Saturday 20 June 2015 By: Naemah

SETIA PADA JODOH

Nukilanku suatu ketika dulu
(MARCH 2011)

semoga bermanfaat

-------------------------------------------------------------------------------------

 وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (30:21)

Sebagai hamba Allah, kita sememanya mengerti dan percaya bahawasanya jodoh itu sesuatu kepastian dan hanya berada dalam pengetahuan  Allah. Ia tercatat sejak azali lagi, dan tiada siapa mampu menduga. Ia sesuatu yg misteri, namun ada jawapan yg pasti, dan misteri itu akan terungkai apabila tiba waktu dn ketikanya. Siapa? Bila? Hanya Allah saja yang tahu. Jika bukan di dunia, pasti ada yang menanti di akhirat. Insya Allah..

Jodoh kita hanyalah dia. Dia yang telah tercatat. Walau kita tak pernah tahu, namun kita yakin, pasti suatu hari dia akan hadir menemani hidup kita melalui satu lafaz yang dinamakan ijab dan kabul. Sebelum tibanya saat itu, kita sering tertanya-tanya, tercari-cari..siapa dia? di mana dia? bilakah masanya? Tetap tiada jawapan yang pasti..

Pernah kita jatuh cinta, dan hati kita bertanya sendiri, apakah dia jodohku? Kerana dalam hatiku kini hanya ada dia. Hati sangat mencintai dia, sangat merindui dia. Siang dan malam, hanya wajah dia yang terbayang di mata, terkadang dibawa hingga ke dalam mimpi. Hati meyakinkan, bahawa dia memang jodoh yang telah tercatat. Jika tidak, mengapa dalam hati ada cinta untuknya?

Sekali, dua kali, tiga kali dan berkali2 jatuh cinta. Merasakan manisnya cinta, juga pahitnya cinta. Oh Tuhan… aku tersilap mencintai insan yang bukan untukku.  Saat mencintai dia, aku sangkakan memang dia jodohku. Apalagi, nampaknya seperti aku tak bertepuk sebelah tangan, walaupun mungkin aku yang perasan sendiri. Namun kerana cinta, aku meyakinkan diri, bahawa dia juga mencintaiku. Namun, masa berlalu, dalam hati ini ada insan lain pula. Hati mencintai yang lain pula. Apakah kali ini benar, aku telah menemui insan yang sememangnya jodohku, yang sebenarnya tercipta untukku?

Berkali2 jatuh cinta, kecewa dengan cinta. Mengapa suratannya begini? Di mana dia yang sebenarnya untukku? Apakah cinta yang pernah hadir  itu cinta yang salah? Cinta yang mengundang dosa? Mengapa aku jatuh cinta padanya, sedangkan dia bukan untukku? Rasa bersalah…rasa berdosa… aku tidak setia pada jodohku. Aku mencintai insan lain yang bukan untukku. Sepatutnya cinta ini hanya  untuk dia. Dia yang ditakdirkan sebagai jodohku. Berdosakah aku? Curangkah aku?

Pernah aku ungkapkan, ‘I love u’, ‘aku mencintaimu’, ‘aku merinduimu’, pada dia yang pernah menjadi kekasihku.  Kerana saat itu benar2 hati mencintai dia, hanya dia. sangkaku, cinta ini akan membawa kami kepada sebuah ikatan suci pernikahan. Saat itu juga, hati benar2 yakin bahawa dia memang jodohku.  Namun semua itu tidak kekal lama, hubungan cinta ini berakhir juga. Hati berkecai, cinta juga semakin pergi. Barangkali, dia bukan jodohku. Oh Tuhan..di mana jodohku? Aku tersilap mencintai insan lain. Aku juga telah terlanjur mengungkapkan kata2 cinta pada insan lain, yang hakikatnya bukan jodohku. Duhai insan yang tercipta untukku, jodoh yang tercatat untukku. Maafkanlah diriku. Cinta yang sepatutnya hanya untukmu telah aku kongsikan dengan yang lain, yang tak sepatutnya. Maafkan atas kecuranganku, duhai jodohku, aku masih nantikan kehadiranmu dengan 1001 pengharapan.

Bukan niatku untuk curang, bukan niatku untuk menduakanmu… yang ku nantikan hanyalah dirimu, yang bakal menjadi pasanganku yang sah melalu ikatan yang suci, iaitu sebuah pernikahan.

Renungan: jodoh hadir dengan berbagai cara, tanpa kita ketahui, hingga sampai waktu dan ketikanya yang mana kita takkan mampu untuk menolaknya. Begitulah  misterinya sebuah jodoh yang menjadi rahsia Tuhan. Dalam penantian itu, barangkali kita seringkali jatuh cinta pada insan yang  bukan sebenarnya jodoh kita. Di sinilah sebuah ujian cinta. Hadirnya bukanlah satu dosa, kerana datangnya juga, bukan dipaksa2.  Tapi di sini Allah hanya ingin melihat bagaimana kita menguruskan perasaan yang hadir ini. Kalau ada keimanan dan kesabaran, pasti semuanya dapat ditangani dengan baik, lantas menjadi insan yang sebenarnya setia pada jodohnya.

Cinta yang hadir, boleh membawa kepada kerinduan dan terbayang2. Jika dilayan, makin parah dan mengundang dosa. Tidak mahu dilayan, hati begitu kuat mengatakan mahu. Di sinilah kita perlu menjadi kuat agar tidak terus asyik dalam melayan cinta yang tidak halal ini. Lebih teruk, jika ikatan percintaan dimulakan. Daripada asyik  dan mabuk cinta seorang diri, kini saling berbalas cinta pula. Pelbagai ungkapan cinta yang lahir memberikan rasa asyik yang teramat, hingga lupa itu bukan kekasih halal. Dosa pula, tak dipeduli, dan ditolak ke tepi. Yang ada dalam hati kini, hanyalah cinta.

Duhai insan, masih ada waktu, masih punya peluang. Jodohmu telah tercatat, maka setialah hanya kepada dia.  Cinta yang sering hadir, harus ditangani dengan kesabaran. Jika belum masanya, sabarlah dulu. Jika sudah masanya, pasti ada jalan yang terbaik untuk menuju kepada sebuah ikatan yang pasti, yang suci dan berkat. Bersabarlah…hanya dengan kesabaran, akan hadirnya kemanisan cinta itu. cinta sejati, hanyalah cinta yang telah diikat dengan ikatan suci pernikahan. Sabarlah untuk memiliki cinta sejati itu…

Peringatan: urusan siapa jodoh kita hanya ada pada pengetahuan pencipta. Namun ia juga bukan bererti kita hanya perlu mendiamkan diri, atau semata2 berserah pada takdir,kerana perlu ada ikhtiar dalam urusan ini. Berikhtiar untuk mencari, dan berikhtiar untuk menjadi soleh/solehah, demi mendapatkan pasangan yang soleh/solehah. Kerana janji Allah itu benar, yang baik itu, hanya tercipta untuk yang baik.

Kepada yang belum berkahwin, teruskan berusaha, berdoa dan berikhtiar  untuk menjadi yang terbaik di sisiNya. Mudah2an jodoh yang hadir adalah dia yang mulia di sisiNya. Selebihnya adalah tawakkal. Jodoh pasti datang, dengan satu cara dari beribu cara. Allah lebih mengetahui. Bersabarlah..

Kepada yang sudah berkahwin, dialah jodohmu yang terbaik. Usah mencari cinta lain, usah berpaling mencari cinta lama. Cintailah dia, kasihilah dia, hargailah dia, terimalah seadanya dia. dia yang terbaik untukmu. Bersyukurlah….

0 comments:

Post a Comment