Tuesday, 16 July 2019 0 comments By: Naemah

TIAP KESUSAHAN AKAN DIIRINGI DENGAN KESENANGAN



Entri yang pertama untuk bulan ini :) tak sempat dan tak ada mood nak menulis sejak akhir-akhir ini. Terasa suntuk sangat masa, dan masa yang ada terasa hanya mahu rehat saja. Maklumlah, sudah di minggu-minggu terakhir kehamilan :)

Sejak balik dari cuti Aidilfitri, suamiku juga agak busy. Seakan tiada cuti untuknya, setiap weekend berada di laut kerana jadual kerja yang padat. Sehari dua di rumah, kembali lagi ke laut. Anak-anak juga hampir kekurangan masa dengan abinya, especially Anas yang bersekolah dari pagi hingga ke petang hari. Malam pula tidur awal, sampai hari minggu abi pula sudah kembali bekerja. Memang terasa sangat dia..

Aku pula, dalam keadaan sekarang yang makin sarat memang agak penat bila suami tiada di rumah. Semuanya perlu uruskan sendiri. Cuba lakukan semua kerja sekadar termampu. Terutama bab uruskan anak-anak setiap hari bangun pagi, bersiap, hantar dan ambil dari sekolah, memasak, mengangkut pakaian untuk dicuci dan dijemur, membersihkan segala pinggan mangkuk dan peralatan masak, menyapu lantai, membuang sampah... alah, kerja yang memang tak boleh kalau tak buat. Remeh saja nampaknya segala kerja ni, tapi inilah yang ‘wajib’ dihadap suri rumah setiap hari, dan rasanya seperti kerja ini berulang-ulang dan tak pernah siap-siap ,:)

Kaum suami, silaplah kalau harapkan balik rumah dalam keadaan segalanya siap terurus. Kalau tak pernah cuba mengambil peranan dan membantu, memang susah nak faham apa yang dilalui isteri seharian di rumah. Terutama bila ada anak kecil, akan ‘ada saja’ situasi yang tak terjangka, ragam yang tak terduga. Ada kerja tertangguh dan tak termampu nak disempurnakan sebaiknya. Jika suami sendiri sukar untuk faham dan hanya tahu melihat salah dan kurang, ‘makan hati’lah isteri. Siapa lagi yang diharapkan isteri untuk memahami penat lelahnya memainkan peranan di rumah, jika bukan suaminya :)

Segala penat lelah dan setiap detik sukar yang perlu aku lalui ketika bersendiran menguruskan anak-anak dan rumahtangga ini, aku anggap ujian untuk aku jadi yang lebih baik. Jadi lebih kuat, belajar dari setiap kesilapan yang aku tak terlepas darinya, belajar bertahan bersama sabar, dan belajar membisikkan redha. Bahawa bukan sia-sia semua ini yang perlu aku lalui. Dan akan sentiasa, beriringan dengan kesusahan itu adalah kemudahan dan kesenangan. Insya Allah.

Jika ibu bekerja mungkin ada sedikit sesalan dalam hatinya, kerana kekangan masa bersama anak-anak, sesal tak selalu ada bersama anak, tapi bagi ibu suri rumah sepertiku pula, dalam banyaknya masa bersama anak-anak, sering juga diusik rasa sesal dan bersalah, andai ‘masa’ itu sebenarnya tak memberi apa-apa manfaat untuk mereka, dek sibuknya dengan kerja, dek penatnya dengan urusan harian hingga terkalah dengan emosi, dan bermacam bentuk ketakutan. Takut jadi ibu yang tak memberi apa-apa pada anak-anak.

Ya selagi masih ada ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri, maka selagi itu masih ada peluang untuk jadi yang lebih baik. Aku juga seperti yang lain, mahu beri dan jadi yang terbaik untuk suami dan anak-anak. Dan di sini, di medan kecil inilah dunia untuk aku terus berjuang, dan terus berjuang hingga ke akhirnya. 

Semoga Allah sentiasa pandang dengan rahmat dan kasihNya..

آمين




Sunday, 30 June 2019 0 comments By: Naemah

WEEKEND: AISHA KIDZ PLANET, SETIA ECOHILL TAIPAN

Kali ke-5 membawa anak-anak ke Aisha Kidz Planet (2017 adalah kali yang pertama). Kali ke-6 untuk Anas dan Mussaab yang pernah datang bersama rombongan sekolah mereka. 

Kini Aisha Kidz dah berpindah tempat. Dari Beranang kini ke Ecohill Taipan, Bandar Rinching. Lebih dekat dengan rumah (seksyen 6). Kali kedua lah kiranya untuk tahun ini, yang terakhir pada bulan Januari lepas. Bayaran masih sama, rm 10/seorang untuk 1 jam dan rm 15/seorang untuk unlimited time.

Time abi tak ada dan tak tahu nak ke mana, Aisha Kidz Planet jadi pilihan yang terbaik. Nak bawa pergi taman (outdoor), tak larat pula nak melayan 3 hero yang tengah melasak, dalam keadaan diri yang tengah sarat ni :D

Hari ini keluar rumah tepat jam 10 pagi, 5 minit saja perjalanan, dekat sangat kan. Jadi orang first yang sampai, bukan main seronok anak-anak, sebab dah lama tak datang. Dah janji banyak hari dengan mereka nak bawa ke sini, dan setiap hari juga dok sebut dan tanya. Kalau tak bawa juga, dapat bayangkan la macam mana frustnya mereka :)

Seperti biasa, bila di sini mereka bermain dengan riang dan seronok sekali. Tambahan pula satu jam pertama belum ada kanak-kanak lain yang datang, maka semua yang kat dalam tu mereka yang ‘punya’ :) 

Sehingga jam 11.30, Anas dah mula ajak balik. Lapar dah katanya. Mussaab dan Miqdad masih leka bermain. Masih tak puas-puas. Main pasir, main bola, trampoline, dan lain-lain. Anas sabar menunggu sampai adik-adik mahu diajak balik. Dia pun sambung bermain juga.

Hampir jam 12, semakin ramai ibubapa yang datang membawa anak-anak. Perlahan-lahan aku memujuk anak-anak untuk meninggalkan tempat ini. Nampaknya masih belum puas bermain, tapi Alhamdulillah masing-masing akur bila berkali diajak balik. Sekitar jam 12.30, kami meninggalkan Aisha Kidz Planet. 

Tak terus balik ke rumah, Anas pula request nak makan KFC. Dalam berat hati (takut ramai orang kat KFC sebab hari Ahad), tunaikan juga permintaan Anas yang disokong Mussaab dan Miqdad :) Alhamdulillah tak ramai sangat orang. Tak perlu beratur panjang, order sekejap je dah dapat. Di situ jugalah aku dan anak-anak menikmati hidangan tengahari bersama hari ni.

Alhamdulillah untuk kegembiraan anak-anak hari ini. Sudah 3 weekend abi tak dapat bersama kerana perlu bertugas. Kesian asyik terkurung dalam rumah saja walaupun tak sekolah. Hari ni, dapat penuhi janji untuk bawa anak-anak ‘bersukaria’ di luar :D

Insya Allah nanti ummi bawa ke Aisha Kidz Planet lagi ye. Lepas baby dah besar :D


Foto hari ini di Aisha Kidz Planet 

































Monday, 24 June 2019 0 comments By: Naemah

MIQDAD: AKHIRNYA BERCERAI SUSU



Akhirnya, ummi dah boleh declare dah kot yang Miqdad kini sepenuhnya sudah bercerai susu badan :D

Ummi lupa tarikh yang setepatnya, tapi seingat ummi pada awal Ramadhan lepas (May 2019) sehingga ke tarikh ini Miqdad sudah berjaya ‘lupakan’ susu. Sudah sebulan lebih kira-kiranya, pada usia Miqdad sekitar 2 tahun 7 bulan. 

Tiada sebarang helah yang ummi lakukan untuk stopkan Miqdad dari menyusu badan, cuma ummi rasa sudah tiba masanya, tambahan pula ummi sedang mengandung, jika tak hentikan sekarang, lagi mencabarlah nanti bila dah ada baby :)

Ya, sebab dah ada pengalaman di mana dulu semasa mengandungkan Mussaab, Anas masih setahun lebih usianya. Oleh sebab masih kecil, tetap teruskan penyusuan badan sepenuhnya pada Anas, tambahan pula mengandungkan Mussaab memang tiada alahan dan masalah langsung. Elok saja menyusukan Anas sampailah melahirkan Mussaab (usia Anas tepat 2 tahun). 

Walaupun dah ada adik, Anas masih meneruskan penyusuan badan. Bergilir dengan adik, sampailah umur Anas 3 tahun setengah. Itupun selepas puas dipujuk-pujuk. Diingat-ingat balik, masa tu memang penat juga bila bergiliran menyusukan anak. Ada juga sampai tahap stress, Allah saja yang tahu.

Mussaab pula sempat menyusukan dia sehingga usianya 2 tahun 2 bulan. Masa ni memang terpaksa, sebab tengah alahan mengandungkan Miqdad pula. Penat sangat, tak sanggup nak teruskan penyusuan Mussaab. Terpaksa ‘berhelah’ sikit, tapi memang mudah sangat, tak lama lepas tu Mussaab memang dah tak menyusu lagi. Tak ada drama menangis meraung, Mussaab bercerai susu badan dengan senang dan tenang sekali :) Alhamdulillah, dapat juga 2 tahun. 

Kini turn Miqdad pula. Episod mengandungkan yang ini, alahan tak seberapa sangat seperti yang lepas, jadi biarkan dulu Miqdad menyusu badan selagi dia mahu. Pujuk-pujuk juga, tapi hasilnya baru sebulan inilah baru dapat :) fuh, lega. Berbaloi juga memujuk hampir setiap hari :) 

Bila anak dah tak menyusu, pada awalnya memang terasa janggal. Rasa dia dah jauh, walaupun sebenarnya kat depan mata je. Sebab tak ada lagi momen dia datang dekat dan minta susu. Dah tak ‘melekat’ lagi dengan kita. Sedih juga, tapi begitulah lumrahnya. Baru sedar selama ini anak sangat dekat dengan kita, perlahan-perlahan belajar melepaskan dia, dan akur yang dia dah ‘besar’ dan akan semakin dewasa. 

Alhamdulillah, syukur diberi peluang menyusukan 3 anak dengan penyusuan sempurna (2 tahun dan lebih). Ia detik berharga bagi seorang ibu. Masa emas bersama anak-anak yang tak akan dapat diganti balik. 

Semoga semua ibu menyimpan harapan dan cita-cita untuk melakukan hal yang sama, semoga dipermudahkan oleh Allah untuk urusan ini, dan semoga diganjari dengan kebaikan di atas mujahadah seorang ibu untuk menyempurnakan penyusuan anaknya, insya Allah :)


Catatan lama; kisah yang sama







Sunday, 23 June 2019 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MENERIMA REPORT CARD MUSSAAB


22/6/19: menghadiri majlis jamuan raya Little Diamond Kindergarten, dan pada hari ini juga ibubapa berpeluang bertemu dengan guru kelas anak-anak untuk menerima report card mereka. Suamiku tak dapat hadir bersama kali ini, hanya aku dan anak-anak yang hadir pada hari tersebut. Dan kami antara yang terawal hadir untuk tujuan ini. 

Tahun ini bertemu dengan guru kelas Mussaab (Teacher Sya) untuk menerima report card di samping mendengar komen yang berkaitan dengan Mussaab sepanjang hampir 6 bulan belajar di Little Diamond Kindergarten (sessi 2019).

Seperti kebanyakan ibubapa juga, ini antara momen yang paling ditunggu, iaitu untuk mengetahui tentang perkembangan dan tahap pencapaian anak-anak di sekolah :)

Apa yang dapat dirumuskan daripada pertemuan ini ialah; 

’Pencapaian keseluruhan untuk Mussaab adalah di tahap SEDERHANA.. Berpandukan apa yang disenaraikan: ada yang di tahap Outstanding, banyak pada tahap Good, dan  ada juga di tahap Weak, antaranya bab confidence. Kata teacher, Mussaab sukar nak bercakap di depan kelas, suara pun perlahan.. tapi berbeza bila bersama kawan2, banyak pula cakap, main dan ceritanya... Anas yang turut mengikuti sessi pertemuan ini beriya mengiyakan ‘kekurangan’ adiknya. Amboi.. (Anas kena support dan bantu adik ya!)

Dari segi akademik, Mussaab dapat ikut dengan baik, tak lebih tak kurang. Masih lemah bab tambah dan tolak (matematik), tapi teacher kata sebab  baru masuk bab ni, so takdelah teruk sangat pun..

Bab hafazan, doa, bacaan dan praktikal solat, pun seberhana, tapi boleh ikut, adalah terlebih kurang. Ummi perlu fokus lebih la lepas ni bab yang ni.’

Lepas jumpa guru, sikit sebanyak nampaklah apa yg dia belajar kat sekolah, dan macam mana dia di sekolah selepas ‘ketiadaan’ abangnya. Kalau ditanya pada dia, dijawab pun tak memuaskan hati. .

Tak akan dibanding -bandingkan dengan Anas (takkan serupa), cepat atau lambat, Mussaab akan dapat juga apa yang Mussaab perlu dapat. Insya Allah. Yang penting, mana yang nampak lemah akan cuba diperbaiki. 

Dan Teacher Sya juga ada cakap, tak boleh nak bandingkan Mussaab dengan abangnya, kerana setiap anak takkan sama. Ya, Terima kasih teacher kerana tak membandingkan mereka. Sebagai ibu, aku yakin setiap mereka ada potensi dan kelebihan yang tersendiri. Ada sisi tersendiri yang pasti menyerlah pada setiapnya. 

Tahun depan mungkin masih di sekolah yang sama. Insya Allah akan lebih baik, dalam semua aspek dan makin bersedia untuk melangkah ke tahun 1 (2021). Yang paling ummi harapkan, Mussaab akan lebih yakin pada diri dan berani bersuara. Cuba ya Mussaab!

Semoga yang terbaik sentiasa untuk Mussaab. Doa ummi akan sentiasa mengiringi. Ummi akan cuba sebaik mungkin, agar tak serahkan hanya pada sekolah untuk jadikan Mussaab ‘pandai’. Ummi sedar peranan ummi lebih besar. Maaf pada yang terkurang selama ini, kerana ummi akui tak berupaya untuk sepenuhnya memberi tumpuan dan perhatian. 

Moga akan lebih baik Mussaab. Ummi tetap percaya dan berdoa, Mussaab akan pergi lebih jauh. Menjadi insan cemerlang dan berjasa di masa akan datang. Insya Allah.


Saturday, 22 June 2019 0 comments By: Naemah

SRAIPB & LD KINDERGARTEN: JAMUAN HARI RAYA

Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap sekolah, untuk mengadakan jamuan hari raya di sekolah masing-masing. Tak terkecuali sekolah Anas (SRAI Pekan Beranang) dan sekolah Mussaab (Little Diamond Kindergarten). Mereka meraikan syawal bersama guru dan kawan-kawan di sekolah, menikmati juadah raya dan berpakaian raya :)


Beraya di SRAI Pekan Beranang 

Majlis hari raya SRAI Pekan Beranang diadakan pada 14/6/19. Hari ini Anas berpakaian raya, baju yang sama yang dipakai pada 1 Syawal. Kali ni siap bersampin (mengikut syarat), itupun sampin yang dibeli last minute oleh abinya secara online. Ngam-ngam dihantar ke rumah sehari sebelum majlisnya. Kalau tak, mungkin pakai baju melayu dan sampin sekolah saja :D

Untuk majlis ini, kelas Anas diminta membawa biskut raya/kerepek/kek. Mujurlah ada kerepek di rumah, dapatlah bawa ke sekolah. Hari ni abi tiada di rumah, ummi uruskan semua, macam biasalah :) Hari jumaat, ikut waktu persekolahan biasa (7.30am-12pm). Kata Anas majlis berjalan lancar, seronok menjamu selera dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh pihak sekolah dan yang dibawa oleh setiap pelajar. Alhamdulillah :)










Beraya di Little Diamond Kindergarten 

Majlis hari raya Little Diamond Kindergarten pula diadakan pada 22/6/19. Raya kali ke-2 Mussaab bersama kawan-kawan Little Diamond. Excited dia nak beraya di sekolah, orang pertama bangun pagi, dan tak sabar-sabar nak ke sekolah. Juga siap berpakaian raya untuk majlis hari ini.

Hari ini juga hari untuk ibubapa menerima report card anak, sambut birthday student yang lahir bulan April hingga Jun, makan-makan dan ibubapa juga turut dihiburkan dengan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten. 

Tak banyak gambar yang ummi dapat snap hari ni. Sorang-sorang kena pantau anak-anak (yelah, abi tak dapat datang untuk majlis hari ni), tak dapatlah nak fokus bergambar. Pagi datang ambil report card dan menjamu selera, balik semula ke rumah dan datang balik hampir jam 12 untuk menyaksikan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten, dan balik ke rumah bila majlis hampir berakhir. Oh ya, masing-masing bawa balik duit raya dan goodies juga, Alhamdulillah :)















Selesai sudah majlis raya di sekolah Anas dan sekolah Mussaab. Seterusnya menyambung persekolahan dan pengajian seperti biasa. Perlu fokus, perlu rajin dan tekun, perlu sentiasa bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. 

Anas dan Mussaab akan baik-baik saja, dan seronok kembali ke sekolah lagi, insya Allah :)

DIARI ANAKKU: 220619



Hari ke-3 abi di Bintulu. Esok insya Allah akan balik untuk beberapa hari dan akan kembali bekerja. Ya, selepas cuti hari raya Aidilfitri, jadual kerja abi padat. 3 kali weeekend abi tak dapat bersama anak-anak di rumah. Dan sudah tentunya tak dapat nak berjalan ke mana-mana :)

Hari ni diadakan jamuan hari raya di sekolah Mussaab, di samping untuk mengambil report card Mussaab. Excitednya Mussaab menanti hari ini, dia jadi yang pertama bangun dari tidur (sebelum azan subuh lagi), ke bilik ummi untuk bangunkan semua orang. Ummi bangun selepas Mussaab, diikuti Miqdad dan Anas yang terakhir. Semua mandi dan berpakaian. Breakfast roti canai segera, tapi hanya Mussaab dan Miqdad saja yang makan, Anas katanya nak makan di sekolah Mussaab. Sementara menunggu masanya (jam 9 pagi), tv menjadi pilihan. Ketiganya menonton video pilihan.

Sekitar jam 9.15 pagi, berjalan ke sekolah Mussaab. Jumpa guru kelas Mussaab untuk ambil report card Mussaab, dengar serba sedikit komen teacher pasal Mussaab, then lepas tu menjamu selera dengan juadah yang disediakan. 

Sejam kemudian balik semula ke rumah. Tak daya nak tunggu sehingga jam 12 untuk persembahan Mussaab, Anas, Mussaab dan Miqdad bermain langsung tak ingat ummi dah.  Semua balik ke rumah, dan akan kembali lagi ke sekolah untuk saksikan persembahan Mussaab dan kawan-kawan. Kawan Mussaab, Hafiz (abang dan kakaknya sekali) ikut balik ke rumah. Ibubapa mereka tak dapat hadiri majlis sekolah hari ini kerana bekerja. Semua masuk ke dalam rumah dan menonton tv bersama.

Jam 11.45 kembali ke sekolah Mussaab, menyaksikan persembahan pelajar Little Diamond Kindergarten, dan meraikan majlis birthday kawan-kawan Mussaab. Duit raya juga dapat, Alhamdulillah :) hampir jam 1 petang, terus balik ke rumah. Masing-masing pun sudah kepenatan, bermain tak henti. Kali ini Hafiz, kakak dan abangnya juga ikut balik ke rumah. Bila masuk waktu zohor, mereka balik ke rumah.

Lepas zohor, Miqdad tidur bersama ummi di bilik atas. Mussaab dan Anas bergiliran menonton video di bawah. Sesekali naik juga ke atas dan turun balik ke bawah dan leka dengan hal sendiri. 

Jam 4.30 ummi dan Miqdad turun ke bawah. Miqdad tadi menangis, dipujuk oleh abang dengan video Blippi. Lepas solat asar ummi masak mee goreng, semua sudah kelaparan. Yelah, lepas makan di sekolah Mussaab tadi dah tak makan apa-apa dah kat rumah. Ummi pun tak masak, tengok semua dah kekenyangan. Tengah masak, Hafiz, kakak dan abangnya datang ke rumah lagi. Ibubapa mereka masih belum balik dari kerja. Ummi ajak semua makan bersama. Rupanya tak cukup sebungkus mi goreng. Semuanya kelaparan :) nasib baik ada lebihan nasi semalam dalam peti ais. Goreng nasi pulalah. Sekali lagi menjamu selera bersama. Alhamdulillah kenyang semua. Masing-masing kembali menonton tv dan bermain.

Hampir jam 6.30 petang, Hafiz, abang dan kakaknya balik dijemput ibu dan abang sulung mereka. Tinggallah Anas, Mussaab dan Miqdad di rumah seperti kebiasaan. Sambung menonton tv sekejap, lepas tu kemas rumah sama-sama, dan naik ke atas untuk mandi. Lepas solat Maghrib, baca Quran seperti biasa. Mussaab mengulang hafazan yang dah lama ditinggalkan. Tadi teacher ada cakap Mussaab banyak lupa hafazannya yang dulu, so kena ulang balik. 

Lepas isyak, Anas, Mussaab dan Miqdad bersedia untuk tidur. Sekejap saja, semua sudah lena dibuai mimpi. Alhamdulillah. Semoga bermimpi indah semuanya. 

Semoga hari esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Insya Allah. Ummi sayang semuanya. Kerana Allah. Maafkan ummi atas segala kekurangan dan kesilapan ummi untuk hari ini dan yang sudah. Ummi akan cuba jadi yang lebih baik untuk kalian. Insya Allah :’)

Friday, 21 June 2019 0 comments By: Naemah

BERSYUKUR ATAS ANUGERAH INI



Menghadiri hari terbuka bersama ibubapa di sekolah Anas semalam , sebelum bermula sessi yang ditunggu, sempat bersuai kenal dengan seorang ibu kepada pelajar darjah 5. Dia datang bersendirian, suami bekerja, anak yang lain dah besar dan bersekolah. Sempat berborak bersama ketika menunggu di kantin sekolah. Ramah orangnya, suka berkongsi cerita. Katanya dia ada 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki. Yang darjah 5 ini lelaki dan merupakan anak ketiganya. Yang bongsu pun dah darjah 3 (sekolah lain).

Katanya, cukuplah 4 anak yang dia ada. Penat! Beza antara anak 2 tahun setiap orang, rapatlah kiranya tu. Katanya penat nak handle sorang-sorang, di masa kecil mereka. Nak hantar si kakak ke sekolah, yang adik-adik perlu angkut sekali. Menjerit, bergurau, menangis dalam kereta, memang sangat mencabar setiap kalinya. Belum lagi cerita bab lain. Hai, penat sangat katanya sampai rasa tak nak tambah anak dah, dah tak larat. Tapi syukurlah, empat pun dah banyak kan :)

Mendengar kisah dia, teringat pada situasi sendiri. Itu jugalah yang sedang aku lalui sekarang. Penat? Ya, aku akui penat. Tak perlu aku luahkan. Yang faham, hanya akan faham. 

Tapi.. aku masih mahu punya anak lagi, jika diizin Allah. Selepas yang ke-4 ini, aku teringin untuk punya lagi. Moga aku dapat bertahan pada ‘penat’ yang seketika ini.

Ketika menunggu giliran untuk bertemu guru kelas Anas, bersembang pula dengan seorang ibu kepada kawan sekelas Anas. Dia juga datang bersama seorang anak, tanpa suaminya. Katanya anaknya 2 orang saja, 7 tahun dan 4 tahun. Actually 3 orang, tapi abang kepada yang 7 tahun ini dah meninggal semasa umurnya setahun lebih (sekitar tahun 2011). Meninggal di rumah pengasuh katanya. Allah, simpati dan sedih rasanya hati mendengar ceritanya. Tapi nampak dia jelas redha dengan ketentuan Allah. Mungkin juga kehadiran 2 anak selepas itu menjadi pengubat luka hatinya. 

Ceritanya lagi, ketiga anaknya dilahirkan secara pembedahan. Dan selepas yang ketiga ini dia tidak boleh mengandung lagi (kerana peranakan sudah diikat). Hatinya teringin untuk ada anak lagi, tapi apakah daya, sudah takdir untuknya , berisiko untuk dia mengandung lagi. Aku percaya, takdir ini juga diterima olehnya dengan hati yang redha dan syukur. Ya, syukur kerana sekurang-kurangnya sudah ada dua ‘anugerah’ yang kini sedang mendampingi hidupnya. 

Aku insaf mendengar cerita dan perkongsian. Aku perlu kembali memikirkan tentang aku. Aku dan anak-anakku. Sudah cukupkah syukurku pada Allah yang terlalu baik buatku? Zuriat yang aku impikan, seorang demi seorang hadir dalam hidupku. Pernah juga aku kehilangan (keguguran), tapi Allah ganti yang lebih baik, sudah pasti. Dalam kepayahan mengandung dan membesarkan anak-anak, masih aku diizinkan untuk mengandung lagi, untuk melahirkan lagi. Dalam setiap penat juga, tak pernah aku dibiar sendiri mengharung segala. Sentiasa dengan pertolongan DIA. Kerana itu semuanya dapat ku tempuh. Biar dalam susah dan payah sesekalinya.

Bahagia? Ya, yang penting dan pasti aku bahagia dengan anak-anak di sisi. Aku syukuri  di atas kehadiran mereka yang sudah ada di depan mataku hari ini. Dan aku menanti pada kehadiran yang seorang lagi, yang sedang ku kandung ini. Semoga dipermudahkan kelahirannya nanti, dan dapat berkumpul bersama abang-abang yang juga setia menanti kehadirannya.

Ya Allah, moga Kau tetap memandu hatiku, untuk sentiasa mensyukuri nikmat dan anugerah ini. Cahaya Mata yang aku damba sejak sekian lama dalam hidupku. Bahagiakan aku bersama suami dan bersama mereka, ya Allah. Kumpulkan kami bersama di dunia dan di akhirat.   

آمين