Wednesday 24 July 2019 By: Naemah

PERTAMA KALI BERURUSAN DI HOSPITAL KAJANG

Kandungan sudah masuk minggu ke-36. Alhamdulillah :)

Bermakna sudah makin dekat dengan tarikh bersalin. Dan kehamilan kali ini berbeza dengan 3 kehamilan yang lepas, di mana aku berdepan dengan masalah GDM on insulin, yang memerlukan aku bersalin pada usia kandungan 38 minggu iaitu 2 minggu lebih awal dari tarikh jangka bersalin. Dan kerana ‘kes’ ini jugalah yang membawa aku ke Hospital Kajang pada hari ini untuk bertemu dengan pakar O&G. Hari ini aku akan diberikan tarikh untuk aku bersalin (induce). 

Temujanji ditetapkan pada pukul 8 pagi. Alhamdulillah suami ada di rumah hari ni dan boleh menghantar aku ke hospital. Selepas menghantar Anas dan Mussaab di sekolah, kami terus ke Hospital Kajang. Menempuh kesesakan jalan, akhirnya sampai di hospital sekitar jam 8.15 pagi. Sudah ramai patients yang menanti untuk mendaftar dan mengambil no giliran. Buku pink ibu mengandung juga sudah bersusun di kaunter. Sudah dapat agak, mungkin urusan hari ini akan mengambil masa yang lama. Sabar jelah. Suamiku mengambil tugas menjaga Miqdad dan meninggalkan aku untuk selesaikan urusan di sini. 

Dari menunggu angka giliran, kemudian perlu mendengar ceramah tentang penyusuan, beratur untuk cek urin, ambil tekanan darah dan timbang berat, semuanya perlu sabar beratur dan ikut turn. Rupanya memang hari ini hari yang memang khas untuk berjumpa pakar. Dan sudah begini lumrahnya bila berurusan dengan hospital kerajaan. Bukan kita seorang yang perlu dilayan dan diberi perhatian. Maka sabarlah. 

Pada jam 11.30, sampai giliranku berjumpa doktor. Doktor yang mengambil ‘kes’ aku pada hari ini adalah Dr Dalila. First time berurusan dengan beliau. Banyak yang ditanya, terutama tentang masalah GDM ketika mengandung ini. Lepas tu mengambil giliran untuk scan baby, Alhamdulillah pembesaran baby baik. Aku bertanya kalau-kalau nampak jantinanya (sebab sebelum ni tak nampak lagi), dan kata doktor nampaknya seperti ‘girl’. Hmm.. setakat itu sajalah. Dan segalanya adalah mungkin. Insya Allah yang terbaik dariNya.

Dari pertemuan dengan doktor pakar hari ini, tarikh untuk aku bersalin ditetapkan pada 13/8/19, tepat usia kandungan 38 minggu. Allah, bila diingat masanya yang semakin hampir, aku tak lepas dari rasa takut dan berdebar. Saat itu akan berulang lagi. Bezanya kali ini lebih awal aku perlu bersalin (sebelum ini semua anak cukup 40 minggu). Allah, semoga tenang dan mudah saja nanti. Allah sebaik-sebaik Penolong dan Pelindung ~Tarik nafas lega~

Urusanku selesai jam 12 tengahari. Suamiku sudah menunggu di luar bersama Mussaab dan Miqdad. Selepas itu kami terus menuju balik ke Semenyih. Sebelum itu singgah dulu makan tengahari di Mydin Semenyih, membeli sedikit roti dan terus balik ke rumah. Zohor pun sudah masuk waktunya.

Belum habis cerita, kebetulan hari ini juga aku ada temujanji di KD Rinching Tengah untuk rutin check up. Tepat jam 2 petang aku berseorangan ke klinik. Alhamdulillah orang tak ramai, dalam setengah jam saja sudah selesai urusan di klinik. Balik ke rumah, rehat dan tidur hingga masuk waktu asar. Penatnya Allah saja yang tahu. Kepala pun dah start pening. Anas, Mussaab dan Miqdad, serah pada suamiku untuk uruskan mereka sementara. 

Untuk urusan hari ini, aku bersyukur ada suami yang boleh tolong jagakan Miqdad. Kalau terpaksa bawa dia sekali, boleh bayangkan tahap ‘bosan’nya dia kerana perlu menunggu terlalu lama. Ada juga beberapa orang ibu yang perlu bawa anak kecil bersama hari ini, ada yang meragam dan tak duduk diam. Aku faham macamana sukar dan tahan sabarnya ibu tersebut untuk handle anak-anak mereka. Dalam keadaan mengandung, nak control anak-anak dalam khalayak ni, memang penat. Kadang-kadang boleh sampai tahap cemas. Masa ni doa, sabar dan cuba bertenang sajalah yang mampu :)

Apapun syukur aku panjatkan kepada Allah kerana telah mempermudahkan urusan hari ini. Syukur suami ada di rumah (esok dia ada meeting di KL), syukur anak-anak dijaga dan diuruskan oleh suamiku, syukur pergi dan balik dihantar suamiku, syukur kandungan baik-baik saja, syukur berurusan dengan doktor dan nurse yang friendly dan banyak membantu, dan syukur atas semuanya. 

Alhamdulillah :)



Menunggu giliran: 2041



Pamphlet tentang penyusuan ibu. Seperti mendapat ilmu baru 



Catatan doktor- faham juga la sikit-sikit



Miqdad jalan-jalan naik MRT dengan abi





Lunch-My Nasi Kandar, Mydin Semenyih

0 comments:

Post a Comment