Tuesday 16 July 2019 By: Naemah

TIAP KESUSAHAN AKAN DIIRINGI DENGAN KESENANGAN



Entri yang pertama untuk bulan ini :) tak sempat dan tak ada mood nak menulis sejak akhir-akhir ini. Terasa suntuk sangat masa, dan masa yang ada terasa hanya mahu rehat saja. Maklumlah, sudah di minggu-minggu terakhir kehamilan :)

Sejak balik dari cuti Aidilfitri, suamiku juga agak busy. Seakan tiada cuti untuknya, setiap weekend berada di laut kerana jadual kerja yang padat. Sehari dua di rumah, kembali lagi ke laut. Anak-anak juga hampir kekurangan masa dengan abinya, especially Anas yang bersekolah dari pagi hingga ke petang hari. Malam pula tidur awal, sampai hari minggu abi pula sudah kembali bekerja. Memang terasa sangat dia..

Aku pula, dalam keadaan sekarang yang makin sarat memang agak penat bila suami tiada di rumah. Semuanya perlu uruskan sendiri. Cuba lakukan semua kerja sekadar termampu. Terutama bab uruskan anak-anak setiap hari bangun pagi, bersiap, hantar dan ambil dari sekolah, memasak, mengangkut pakaian untuk dicuci dan dijemur, membersihkan segala pinggan mangkuk dan peralatan masak, menyapu lantai, membuang sampah... alah, kerja yang memang tak boleh kalau tak buat. Remeh saja nampaknya segala kerja ni, tapi inilah yang ‘wajib’ dihadap suri rumah setiap hari, dan rasanya seperti kerja ini berulang-ulang dan tak pernah siap-siap ,:)

Kaum suami, silaplah kalau harapkan balik rumah dalam keadaan segalanya siap terurus. Kalau tak pernah cuba mengambil peranan dan membantu, memang susah nak faham apa yang dilalui isteri seharian di rumah. Terutama bila ada anak kecil, akan ‘ada saja’ situasi yang tak terjangka, ragam yang tak terduga. Ada kerja tertangguh dan tak termampu nak disempurnakan sebaiknya. Jika suami sendiri sukar untuk faham dan hanya tahu melihat salah dan kurang, ‘makan hati’lah isteri. Siapa lagi yang diharapkan isteri untuk memahami penat lelahnya memainkan peranan di rumah, jika bukan suaminya :)

Segala penat lelah dan setiap detik sukar yang perlu aku lalui ketika bersendiran menguruskan anak-anak dan rumahtangga ini, aku anggap ujian untuk aku jadi yang lebih baik. Jadi lebih kuat, belajar dari setiap kesilapan yang aku tak terlepas darinya, belajar bertahan bersama sabar, dan belajar membisikkan redha. Bahawa bukan sia-sia semua ini yang perlu aku lalui. Dan akan sentiasa, beriringan dengan kesusahan itu adalah kemudahan dan kesenangan. Insya Allah.

Jika ibu bekerja mungkin ada sedikit sesalan dalam hatinya, kerana kekangan masa bersama anak-anak, sesal tak selalu ada bersama anak, tapi bagi ibu suri rumah sepertiku pula, dalam banyaknya masa bersama anak-anak, sering juga diusik rasa sesal dan bersalah, andai ‘masa’ itu sebenarnya tak memberi apa-apa manfaat untuk mereka, dek sibuknya dengan kerja, dek penatnya dengan urusan harian hingga terkalah dengan emosi, dan bermacam bentuk ketakutan. Takut jadi ibu yang tak memberi apa-apa pada anak-anak.

Ya selagi masih ada ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri, maka selagi itu masih ada peluang untuk jadi yang lebih baik. Aku juga seperti yang lain, mahu beri dan jadi yang terbaik untuk suami dan anak-anak. Dan di sini, di medan kecil inilah dunia untuk aku terus berjuang, dan terus berjuang hingga ke akhirnya. 

Semoga Allah sentiasa pandang dengan rahmat dan kasihNya..

آمين




0 comments:

Post a Comment