Saturday, 12 September 2026 By: Naemah

TAKLIMAT MATRIKS TAHUN 4 DI SRAIPB




Hari ni hadiri taklimat matriks tahun 4 di sekolah Miqdad-SRAI Pekan Beranang. 


Setelah sekian lama tertanya-tanya pasal matriks ni (sebab tiada sebarang info dari pihak sekolah walaupun tarikh examnya semakin hampir), akhirnya persoalan tu terjawab juga. Maklumlah, tahun ni batch pertama berdepan dengan pentaksiran matriks tahun 4, tak tahu nak rujuk ke mana. Memang tertunggu-tunggulah maklumat dari sekolah. 


Sejujurnya, dalam tempoh ini Miqdad pergi dan balik sekolah macam biasa. Belajar macam biasa. Ummi dan abi pun takde nak kisah sangat pasal matriks. Dengan harapan, cukuplah apa yang dia dapat kat kelas tu sebagai persediaan untuk matriks nanti. 


Dan akhirnya, hari ni ibubapa dijemput untuk mendengar taklimat tentang pentaksiran matriks tahun 4 ini. Maka hadirlah ummi untuk mendapatkan maklumat dengan lebih jelas. 


Penceramah hari ini ialah Tuan Haji Bahau (terlupa nama penuhnya), seorang pegawai PPD Keramat. Alhamdulillah hari ni beliau memberi penerangan yang jelas tentang matriks, dan beliau juga menjawab segala persoalan daripada ibubapa yang bertanya.


Secara ringkasnya, pentaksiran ini nak melihat sejauh mana anak-anak menguasai asas pembelajaran dalam BM, BI, Matematik dan Sains. 


Ianya wajib diambil oleh semua murid tahun 4 di seluruh Malaysia, yang ambil subjek KPM. Soalan pula dikeluarkan oleh lembaga peperiksaan negara-selaras untuk semua sekolah. 


Kenapa Tahun 4, bukan Tahun 6?


Sebab kita tak mahu tunggu sampai Tahun 6 baru nak tahu tahap penguasaan anak-anak.


Bila pentaksiran dibuat sejak Tahun 4, kita boleh nampak lebih awal bahagian mana yang anak-anak sudah kuasai dan bahagian mana yang masih perlu diperbaiki.


Daripada keputusan itu, guru boleh kenal pasti keperluan anak-anak dan merancang intervensi yang sesuai. Masih ada masa untuk membantu mereka memperbaiki kelemahan, mengukuhkan asas dan meningkatkan penguasaan sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.


Jadi, matlamatnya bukan semata-mata untuk menguji atau memberi markah, tetapi untuk mengesan lebih awal supaya masih ada masa untuk membantu.


Dan ianya jelas, matriks ni bukanlah pengganti UPSR atau pt3. Resultnya nanti tak diambil kira pun untuk melangkah ke sekolah asrama penuh atau ke mana-mana. Ia lebih kepada nak menolong anak-anak kita mengusai asas pembelajaran tersebut sebelum melangkah ke sekolah menengah yang lebih mencabar.


Jadi, beliau berpesan kepada ibu bapa supaya jangan terlalu menekan anak-anak untuk belajar atau mengejar kecemerlangan dalam Pentaksiran Matriks ini.


Tidak perlu memaksa mereka mengambil tuisyen atau kelas tambahan semata-mata kerana mahu menghadapi Matriks. Biarkan anak-anak menjawab berdasarkan kefahaman dan penguasaan mereka pada ketika ini. Biarkan mereka ‘luahkan’ apa yang mereka tahu di atas kertas.


Apabila keputusan keluar nanti, barulah kita lihat di mana tahap penguasaan mereka. Jika ada bahagian yang masih lemah, kita boleh cari jalan dan bentuk intervensi yang sesuai untuk membantu mereka.


Bagi anak-anak yang sudah cemerlang pula, mereka tetap memerlukan pengukuhan supaya prestasi tersebut dapat dikekalkan.


Yang penting, jangan sampai anak tertekan hanya kerana kita terlalu mengharapkan keputusan yang sempurna. Jangan marah atau kecewa apabila keputusan mereka tidak seperti yang kita harapkan. Mereka pun baru 10 tahun. 


 Matriks ini bukan penentu nilai diri mereka, tetapi satu cara untuk kita mengetahui di mana mereka berada sekarang dan bagaimana kita boleh membantu mereka bergerak ke hadapan.


Matriks ni bukan nak cari siapa yang paling pandai ye. Kita sedang mencari apa yang anak-anak kita perlukan.


Oleh itu, boleh la ummi terus bertenang je sampai ke sudahnya. Abi memang dah cakap dia tak kisah. Dia memang nak tengok result je nanti macamana. Masa tulah boleh tahu tahap kefahaman dan penguasaan dia yang sebenar dari apa yang dia dapat kat sekolah selama ni. 


Exam dah tak lama. Kurang sebulan je lagi. Ummi doakan Ilham Miqdad, kawan-kawan Miqdad, sepupu-sepupu Miqdad, dan semua yang seangkatan dengan Miqdad dipermudahkan untuk menjawab soalan matriks nanti. Semoga terang hati, boleh jawab dengan baik dan beroleh kecemerlangan. Ameen.





0 comments:

Post a Comment