Sunday 28 June 2015 By: Naemah

MASIH PUNYA WAKTU

Nukilanku suatu ketika dulu
(JANUARY 2011)

semoga bermanfaat

------------------------------------------------------------------------------------------




إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (13:11)

Mata bagaikan terpaku melihat wanita ini, hati terlalu kagum, kerana dia wanita sempurna. Dia cantik dan baik, dia lemah lembut serta  patuh pada agama, dia bahagia, pendek kata, dia wanita solehah, dambaan setiap insan. Di wajahnya ada senyuman manis yang terukir, pada bicaranya ada kelembutan dan kesopanan yang jelas terasa, pada wajahnya ada damai dan tenang. Dia anak yang baik pada ibu bapanya, dia isteri yang menenangkan hati suaminya, dia juga ibu yang terbaik untuk anak2nya. Hati cemburu, kerana diri ini terlalu jauh jika ingin dibandingkan dengannya.  Gelaran wanita solehah, bagaikan sebuah mimpi buatku. Dia beruntung, kerana memilki segala kesempurnaan itu. dia wanita idaman, dia wanita syurgawi. Aku terlalu cemburu.

Tidak!! Dia bukan wanita sempurna seperti yang kau fikirkan. Dia tidak memiliki segala2nya seperti mana yang kau cemburukan. Benar, apa yang dia miliki itu adalah kurniaan Allah buatnya. Namun, semua itu tidak akan dimilikinya jika tanpa usaha, tanpa doa, tanpa kesabaran, tanpa keyakinan, tanpa mujahadah. Dia wanita biasa sepertimu. Dia memiliki segalanya, kerana keinginannya, yang hadir bersama  usaha, semangat dan kecekalannya. Dia wanita biasa, tiada apa yang luar biasa.

Ya, dia baik, namun bukan bererti tidak pernah berbuat dosa. Dia manusia biasa yang sering melakukan kekhilafan dan kesilapan demi kesilapan dalam hidupnya. Dia pernah membuat hati ibu dan ayahnya terluka, dia pernah membuat hati teman2nya terasa, dia pernah menjadi hamba yang sering merungut2. Namun pada dirinya ada sikap ingin bermuhasabah dan merendah diri. Dia mencari kesilapan diri, dia mengkaji perbuatan diri. Dia sedar dosanya pada Tuhan, lalu segera dipinta keampunan. Dia sedar kesalahannya pada insan, lalu segera dipinta kemaafan. Dengan cara ini, hatinya beroleh ketenangan. Janjinya pada diri, tidak akan sekali2 mengulangi kesilapan yang sama. Kerana itu dia sentiasa beringat dan berwaspada, kerana lumrahnya manusia, sentiasa terlupa, sentiasa ingin berbuat kesilapan. Lalu istighfar menjadi temannya, agar keampunan Tuhan sentiasa ada untuknya.

Ya, tutur bicaranya sopan dan tersusun. Tiada kata nista dan sia2 yang terkeluar dari mulutnya. Pakaiannya juga sopan dan ayu, menutupi tubuh yang indah agar terlindung dari pandangan ajnabi. Wajahnya tenang, damai dan terserlah kejernihannya. Beruntungnya dia, kerana memilki semua itu. namun, semua itu tidak akan dimilikinya, andai bukan dia yang menginginkannya. Dia pernah menjadi remaja, juga pernah mempunyai keinginan demi keinginan demi kepuasan nafsu. Bicaranya pernah kasar dan tersasar. dia juga pernah jatuh cinta, dan mahu berpenampilan cantik dan berwajah cantik, untuk memiliki cinta.. Namun Hidayah yang dipohon,  telah membuka mata hatinya. Untuk apa berbicara, jika ada hati yang terluka? Maka perkataan harus disusun sebaiknya. Perlukah untuk tampil cantik dan menawan, demi untuk memiliki sebuah cinta yang sejati? Tidak.. dia bersyukur dengan segala yang dimilkinya. Menutup aurat demi memenuhi tuntutan syariat, bukan untuk tontonan sesiapa. Alhamdulillah, dia akhirnya menyedari bahawa Tuhan telah mengurniakan rupa yang cantik pada setiap insan, meskipun bukan rupa yang menjadi syarat kepada sebuah cinta  yang sejati. Hatinya redha, tidak pernah melupakan puji2annya pada Allah setiap masa. Kerana redhanya, dia memilki hati yang tenang, dan melalui ketenangan itu, terpancar nur yang mengindahkan wajahnya. Subhanallah…

Ya, dia isteri dan ibu yang baik, dan sangat dibanggai suami dan anak2nya. Semua itu bukan percuma, bukan dimiliki tanpa perlu ada penilaian. Padanya, agama perlu menjadi pokok utama dalam pemilihan jodohnya. Kerana dia percaya, hanya agama yang akan memberi jaminan pada kehidupan keluarganya.  Dan untuk memilki yang beragama, perlu baginya untuk terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan ilmu agama. Ya, dia berusaha, bukan sekadar bermimpi. Permulaan yang baik ini, InsyaAllah akan membawa dirinya dan keluarganya kepada sebuah kebahagiaan yang hakiki.
Bukan tiada sengketa dalam rumahtangga, bukan tiada konflik, bukan segalanya lancar berjalan. Sedangkan lidah lagi tergigit, ribut pasti datang melanda, ombak juga datang memukul, dan ujian Tuhan sentiasa ada, kerana kita hamba, sememangnya layak diuji. Kerana itu, perlunya ada  persediaan. Sekali dicuit, jangan terus melatah.Perlunya untuk menjadi gagah, agar keharmonian dapat dipertahankan.

Jika hari ini bahagia, bukan bererti esok juga akan bahagia, jika tidak tahu  dan tidak berusaha untuk mempertahankan bahagia itu. perlunya iman, perlunya taqwa, agar dengannya, langkah kita akan sentiasa mudah meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran. Ye, dalam kelembutannya ada ketegasan. Dalam keayuannya, tersimpan perisai pertahanan. Dia memelihara kehormatannya, dia menyokong perjuangan suaminya, dia mendidik anak2nya dengan sempurna, kerana dia tahu, di situ tersimpan saham untuknya di akhirat kelak. Dia menghambakankan diri pada keluarganya, demi keredhaan  dan kecintaan Tuhannya. Alhamdulillah, dia juga memiliki cinta dan redha suami dan anak2..

Hakikatnya, dia manusia biasa, namun dia insan yang gigih mencari cinta dan redha TuhanNya. Langkahnya mungkin pernah tersasar dan menyimpang, namun dia sedaya upaya mencari jalan kembali. Dia berpuas hati dan merasa cukup dengan apa yang dimilkinya, namun tidak pernah merasa puasa hati dan cukup, dengan apa yang dipersembahkan untuk Tuhannya. Dialah insan yang  mencari, insan yang sentiasa mahu menjadikan hari2 nya lebih baik dari semalam dan sebelum ini.

Ye, kini aku mengerti. Dia manusia biasa sepertiku. Dia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sepertiku. Namun yang membezakan adalah usahanya dalam meraih tittle ‘solehah’ itu. sesiapa juga boleh memiliki, andai punya usaha untuk memilikinya. Jalan mujahadah itu pahit, namun buahnya sangat manis. Yang perlu aku tanya pada diriku ialah, mahu atau tiadak mahu? Jika mahu, mulakanlah sekarang. Andai terjatuh, bangun kembali, andai tersasar, kembali pada permulaannya.. tiada jalan mudah untuk memilki kemanisan iman ini. Namun andai benar2 ada kemahuan dan usaha, pastinya akan dipermudahkan, meskipun dalam kepayahan.

Renungan: sememangnya kita manusia biasa yang tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Namun, kita seringkali gagal untuk melihat kesilapan diri, dan seterusnya melakukan perubahan. Semua  orang mengkagumi insan yang baik, dan ingin menjadi baik. Namun tidak pernah ada usaha ke arah jalan yang baik itu. akhirnya, tetap menjadi manusia yang terus menerus hidup dalam gelumang dosa.  Perlunya bermuhasabah, perlunya ilmu, perlunya usaha dalam membuat perubahan dalam diri. Ingatlah bahawa sesungguhnya, tiada siapa yang mampu mengubah nasib kita, melainkan kita sendiri yang ingin, dan berusaha mengubahnya. Wallahua’lam…

0 comments:

Post a Comment