Sunday 28 July 2019 By: Naemah

BINGKISAN BUATMU YANG BAKAL LAHIR


Mengandungkanmu..

Bukan lagi masa untuk ditatang seperti mengandung kali pertama

 Dilayan bak puteri, atau diurus serba serbi,Bukan lagi seperti itu.

Ummi sibuk, banyak urusan termasuk urusan abang-abang yang juga masih kecil

Abi juga sibuk, banyak dalam fikirannya yang ummi pun tak jangkau, jadi ketua keluarga yang semakin bertambah dan membesar. 

Maka ummi sedar perhatiannya banyak perlu dibahagi.


Mengandungkanmu..

Ummi perlu jadi lebih berdikari, kuat dan tak lemah

Penuhi temujanji di klinik sendiri-sendiri, mengurus anak-anak yang lain sendiri, tika abi tiada, dan urusan rumah yang tak pernah sudah dan tak pernah sempurna ummi laksanakan.

Sakit-sakit badan, rasa lemah dan lesu, ummi belajar untuk diam dan tanggung sendiri saja, 


Mengandungkanmu..

Mungkin sudah punya pengalaman, ummi lalui lebih mudah. Tiada episod cemas. 

Tapi mungkin juga faktor usia, atau memang setiap pengalaman itu berbeza, sakit pinggang ummi lebih teruk kali ini. Mencengkam dan mencucuk tiap kalinya bangkit dari duduk dan tidur yang lama.

Cramp kaki dan jari yang datang sesekalinya, agak seksa menanggungnya seorang.

Dari awal mengandung sampai dah tunggu masa nak bersalin, belum ada peluang nak berurut, terasa urat dah bersimpul siur, tunggu masa nak dibetulkan. 

Jika minta abi lakukan urutan, abi akan boleh saja, tapi setiap kalinya ummi terlupa, dan tiap kalinya ummi sukar nak meminta, melihat kondisi abi yang ummi rasa tak sesuai nak meminta-minta 


Mengandungkanmu..

ummi tak letak harapan atau doa spesifik, mahukan anak lelaki atau perempuan.

Kerana ummi ok saja, tak pernah terlebih rasa mahu yang mana satu.

Jika lelaki ummi bahagia, jika perempuan ummi tetap syukuri dan akan cuba belajar untuk menjaga, kerana ummi tiada pengalaman.

Doa ummi seperti yang sebelum ini, agar mudah melahirkanmu, sihat tubuh badan serta sempurna kejadian. 

Lelaki atau perempuan, ummi akan sayang dan cinta sepenuh hati.


Mengandungkanmu...

Kini sudah menghampiri detik bersua denganmu

Kudrat dan daya ummi semakin berkurang 

Cepat penat dan lenguh badan

Sakit pinggang yang makin menjadi-jadi,

Langkah yang makin berat dan perlu lebih berwaspada,

Tunduk bangun dan menukar posisi badan yang tak semudah dulu,

Rasa mahu ia berakhir secepatnya,

Walau dalam takut untuk mendepani saatnya itu,


Anakku...

Mengapa ummi menulis semua ini?

Kerana ummi ingin memohon maaf atas banyaknya khilaf ummi sepanjang 9 bulan mengandungkanmu

Mungkin ummi tak banyak masa untuk ‘peduli’kanmu. 

Kurang masa ibadah, membaca al-Quran, berdoa, membelai dan menyedari kewujudanmu di dalam rahim ummi,

Juga emosi ummi yang tak terurus baik,

Dek sibuknya ummi dengan urusan lain

Dek penatnya ummi hingga ada ketika hanya mahu fikirkan diri sendiri sahaja..

MAAFKAN KHILAF UMMI.


Saatnya semakin hampir sayangku 

Ummi teruja untuk menatap wajahmu, menyentuh dan membelai kulitmu,

Walau sejak sekian lama dirimu menjadi teman ummi siang dan malam

Dan terasa amat dekat dirimu dan diri ummi

Tiba masanya nanti tempatmu bukan di rahim ini lagi

Kamu bakal temui yang lain, yang juga sedang menanti kehadiranmu.

Abi, abang-abangmu...

Juga tak sabar menanti kehadiranmu.


Semoga baik-baik dirimu sayang

Mudah dan selamat perjalananmu ke dunia ini

آمين



Catatan dan ingatan

Bahawa kalian pernah sangat dekat dengan ummi

Menjadi teman siang dan malam


0 comments:

Post a Comment