Wednesday, 21 July 2021 0 comments By: Naemah

AIDILADHA 2021: SYUKUR SESUNGGUHNYA




Alhamdulillah, Aidiladha diraikan dengan penuh kesyukuran biarpun masih tak dapat balik bertemu keluarga di kampung. 


Jika Aidilfitri yang lalu suami tak dapat beraya bersama, namun Alhamdulillah Aidiladha ini dia ada bersama. Kalau ikutkan jadual asalnya, dia tak dapat beraya di rumah, namun atas takdirNya, dia ada! Panjang ceritanya, bukan cerita gembira malah cerita air mata yang aku belum bersedia untuk menulis di sini.


Namun sehingga hari ini, syukur sesungguhnya. Tiada duka, melainkan untuk dihadiahkan gembira. Insya Allah.


Nah, Aidiladha kita dapat berkumpul satu keluarga sempurna. Meskipun tetap rindukan keluarga di kampung, namun begini pun sudah cukup dan membahagiakan.


Seperti Aidifitri tahun lepas (2020) kita ulangi episod raya bersama di perantauan. Memasak dan membeli juadah raya (menu Aidiladha kita: nasi lemak, lemang, rendang daging dan nasi impit), solat sunat Aidiladha dan takbir, bergambar dan bersalaman, itulah saja yang mampu saat beraya di musim PKP ni. Namun Alhamdulillah. Tetap bersyukur.


Petang hari ke surau mengambil daging korban yang diagihkan melalui kupon kepada penduduk. Tahun ni aku ambil korban di kampung, sementara suami ambil bahagian di luar negara. Walaupun tak berkorban di sini, masih juga dapat merasa daging korban tahun ni di sini. Alhamdulillah. Syukur sesungguhnya. Raya kedua, singgang daging dan daging goreng menjadi hidangan kami sekeluarga. Alhamdulillah. Rindu.. itulah menu utama di hari raya pertama jika di kampung. Kampung aku atau kampung suami, itulah dia menunya. 


Kini sudah berada di hari ke-3 Aidiladha. Jalani kehidupan seperti biasa saja. Suami masih ada bersama. Dia yang sepatutnya semalam (raya ke-2) sudah pergi, tak dipanggil pergi atas faktor tertentu. Pun Alhamdulillah, bermakna dia punya masa lebih bersama keluarga. Tambahan pula aku akan menerima vaksin pada minggu depan, kalau dia tiada perlu panjang akal juga aku, nak mencari jalan untuk tinggalkan anak dalam jagaan siapa. Tapi entah la… panggilan kerja boleh datang bila-bila masa je.. dalam situasi sekarang ni. Get ready saja. Insya Allah kan ada jalannya.


Alhamdulillah 

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.


Tiada kata melainkan kalimah syukur padaNya. Dia yang telah mengatur segalanya ini dengan kebijaksanaanNya.


Buntu. 

Pedih.

Sakit.

Perit.


Serahlah pada DIA

Serahlah segala urusan pada DIA

Bulat-bulat bergantung pada DIA


Pasti kan temui jalan keluarnya.


Biar kelam dan gelap awalnya

Pasti bersuluh terang setelahnya.


Yakinlah duhai sekalian hati.


Selamat hari raya Aidiladha untuk semua



Aidiladha kita seadanya

Rumah pun tak sempat nak berkemas elok sangat!














Monday, 12 July 2021 0 comments By: Naemah

LOGHAT DAN BAHASA KELUARGA KAMI




Sekadar coret-coret santai.


Suamiku- ic Pahang

Aku dan anak-anak (4 orang)- ic Kelantan


Suamiku- lahir dan membesar di Pahang (lahir di Kuantan dan membesar dan bersekolah di Bentong). Kemudian sambung belajar di Melaka dan seterusnya belayar (banyak masa di laut).


Bila ibubapa mertuaku (keduanya asal kelantan) berpindah ke Kelantan kepas ayah mertua pencen lebih 10 tahun yang lepas, ketika itu suamiku sudah bekerja (belayar). Memang tak duduk di rumah sangat. 


Jawabnya, bab loghat dan bahasa, dah biasa dengan bahasa sejak kecilnya (tak boleh sangat nak berloghat Kelantan).


Aku pula- Kelantan original. Dari lahir sampailah akhirnya dapat masuk universiti. Baru keluar dari negeri sendiri. 


Bab loghat dan bahasa, dah tentu lebih selesa dengan loghat sendiri. Cakap luar pun, masih ada kedengaran ‘budu’ juga :D


Anak-anak- walaupun lahir di Kelantan tapi membesar di Selangor. Tambahan abinya tak pernah berbahasa Kelantan dengan mereka, mereka pun pun juga, tak biasa dengan loghat Kelantan. Aku? Sebolehnya cuba berbahasa melayu standard dengan anak-anak, tapi kadang-kadang terkeluar juga ‘kelantan’nya :D 


Maka jawabnya, anak-anak pun bahasa mereka bahasa melayu Selangor lah! Dan kesimpulannya walaupun kami semua ni darah Kelantan, tapi di rumah bahasa kami bahasa melayu tanpa loghat Kelantan, bila berbual sesama sendiri. Cuma satunya bila aku berdua je dengan suami, aku lebih selesa cakap Kelantan, atau campur aduk sahaja bahasa. Dia pula, membalas dengan bahasa dia yang dia selesa. Macam ayam cakap dengan itik pun ya! Tapi yang pasti saling faham apa yang disampaikan :D


Begitulah kisahnya. Loghat dan bahasa di rumah kami. Bahasa melayu macam orang lain juga :D tak ada yang luar biasanya.


Bila balik kampung jumpa ahli keluarga semua, dah tentulah kelantan habis bila bercakap. Aku lah, bukan suami. Dia mencuba juga, tapi masih dalam kepayahan :D anak-anak pun, cakap macam biasa je la seperti di rumah.


Setakat ini sajalah bab loghat bahasa di rumah kami. Apapun tetap berbangga dengan loghat dan bahasa sendiri. Loghat pertuturan sejak kecil dan sudah sebati. Dalam loghat, ada ‘jiwa’.




Saturday, 10 July 2021 0 comments By: Naemah

APA KHABAR SEMUA??



Bulan sudah berganti tahun. Kini masih hidup di dalam suasana pandemik. Walaupun banyak negara sudah bebas, namun Malaysia masih sedang bergelut dan berjuang dalam kemelut pandemik ini. Allah saja tahu apa yang sedang kita semua rasa dan tanggung sehingga hari ini. Semua terkesan dari pandemik ini, tak kira tua muda, kaya miskin, bujang berkahwin… banyak yang sedang tersepit dan banyak juga yang selfish sedang menyelamatkan diri sendiri tanpa hiraukan insan sekeliling yang terkapai hanyut dan tak berupaya untuk bangun.


Hari ini, kes bunuh diri dapat kita dengar setiap hari (2 kes sehari menurut kajian). Banyak kes depresi, banyak yang melarat hidupnya, bukan lagi kais pagi makan pagi, bahkan tak mampu untuk mengais lagi hingga tak makan-makan. Banyak bisnes besar apatah lagi kecil tumbang, ramai yang dibuang kerja hilang mata pencarian, anak-anak terkurung tak dapat menikmati masa bahagia seorang kanak-kanak, kesan mentalnya juga bakal kita lihat dan sudah ramai ibubapa yang mengadu dan mengeluh akan hal ini. 


Bulan berganti tahun, anak-anak tak dapat lagi pulang untuk menziarahi ibu ayah yang sudah tua dan uzur, ibu ayah menanggung kerinduan tak terungkap. Bahkan rindu merekalah yang lebih mendalam. 


Apa khabar semua? Ahli keluarga jauh dan dekat? Rakan dan sahabat? Dan semua rakyat Malaysia? Baik-baikkah semua? Aku tahu ujian ini sedang ditempuh oleh kita semua. Meski kita terkesan pada sudut yang berbeza, namun yang pasti ada ‘bahagian’nya untuk kita rasa.


Aku? Pertamanya Alhamdulillah meski di dalam ujian ini, hidup kami sekeluarga masih sangat baik. Makan minum masih cukup, kediaman selesa untuk anak berteduh dan anak-anak bebas bermain, suami tetap dengan pekerjaannya, aku pula dapat jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu seperti biasa. Eh tak, bukan seperti biasa lagi. Bahkan perlu lebih dari biasa. Dan di sudut inilah mungkin pandemik ini mengujiku dan keluargaku. 


Suamiku kini banyak masa habis dengan kuarantin di luar setiap kali keluar bekerja. Dalam sebulan kadang-kadang tak sampai seminggu pun dia di rumah. Rumah sekadar transit, dari tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Bahkan tahun ini (sudah bulan ke-7) boleh dihitung berapa hari saja dia di rumah. 


Dan aku, sibuk dengan pdpr 3 anakku yang masih bersekolah rendah dan tadika. Dalam masa yang sama, ada seorang lagi yang masih kecil dan mendamba sepenuh perhatian. Pdpr sahaja sudah bikin pening. Anak sekadar belajar, penyediaan dan yang lain-lain hingga menghantar tugasan sekolah, kita yang perlu uruskan semua. 


Dalam masa yang sama masih perlu melaksanakan tanggungjawab yang lain juga. Kerja-kerja rumah seperti memasak dan laundry, kitalah juga. 


Time pandemik begini, dan suami pula tak ada dalam tempoh yang lama, urusan  membeli keperluan dapur juga aku perlu buat sendiri. Sesekali order delivery seperti happy fresh dan foodpanda, tapi selalu juga slot penuh, dan barang yang nak dibeli tak ada dalam list. Last-last perlu keluar sendiri. Nak membeli pun tak seronok sebab kena rushing sebab tinggalkan anak-anak kat rumah, especially yang kecil tu. Dalam kepala ingat nak cepat balik je. Hish.. tak suka bila kena keluar. Tapi dah terpaksa, tempuh dan pasrah tinggalkan anak-anak sendiri di rumah. Syukurlah yang sulung dah boleh diharap untuk jagakan adik.


Rasanya penat fizikal taklah sangat. Mental ni yang terlebih kerja. Emosi kadang tak menentu. Sampai kadang-kadang rasa tak nak buat apa-apa. Nak baring saja. Tapi agaknya boleh??


Tak baik untuk aku mengeluh, bahkan di luar ramai yang lebih menderita. Tak, bukan ku mengeluh pada takdirNya. Tapi hanya kerana ku juga manusia biasa yang terkadang kuat dan terkadang lemah dan longlai menempuh ujian hidup ini. 


Aku setiap hari mencari dan mendoakan kekuatan agar aku tak menjadi seperti yang tak sepatutnya. Agar aku masih dapat jalankan tanggungjawab sebagai hambaNya, sebagai ibu dan juga isteri. Agar aku terima ujian ini sebagai rahmat dan jalan untuk diampunkan segala dosa dan diangkatkan darjat sebagai hamba. 


Tapi ujian tetaplah ujian. Hingga hari ini hati dan perasaan kita masih terus berperang. Lemah dan kuat bergantian. Senyum dan air mata beriringan. 


Duhai semua yang sedang diuji. Tetap bertahanlah. Jangan sesekali memilih jalan yang salah kerana menyerah pada takdir yang tidak kita kehendakkan. 


Aku mendoakan agar semua akan terus kuat. Aku tahu, kita menempuh ujian ini pada jalan kesakitan yang berbeza. Namun itulah ‘dari Tuhan untuk kita’. Dia yang lebih tahu bentuk ujian apa yang sesuai buat kita.


Moga kan tetap bercambah keimanan kita dalam menempuh ujian hidup ini. Tetap percayakan kasihNya. Tetap bergantung dan berpaut padaNya. 


Apa khabar semua??

Moga baik-baik saja semua.

Tuesday, 29 June 2021 0 comments By: Naemah

NASI DAGANG (KUKUS)

Pagi ni masak nasi dagang. Dah lama tak masak nasi dagang dengan kaedah kukus. Sebab nak cepat, selalu pakai pressure cooker je. 

Hari ni try kukus sebab rasa rindu nak makan nasi dagang yang ‘sebenar’. Alhamdulillah menjadi juga nasi dagang berlaukkan ikan tongkol/ikan aya. Save sini resepi untuk rujukan akan datang :)


*sukatan bahan, ikut anggaran sendiri saja.



Breakfast 


Saturday, 26 June 2021 0 comments By: Naemah

SYUKUR ATAS NIKMAT USIA




Jun 1985-Jun 2021


Genap sudah usiaku 36 tahun. Masya Allah. Makin ‘berusia’ aku. Syukur atas nikmat kurniaNya ini. Menempuh suka duka perjalanan selama 36 tahun di dunia ini. Moga-moga berat timbangan amal dan kebaikanku. Walau ku tahu, aku ini hamba yang banyak berdosa.


Lahirku saat dinihari ketika insan sedang lena tidur. Lahir di sebuah pondok kecil, di perkampungan kecil (di dalam kebun getah), jauh dari kediaman yang lain. Alhamdulillah kelahiran yang selamat, dan terakhir dari rahim bonda. Aku kelahiran yang ke-11, dan yang ke-5 dapat meneruskan kehidupan bersama bonda dan ayahnda, 3 abang dan seorang kakak. 6 abang dan kakakku meninggal ketika masih bayi. Alhamdulillah, Allah anugerahkan aku kehidupan. 


Pada usiaku 3 tahun, ayahku kembali ke pangkuanNya. Tinggal aku dan ibu, serta abang-abang dan kakak. Ketika itu 2 abang sudah berumahtangga, kakak dan abang seorang lagi masih belajar. Kemudian seorang demi seorang bertemu jodoh dan aku tinggal berdua dengan ibu. Ibu yang kuat mencari rezeki, tak bergantung pada sesiapa. Tak mengemis dengan sesiapa. Di samping abang-abang dan kakak yang banyak menyokong dan membantu.


Aku menjalani kehidupan gembira seperti anak-anak yang lain walau mungkin agak ‘sepi’ tanpa adik beradik untuk bergurau senda dan ayah untuk bermanja. Tapi Alhamdulillah, ketika itu aku tak rasa itu adalah kekurangan. Allah kurniakan aku kelebihan dalam pelajaran, alam pengajian ku lalui mudah dan cemerlang. Alhamdulillah.


Dari sekolah rendah, ke sekolah menengah, kemudian ke universiti. Aku bersyukur aku mampu melangkah dan menempuh semuanya dengan baik. Ujian tetap ada, namun pertolongan Allah membuatku mampu untuk terus melangkah. 


Tamat pengajian di universiti aku bertemu jodoh. Jodoh yang tak kusangka. Tanpa perlu aku bercinta, tanpa perlu aku mencari. Namun ya, aku sentiasa berdoa dan meminta pada Dia. Dan Allah hadirkan aku suami yang soleh, Insya Allah. Yang menjaga agamanya, yang bertanggungjawab pada keluarganya. Alhamdulillah.


Kini sudah hampir 11 tahun hidup berumahtangga. Aku punya keluarga yang  dulu aku idamkan. Di samping suami tercinta, dan anak-anak yang membahagiakan, aku rasa cukup dan sudah lebih dari cukup Allah memberikan kenikmatanNya padaku. 


Pada usiaku 36 tahun, aku masih berkudrat untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Pada usia ini, aku sedang bergelut dengan ujian yang selayaknya aku tempuh sebagai hambaNya. Pada usia ini, kehidupanku baik dan selesa, meskipun sedang mendepani ujian covid-19 yang memberi tekanan pada sudut kehidupanku yang tersendiri. 


Tiada lafaz, melainkan ALHAMDULILLAH, segala pujian hanya layak buatNya. Dia memberikan aku sebuah kehidupan 36 tahun yang lalu. Dia memimpin langkahku sejak dari itu sehingga ke hari ini. 


Terima kasih ya Allah, semuanya dariMu. Moga hidupku juga sentiasa untukMu


Terima kasih bonda yang melahirkanku. Moga syurga tempat kembalimu.


Terima kasih suami. Mencintai aku seikhlasnya meski dengan kekuranganku yang banyak.


Terima kasih anak-anak. Hadirnya kalian mengajarku tentang banyak perkara.


Terima kasih semua yang pernah hadir dalam hidupku. 


Alhamdulillah. Aku benar-benar bersyukur atas tiap kurniaNya. 


36 tahunku yang sangat bermakna. Moga Allah ampunkan segala dosaku. Moga Allah lorongkan aku ke jalan yang benar dan diredhaiNya. 


آمين




Anugerah terindah dariNya

Tuesday, 22 June 2021 0 comments By: Naemah

RAGAM PDPR ANAK-ANAK


Catatan pdpr lagi. Entah sudah musim ke berapa. Pdpr sudah bermula sejak tahun lepas, 2020. Dapat kembali bersekolah sekejap, kemudian pdpr lagi dan lagi. Penat…


Ya, semua penat. Penat nak biasakan dengan hal yang tak biasa ni. Walaupun sudah setahun begini, masih ini bukan situasi pembelajaran yang normal. 


Bermula 14 Jun, Anas, Mussaab dan Miqdad semuanya perlu ber’pdpr’. Dari dua dah jadi tiga orang yang perlu ummi pantau pembelajaran di rumah. 


Anas (tahun 3, SRAI Pekan Beranang), jadual masih seperti yang sebelum ni. 3 matapelajaran setiap hari. Kelas menggunakan aplikasi google meet, 1-2 kelas online sehari, dan sentiasa ada tugasan yang perlu disiapkan setiap hari.


Time online, dah boleh serah pada dia sendiri. Ummi just join link yang diberi, selebihnya Anas control sendiri. Dah faham, time belajar wajib on camera dan on suara hanya bila guru bertanyakan soalan. Bila belajar selalunya Anas akan fokus pada kelasnya. Cuma time buat tugasan, ada juga yang ummi perlu jelaskan dan terangkan untuk kefahamannya. 



Mussaab (tahun 1, SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah), agak mencabar juga nak pastikan Mussaab kekal fokus dalam kelas. Memang tak boleh nak duduk diam lama-lama. Kejap bangun berjalan, berpusing, geram dibuatnya. Tambahan pula dia paling banyak kelas dan tugasan, ya, sangat mencabar dan menguji sabar. Memang nak kena ada di tepinya selalu. Baru jalan semua kerja. Tapi adalah juga harinya dia akan ‘bagus’ sangat tak perlu ummi bebel panjang.


Jadual terkini, Mussaab belajar secara online mengikut jadual SKKR pada waktu pagi, dan petang pula kelas SRIPN. Tugasan sentiasa ada, online dan offline. Kadang-kadang rasa tak terkejar nak buat (sebab sebolehnya nak cuba siapkan pada hari yang sama, tak nak kacau weekend). Tapi Alhamdulillah masih sempat dikejar, walau agak mencabar. 



Miqdad (5 tahun, Little Diamond Kindergarten), ini pdpr pertama Miqdad sejak masuk sekolah. Dah masuk minggu ke-2 Miqdad ber’pdpr. Baru nak serasikan diri dengan cara pembelajaran secara online. 


Kelas Miqdad jam 11.30 pagi setiap hari. Time kelas dia, takde sesiapa boleh pakai laptop sebab dia nak pakai (laptop ada satu je). Kalau bertembung dengan kelas abang-abang, abanglah yang kena mengalah pakai handphone. Kalau tak? Dia tak nak join kelas. Hai, sabar jelah. 


Time belajar, fokus juga sering lari dek gangguan kiri dan kanan. Abanglah, adiklah, nak kena ada orang ‘jaga’ dan awasi kat sebelah juga. Kalau bukan ummi, Anas yang akan tolong tengokkan. Kalau tak, sendirian saja. Itupun akan banyak bangun dan mencari-cari ummi. Dan baru juga pandai nak on/off mic dan video. Miqdad hanya perlu selesaikan tugasan di dalam worksheet bersama teacher time kelas. Dah habis kelas, habis jugalah kerja. 


Begitulah antara ragam pdpr anak-anak. Ada harinya baik saja berjalan. Kerja cepat siap. Ada harinya juga penuh cabaran dan liku. Emosi, mental, fizikal, penat semua.


Bersyukur untuk 2 minggu ni suami ada kat rumah. At least, banyak kerja rumah yang dia bantu termasuk memasak. Aku hanya perlu fokus pada pembelajaran anak-anak (bab pdpr suami kurang masuk campur, kecuali ada masalah teknikal dia akan bantu). 


Pdpr tak mudah sebenarnya buat ibu/bapa. Tambahan yang punya anak kecil dan ramai. Persediaan untuk masuk kelas perlu dipastikan lengkap, whatsapp/telegram perlu dicek selalu untuk segala info dari guru, segala tugasan perlukan catatan rapi agar tak ada yang tertinggal, perlu guide dan ajar anak-anak untuk selesaikan tugasan, kehadiran juga perlu direkod, segala tugasan perlu dihantar pada setiap guru, di samping itu perlu ajarkan anak tentang adab di depan guru (walaupun bukan belajar secara berdepan), contohnya tak boleh makan masa guru mengajar, tak boleh sesuka hati bangun dan pergi, tak boleh sembang dengan abang/adik, tak dicakap dan diingatkan memang mereka tak tahu dan akan buat hal sesuka hati (tak rasa perbuatan tu salah dan tak beradab), dan cabaran-cabaran yang lain lagi. Itu baru cerita tentang pdpr. Belum tambah tugasan azali lagi lagi sebagai isteri dan ibu. Tambahkan keduanya (tambahan jika tiada sokongan suami) bertambah berat dan terbeban rasanya seorang ibu. 


Penat. 

Aku rasa aku tak keseorangan menanggung rasa ini. Banyak keluhan dan ratapan yang aku baca dan dengar. I feel you! Itu je yang boleh aku cakap. Walau mungkin cabaran dari sudut yang berbeza-beza, tapi aku sangat faham akan rasa itu. Apatah lagi yang lebih kurang bernasib baik. Bertambah beban yang ditanggungnya. 


Hati ini tetap berharap. Ini adalah ujian sementara buat kita semua. Ini adalah ‘tekanan’ untuk mengeluarkan yang terbaik dari diri kita, insya Allah. Yang mampu aku nasihatkan (untuk diriku juga), bertahanlah, semua ini akan berakhir juga dengan izinNya. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Pertolongan Allah sentiasa ada. Berdoalah tanpa jemu. Allah dengar. 


Doaku (dan pasti doa semua juga), kita akan melepasi ujian ini dengan cemerlang. Percayalah Allah lebih tahu apa yang sedang kita rasakan ini. Allah sedang menguji hambaNya. Allah juga pasti kan membantu hambaNya untuk mengharungi semua ini.


Semua ini akan berakhir juga.

Kita kan mendapat kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.


Ayuh, sama-sama usahakan yang terbaik buat diri kita dan anak-anak. 



Anak-anakku, moga mudah perjalananmu dalam menuntut ilmu dan kan menjadi generasi bijak pandai, cemerlang akademik, agama dan cemerlang akhlak dan adab.

Ya, meski kau sedang menempuh perjalanan yang berbeza.










Friday, 11 June 2021 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: 22 MONTHS OLD




Suri Lilyana

15/8/2019-15/6/2021


Genap usia Suri 22 bulan. Dah tak lama nak masuk 2 tahun. Dah besar dah princess ummi dan abi. Tapi dah lama ummi tak update tentang Suri di blog ummi. Sorry sayang. Ummi sangat sibuk dengan urusan lain. Jadi kurang berinspirasi untuk menulis.


Ok, hari ni ummi berkesempatan untuk menulis tentang Suri. Suri yang dah semakin besar, aktif dan cerdik.


Kali terakhir bawa Suri check up di klinik ialah pada usia Suri 21 bulan. Ada satu lagi temujanji iaitu pada usia Suri 2 tahun. Check-up yang lepas sebenarnya adalah susulan dari pertemuan sebelum tu (pada usia setahun setengah), yang mana berkaitan dengan masalah speech delay (yang dikhuatirkan) sebab pada usia Suri setahun setengah masih belum menyebut ‘satu perkataan yang bermakna’ seperti ummi dan abi, susu, makan, dll. Mulanya ummi tak perasan sangat pasal tu, tak adalah pula ummi nak compare dengan abang-abang Suri sebab ummi rasa Suri normal je, walaupun abi asyik dok desak Suri bercakap :) tapi bila misi di klinik bertanyakan soalan tu, kelu dan risau pula ummi. Barulah ummi nak start compare dengan abang-abang. Dan kalaulah abang-abang Suri yang jadi kayu ukur, memang hakikatnya Suri dah tertinggal di belakang bab bercakap. Sebabnya, Anas, Mussaab dan Miqdad memang cepat dapat word dan bertutur dulu. 


Dah macam tu, misi refer ke doktor. Doktor tanya macam-macam soalan. Tapi tak nampak serius sangatlah, cuma dia set temujanji 3 bulan seterusnya iaitu pada temujanji yang lepas.


Ya, sekarang Suri dah dapat beberapa perkataaan yang boleh disebut. Sikit jelah, tapi ada. Contohnya apple, ball, air, saya, ball.. yang biasa disebut-sebut. ‘Ummi dan abi’  belum berjaya lagi. Ada juga la kedengaran sayup-sayup :D Alhamdulillah itupun sudah sangat bersyukur, walaupun kalau ikutkan hati nak ‘lebih’ lagi. Untuk temujanji kali ni, respon misi dan doktor pun macam biasa-biasa je. Normal je kot Suri! Cuma lambat sikit berbanding abang-abang. Ummi positif je la. Misi just guide cara bercakap dengan anak, untuk bagi dia cepat bercakap. Pengalaman baru untuk ummi (walaupun dah anak empat pada hakikatnya). 


Satu lagi masalah, ialah pasal kutil/ketuat yang naik di badan Suri. Sebijik dua je, tapi hilang satu, naik pula satu kat tempat lain. Ummi anggap biasa (sebab abang-abang Suri pernah ada, sekarang dah tak ada), tapi doktor bagi surat refer ke pakar kulit di hospital Serdang (masih belum berkesempatan untuk ke sana sebab abi selalu tak ada di rumah).


Itu la serba sedikit tentang ‘masalah’ Suri pada usia sekarang ni. Bab lain, semuanya ok dan normal. BMI cantik, faham arahan, aktif dan banyak akal juga. 


Cuma bab bercakap, mungkin ada sebabnya Suri lambat sikit. Salah ummi barangkali, kerana banyak sibuk dengan hal abang-abang (tambahan pula PKP dan pdpr sejak sekian lama), fokus ummi banyak pada abang-abang. Jarang ada aktiviti khusus dengan Suri. Abi pula jarang ada di rumah (kalau abi ada dia yang rajin layan Suri kan). Ini juga ujian. Kesinambungan dari ujian covid-19 yang belum berkesudahan. Maafkan ummi. Bukan salah takdirNya, cuma ummi lewat tersedar dan kurang berikhtiar.


Apapun ummi berserah pada takdir. Allah tentukan semua. Ummi juga tak ingin memaksa dan menekan semata nak Suri cepat bercakap. Perlahan-lahan tak mengapa, insya Allah Suri akan bercakap juga nanti. Lancar dan fasih! Insya Allah. 


Dan Alhamdulillah Suri membesar baik, di samping abang-abang yang saban hari ada bersama. Riuh rendah tiap masa kan? Abang-abang, kadang-kadang buat hal sendiri, kadang-kadang juga akan bermain dan melayan Suri. Saat bermain bersama, itulah yang paling menghiburkan. Moga kan bersatu dan mesra selamanya, Suri dan abang-abang.


Ok sudah panjang catatan ummi tentang Suri. Tak ada yang merisaukan, insya Allah. Suri akan membesar baik seperti abang-abang juga. Malahan dilimpah dengan kasih sayang kiri dan kanan. Kasih ummi dan abi, kasih abang-abang, dan kasih Allah yang paling utama.


Suri ummi yang cantik.

Doa ummi kan sentiasa mengiringi.

Moga membesar jadi hambaNya yang taat dan solehah.

Terjaga maruah, terhias indah akhlak dan budi.

Insya Allah bahagia untukmu dunia dan akhirat.


Ummi sayang Suri dunia akhirat.





Hari bahagia bersama ummi, abi dan abang-abang

Moga bahagia sentiasa buatmu duhai puteri