Hari ini hari kedua abi di Bintulu. Hari ini juga hari pertama persekolahan untuk minggu ini. Alhamdulillah, Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi seperti biasa. Selepas mandi dan berpakaian, turun ke bawah. Ummi perdengarkan dulu bacaan surah an-Naba’ dan An-Naziaat sebelum Anas dibenarkan untuk menonton video pilihannya. Abi dalam perjalanan ke laut dan akan memulakan tugas hari ini.
Ummi masakkan mi goreng untuk breakfast. Sementara menunggu, Anas menonton video dan Mussaab dan Miqdad main bersama. Selepas memasak, ummi suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad makan sehingga kenyang. Mussaab minta roti butter gula untuk dibawa ke sekolah. Ummi buatkan untuk Mussaab.
Jam 7.50, bergerak ke sekolah. Seperti biasa, banyak cerita dan drama hingga berpeluh-peluh ummi ,:) maklumlah bila tanpa abi semuanya ummi yang kena control. Tapi Alhamdulillah ok je. Lepas tinggal Anas dan Mussaab di sekolah ummi balik bersama Miqdad. Miqdad menonton video sekejap, kemudian naik ke atas dan teman ummi mengemas bilik dan ruang membaca yang sangat bersepah dengan buku dan mainan. Miqdad pun ‘tolong’ ummi juga :) ummi susun buku dia tarik. Ummi sapu sampah dia sepahkan balik. Hai anak.
Lebih kurang sejam di atas, kemudian turun semula ke bawah. Miqdad menonton video ‘mother goose club’ sementara ummi mengemas dan memasak di dapur.
Jam 10, ummi susukan dan tidurkan Miqdad. Ummi sambung kerja di dapur yang masih tertangguh. Tapi Miqdad tidur tak lama. Tak sampai setengah jam dah bangun. Alhamdulillah tak meragam. Ummi dukung sekejap dan tinggalkan Miqdad di luar melayan ‘mother goose club’ lagi. Sesekali masuk juga ke dapur tapi tak berminat nak ‘bekerja’ :)
Jam 11, ummi makan dan suapkan Miqdad sekali. Miqdad kelaparan sebab tadi makan tak banyak. Lepas makan Miqdad menonton video lagi. Sempat ummi kemas apa yang perlu sebelum temankan Miqdad menonton.
Jam 11.50, keluar buang sampah dan ke sekolah mengambil Anas dan Mussaab. Balik ke rumah, ummi suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad. Miqdad makan kali kedua. Mussaab bercerita dia digigit kawan sekelasnya. Aduhai kesiannya Mussaab. Sabarlah Mussaab.
Anas makan dan menonton video kesukaannya. Mussaab yang terakhir selesai makan. Miqdad memanjat tingkap dan buat hal sendiri. Kemudian berlarian bersama Anas. Mussaab mencari pensel dan kertas untuk melukis. Ummi juga diminta untuk melukis untuknya.
Jam 1 naik ke atas. Anas, Mussaab dan Miqdad angkut segala kertas, buku dan pen. Baru tadi kemas bilik dah bersepah balik. Alahai anak. Ummi solat, Mussaab mandi dan bermain air. Anas leka dengan lukisan. Miqdad pula menangis nak menyusu.
Jam 2, ummi hantar Anas dan Mussaab ke sekolah untuk hadiri kelas piano. Rupanya kelas cancel, takde pula teacher maklumkan. Emergency case kot! Balik semula ke rumah, ambil duit dan ke kedai speedmart untuk penuhi permintaan Anas dan Mussaab yang teringin nak makan ais krim. Mussaab pun dapat juga satu. Lepas beli, terus balik ke rumah. Habiskan aiskrim, dan naik ke atas untuk tidur. Anas setia di bawah menonton tv.
Sekitar jam 3.30, ummi dan Miqdad lena di bilik. Mussaab asyik bermain permainan kereta berseorangan. Anas juga masuk sekejap dan melukis. Ummi terjaga jam 5 petang. Lama sangat tidurnya. Miqdad masih lena di pangkuan ummi. Ummi solat, dan kemudian Miqdad bangun dan menangis. Ummi bawa Miqdad turun ke bawah. Anas sedang menonton video, Mussaab pula lena di sofa.
Anas tadi dah siap beri makan Olly dan anak-anak. Alhamdulillah tak perlu ummi suruh :) ummi siapkan makan malam. Mussaab terbangun dari tidurnya. Mood agak kurang baik, ada saja yang tak kena. Miqdad bermain di luar. Puas panggil masuk barulah munculkan diri. Ummi suapkan Mussaab dan Miqdad makan. Anas makan sendiri.
Lepas makan ummi kemas meja dan dapur. Miqdad menangis nak didukung. Ummi minta Anas bukakan video yang Miqdad suka. Alhamdulillah, boleh siapkan kerja ummi. Hari dah nak maghrib.
Jam 7 naik ke atas. Anas, Mussaab dan Miqdad mandi bersama dan siap berpakaian malam. Lepas maghrib baca al-Quran, Iqra’ dan hafazan seperti biasa. Miqdad asyik dok meminta susu. Sambil mengajar sambil menyusukan dia. Lepas tu kira sticker yang berjaya dikumpul Anas dan Mussaab. 40 stickers untuk Anas, dan 36 stickers untuk Mussaab. Alhamdulillah. Perlu lebih rajin lagi, insya Allah.
Selepas isyak, tutup lampu dan susukan Miqdad. Anas dan Mussaab juga lena bersama . Alhamdulillah, pukul 9 sudah sunyi sepi rumah. Semoga lena dan mimpi indah semua. Semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga abi di sana juga baik-baik saja. Semoga Allah merahmati keluarga kita. Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment