah untuk review bsp. Alhamdulillah selesai sudah, dan perlu repeat bsp lagi selepas 2 minggu. Semoga dipermudahkan.

Berakhir sudah trimester kedua. Satu perkara yang aku rasa sedikit berbeza kali ini ialah, aku tidak menghadapi masalah sembelit sebagaimana mengandungkan Anas dan Mussaab dulu. Alhamdulillah, kerana pengalaman sembelit memang sangat memeritkan. 

Kini bersedia untuk ke trimester ketiga/terakhir. Malah tidak sabar, menanti saat kelahiran anakku ini. Dalam debaran, tetap tersimpan harapan, semoga Allah permudahkan kelahiran anak ketigaku ini. Aku bersedia untuk menghadapi saat yang mendebarkan itu. 
Pengalaman lepas, meski takut untuk dikenang, tetap menjadi kenangan manis untuk diulangi. 

Semoga Allah permudahkan...
Aameen
Wednesday, 20 July 2016 0 comments By: Naemah

MALU PADA MEREKA

Sekadar luahan dan lontaran rasa. Rasa malu dan segan pada orang tua yang banyak berbakti dan berkorban dengan ikhlas dan setulus hati.

Alhamdulillah, setelah hampir 6 tahun mendirikan rumahtangga, kami sekeluarga agak kerap pulang ke kampung. Meskipun perjalanan agak jauh, kos perjalanan juga tak murah, namun Allah izinkan kami untuk pulang, dan sering perjalanan dan perancangan kami dipermudahkan.Anak anak juga, tiada masalah dengan perjalanan jauh, malah sentiasa seronok untuk pulang ke kampung.

Alhamduliilah, ianya mudah untuk kami mungkin kerana aku tidak bekerja, dan anak anak masih belum bersekolah. Tambahan pula, kerja suamiku agak berbeza dengan orang lain. Cutinya juga tak sama. Adakala sehingga 2 minggu cutinya. Maka ke mana lagi ingin kami tuju, kalau bukan ke kampung.

Aku seperti juga suamiku, kami masih mempunyai ibu yang telah melahirkan kami. Ibu yang sudah semakin tua dan uzur pula. Maka di kesempatan yang ada, kami harap akan dapat sering pulang dan menjenguk mereka. Sekurang kurangnya buat hilangkan rindu mereka pada anak yang telah mereka lahirkan ini. Sedikit sebanyak, agar dapat berbakti pada mereka, meskipun takkan mampu membalas jasa dan pengorbanan mereka.

Perasaan malu dan segan... ya, itulah yang aku rasa pada mereka, orang tua kami. Dahulunya mereka hidup susah. Ibuku dan ibu mertuaku, sama saja bukan senang mereka membesarkan kami dan anak anak yang ramai. Mereka pernah bekerja keras, mencari pendapatan, mengerah keringat mencari rezeki. Hingga hari ini, anak anak semuanya sudah dewasa dan berjaya. Hasil usaha dan pengorbanan mereka.

Aku merenung diriku. Betapa beruntung dan bertuah. Meski bergelar isteri dan ibu, gelanggang kehidupanku hanyalah di rumah. Suami mampu menanggung segala, hingga tak perlu aku keluar mencari rezeki seperti sesetengah yang lain. Duniaku hanya anak anak, suami dan rumahtangga. Itupun sering aku rasakan berat untuk menguruskannya. 

Aku malu pada ibuku. Dia dulu sangat susah untuk membesarkan aku dan membiayai pengajianku. DI ketika itu, langsung aku tak peduli pada kepayahannya. Hingga hari ini aku menjadi isteri, aku sedar aku tak mampu menjadi sepertinya, dan tak pernah mampu membalas pengorbanannya, meski dengan apa sekalipun.

Aku malu pada ibu mertuaku. Dari cerita suamiku, aku juga tahu dia dulunya sangat susah membesarkan anak anak termasuk suamiku. Bekerja membantu pendapatan suami, dan gagah membesarkan 10 anak termasuk suamiku. Aku malu, kerana aku hari ini senang lenang di bawah tanggungan anaknya. Aku tak perlu bersusah payah seperti dia.

Namun aku tahu, ibuku malah ibu mertuaku tak pernah cemburu pada anak menantunya. Mereka senang, melihat anak menantu senang. Meski mereka pernah susah, mereka tak sanggup melihat anak menantu menanggung kesusahan yang sama.

Cuma aku... harus sentiasa sedar dan beringat. Kehidupanku hari ini senang, hasil dari kepayahan mereka yang bergelar ibu. Baik suamiku, rezeki yang Allah limpahkan hari ini juga berkat dari doa, usaha dan redha ibu yang sentiasa mengalir.

Maka kami tak boleh sekalipun melupakan ibu yang banyak berkorban. Jasa mereka tak mampu kami balas, namun selagi ada hayat, semoga kami mampu mencurahkan bakti buat mereka.

Bakti pada mereka boleh jadi dalam pelbagai bentuk dan rupa. Jika ada rezeki lebih, tak salah hulurkan sedikit pada mereka atau membeli sesuatu yang boleh menggembirakan hati mereka, meski mereka tak pernah berharap. Jika ada kelapangan masa, seringkanlah pulang menjenguk mereka dan berbicara dengan mereka. Jika ada kekuatan tenaga, bantulah kerja kerja rumah yang tak termampu mereka lakukan, jika ada kesempatan waktu, bawa mereka berjalan ke mana mereka mahu, atau sekadar menziarahi saudara dan teman yang pernah mewarnai hidup mereka, dan berbagai bentuk bakti lagi yang kita termampu meski bakti yang tersembunyi, yang tak pernah mereka tahu.Jangan pernah dilupa doa buat mereka. Kerana tiada yang lebih berharga buat ibu/bapa, selain doa anak yang soleh yang akan menemani mereka meski mereka telah tiada.

Sekadar peringatan buat diriku sendiri, dan pada mereka yang lupa. Tanpa pengorbanan dan doa seorang ibu, siapalah kita ini. Jangan pernah sekalipun melupakan mereka di kala hidup kita senang dan bahagia.


~ONLY MY MOTHER COULD LOVE ME FOR ME~

3DAYS 2NIGHTS: ROAD TO KAMPUNG

Setelah seminggu balik ke rumah sewa kami di Semenyih, suami mengajak balik ke kampung sekali lagi. Mungkin akan balik lama juga, kerana suamiku akan ke Bintulu pada hujung bulan ini selama seminggu. Anas dan Mussaab akan berada di kampung lagilah nampaknya :)

Namun perjalanan pulang kali ini agak mengambil masa yang lama untuk sampai ke kampung, kerana banyak tempat yang menjadi persinggahan kami. 3 hari 2 malam, masa yang sangat berharga buat kami sekeluarga. Dapat bercuti dan meluangkan masa bersama sama.

3 hari 2 malam, catatan perjalanan Anas, Mussaab, ummi dan abi :)



Day 1 (16/07/16)

Semenyih-Kuala Lumpur


Kami bertolak dari rumah jam 9 pagi, terus menuju ke Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Sudah lama tidak beriadah di sini. Anas dan Mussaab sangat excited bila diberitahu akan ke taman ini. Kami tiba dalam pukul 10 pagi.

Sebelum mula bermain, kami ke cafe yang terdapat di taman itu dan makan bersama, kecuali suamiku yang sedang berpuasa enam. Anas makan berselera, habis 3 bungkus nasi lemak. Mussaab juga makan, tapi tak sebanyak Anas :)

Selepas makan, terus menuju ke taman permainan. Anas dan Mussaab sangat riang bermain. Langsung tak nak berehat. Anas juga turut berbasikal di taman ini.
Hampir 3 jam berada di Taman Tasik Perdana, kami meninggalkan tempat itu bila jam sudah hampir pukul 1 petang.


TAMAN TASIK PERDANA





















 Selepas itu, kami menuju ke Ampang untuk check in hotel yang telah di booking suamiku. Suami memilih Hotel Safari (hotel bajet) untuk kami bermalam. Rm 118.20 satu malam. Bilik yang mempunyai 2 katil queen ini menjadi tempat untuk kami tidur malam ini sebelum meneruskan perjalanan.

Selepas check in, kami masuk ke bilik dan berehat, sehingga masuk waktu asar. Selepas itu keluar berjalan di sekitar kawasan tersebut. Masuk ke Ampang point, membeli sedikit barang, juga masuk ke kedai Cash Converters (kedai barang second hand) membeli bateri dan stokin untuk Mussaab. Singgah juga ke kedai runcit membeli air mineral dan berjalan di sekitar kedai dan restoren yang berderetan.

Jam 7 petang, kami masuk ke restoren nasi kandar, Kapitan untuk makan malam. Juga sudah hampir masuk waktu berbuka puasa untuk suamiku. Selesai makan kami pulang ke bilik. Mandi, solat dan tidur. Selesai cerita hari ini :)


AMPANG









Day 2 (17/07/17)

Kuala Lumpur- Cameron Highland

Kami sekeluarga meninggalkan Hotel Safari jam 9 pagi. Singgah breakfast di restoren Line Clear yang berdekatan dengan hotel. Makan roti canai dan nasi lemak. Selepas itu terus bertolak menuju ke Cameron Highland sebagaimana yang telah dirancang.










Sudah menjadi kebiasaan, sebelum tiba  di puncak Cameron Highland, suamiku akan singgah di kawasan air terjun, Lata Iskandar. Anak anakku seperti biasa excited dan minta untuk mandi. Hari ini agak ramai pelancong asing yang singgah bergambar di sini. Suami dan anak anakku masuk ke dalam sungai dan bermain air sehingga basah kuyup.   




LATA ISKANDAR


















Jam 11 pagi, kami menuju ke kedai makan yang biasa kami singgah di kawasan itu untuk makan tengahari. Selesai makan, kami menyambung perjalanan ke Cameron Highland.

Tiba di Cameron Highland jam 12 lebih. Terus menuju ke Natasya Resort yang berdekatan dengan Kea Farm untuk check in bilik, solat dan berehat seketika. 

Kami keluar semula jam 5 petang. Hujan sangat lebat petang ini, menambahkan kesejukan di sini. Suamiku membeli sedikit jagung, sayur dan stevia di pasar. Kami kemudian singgah minum kopi strawberry dan makan roti bakar di kedai yang biasa kami singgah. Tak lupa jagung rebus yang menjadi kesukaan Anas dan Mussaab, ubi rebus dan strawberry coklat. Agak lama kami di situ memandangkan hujan masih lebat di luar.

Selepas itu ke Brinchang, singgah di pasar Brinchang. Aku membeli bakso, dan suamiku membeli sate. Kemudian ke restoren Abang, beli nasi kukus sambal strawberry pula. Jam sudah hampir 7 malam, kami balik semula ke Natasya Resort.



CAMERON HIGHLAND















Malamnya, kami hanya berehat di bilik. Makan malam, menonton tv, surf internet dan tidur. Anak anakku nyenyak tidur, setelah penat seharian berjalan dan bermain air. Esok akan sambung perjalanan lagi :)




Day 3 (18/07/16)

Cameron Highland - Jeli

Kerana kepenatan, bangun tidur juga agak lewat hari ini. Suamiku membeli sarapan pagi di kedai yang berdekatan memandangkan anak anak masih lena. Nasi lemak, nasi goreng dan mi goreng menjadi menu sarapan kami hari ini. Alhamdulillah :)

Kami check out resort dalam pukul 10 pagi. Anas dan Mussaab bermain di taman permainan yang terdapat di Natasya Resort. Selepas itu, sekali lagi singgah di pasar berdekatan untuk membeli jagung, strawberry, sayur, dan teh cameron. Selepas itu terus meluncur turun dari puncak cameron highland menuju ke kampung. Alhamdulillah tiba di rumah ibuku jam 2 petang.








3 hari 2 malam, sudah berakhir musafir  dan percutian kami. Kini sudah berada di kampung, di rumah orang tua kami pula. Dapat bercuti ambil angin di luar memang best. Tapi lebih berbahagia dapat bersama orang tua :) 

Sesekali berjalan jalan makan angin, sekadar menikmati masa emas bersama keluarga di samping mengeratkan cinta dan kasih sayang sesama suami isteri dan anak anak. Sangat berbaloi dan sangat bersyukur di atas kurniaan ini.

Kampung halaman, orang tua kami, tetap menjadi tujuan utama kami. Kalau asyik berjalan hingga lupa orang tua, tak seronok juga kan. Mereka tetap menanti kepulangan kita meski berapa kerap kita pulang pun. Ibubapa tak pernah jemu untuk bertemu anak anaknya. Aku percayakan hakikat itu. Maka masa yang ada, moga dapat diluangkan untuk mereka. Insya Allah.

Alhamdulillah di atas segala kemudahan yang telah Allah kurniakan.

Monday, 18 July 2016 0 comments By: Naemah

MAAFKAN AKU DUHAI IBU YANG MELAHIRKAN

Aku dibesarkan ibu sendirian sejak usiaku 3 tahun. Ayah meninggal dunia, di saat aku belum mengerti tentang kehidupan. Alhamdulillah ada abang dan kakak yang turut membantu meski mereka ada kehidupan sendiri. Namun di rumah itu...hanya ada aku dan ibuku.

Ibuku, seorang yang rajin dan tekun bekerja dan berusaha. Menoreh getah sendirian di tanah seluas 6 ekar. Berjalan kaki pergi dan balik, tak kurang 1 jam perjalanan. Demi mencari rezeki, tak mengharap pada sesiapa, malah pada abang kakak tak pernah ingin menyusahkan. Aku pastinya tak mengerti kepayahan dan keperitan itu..

Aku belajar dan berbelanja dengan senang hati, tak pernah ada masalah kewangan. Dari sekolah rendah, hingga ke menengah hingga ke universiti. Hidupku mudah dan senang. Semua hasil penat lelah ibuku.

Hari ini, aku sudah menjadi seorang isteri juga seorang ibu. Ibuku pula sudah semakin tua dan semakin uzur. Hidup sendirian, meneruskan hidup. Tak pernah ingin bergantung hidup pada sesiapa, meski pada anak anak. Padanya, selagi mampu dengan kudrat dan tenaganya, dia akan cuba lakukan segalanya sendirian.

Hari ini ibuku sudah tidak bekerja, malah harta sudah lebih dari mencukupi. Kehidupan sehariannya hanya di rumah, meneruskan sisa kehidupan dengan kerja kerja ringan dan beramal mengikut kemampuan.

Ibuku telah tua, sudah sangat tua. Keperitan masa lalunya hanya dia simpan sendiri. Aku....sehingga hari ini masih belum mampu untuk mengerti. Kerana hidupku tak sesukar dia. Aku tidak bersusah payah seperti dia.

Hampir separuh usianya membanting tulang hanya untuk menyara kehidupan dan pengajianku. Tak terkira berapa banyak yang dia habis untukku. Aku menyedari hakikat itu. Namun sehingga hari ini... sedikit pun aku tak mampu untuk membalas jasanya.

Nak hulurkan wang sendiri, aku tak bekerja. Nak selalu pulang dan tinggal bersamanya, aku ada keluarga sendiri dan ada keluarga yang lain juga. Nak bawa dia jalan jalan, hmm... jarang nak fikirkan tentang itu. Nak ringankan kerja kerjanya, tapi nampaknya dia lebih penat tika kami sekeluarga balik berkampung di rumahnya. Nak dengar cerita dan luahan hatinya, ahh...selalu tiada masa...

Aku sering merasa bersalah, dan serba tidak kena. Aku sedar aku bukan anak yang baik. Tak pernah mengenang budi, banyak membuat hatinya luka dan kecewa. Meski hingga ke saat ini... saat diri juga sudah bergelar seorang ibu. Banyak memikirkan hal sendiri, langsung tidak endah pada hati dan perasaan ibu yang telah tua, yang banyak bersusah payah, yang sering memaafkan, yang tak pernah jemu berdoa. Untuk anaknya ini....

Sedikit pun aku tak mampu untuk membalas segala jasa dan pengorbanannya. Aku tak mampu menjaganya, tak mampu menghulurkan kesenangan untuknya, sering tiada masa untuk membantu dan meringankan kesukarannya.

Aku, tika ini masih mengharapkan ibuku fahami kedudukanku, yang tak boleh selalu ada untuknya. Aku, tika ini sering mengharapkan kemaafan dan redha darinya agar aku tenang menjalani hidup ini. Aku, tika ini sangat mendambakan doa darinya yang bergelar ibu, kerana aku percaya hidupku hari ini baik dan lapang, kerana berkat doa seorang ibu.

Aku mohon Allah mengampuni segala dosa ibuku, dan menerima segala amalannya. Apa yang telah ibu korbankan buatku selama ini, dari saat aku dilahirkan hingga aku menjadi isteri orang, hanya Allah saja dapat membalasnya. Hanya Allah...

Aku hari ini... bertatih belajar menjadi ibu yang baik untuk anak anakku, walau aku sering gagal. Dari kepayahan, dari kesukaran, aku cuba menyelami pengorbanan ibuku selama ini, meski aku masih belum benar benar mengerti.

Sungguh, hati ibuku yang telah tua itu tak termampu aku selam. Segala jerit perih, susah payah, segala kesunyian, hajat yang belum tercapai, keinginan yang tidak terluah.... aku sendiri tak mampu untuk menduga.

Dengan cebisan rasa sayu dan simpati ini, aku mendoakan agar kehidupan ibuku hari ini benar benar memberi kepuasan dan ketenangan pada hatinya. Setelah apa yang telah dia lalui selama ini, aku mengharapkan tiada lagi kepayahan dalam hidupnya selepas ini.
Segala jasa dan pengorbanan seorang ibu, takkan mampu dimengerti oleh seorang anak. 

Semoga syurga hadiah buat seorang ibu yang telah banyak berkorban.
Friday, 15 July 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 150716

Hari ini 10 Shawwal 1437H. Sudah masuk hari ke-4 Anas dan Mussaab balik ke rumah di Semenyih. Akhirnya balik, setelah hampir sebulan berada di kampung. Tapi balik kali ni juga tak lama, kerana kita sekeluarga akan balik kampung untuk kesekian kalinya kerana abi akan ke Bintulu pada hujung bulan ni. Mungkin seminggu juga abi akan berada di sana. Memang tahun ni paling kerap Anas dan Mussaab balik kampung :)

Hari ini Anas dan Mussaab bangun dalam pukul 7.45 pagi. Alhamdulillah bangun dengan ceria. Ummi masakkan nasi goreng dan sosej goreng. Anas dan Mussaab makan sedikit saja, sibuk nak menonton video 'Tayo the bus'. Video kegemaran Anas dan Mussaab buat masa sekarang, selain 'Ni Hoa Kai Lan'. Melekat di depan komputer menonton episod demi episod. Ajak mandi pun tak nak.

Sementara abi... buat kerjanya di depan laptop. First time ummi update 'diari anakku' ketika abi ada do rumah :) Alhamdulillah abi bercuti lama kali ini. Dapat luangkan masa yang banyak dengan Anas dan Mussaab.

Anas dan Mussaab mandi jam 9.15 pagi. Lepas tu Anas buka buku aktiviti 'Draw+Learn Places'. Selesaikan beberapa muka surat. Mussaab memerhati sambil makan kerepek dan minum air soya. Dah puas melukis di buku, Anas kembali menonton video Tayo. Mussaab berguling dan bergolek di atas karpet. Dah tak berminat nak menonton video. Buat hal sendiri. Kerepek juga dah bertaburan di atas karpet. Abi...masih di alam maya bersama laptop. Ummi pula berbaring bersama Mussaab, mata rasa berat dan mengantuk sangat.
Abi bagi Mussaab marker. Anas pun nak jugak menulis di whiteboard. Berebut dan menangis sekejap. Akhir sekali keduanya dapat melukis dan menconteng juga.

Jam 11 pagi, Anas vakum karpet dan makan kerepek. Mussaab masih memegang marker, menconteng di whiteboard juga pada badannya, seperti biasa.

Jam 11.30, Anas mengadu lapar. Ummi belum masak apa apa, lauk dalam peti pun dah habis. Sejak balik dari kampung, belum berkesempatan untuk ke kedai membeli lauk. Hanya masak apa yang ada dalam peti. Untuk lunch hari ni, ummi masak mi segera saja. Kesian anak anak ummi, makan mi segera saja tengahari ni. Pedas pulak tu...sorry sayang... Anas makan banyak juga, Mussaab makan beberapa mulut saja, tak tahan pedas. Dah la Anas dan Mussaab tengah batuk batuk, kesiannya..ummi rasa bersalah.

Jam 12.15, naik ke atas. Abi sudah terlena di sofa. Anas main ipad, dan baca buku. Mussaab juga belek buku yang ada. Keduanya dalam keadaan selesema dan batuk yang masih kuat. Dapat berita Safiyya, sepupu Anas dan Mussaab tengah demam sampai kejang kaki. Kesiannya Safiyya... ummi tak dapat bayangkan kalau ianya terjadi pada anak anak ummi. Ummi mohon jauhkan, dan tak lupa berdoa semoga Safiyya kembali sihat. Dia masih kecil, seusia Mussaab saja. Semoga Allah lindungi Safiyya, dan anak anak ummi juga :') dalam keadaan Anas dan Mussaab yang tengah batuk ini juga, dah cukup untuk buat ummi risau.

jam 1 petang, Mussaab terlena sendiri di atas katil, sementara ummi menanti masuk waktu zohor. Abi bersiap untuk solat jumaat, Anas pula bermain dengan permainannya. Selesai solat, ummi masuk ke bilik untuk tidur. Mussaab masih lena. Ummi angkat Mussaab dan bawa ke bilik satu lagi untuk tidur bersama ummi. Anas juga cepat lena, lepas mengadu dan menangis tak selesa akibat batuk. Kesian Anas dan Mussaab. Sesekali terbatuk juga ketika sedang lena tidur. Ummi yang terasa sangat mengantuk juga terlena di antara Anas dan Mussaab. Abi masih belum pulang dari masjid.

Ummi tidur agak lama. Masuk waktu Asar baru ummi terjaga. itupun dalam keadaan yang sangat sukar. Kepala terasa berat, mata masih sangat mengantuk. Badan terasa lemah. Anas dan Mussaab sudah tiada di sisi ummi. Kedengaran suara Anas dan Mussaab riang bermain dan ketawa di bawah bersama abi. Alhamdulillah, ummi jangkakan anak anak ummi dalam keadaan baik dan sihat. Kemudian Anas, Mussaab dan abi naik ke atas untuk kejutkan ummi solat. Ummi bangun perlahan untuk solat. Sudah janji, petang ni nak ke stadium Kajang bawa Anas dan Mussaab main di taman permainan di situ.

Dalam pukul 5.30, bertolak dari rumah menuju ke Kajang. Jalan raya agak sesak, kerana bertembung orang balik kerja. Mula mula, pergi tengok rumah yang abi beli di Bandar Rinching. Alhamdulillah sudah siap sepenuhnya. Tak lama lagi boleh pindah ke rumah sendiri. Insya Allah, lepas ummi lahirkan adik Anas dan Mussaab :) Lepas tu terus ke Kajang. Pukul 6.30 baru sampai Kajang. Anas pula tidak selesa dan muntah di atas kereta. Abi singgah di Metro Kajang dan belikan roti subway. Anas dan Mussaab makan berselera. MUngkin sangat lapar, kerana belum menjamah nasi sejak tengahari tadi. Anas tak nak pergi taman permainan, katanya nak balik. Mungkin tak larat. Anas baring di ribaan ummi. Risau pula ummi dibuatnya. Terpaksa batalkan niat untuk ke taman permainan, dan kembali menuju ke Semenyih.

Jam 7 petang, singgah di Tesco Semenyih. Ummi ke farmasi untuk membeli sedikit keperluan. Anas, Mussaab dan abi juga turut bersama. Naik ke atas, dan turun semula memandangkan sudah hampir masuk waktu maghrib. Abi puasa hari ni. Alhamdulillah esok cukup puasa 6 abi. Ummi pula baru sehari :) singgah sekejap di kedai kek King. Beli donat, kek, tat dan pai ayam. Keluar dari kedai, dah kedengaran azan maghrib. Abi berbuka di atas kereta. Anas dan Mussaab makan donat. Kemudian abi singgah sekejap membeli nasi kukus di gerai berdekatan. Terus balik ke rumah, solat dan makan lagi. 

Anas masih dalam keadaan tak bermaya dan sesekali menangis dan meragam. Sakit perut dan batuk. Mussaab juga sama. Cuma Mussaab lebih ceria dan gagah bermain. Lepas isyak, Anas ajak naik tidur. Abi naik ke atas bersama Anas. Ummi membaca al Quran di bawah ditemani Mussaab. Kemudian Mussaab pula naik ke atas. Selesai urusan di bawah, ummi juga naik ke atas untuk melihat keadaan Anas. Masih belum tidur, dan masih mengadu tak selesa dan merengek. Mussaab masih ceria. Ummi baring bersama Anas hingga Anas terlena. Kemudian ummi baring pula di sebelah Mussaab, hingga Mussaab juga terlena. Alhamdulillah...

Hati ummi tak lepas dari perasaan risau dan bimbang. Perasaan ini akan sering hadir setiap kali berhadapan dengan anak anak ummi yang kurang sihat. Ummi takut, akan melarat dan membawa mudarat. Namun doa saja senjata yang ummi ada. Ummi yakin Allah mendengar doa seorang ibu, meski ummi bukan ibu yang sempurna untuk Anas dan Mussaab. Ummi berdoa sesungguhnya, agar hari esok akan memberi lebih kebaikan dan keceriaan buat anak anak ummi. Semoga tidak lagi lemah dan sakit, semoga sihat dan dapat bermain seperti biasa. 

YA Allah... kurniakan kesihatan pada Anas dan Mussaab....
Aameen..