Begitulah kitaran hidup ini. Dari alam rahim kemudian ke dunia, seterusnya ke alam barzakh dan alam akhirat. Dari baby, kemudian menjadi kanak kanak, remaja, dewasa dan tua. Daripada sendiri, kemudian berdua, dan seterusnya beranak pinak, bercucu cicit dan seterusnya...begitulah...
Hari ini dan semalam pasti berbeza. Suatu ketika dulu dan masa kini juga tidak sama. Namun masa lalu tetap masa silam yang tak akan kembali. Hari ini kita teruskan, dan masa yang datang tiada siapa yang tahu apa bakal terjadi.
Pertamanya... Alhamdulillah dengan nikmat kehidupan hari ini. Masih dipanjangkan usia untuk terus bernafas di bumi Allah ini. Setiap detik berlaku kematian, namun syukur...Allah masih memberi peluang untuk terus di sini. Bukan untuk saja saja...bukan untuk suka suka.... Tapi untuk memuhasabah diri dan memperbaiki diri. Untuk menjadi Hamba yang lebih baik di sisiNya. Kalaulah kita sentiasa berfikir dan beringat...
Yang pergi juga tak mengenal usia, dan berakhir sudah urusannya di dunia ini. Yang masih hidup perlu terus berjalan ke hadapan, dan perlu sentiasa ingat...bahawa kita juga bakal menyusul. Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin sekejap lagi... tiada siapa yang tahu.
Suatu masa, kita hanya sendiri. Allah hadirkan pasangan menemani hidup kita. Bahagia bersama... Kemudian Allah kurniakan zuriat, menambahkan lagi seri kehidupan. Bertambah bahagianya. Anak anak yang kecil kian membesar, dulu hampir setiap masa bersama kita... Bila dah besar dan masuk sekolah, tak dapat bersama mereka setiap masa. Kemudian mereka belajar ke peringkat yang lebih tinggi dan bekerja, semakin kurang masa bersama. Mereka juga pastinya akan berumahtangga dan membina keluarga sendiri, pasti lebih banyak masa diluangkan untuk keluarganya.
Kita juga, dulunya muda dan sihat, akhirnya beransur tua seiring perjalanan masa. Tubuh yang sihat, lama kelamaan menjadi semakin lemah. Dulu rumah riuh rendah dengan suara anak anak. Kini sepi.... Kenangan bersama mereka menggamit, hati terlalu rindu.
Dulu pernah berdua, kini kembali berdua. Antara kita dia pasti salah seorangnya akan pergi dulu. Mungkin diriku...mungkin dirinya. Yang ditinggalkan, pasti sangat merindui.
Apapun, beginilah kitaran kehidupan ini. Kita tak akan selamanya muda, tak akan selamanya hidup di dunia ini. Suatu masa perlu menerima hakikat bahawa anak anak anak akan membesar dan punya kehidupan sendiri. Pasangan juga mungkin akan pergi dulu, atau mungkin kita yang akan pergi meninggalkannya.
Bersyukurlah dengan kehidupan hari ini dan hargailah semua insan yang bersama kita. Tak siapa tahu berapa lama lagi akan bersama. Tak siapa tahu bila ajal bakal menjemput.
Husband, sons, family, friends... Love u all :')
0 comments:
Post a Comment